Soalan:
Saya ada seorang adik kandung wanita yang telah berkahwin dan hidup
dalam serba kesusahan. Bolehkah saya keluarkan zakat kepadanya? dan perlukah
juga saya memberitahu bantuan itu adalah wang zakat dari saya?
Jawapan:
Jika saudara kandung puan sememangnya layak menerima zakat, suami
dia juga tidak mampu untuk mengeluarkan
nafkah yang cukup kepadanya kerana kesusahan yang ditanggung, maka tidak
mengapa puan memberi zakat puan kepadanya. Puan juga tidak semestinya
memberitahu kepadanya bantuan tersebut merupakan zakat dari puan. Kerana bukan
suatu kewajipan mengistiharkan wang zakat kepada orang yang menerima zakat
daripada kita.
Selain itu, saya juga ingin jelaskan, sememangnya wujud perbezaan pendapat yang
panjang di kalangan ulama berkaitan hukum mengeluarkan zakat kepada kaum
kerabat atau adik beradik. Sebahagian berpandangan harus dan sebahagian lain
melarangnya. Namun pandangan yang lebih kuat adalah pandangan majoriti ulama
semenjak zaman para sahabat, Tabi’ien dan selepas mereka seperti yang kami
nyatakan di atas iaitulah boleh mengeluarkan zakat kepada adik beradik atau
ahli kerabat. Bukti dalam perkara ini antaranya:
1. Hadis dari Nabi SAW yang menggalakkan
memberi sedekah kepada adik-beradik. Baginda bersabda:
الصدقة على المسكين
صدقة، وهي على ذي الرحم ثنتان: صدقة وصلة
Maksudnya: “Sedekah yang diberikan kepada orang-orang miskin itu
memperolehi pahala sedekah, manakala kepada ahli kerabat memperolehi pahala
sedekah dan menghubungkan tali silaturrahim.” (HR Ahmad, al-Nasa’ie, Ibn
Hibban dan al-Tirmizi, beliau pula menghukumkan hadis ini sebagai Hasan)
2. Bukti dari keumuman teks syarak yang
menjadikan pengagihan zakat kepada orang-orang fakir tanpa dibezakan adik-beradik
dan orang luar seperti ayat:
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ
Maksudnya: “Hanyasanya sedekah (zakat) itu adalah untuk
orang-orang fakir dan miskin.” (al-Taubah: 60)
Dan juga hadis dari
Mu’az bin Jabal:
تؤخذ من أغنيائهم فترد على فقرائهم
Maksudnya: “(Zakat itu) diambil dari orang-orang kaya dan
diberikan kepada orang-orang fakir.” (HR al-BUkhari)
Keumuman nas-nas syarak ini menjadikan adik-beradik termasuk di
dalam orang yang berhak menerima zakat kerana ketiadaan bukti lain yang mengeluarkan
adik-beradik dari berhak menerimanya.
Namun zakat tidak boleh dikeluarkan dari anak kepada ibu ayah atau
dari ibu ayah kepada anak yang menjadi wajib nafkah antara mereka. Demikian juga
suami tidak boleh memberi zakat kepada isteri dan anak-anaknya sendiri kerana telah
berlaku ijma’ dalam pengkhususkan ini seperti yang dinyatakan oleh para ulama
antaranya Ibn al-Munzir, Abi ‘Ubaidah dan lain-lain.
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment