Soalan:
Ramai yang mendakwa
Nabi Yusuf akhirnya berkahwin dengan Zulaikha yang menggodanya. Benarkah cerita
ini?
Jawapan:
Pertama: Para
ulama berbeza pandangan tentang nama isteri pembesar Mesir yang menggoda Nabi
Yusuf. Ada yang mengatakan namanya Ra’iel (راعيل), ada pula yang
mengatakan namanya Zulaikha (زليخا). Al-Hafidz Ibn
Kahir seperti menyokong Zulaikha itu adalah gelaran atau laqabnya.
Kedua: Tidak
terdapat bukti dari al-Quran dan al-Sunnah yang mengiya atau menidakkan kisah
yang mendakwa Nabi Yusuf akhirnya berkahwin dengan Zulaikha. Cumanya kisah ini
didatangkan antaranya oleh seorang imam yang agung dan rujukan Sirah yang
terkenal iaitulah Muhammad bin Ishak RH. Kisah ini juga disebut di dalam
kitab-kitab tafsir lain. Muhammad bin Ishak di dalam kitab sirahnya menceritakan,
ketika Nabi Yusuf berkata:
“Jadikanlah aku orang yang menjaga perbendaharaan Mesir,
sesungguhnya aku adalah seorang yang pandai menjaga dan seorang yang
berpengetahuan.” (Yusuf:
55)
Lalu raja Mesir memperkenankan permintaan Nabi Yusuf tersebut, dan
beliau melucutkan jawatan Itfir (إطفير) seorang pembesar
Mesir atau suami kepada Zulaikha. Seterusnya Ibn Ishak menyebut: “Dan
disebut kepadaku, bahawa Itfir, meninggal dunia pada malam tersebut. Setelah itu
Raja Mesir bernama al-Rayyan bin al-Walid mengkahwinkan Nabi Yusuf dengan
isteri Itfir iaitulah Ra’iel (Zulaikha). Apabila Ra’iel masuk menemui Nabi
Yusuf, baginda berkata: “Bukankah ketika ini lebih baik berbanding apa yang
kamu kehendaki (dahulunya)?” Kata Ibn Ishak seterusnya: “Lalu orang
ramai mendakwa Zulaikhapun menjawab dengan berkata: “Wahai al-Siddiq, jangan
engkau mencerca aku, sesungguhnya aku seorang wanita seperti engkau sendiri
lihat memiliki rupa dan cantik, akan tetapi suamiku adalah seorang yang tidak
mendatangi wanita (tidak dapat menggauli isterinya). Sedang kamu pula seorang
yang Allah jadikan memiliki ketampanan dan kehaibahan, lalu menyebabkan daku
dikalahkan oleh diriku seperti apa yang telah engkau perhatikan.” (kata Ibn
Ishak): “Orang ramai juga mendakwa setelah itu Nabi Yusuf mendapatinya
(Zulaikha atau Ra’iel) masih perawan, mereka bersama lalu dikurniakan dua orang
anak lelaki iaitulah Ifrathim bin Yusuf (إفراثيم بن
يوسف) dan Minsya bin Yusuf (منشا
بن يوسف). Dari Ifrathim lahir pula Nun, bapa kepada
Yusa’ bin Nun dan Rahmah Isteri Ayyub AS.”
Selain Ibn Ishak, kisah ini juga diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim di
dalam al-Tafsir 7/2161, dari jalan Salamah daripada Ibn Ishak. Demikian juga
al-Tobari di dalam Jami’ al-Bayan 16/151. Terdapat juga kisah yang
seumpama ini dari Zaid bin Aslam seorang Tabi’ie lagi seorang yang mulia, dan
dari Wahab bin Munabbih yang terkenal sebagai seorang yang suka mendatangkan
riwayat dari Isra’iliyyat (sumber cerita dari Ahli Kitab). Perkara ini
dinukilkan oleh al-Suyuthi di dalam al-Durr al-Manthur 4/553. Al-Imam
Ibn al-Qayyim berkata:
“Bab ke-27, berkaitan sesiapa yang meninggalkan sesuatu yang
dicintainya namun haram, akan dicurahkan kepadanya perkara yang halal atau akan
digantikan oleh Allah untuknya suatu yang lebih baik lagi. Tajuk bab ini dan
kaedahnya bahawa sesiapa yang meninggalkan sesuatu kerana Allah, maka Allah akan
gantikan suatu yang lebih baik kepadanya. Sepertimana Yusuf al-Siddiq AS
meninggalkan isteri al-‘Aziz kerana Allah, lalu baginda memilih lebih rela
dipenjarakan berbanding melakukan perkara yang keji. Lalu Allah telah
menggantikan kepada baginda dengan diberikan kedudukan (penjaga perbendaharaan
Mesir) di muka bumi sepertimana yang dikehendakiNya, dan wanita tersebut datang
kepada baginda dengan rendah diri dan penuh keinginan untuk menyambungkan
hubungan yang halal. Lalu baginda mengahwini wanita tersebut, ketikamana
baginda menemuinya, baginda berkata: “Ini adalah lebih baik berbanding apa yang
kamu mahukan dahulu.” Perhatikanlah, bagaimana Allah SWT telah membalas untuk
baginda dari kesempitan penjara dengan kedudukan tinggi di muka bumi
sebagaimana yang dikehendakiNya, dan menghinakan al-‘Aziz (pembesar Mesir yang
memenjarakan baginda), dan para wanita lain memperakui baginda bebas dari
tuduhan berlaku jahat terhadap isteri pembesar tersebut. Inilah dia sunnahNya
Ta’ala ke atas para hambaNya dahulu dan sekarang sehinggalah ke hari kiamat.” (Raudhah al-Muhibbin, halaman:
445)
Sekalipun begitu, perlu diingatkan juga bahawa perkataan Ibn
al-Qayyim ini bukanlah membuktikan secara pasti bahawa kisah Nabi Yusuf
mengahwini Zulaikha ini suatu yang benar-benar berlaku. Sebaliknya yang lebih
terserlah, kisah ini diambil dari Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian). Ini kerana
penghikayatan Muhammad bin Ishak yang terdiri dari kisah-kisah sejarah
dahulu-kala yang tidak diketahui sanadnya yang bersambung, secara kebiasaannya ia
diambil dari Ulama Ahli Kitab. Justeru kisah yang seumpama ini lebih baik
diserahkan hakikatnya kepada Allah SWT. Baginda Nabi SAW bersabda:
لَا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلَا
تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِالَّذِي أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَأُنْزِلَ
إِلَيْكُمْ وَإِلَهُنَا وَإِلَهُكُمْ وَاحِدٌ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ
Maksudnya: “Jangan kamu semua mempercayai Ahl al-Kitab dan jangan
juga mendustakan mereka. Katakanlah kami telah beriman dengan apa-apa yang
telah diturunkan kepada kami dan apa-apa yang telah diturunkan kepada kamu
semua, dan tuhan kami dan kamu semua adalah satu, dan kami semua menyerah diri
kepadaNya (Yang Satu Itu).” (HR al-Bukhari)
Kami juga ingin peringatkan bahawa tidak perlu menyibukkan diri dengan
kisah-kisah seumpama ini dan mencari-cari perincian yang tiada faedah. Kerana itu
Allah SWT tidak memperincikan kisah ini di dalam al-Quran. Sekiranya kisah
seumpama ini memiliki faedahnya sudah tentu ia akan diceritakan oleh Allah SWT
ataupun melalui lidah Rasulullah SAW. Kerana itu al-Syeikh al-Sa’diy RH di
dalam kitab Tafsirnya dipermulaan surah Yusuf berkata:
واعلم أن الله ذكر أنه يقص على رسوله أحسن القصص في هذا الكتاب،
ثم ذكر هذه القصة وبسطها، وذكر ما جرى فيها، فعلم بذلك أنها قصة تامة كاملة حسنة،
فمن أراد أن يكملها أو يحسنها بما يذكر في الإسرائيليات التي لا يعرف لها سند ولا
ناقل وأغلبها كذب، فهو مستدرك على الله، ومكمل لشيء يزعم أنه ناقص، وحسبك بأمر
ينتهي إلى هذا الحد قبحاً، فإن تضاعيف هذه السورة قد ملئت في كثير من التفاسير، من
الأكاذيب والأمور الشنيعة المناقضة لما قصه الله تعالى بشيء كثير. فعلى
العبد أن يفهم عن الله ما قصه، ويدع ما سوى ذلك مما ليس عن النبي صلى الله عليه
وسلم ينقل.
Maksudnya: “Dan ketahuilah bahawa Allah SWT telah menyebut
bahawa DIA akan menceritakan kepada RasulNya (Muhammad SAW) sebaik-baik kisah
di dalam al-Quran. Setelah itu DIA menceritakan kisah Nabi Yusuf dengan panjang
lebar. DIA (SWT) menyebut apa yang berlaku. Maka dengan itu dapat diketahui
bahawa kisah yang diceritakan olehNya telah sempurna, lengkap dan baik. Maka sesiapa
yang menghendaki menyempurnakannya lagi atau memperelokkannya lagi dari
cerita-cerita al-Isra’iliyyaat yang tidak diketahui sanad dan siapa yang
menceritakannya bahkan kebanyakannya adalah cerita dusta, ini bermakna orang
itu hendak melakukan penilaian ke atas Allah, dan menyempurnakan sesuatu yang
disangkanya masih ada kekurangan. Cukuplah dengan kejelekan perkara ini,
sesungguhnya tambahan-tambahan tentang surah ini (Surah Yusuf) telah dipenuhi
dalam kebanyakan kitab tafsir, tambahan-tambahan itu terdiri dari kisah-kisah
dusta dan banyak perkara-perkara rekaan/buruk yang bertentangan dengan apa yang
diceritakan oleh Allah Taala. Justeru bagi seseorang hamba itu hendaklah dia
memahami apa-apa yang diceritakan oleh Allah dan meninggalkan selain dari itu
yang terdiri dari apa-apa yang tidak dinukilkan dari Nabi SAW.”
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment