Sunday, December 15, 2013

Perkara-Perkara Yang Dilarang Bagi Wanita Haid

Soalan:

apakah yang diharamkan kepada wanita yang berhaid?

Jawapan:

Perkara yang dilarang berdasarkan dalil kepada wanita yang berhaid adalah seperti berikut:

1.     Larangan menunaikan solat dengan ijma’ ulama. Sama ada solat fardhu, solat nazar, sunat dan termasuk juga solat jenazah. Dalil bagi larangan ini berdasarkan antaranya dari sebuah Hadis yang panjangAbi Sa’ied al-Khudriy di dalamnya baginda bersabda:

أليس إذا حاضت لم تصل ولم تصم

Maksudnya: “Bukankah seseorang  wanita apabila berhaid, dia tidak perlu solat dan berpuasa.”(HR al-Bukhari dan Muslim)

2.     Larangan berpuasa dengan ijma’ ulama. Sama ada puasa fardhu, nazar, sunat dan kaffarah. Dalilnya adalah seperti di atas.

3.     Larangan melakukan hubungan suami-isteri dengan memasukkan zakar ke dalam faraj dengan ijma’ ulama. Berdasarkan hadis Nabi SAW:

اصنعوا كل شيء إلا النكاح
Maksudnya: “Kamu boleh melakukan semuanya (dengan isteri ketika dia haid) melainkan al-Nikah.” (HR Muslim)

Demikian juga hadis daripada Abu Hurairah RA, baginda bersabda:

من أتى حائضاً أو امرأة في دبرها أو كاهناً فقد كفر بما أنزل على محمد

Maksudnya: “Sesiapa yang mendatangi (isteri) yang berhaid, atau melalui duburnya atau tukang tenung (untuk menenung nasib), maka sesunggnya dia telah engkar dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad.” (HR Ahl al-Sunan. Dinilai Sahih oleh al-Albani)

4.     Larangan Tawaf di Kaabah dengan ijma’ ulama. Antara dalilnya ialah hadis yang panjang daripada ‘Aisyah RA menceritakan beliau didatangi haid ketika hendak melakukan haji. Lalu sabda baginda kepadanya:

افعلي ما يفعل الحاج غير ألا تطوفي بالبيت حتى تطهري

Maksudnya: “Lakukan apa-apa yang dilakukan oleh orang yang menunaikan haji, melainkan jangan engkau tawaf di Kaabah sehinggalah kamu suci (daripada haid).” (HR al-Bukhari dan Muslim)

5.     Larangan menyentuh mashaf al-quran berdasarkan pandangan yang lebih rajih.Dalilnya adalah hadis daripada ‘Amr bin Hazm yang menceritakan di dalam surat yang ditulis oleh Nabi SAW kepadanya ada terdapat ayat:

ولا يمس القرآن إلا طاهر

Maksudnya: “Dan tidak menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci.” (HR al-Daraqutni, Ahmad dan Malik. Al-Albani menilai hadis ini sebagai Sahih Lighairihi di dalam Irwa’ al-Ghalil 1/158. Beliau menyebut: “dan rumusannya: Bahawa hadis ini  terdapat beberapa jalan, semuanya tidak sunyi dari kelemahan. Akan tetapi kelemahan yang sedikit, tidak terdapat di dalam sanadnya periwayat yang dihukum dusta, sebaliknya hanya cacat disebabkan Irsal atau hafalan yang lemah. Maka termasuk yang diperakui di dalam ilmu “mustalah al-Hadis” bahawa jalan-jalan periwayatan hadis yang banyak boleh menguatkan antara satu dengan yang lain, jika tidak terdapat (periwayat) yang dituduh dusta. Sama seperti yang diperakui oleh al-NAwawi di dalam Taqribnya dan al-Suyuthi di dalam Syarahnya. Justeru maka saya (al-Albani) lebih tenang untuk menilai hadis ini sebagai sahih, terutamanya ia telah dijadikan hujjah oleh Imam al-Sunnah Ahmad bin Hambal dan dinilai sahih juga oleh sahabat beliau al-Imam Ishak bin Rahuwaih)

6.     Larangan suami menjatuhkan talak kepada isteri yang sedang berhaid. Jika talak berlaku ketika isteri haid, maka talak ini dinamakan oleh para ulama sebagai Talak Bid’ie.

Para ulama berbeza pandangan tentang talak yang dijatuhkan ketika isteri Haid. Majoriti ulama termasuk keempat-empat mazhab berpandangan talak ini dikira Talak Yang Lalu. Ia bermakna antara dia dengan isterinya telah jatuh satu talak, namun sisuami perlu diarahkan supaya merujuk semula dengan isterinya sehinggalah siisteri suci, kemudian berhaid kali kedua, kemudian suci. Setelah itu terpulang kepada suami sama ada hendak terus rujuk atau mentalaknya.  Pandangan ini berbeza dengan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang berpandangan talak ketika isteri berhaid tidak jatuh. Hal ini kerana talak ini bersalahan dengan perintah Allah SWT dan Rasul SAW. Dalilnya ialah hadis yang sama dengan Majoriti ulama, iaitulah hadis ‘Abdullah bin ‘Umar yang pernah menjatuhkan talak kepada isterinya yang sednag Haid, lalu ‘Umar bin al-Khattab menceritakannya kepada Nabi SAW, lalu baginda bersabda: “Arahkan dia merujuk semula isterinya, kemudian biarkan isterinya (jangan disetubuhi) sehingga dia suci, kemudian berhaid kali kedua sehingga suci. Kemudian terpulang kepadanya untuk terus bersama iaterinya atau mentalakkannya.” Baginda seterusnya bersabda: “Demikianlah (kiraan) Iddah yang diarahkan Allah jika ditalak seseorang wanita.” Hadis ini menunjukkan (dikira) iddah yang diarahkan oleh Allah ialah seseorang wanita di talak ketika dia suci dari haid yang tidak disetubuhi. Justeru jika talak itu dijatuhkan ketika isteri berhaid, maka talak ini dijatuhkan dalam keadaan tidak seperti yang dibenarkan oleh Allah, maka jadilah talak ini talak yang tertolak dan tidak dikira. (LihatFatawa Nur ‘ala al-Darb oleh Ibn al-‘Uthaimin)

7.     Larangan menetap di dalam masjid berdasarkan pandangan sebahagian ulama. Antara dalilnya hadis daripada Ummu ‘Atiyyah RA yang berkata:

أمرنا أن نخرج العواتق والحيض في العيدين يشهدن الخير ودعوة المسلمين وتعتزل الحيض المصلى

Maksdunya: “Kami diarahkan agar dibawah juga para hamba, wanita yang berhaid pergi solat dua hari raya agar mereka menyaksikan kebaikan dan doa para muslimin. Dan (hendaklah) wanita yang berhaid menjauhi tempat solat.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Wallahu a’lam

5 comments:

sharingandevil said...

Salam...

Bolehkah perempuan yg didatangi haid membaca alquran tanpa menyentuh mahsyafnya?

apa hukumnya sekiranya beliau membaca alquran yg berada didalam smartphone?

bin sahak said...

1) Boleh
2) boleh

Unknown said...

salam.
bolehlah perempuan yg sedang haid mengambil wudhuk?

Unknown said...

Afwan ustadz. Menurut syafii abu hanifah dan ahmad wanita haid dilarang membaca alquran. Disandarkan pada hadis nabi dan ijtihad ulama yang tidak membedakan antara haid dan orang yang sedang junub. Meskipun ikhtilaf hukumnya. Tapi kebanyakan ulama melarang wanita haid dalam membaca alquran. Kecuali imam malik.
wallohualam

Unknown said...

Afwan ustadz. Menurut syafii abu hanifah dan ahmad wanita haid dilarang membaca alquran. Disandarkan pada hadis nabi dan ijtihad ulama yang tidak membedakan antara haid dan orang yang sedang junub. Meskipun ikhtilaf hukumnya. Tapi kebanyakan ulama melarang wanita haid dalam membaca alquran. Kecuali imam malik.
wallohualam