Monday, February 4, 2013

Hukum Mengumpulkan Para Isteri di Dalam Satu Rumah

Soalan:

apakah hukumnya dua isteri (madu) tinggal serumah dengan suaminya

Jawapan:

Menjadi kewajipan seorang lelaki yang berpoligami untuk menyediakan tempat tinggal yang bersesuaian bagi setiap isterinya. Perkara ini hendaklah berdasarkan uruf. Tidak boleh menghimpunkan dua isteri atau lebih di dalam rumah yang sama melainkan dengan keredhaan para isteri. Jika kesemua isterinya rela untuk tinggal bersama, si suami tetap wajib menyediakan ruangan khas yang bersesuaian untuk setiap isterinya menguruskan urusan-urusan yang bersifat peribadi. Pengabaian kepada hal-hal seumpama ini boleh menyebabkan bersemaraknya rasa cemburu seterusnya mewujudkan pertelingkahan sesama mereka.

Di bawah ini disertakan pandangan beberapa ulama dalam persoalan yang berkaitan:

Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansori berkata: 

لكن المراد بالمسكن ما يليق بالمرأة من دار وبيت وحجرة، فاللواتي يليق بكل واحدة منهن دار لا يجمعهن في دار، واللواتي يليق بكل واحدة منهن حجرة لا يجمعهن في حجرة وهكذا، وإذا جمعهن في حجر فلا بد أن يكون مرافق كل غير مرافق الأخرى

Maksud: “Yang dimaksudkan dengan tempat tinggal iaitulah yang bersesuaian dengan wanita (isteri) terdiri dari rumah dan bilik, rumah yang bersesuaian bagi setiap isteri adalah yang tidak dihimpunkan mereka dalam satu rumah, bilik yang bersesuaian dengan mereka iaitulah bilik yang tidak dihimpunkan semua mereka di dalamnya dan demikianlah, jika dihimpunkan semua mereka di dalam satu bilik, maka mestilah setiap orang memiliki kelengkapan-kelengkapannya yang tersendiri.” (Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah oleh Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansori)

Dinyatakan juga di dalam kitab yang sama:

 ولتجمعا ـ أي : الزوجتان جوازا ولو دون الرضى منهما في مسكن لائق بهما منفصل المرافق من نحو مستراح وبئر وسطح ومرقى إليه، لأنه كالمسكنين فإن لم ينفصل مرافقه لم يجز جمعهما فيه، ولو ليلة إلا برضاهما

Mafhumnya: “Menghimpukan dua orang isteri dalam satu rumah yang bersesuaian dengan mereka berdua, memiliki kelengkapan keperluan yang berasingan seperti tandas, bilik air, dinding laluan masuknya sehingga seolah-olah menjadi dua rumah, jika tidak dipisahkan kelengkapan-kelengkapan keperluan rumah, tidak boleh dihimpunkan mereka, sekalipun untuk satu malam melainkan dengan kerelaan mereka.” (dengan sususan semula)

Di dalam Ghayah al-Bayan Syarh Zubad Ibn Ruslan oleh Syam al-Din Muhammad bin Ahmad al-Ramli al-Ansori al-Syafie al-Saghir dinyatakan pula:

ولو اشتملت دار على حجر مفردة المرافق جاز إسكان الضرات فيها من غير رضاهن، وكذا إسكان واحدة في علو وأخرى في سفل مع تمييز المرافق، لأن كلا مما ذكر مسكن

Maksudnya: “Sekiranya sesebuah rumah mengandungi bilik yang bersendirian kelengkapan keperluannya, harus menempatkan para madu di dalamnya sekalipun tanpa kerelaan mereka. Demikian juga jika menempatkan salah seorang di bahagian atas dan seorang lagi di bahagian bawah, dengan berasingan kelengkapan keperluan mereka, kerana setiap dari mereka dikira berada di dalam satu rumah berasingan.”

Di dalam al-Wasit oleh al-Ghazali dinyatakan juga:

أما المكان فلا ينبغي أن يجمع بين الضرتين في مسكن واحد إلا أن تنفصل المرافق فإن ذلك ظاهر في الإضرار.

Maksudnya: “Adapun bagi tempat (tinggal), maka tidak sewajarnya dihimpunkan antara dua madu di dalam rumah yan satu, melainkan mesti dipisahkan kelengkapan keperluan, jika tidak ia jelas akan mendatangkan kemudharatan.”

Dari huraian para ulama yang kami nukilkan di sini jelas menunjukkan TIDAK BOLEH seorang suami menghimpunkan dua orang isterinya di dalam satu rumah. Demikian juga tidak boleh dihimpunkan para isteri di dalam satu rumah dengan berkongsi kelengkapan keperluan mereka tanpa kerelaan dari para isteri. Semua ini akan membawa kepada permusuhan dan pertelingkahan. Dikiaskan perkara ini kepada perkara lain yang dapat mendatangkan perkelahian sesama para isteri. Kerana itu di dalam Tuhfah al-Muhtaj Fi Syarh al-Minhaj dinyatakan:

لأن المراد أن لا يشتركا فيما قد يؤدي للتخاصم

Maksudnya: “(Larangan ini) dimaksudkan tidak dikongsi dalam perkara yang boleh membawa kepada perkelahian.”

Oleh yang demikian wajib ke atas seseorang suami berusaha mencegah sebab-sebab yang boleh membawa kepada perkelahian dan perbalahan antara para madunya.

Wallahu a’lam.

0 comments: