Soalan:
Emak saya sekarang menjaga ibunya yang sakit tenat. Alhamdulillah
ayah saya juga merestui perkara tersebut. Suatu hari ayah mengajak emak pergi
menziarahi adik beradiknya. Perjalanan itu memakan masa beberapa hari. Ketika
hendak pergi, emak saya menceritakan perkara itu kepada ibunya yang sedang
sakit. Ternyata ibunya kelihatan tidak membenarkan, kerana tidak mahu berjauhan
dengan anaknya yang setia membantunya ketika sakit. Akhirnya emak saya tetap
juga pergi bersama ayah untuk menziarahi saudara mara. Apakah benar tindakan
ibu saya ini?
Jawapan:
Apa yang dilakukan oleh ibu anda dengan
mentaati permintaan suaminya untuk keluar bermusafir adalah benar dan itulah
yang wajib ke atasnya sebagai seorang isteri. Hal ini kerana seseorang suami
lebih berhak terhadap isterinya berbanding ibu isteri itu sendiri. Maka
perbuatan ibu anda tidak termasuk di dalam dosa. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah
berkata:
لمرأة إذا تزوجت كان زوجها أملك بها من
أبويها، وطاعة زوجها عليها أوجب
Maksudnya: “Seseroang wanita jika telah berkahwin, maka suaminya
lebih memilikinya berbanding kedua orang tuanya. Maka ke atas isteri mentaati
suaminya itu adalah lebih wajib.” (al-Fatawa al-Kubra)
Katakan kepada emak anda, teruslah berdoa untuk ibunya agar
dikurniakan rahmat dan keampunan oleh Allah SWT. Kita juga memohon kepada Allah
agar menerima bakti baik emak anda kepada ibunya, mudah-mudahan bakti baik emak
anda kepada ibunya menjadi sebab doanya dimakbulkan oleh Allah SWT dan
diangkatkan kedudukannya di sisi Allah SWT. Sesungguhnya seorang anak yang
berbakti kepada ibu dan bapanya. Ia memiliki harapan yang amat besar
memperolehi keampunan dari Allah SWT dan diangkat darjatnya di akhirat kelak,
sekalipun dalam baktinya itu terdapat sedikit sebanyak kekurangan. Allah SWT
berfirman:
رَّبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا فِي نُفُوسِكُمْ
إِن تَكُونُواْ صَالِحِينَ فَإِنَّهُ كَانَ لِلأَوَّابِينَ غَفُورًا
Maksudnya: “Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa Yang ada dalam
hati kamu; kalaulah kamu orang-orang Yang bertujuan baik mematuhi perintahNya,
maka Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang Yang bertaubat.”
(al-Isra’: 25)
Al-Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata: “Ibn
Jubair berkata: Dimaksudkan kepada kesilapan yang berlaku ketika marah, seperti
tindakan yang berlaku secara tiba-tiba, dan ketergelinciran (kata-kata atau
perbuatan disebabkan marah), berlaku dari seorang lelaki kepada kedua orang
tuanya atau salah seorang darinya, bukan dia menghendaki keburukan. Allah Taala
berfirman (yang bermaksud): Kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik…”
iaitulah orang-orang yang benar niatnya untuk berbakti kepada kedua orang tuanya,
maka sesungguhnya Allah akan mengampunkan kesilapan yang berlaku secara tiba-tiba
kerana marah (ketika berbakti kepada orang tua). Firman-Nya (yang bermaksud): “Sesungguhnya
DIa adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat” iaitulah Allah menjanjikan
keampunan dengan syarat baik niat dan kembali kepada-Nya.” (Lihat tafsir al-Qurtubi)
0 comments:
Post a Comment