1.
Daripada ’Aisyah
RA katanya: ”Saya kehilangan Rasulullah SAW pada suatu malam, lalu aku
mencari baginda, maka tanganku tersentuh perut kaki baginda, ketika itu baginda
di dalam masjid (dan sedang sujud), kedua-dua telapak kaki baginda ditegakkan,
baginda membaca di dalam sujud:
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ
بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوْبَتِكَ، وَأَعُوْذُ بِكَ
مِنْكَ، لاَ أُحْصِيْ ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ.
Mafhumnya: “Ya Allah, daku
berlindung dengan keredhaanMu dari kemurkaanMu, dan dengan kemaafanMu (agar
terselamat) dari siksaanMu. Daku berlindung dengan rahmatMu dari hukumanMu[1]
tidak terhitung pujian kepadaMu. Engkau adalah sepertimana pujianMu kepada
diriMu.” (HR Muslim)
2.
Daripada Abu
Hurairah RA yang berkata: ”Rasulullah SAW membaca di dalam sujud baginda:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِيْ ذَنْبِيْ كُلَّهُ، دِقَّهُ وَجِلَّهُ،
أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ وَعَلَى نِيَّتَهُ وَسِرَّهُ
Mafhumnya: ”Ya Allah,
ampunilah untukku dosaku keseluruhannya, samada yang kecil dan yang besar, yang
awal dan yang akhir dan yang jelas mahupun yang tersembunyi.” (HR
Muslim)
3.
Daripada Huzaifah
RA: ”Bahawa Rasulullah SAW membaca antara dua sujud:
رَبِّ اغْفِرْ لِيْ، رَبِّ اغْفِرْ لِيْ
Mafhumnya: “Wahai tuhan, ampunilah daku, wahai tuhan,
ampunilah daku.” (HR Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di
dalam Sahih Abi Daud)
Al-Syeikh ‘Abd al-Razaq bin ‘Abd al-Muhsin al-Badr berkata: “(Hadis
ini bermaksud) Baginda mengulang-ulangi doa ini ketika duduk antara dua sujud,
bukan bermaksud baginda hanya membacanya
dua kali sahaja.”
4.
Daripada Ibn
’Abbas RA katanya: ”Dahulunya Nabi SAW membaca ketika duduk antara dua sujud
اَللَّهُمَّ
اغْفِرْ لِيْ وَارْحَمْنِيْ وَاجْبُرْنِيْ وَعَافِنِيْ وَاهْدِنِيْ وَارْزُقْنِيْ
Mafhumnya:
“Ya Allah, ampunilah daku, rahmatilah daku, cukupkanlah aku, selamatkanlah
daku, berilah hidayah kepadaku dan berilah rezeki kepadaku.” (HR
Abu Daud dan al-Tirmizi. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi
Daud)
[1]
Ungkapan أَعُوْذُ
بِكَ مِنْكَ, di dalam Faidh
al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Soghir dinyatakan bermaksud: “Daku berlindung
dengan rahmatMu dari hukumanMu. Al-Imam Ibn al-Qayyim pula berkata: “(Ungkapan
sebelum ini iaitulah) Memohon perlindungan dengan sifat redha (Allah) dari
sifat murka (Allah) dan dengan perbuatan memberi ampun (yang ada pada sifat
Allah) dari memberi hukuman (yang ada pada sifat Allah), maka berlindung denganNya dariNya (أعوذ
بك منك), dengan diambil
kira kedua-dua permohonan perlindungan yang telah dijelaskan sebelum ungkapan
ini. Kerana memohon perlindungan dengan Allah dari Allah merujuk kepada
ungkapan permohonan perlindungan sebelumnya, disamping ia mengandungi faedah
yang mulia iaitulah kesempurnaan tauhid, dan bahawa Zat yang diminta
perlindungan (iaitu Allah) oleh seseorang, dielak juga dariNya, iaitulah dari
perbuatan, kehendak dan ketentuanNya, kerana hanya Dialah satu-satunya yang
menghukum, jika Dia (Allah) hendakkan keburukan kepada seseorang hambaNya,
tiada yang dapat melindungi orang tersebut melainkan Dia, Dialah juga yang
menghendaki keburukan kepada hamba tersebut, dan Dialah juga yang hendak
menolak keburukan itu dari orang tersebut, maka jadilah Allah Yang Maha Suci
dipohon perlindungan denganNya dariNya dengan mengambil kira kedua-dua kehendak
Allah SWT tersebut. (Firman Allah) وَإِنْ
يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ Mafhumnya:
“Dan sekiranya Allah mengenakan kepada engkau sesuatu kemudharatan, maka
tiada yang dapat melepaskannya melainkan Dia (Allah semata-mata).” Dialah
(Allah) yang mengenakan mudharat dan Dialah (Allah) yang dapat melepaskannya,
tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, maka dielak dari (kemurkaan
dan hukumanNya) dengan kembali kepadaNya, tiada tempat berlindung dariNya
melainkan kepadaNya, sepertimana permohonan perlindungan dariNya, kerana
sesungguhnya tiada tuhan selain dari Allah, tiada tuhan yang menguruskan urusan
seseorang hamba melainkan Dia, Dialah yang menggerakkan, membolak-balikkan dan
menguruskan urusan seseorang hamba sepertimana yang dikehendakiNya.” Lihat Tariq
al-Hijratain wa Bab al-Sa’adatain 1/431.
0 comments:
Post a Comment