Thursday, May 30, 2013

Tanda Waqaf لا Dalam al-Quran

SOALAN:
Dalam surah al-Isra’ ayat 82, ada tanda لا pada perkataan للمؤمنين, tapi mengapa ramai di kalangan qari yang berhenti di situ?
JAWAPAN:
Tanda لا di dalam al-Quran adalah tanda bagi Waqaf Qabih (tanda dilarang berhenti), jika berhenti ia akan menyebabkan tidak sempurna atau boleh meragukan maknanya kerana ia ada hubungan dengan ayat yang sebelumnya. Namun tanda-tanda berhenti di dalam al-Quran ini adalah perkara ijtihadi dalam pengistilahan. Perkara sempurna maksud sesuatu ayat ataupun tidak adalah perkara yang bersifat nisbiy, barangkali sebahagian al-Qurra’ dan Ahl Tajwid beranggapan berhenti pada sesuatu tempat itu menjadi Qabih, manakala ada pula al-Qurra’ yang lain beranggapan ia tidakQabih.
Maka dalam persoalan Waqaf dan Ibtida’, yang penting ialah ayat yang dibaca itu telah sempurna maksudnya ataupun tidak. Ibn al-Jazariy berkata: “Pembahagian-pembahagian waqaf tidak tetap dan terhimpun, dan yang lebih hampir ialah bahawa waqaf terbahagi kepada ikhtiyariy (pilihan) dan Idhthirariy (terpaksa). Hal ini kerana sesuatu ayat sama ada sempurna maksudnya ataupun tidak. Jika telah sempurna maksudnya, maka berhenti di situ adalah ikhtiyariy (boleh pilih sama ada hendak berhenti ataupun tidak)….. jika belum sempurna maksud ayat, maka Waqaf ketika itu hanya boleh jika terpaksa (Idhthirariy), ia dinamakan sebagai al-Qabih, tidak boleh dengan sengaja berhenti ketika itu melainkan terpaksa seperti kerana kehabisan nafas dan seumpamanya…” (Sila lihat al-Itqan fi Ulum al-Quran)
Namun bagi orang ramai terutamanya yang tidak memahami bahasa Arab, dalam bab Waqaf dan Ibtida’ ini, kami menasihati agar mematuhi tanda-tanda yang ada di dalam Mashaf al-Quran bagi mengelak dari tersalah. Hal ini kerana, untuk mengetahui sesuatu ayat itu benar-benar telah sempurna maksudnya ataupun belum memerlukan penguasaan yangmantap dalam berbagai ilmu seperti ilmu tafsir, balaghah dan seumpamanya.
Wallahu a’lam.

0 comments: