Soalan:
Saya bercadang untuk meminjam
RM100,000.00 dari seorang kawan untuk tujuan perniagaan dan saya berjanji untuk
bayar balik dalam masa 60 hari. Saya juga akan bayar balik lebih 10% kepada
kawan saya dengan niat sebagai keuntungan bersama atau pun sebagai hadiah.
Adakah ini dibenarkan dalam agama?
Saya juga ada bercadang untuk
meminjam RM200,000.00 dari beliau untuk tujuan perniagaan dan akan bayar balik
tanpa jumlah yang tetap dalam masa 18 - 24 bulan. Saya juga bercadang untuk
menambah sebanyak 2% sebulan keatas baki bulanan, hingga hutang itu selesai. Saya
anggap 2% itu sebagai hadiah atau penghargaan kerana sudi memberi pinjaman?
Adakah ini dibenarkan dalam agama?
Jika kedua-dua kes tersebut tidak di
benarkan dalam agama kita, apakah yang patut saya atau kawan saya lakukan agar
pinjaman tersebut mengikut hukum-hukum syarak.
Jawapan:
Bayaran
lebih dari orang yang berhutang secara sukarela atau sebagai hadiah dari jumlah
hutangnya tidak termasuk riba. Terdapat beberapa bukti dari hadis Nabi SAW dalam
permasalahan ini, antaranya:
1. Daripada
Jabir bin ‘Abdillah RA katanya:
أَتَيْتُ
النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ : صَلِّ
رَكْعَتَيْنِ . وَكَانَ لِي عَلَيْهِ دَيْنٌ فَقَضَانِي وَزَادَنِي
Terjemahannya: “Aku datang menemui Nabi SAW yang berada di dalam
masjid, lalu baginda bersabda: “Tunaikan solat dua rakaat.” Baginda ketika itu
ada berhutang kepadaku, lalu baginda membayarnya dan melebihkan bayaran.” (HR
al-Bukhari dan Muslim)
2. Daripada Abu Hurairah RA katanya:
كَانَ لِرَجُلٍ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سِنٌّ مِنْ الْإِبِلِ فَجَاءَهُ يَتَقَاضَاهُ فَقَالَ
: أَعْطُوهُ . فَطَلَبُوا سِنَّهُ فَلَمْ يَجِدُوا لَهُ إِلَّا سِنًّا فَوْقَهَا
فَقَالَ : أَعْطُوهُ . فَقَالَ : أَوْفَيْتَنِي أَوْفَى اللَّهُ بِكَ . قَالَ النَّبِيُّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ خِيَارَكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً
Terjemahannya: “Nabi SAW pernah berhutang seekor unta dari seorang
lelaki, lalu lelaki itu datang dan meminta hutangnya dari baginda. Jawab baginda:
berikan kepadanya, lalu para sahabat mencari unta yang seusia, akan tetapi
mereka tidak mendapati unta seusia yang dipinjam oleh baginda melainkan unta
yang lebih besar. Baginda bersabda: “Berikan kepadanya.” kata lelaki tadi: “Engkau
tunaikan hutangmu kepadaku, semoga Allah tunaikan janjiNya kepadaMu.” Sabda
Nabi SAW: “Sesungguhnya orang yang terbaik dari kalangan kamu adalah orang yang
paling baik menunaikan (hutang).” (al-Bukhari dan Muslim)
Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 23/125 dinyatakan:
ذهب جمهور الفقهاء من الحنفية والشافعية والحنابلة
وابن حبيب من المالكية وغيرهم إلى أن المقترض لو قضى دائنه ببدل خير منه في القدر
أو الصفة، أو دونه، برضاهما جاز ما دام أن ذلك جرى من غير شرط أو مواطأة
Terjemahannya: “Majoriti ulama dari mazhab Hanafi, Syafie, Hambali,
termasuk Ibn Habib dari mazhab Malik dan selain mereka berpandangan orang yang
berhutang jika membayar kepada orang yang memberi hutang dengan suatu yang
lebih baik dari hutangnya dari sudut kadar atau sifat atau lainnya dengan keredhaan
mereka berdua, maka ia adalah harus selama mana perkara itu berlaku tanpa
terlebih dahulu menjadi syarat dan persetujuan (ketika akad).”
Di dalam fatwa al-Lajnah al-Daimah 14/134 pula dinyatakan:
ليس للمقرض أن يأخذ من المقترض إلا ما أقرضه
إياه، إلا أن تطيب نفس المقترض بشيء من الزيادة في الكيفية أو الكمية، فلا بأس إذا
لم يسبقه شرط أو تواطؤ على ذلك ، وهكذا إن جرى بذلك عرف ؛ لأن الشرط العرفي كاللفظي
Terjemahannya: “Orang yang memberi hutang tidak boleh mengambil dari
orang yang berhutang melainkan jumlah hutang yang diberi sahaja, melainkan
tambahan yang berbentuk pemberian
sukarela dari orang yang berhutang samada tambahan itu pada kaifiat atau nilai,
maka tidak mengapa jika tambahan itu diberi tanpa syarat atau persetujuan
terdahulu.”
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment