Soalan:
Benarkah jikalau ada kerja tidak
sempat solat, dibolahkan jamak ke waktu seterusnya tapi mengqasarkannya. boleh
beri contoh yg lebih praktikal ??
contohnya:
1- stuck in trafic jem
2- bersukan
3- keluar
membeli belah dan tmpt solat penuh dan kain solat busuk.
Jawapan:
Nas-nas
al-Quran dan al-Sunnah secara jelas menunjukkan wajibnya ditunaikan semua solat
lima waktu di dalam waktu-waktu yang telah ditetapkan. Allah SWT berfirman:
إِنَّ
الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
Terjemahannya: “Sesungguhnya
solat itu difardhukan ke atas orang-orang yang beriman pada waktu-waktu yang
telah ditetapkan.” (al-Nisa’: 103)
Tidak boleh dijamakkan antara zohor
dengan asar, maghrib dengan isyak melainkan jika ada keuzuran seperti sakit,
bermusafir atau seumpamanya yang termasuk dalam perkara-perkara yang
mendatangkan kesempitan jika ditunaikan setiap solat di dalam waktunya. Ibn Abi
Syaibah meriwayatkan daripada Abi Musa al-Asy’ari dan ‘Umar bin al-Khattab
R’anhuma yang berkata:
الجمع بين الصلاتين من غير
عذر من الكبائر
Terjemahannya: “Melakukan jamak
antara dua solat tanpa keuzuran adalah termasuk di dalam dosa-dosa besar.” Adapun hadis yang diriwayatkan oleh Imam
Muslim di dalam Sahihnya, daripada Ibn ‘Abbas RA yang mengatakan:
صلى رسول الله صلى الله عليه وسلم الظهر
والعصر جميعا، والمغرب والعشاء جميعا في غير خوف ولا سفر ولا مطر
Terjemahannya: “Rasulullah SAW
pernah menunaikan solat Zohor dengan Asar secara jamak, Maghrib dan Isyak
secara jamak bukan disebabkan wujud ketakutan dan bukan juga disebabkan
bermusafir, bukan juga disebabkan hujan.”
Hadis ini bukanlah bermakna baginda
pernah melakukan jamak tanpa ada keuzuran. Bahkan hadis sendiri menunjukkan
baginda melakukan jamak tersebut kerana wujudnya keuzuran lain. Kerana itu
apabila ditanya kepada Ibn ‘Abbas RA: “Apa yang menyebabkan baginda
melakukan sedemikian itu?” Jawab beliau: “Baginda tidak mahu umat
baginda berada dalam kesempitan atau kesusahan.” Ini menunjukkan ketika
baginda menjamakkan solat-solat tersebut, keuzuran sememangnya wujud dalam
bentuk jika tidak dijamakkan sudah tentu akan mendatangkan kesempitan dan
kesusahan kepada para sahabat.
Al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz Abdullah bin
Baz RH ketika memberi komentarnya terhadap Fath al-Bari berkata:
الصواب حمل الحديث المذكور على أنه صلى الله
عليه وسلم جمع بين الصلوات المذكورة لمشقة عارضة ذلك اليوم من مرض غالب أو برد
شديد أو وحل ونحو ذلك ، ويدل على ذلك قول ابن عباس لما سئل عن علة هذا الجمع قال :
(لئلا يحرج أمته) وهو جواب عظيم سديد شاف
Terjemahannya: “Yang benar cara
memahami hadis ini, baginda SAW menjamakkan beberapa solat disebabkan ada
kesempitan yang mendatang pada hari tersebut seperti penyakit yang merebak,
cuaca yang bersangatan sejuk, tanah berbecah teruk dan seumpamanya. Hal ini
berdasarkan jawapan Ibn ‘Abbas ketika baliau ditanya tentang sebab baginda
melakukan jamak tersebut, dengan menyatakan: “baginda tidak mahu umat baginda
berada dalam kesempitan atau kesukaran.” Ia merupakan satu jawapan yang
penting, tepat lagi menyeluruh.”
Cumanya sebahagian ulama
mengharuskan jamak solat ketika ada keperluan dan dalam keadaan akan
mendatangkan kesukaran dan kesempitan jika pasangan solat jamak itu dilakukan
berasingan. Pandangan ini menjadi pilihan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH,
juga tarjihan dari al-Syeikh Ibn Uthaimin RH, beliau berkata:
الجمع ليس مرتبطاً بالقصر, الجمع مرتبط بالحاجة، فمتى احتاج
الإنسان للجمع في حضر، أو سفر فليجمع، ولهذا يجمع الناس إذا حصل مطر يشق على الناس
من أجله الرجوع إلى المساجد, ويجمع الناس إذا كان هناك ريح باردة شديدة أيام
الشتاء يشق على الناس الخروج إلى المساجد من أجلها, ويجمع إذا كان يخشى فوات ماله،
أو ضرراً فيه, أو ما أشبه ذلك يجمع الإنسان، وفي صحيح مسلم عن عبد الله بن عباس -
رضي الله عنهما - قال جمع النبي صلى الله عليه وسلم بين الظهر والعصر, وبين المغرب
والعشاء من غير خوف ولا مطر
Terjemahannya: “Jamak tidak
terikat dengan dengan qasar, jamak terikat ketika adanya keperluan, ketikamana
manusia memerlukan jamak sekalipun tidak bermusafir atau ketika musafir maka
lakukanlah jamak. Kerana itu orang ramai boleh jamak ketika berlaku hujan lebat
yang menyukarkan untuk kembali ke masjid, atau ketika berlaku angin kuat
sehingga menyukarkan untuk keluar ke masjid, atau boleh juga jamak ketika
bimbangkan harta yang terdedah kepada kecurian atau kemusnahan atau
seumpamanya. Di dalam Sahih Muslim daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas RA yang
berkata: Nabi SAW pernah menjamakkan solat antara Zohor dengan ‘Asar, Maghrib
dengan Isyak, bukan disebabkan ketakutan dan hujan.” Lalu ditanya kepada
beliau: “Apakah tujuaan baginda?” beliau menjawab: “baginda tidak mahu umat
baginda berada dalam kesempitan atau kesukaran.” Maka ini merupakan garis
ketetapan, ketikamana orang ramai mendapati kesempitan jika tidak menjamakkan
solat, maka harus untuk dia lakukan jamak, jika tiada kesempitan, maka jangan
dia jamak.” (Majmu’ Fatawa wa Rasail oleh Ibn ‘Uthaimin, soalan no
1098)
Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata di
dalam Fatwa Mu’asarahnya:
“Kadang-kala
jika terdapat kesusahan untuk menunaikan setiap solat pada
waktunya, maka solat secara jamak boleh dilakukan sebagai mengambil keringanan
yang diperuntukkan dalam agama. Asalkan perkara ini tidak dijadikan kebiasaan.
