Soalan:
Assalamualaikum.
Banyak disebarkan di internet sepotong hadis yang bermaksud:
"Rahsiakan
pertunangan,war-warkan perkahwinan"
Soalan saya apakah benar ia sebuah
hadis Nabi Muhammad SAW?
Terima kasih.
Jawapan:
وعليكم السلام
ورحمة الله
Terdapat
hadis yang diriwayatkan oleh al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus
dengan lafaz:
أظهروا النكاح وأخفوا الخِطبة
Mafhumnya: “Zahirkanlah
(war-warkan) perkahwinan dan sembunyikan (rahsiakan) pertunangan.” Akan tetapi
hadis ini Dhoief (Lemah) seperti yang dinilai oleh al-Albani di dalam al-Silsilah
al-Dhoiefah bilangan: 2494, dan di dalam Dhoief al-Jami’ al-Soghir 922.
Akan tetapi terdapat hadis lain
dengan lafaz:
اعلنوا النكاح
Bermaksud: “Iklankanlah
(war-warkanlah) perkahwinan.” (HR Ahmad, demikian juga al-Hakim dan beliau
menilai hadis ini sebagai Sahih, nilaian beliau ini dipersetujui oleh
al-Zahabi)
Di dalam riwayat al-Tirmizi pula
hadis dari ‘Aisyah RA dengan lafaz:
اعلنوا هذا النكاح، واجعلوه في المساجد،
واضربوا عليه بالدفوف
Mafhumnya: “Iklankanlah
(war-warkanlah) perkahwinan ini, dan jadikannya di masjjid-masjid, dan
pukulkanlah gendang-gendang.” (kata al-Imam al-Tirmizi: “Hadis ini
Gharib Hasan di dalam babnya”)
Ini bermakna ungkapan hadis yang
bermaksud: “War-warkan perkahwinan” adalah ungkapan dari Nabi SAW. Manakala
ungkapan: "Rahsiakan pertunangan" adalah satu ungkapan
yang Dhoief atau lemah untuk dinisbahkan kepada perkataan Nabi SAW.
Cumanya, sebahagian ulama ada yang beranggapan
sunat menyembunyikan pertunangan jika bimbangkan kejahatan hasad orang lain
yang sudah tentu akan berusaha untuk menggagalkan pertunangan tersebut. Hal ini
seperti yang dinyatakan di dalam Hasyiah al-‘Adawiy ‘Ala Syarh Mukhtasar
Khalil 3/167 dari Mazhab Maliki.
Mereka menguatkan pendapat ini dengan hadis:
استعينوا على
إنجاح الحوائج بالكتمان، فإن كل ذي نعمةٍ محسود
Mafhumnya:
“(Mintalah bantuan) Bantu-membantulah untuk menjayakan hajat-hajat dengan menyembunyikannya,
kerana sesungguhnya setiap yang ada kemanfaatan itu didengki.” (HR
al-Tabarani. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’,
bilangan: 943.)
Namun
hadis ini tidak khusus kepada pertunangan sahaja. Sebaliknya anjuran supaya menyembunyikan
setiap perkara dari pengetahuan orang-orang yang dengki.
Wallahu
a'lam.
0 comments:
Post a Comment