Daripada Abu Bakr
al-Siddiq RA katanya:
Maksudnya: “Kami bergerak (dalam peristiwa Hijrah) sedangkan
kaum (Musyrikin) mencari kami. Seorangpun tidak mendapati kami melainkan
Suraqah bin Malik bin Ju’syum yang berkuda. Lalu aku berkata: “Wahai
Rasulullah, orang ini telah mendekati kita.” Jawab baginda: “Jangan bimbang,
sesungguhnya Allah bersama dengan kita.” sehinggalah Suraqah menghampiri kami,
jarak antaranya dengan kami hanya sekadar sebilah lembing atau dua bilah atau
tiga bilah lembing. Lalu aku berkata: “Wahai Rasulullah, orang ini benar-benar
telah menghampiri kita, dan akupun menangis. Tanya Rasulullah SAW: Mengapa kamu
menangis.” Aku menjawab: “Adapun demi Allah, daku tidak menangis kerana bimbangkan
keselamatan diriku, akan tetapi daku menangis kerana bimbangkan keselamat
diriMu.” Kata Abu Bakr: “Lalu Rasulullah SAW berdoa:
اللهُمَّ اكْفِنَاهُ بِمَا
شِئْتَ
Maksudnya: “Ya Allah cukupkan (peliharaan) kepada kami dari
kejahatannya dengan apa sahaja cara yang Kamu kehendaki.” Lalu kaki
kudanya tenggelam ke dalam bumi yang kering hingga ke perut kuda tersebut, lalu
dia cuba membangunkannya, dan berkata: “Wahai Muhammad, aku tahu ini adalah
kerjamu, mintalah kepada Allah, untuk Dia selamatkan aku, Demi Allah aku akan
sembunyikan dari pengetahuan orang lain yang mencari kamu berdua. Ini dia bekas
anak panahku, ambillah darinya satu anak panah, kerana kamu akan melalui tempat
unta dan kambingku di tempat sekian sekian, ambillah apa-apa yang kamu perlu
darinya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Kami tidak memerlukannya.” Lalu Rasulullah
SAW mendoakannya dan baginda berlalu pergi, kembali menuju menemui para sahabat
baginda.” (HR Ahmad di dalam al-Musnad 1/181. Sanadnya Sahih berdasarkan
syarat Muslim. Dan asal hadis ini terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan
Muslim)
Doa yang sama juga dibaca oleh budak di dalam kisah Ashab al-Ukhdud
sehingga menjadi sebab dia diselamatkan oleh Allah SWT dari kejahatan musuh
yang hendak membunuhnya sebanyak dua kali. Hal ini berdasarkan hadis daripada
Shuhaib RA, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Dahulu terdapat seorang raja yang memiliki seorang ahli sihir. Apabila
ahli sihir itu semakin tua, dia berkata kepada raja: “Sesungguhnya aku telah
tua, hantarkan kepadaku seorang budak, agar dapat aku mengajarkan kepadanya
ilmu sihir. Lalu diserahkan kepadanya seorang budak untuk diajarkan Sihir
kepadanya. Suatu hari ketika dalam perjalanan budak tersebut berjumpa dengan seorang Rahib
(orang ‘ALim), lalu dia duduk mendengar perkataan si Rahib tersebut, sehingga dia berasa
kagum dengan ajarannya. Keadaan ini menjadikan dia akan singgah mendengar
ajaran Rahib setiap kali dalam perjalanan pergi belajar sihir dengan ahli
sihir. Keadaan ini menjadikan dia selalu terlewat, menyebabkan dia dipukul oleh
ahli sihir. Lalu budak itu mengadu kepada si Rahib. Si Rahib berkata: “JIka
kamu bimbangkan ahli sihir memukulmu, katakan kepadanya: “Keluargaku
menghalangku dari keluar awal.” Jika kamu bimbangan keluargamu pula, katakan
kepada mereka: “Ahli sihir menghalang saya dari pulang awal.” Dalam keadan
sedemikian itu, suatu hari datang seekor binatang besar yang menghalang jalan
orang ramai. Lalu budak itu berkata: “Hari ini aku akan ketahui apakah si Ahli
sihir yang lebih utama ataupun si Rahib.” Lalu dia mengambil seketul batu, lalu
berkata: “Ya Allah, sekiranya ajaran si Rahib itu lebih Engkau redha berbanding
ajaran Ahli Sihir, maka matikanlah binatang besar ini agar orang ramai boleh
melalui jalan ini.” Lalu diapun melemparkan batu tersebut, dan binatang itupun
mati, sehingga orang ramai boleh melalui jalan tersebut. Budak tersebut
mendatangi si Rahib dan menceritakan apa yang berlaku. si Rahib berkata: “Wahai
budak, kamu hari ini telah menjadi lebih utama berbanding aku. Sesungguhnya kamu
telah sampai ke satu tahap dimana kamu akan diuji, jika kamu diuji, jangan kamu
ceritakan tentangku.” Budak tersebut boleh mengubati penyakit buta dan sopak,
dia juga merawati orang ramai dari penyakit yang berbagai. Perkara tersebut
sampai ke pengetahuan salah seorang yang hampir dengan raja, dan dia seorang
yang buta. Orang ini datang berjumpa budak tersebut dengan membawa hadiah yang
banyak. Dia berkata: “Semua yang ada ini adalah untukmu, aku himpunkannya jika
kamu dapat menyembuhkan aku.” Jawab budak tersebut: “Sesungguhnya aku tidak
dapat menyembuhkan seseorangpun. Sebaliknya yang menyembuhkan hanyalah Allah. Jika
kamu beriman kepada Allah, aku akan berdoa kepada Allah, lalu Dialah yang akan
menyembuhkan kamu.” Lalu lelaki tadi beriman kepada Allah, dan Allah menyembuhkan
butanya. Seperti biasa dia pergi menemui raja. Raja bertanya kepadanya: “Siapa
yang mengembalikan penglihatanmu semula?” Jawab lelaki itu: “Tuhanku.” Tanya
raja tersebut: “Kamu ada tuhan selainku!?” jawab lelaki tadi: “Tuhanku dan
tuhanmu adalah Allah!” Raja
menangkap lelaki tersebut dan terus mengazabnya sehinggalah dia menceritakan
tentang budak tersebut. Lalu budak itu ditangkap dan dibawa menemui raja. Raja berkata
kepadanya: “Wahai budak! Sihir kamu telah sampai ke tahap boleh menyembuhkan
buta dan sopak, lalu kamu lakukan apa yang kamu suka?” jawab budak tersebut: “Sesungguhnya
aku tidak dapat memberi kesembuhan kepada seseorangpun. Sebaliknya yang memberi
kesembuhan hanyalah Allah.” Raja terus menangkap budak tersebut dan menazabnya
sehinggalah dia menceritakan tentang perihal Rahib. Lalu Rahib itu ditangkap
dan dibawa ke hadapan raja, dikatakan kepadanya: “Tinggalkan agama kamu.” Namun Rahib
itu enggan. Lalu diambil gergaji dan diletakkan di tengah kepalanya dan digergaji
sehingga terbelah dua. Lalu dibawa pula lelaki yang rapat dengan raja tadi. Dikatakan
kepadanya: “Tinggalkan agamamu.” Namun dia juga enggan. Lalu diambil gergaji
dan diletakkan di tengah kepalanya dan digergaji sehingga terbelah dua. Lalu dibawa
pula budah tersebut, dikatakan kepadanya: “Tinggalkan agamamu.” Namun budak itu
juga enggan. Lalu dia diserahkan kepada sekumpulan pengikut raja. Raja mengarahkan
mereka dengan berkata: “Bawakan budak ini naik ke bukit demikian dan demikian, apabila
sampai ke puncaknya, jika dia mahu tinggalkan agamanya tidak mengapa, namun
jika dia enggan, campakkan dia ke bawah.” orang-orang tersebutpun pergi membawa
budak itu ke bukit dan mendakinya hingga ke puncak.” Budak itu berdoa:
اللَّهُمَّ اكْفِنِيهِمْ بِمَا شِئْتَ
Maksudnya: “Ya Allah cukupkan (peliharaan)