Sebaliknya perkara ini diharuskan secara sekali-sekala ketika berhadapan dengan
sesuatu kesempitan atau kesukaran. Dr. Yusuf al-Qaradhawi
memberikan contoh situasi yang dibenarkan jamak solat kerana kesusahan antaranya:
1. Polis Trafik yang ditugaskan sebelum waktu maghrib
sehinggalah selepas waktu ‘Isyak. Dia boleh menjamakkan solat Maghrib dengan
Isyak berdasarkan kemampuannya.
2. Doktor yang merawat pesakit yang tidak boleh ditinggalkan.
Dia boleh menjamakkan solat bersesuaian dengan kemampuannya.”
Ketika
mengulas soalan bolehkah menjamakkan solat kerana terbabit dengan sesuatu
majlis sambutan, beliau menjawab:
“Adapun
menghadiri mana-mana majlis sambutan, maka saya tidak dapati adanya keperluan
dan keuzuran untuk membolehkan jamak solat. Selama-mana seseorang insan
mendapati ruang/kelapangan untuk solat, maka semestinya dia tidak malu untuk
menunaikan solat dimana sahaja tempatnya, kerana malu untuk menunaikan solat
adalah suatu yang tidak dibenarkan. Sebaliknya wajib dia mendirikan solat
sebagai contoh kepada orang lain, kerana solat itu termasuk di dalam syiar yang
wajib dizahirkan. (Nukilan secara ringkas dari Fatawa
Mu’asarah, Juzuk Pertama. Melalui lamanweb rasmi: qaradawi.net)
9 comments:
Assalamualaikum, bolehkah solat jamak bagi ibu mengandung yang mengalami pening kepala dan mabuk?
Assalamualaikum ustaz..sy kerja di pelantar minyak shif 12-12..bila sy masuk syif jam 12mlm sampai 12 tghari slalu sy tinggal solat asar n maghrib kerana tidur..bolehkah sy jamak solat kerana shif kerja sebegini meletakkan waktu solat asar dan maghrib dlm waktu tidur sy
Assalamualaikum ustaz..sy kerja di pelantar minyak shif 12-12..bila sy masuk syif jam 12mlm sampai 12 tghari slalu sy tinggal solat asar n maghrib kerana tidur..bolehkah sy jamak solat kerana shif kerja sebegini meletakkan waktu solat asar dan maghrib dlm waktu tidur sy
Assalamualaikum, saya bekerja di chicken rice shop.. saya ingin menunaikan solat maghrib tetapi tidak dapat mengerjakan pada waktu tepat kepada penuhnya pelanggan dan kekurangan tenaga pekerja untuk uruskan. Jadi adakah saya kena qadha solat maghrib atau jamakkan?
Assalamualaikum, saya bekerja di chicken rice shop.. saya ingin menunaikan solat maghrib tetapi tidak dapat mengerjakan pada waktu tepat kepada penuhnya pelanggan dan kekurangan tenaga pekerja untuk uruskan. Jadi adakah saya kena qadha solat maghrib atau jamakkan?
assalamualaikum.. saya kerja pukul 12.30-10.00mlm, dan rehat pada jam 5.00, jadi bolehkah saya qada solat zohor?
Assalamualaikum ustaz sya kerja di chimney yg mana sy kene naik ats tempat tinggi sy naik pkul 1 ptg sblm waktu zohor dan sy turn pd pkul 6:30 ptg Boleh ke sekirany sy jama' pd waktu asar?
Assalamualaikum Ustaz kawan saya kerja shift malam dari pukul 6-10 di kedai sushi.. Dia selalunya qada maghrib sbb tempat solat jauh dan takut untuk berjaln sorang2 pada waktu malam.. Apa pendapat ustaz dia bolej jamak ke ataupun teruskan dengan qada
As salammm..nk taye..mcm sy..kalo hari minggu..jadi mcm serba salah..sebb bawa mak yang semakin uzur..kadang2 nk pergi solat sekejap je pon xsempat..selalu pada waktu zohor..sebb mak sy xleh tinggal sowg2 dlm kereta..kejadian tu selalu terjadi kalo ada majlis kawin atau jalan jem nk ke mana2 majlis..pastu kadang2 dah pai umah dah lepas asar..pastu sejak2 kawin pulak..kadang2 asar pon terlajak layan kan anak nk bergurau atau salin pampers..pastu saudara mara kebetulan dtg pulak..nk layan kn dyeowg..pabila magrib..sy solat mcm bese..dan pabila isyak..sy qada zohor..qada asar..boleh ke..kadang2 subuh pon terlajak..hohoho
Post a Comment