kepadaku dari kejahatan mereka semua dengan apa sahaja cara yang Kamu
kehendaki.” Lalu bukit itu bergegar, menyebabkan semua mereka
terjatuh (kecuali budak tersebut). Budak itu berjalan balik menemui raja. Raja bertanya
kepadanya: “Apa yang rambongan bersamamu lakukan?” Jawab budak itu: “Allah telah mencukupkan (pemeliharaan)
kepada aku dari kejahatan mereka semua.” Lalu raja tersebut menyerahkannya
kepada sekumpulan pengikutnya yang lain, dan berkata: “Bawakan budak ini
menaiki perahu. Apabila sampai di tengah laut, jika dia mahu tinggalkan
agamanya tidak mengapa. Namun jika dia enggan juga, campakkan dia ke dalam
laut.” Lalu mereka membawanya ke tengah laut. Apabila sampai di sana budak itu
berdoa:
اللَّهُمَّ اكْفِنِيهِمْ بِمَا شِئْتَ
Maksudnya: “Ya Allah cukupkan (peliharaan)
kepadaku dari kejahatan mereka semua dengan apa sahaja cara yang Kamu
kehendaki.” Lalu perahu itu bergerak, sehingga menyebabkan semua pengikut
raja tenggelam ke dalam laut. Budak itu berjalan balik menemui raja. Raja bertanya
kepadanya: “Apa yang rambongan bersamamu lakukan?” Jawab budak itu: “Allah telah mencukupkan (pemeliharaan)
kepada aku dari kejahatan mereka semua.” lalu dia berkata kepada raja: “Sesungguhnya
engkau tidak akan dapat membunuhku, sehinggalah kamu lakukan seperti yang aku
perintahkan kepadamu.” Tanya si Raja: “Apakah perkara itu?” Jawab budak
tersebut: “Kamu himpunkan orang ramai di satu tempat, dan kamu salibkan aku di sebatang pokok. Ambil satu anak panah dari bekas anak panahku, letakkannya di
busar, kemudia membaca:
بِاسْمِ اللَّهِ رَبِّ الْغُلَامِ
Maksudnya: “Dengan nama Allah, Tuhan kepada budak ini.” kemudian
lancarkan panah tersebut kepadaku. Jika kamu lakukan seperti yang aku arahkan,
kamu akan dapat membunuhku.” Lalu raja tersebut menghimpunkan orang ramai di suatu
tempat dan mensalibkan budak itu di sebatang pokok. Seterusnya mengambil sebilah
anak panah dari bekas anak panah budak itu, dan diletakkan di busarnya, lalu
membaca:
بِاسْمِ اللَّهِ رَبِّ الْغُلَامِ
Maksudnya: “Dengan nama Allah, Tuhan kepada budak ini.” dan
melepaskan anak panah tersebut. Ia tepat mengenai kepala budah itu, budak itu
meletakkan tangannya di bahagian kepalanya di tempat terkena panahan lalu
diapun mati. Lalu orang ramai yang melihat peristiwa tersebut berkata: “Kami
beriman dengan Tuhan budak ini, Kami beriman dengan Tuhan budak ini, Kami
beriman dengan Tuhan budak ini.” Lalu ada yang berkata kepada raja: “Apakah
tuan telah lihat apa yang tuan bimbangkan, sesungguhnya Allah telah
mendatangkan kepada tuan perkara yang tuan bimbangkan. Orang ramai telah beriman
(kepada Allah)." Lalu raja itu mengarahkan digali parit besar di persimpangan
jalan, lalu parit itu digali dan dinyalakan api besar di dalamnya. Lalu raja
berkata: “Sesiapa yang tidak mahu tinggalkan agamanya, maka bakarkan dia di
dalam parit tersebut atau katakan kepadanya: Terjun ke dalam api tersebut.”
Lalu dilakukan perkara tersebut kepada orang ramai yang telah beriman. Sehingga
sampai kepada giliran seorang wanita bersama anak kecilnya. Wanita itu
teragak-agak untuk terjun bersama anaknya. Lalu anak kecilnya berkata-kata: “Wahai
Ibuku, bersabarlah, sesungguhnya engkau berada di atas kebenaran.” (HR
Muslim)
0 comments:
Post a Comment