Tahukah
anda... ada dua perkara yang boleh menjadi sebab kita susah di dalam kubur,
diazab dan disiksa oleh Allah SWT... jika kita berjaya bebas dari dua
sebab ini, kita telah terlepas dari dua sebab popular seseorang dikenakan azab
di dalam kubur... apakah dua perkara itu???
Pertama dinamakan sebagai al-Ghibah
Ramai
di kalangan kita, saban hari melakukan ghibah, tetapi dia tidak menyedarinya...
seseorang menyebut tentang seseorang lain, dalam perkara yang tidak disukai
oleh orang itu dan diluar pengetahuannya. Jika dikatakan kepadanya: “Jangan
suka mengata orang...” secara spontan dia akan menjawab: “Aku sebut
benda betui apa...” Dia tidak sedar, atau mungkin juga dia tiadk tahu
bahawa sebenarnya dia telah melakukan ghibah kepada saudaranya.
Ketahuilah...
yang dikatakan Ghibah itu... bukanlah bermakna anda mereka-reka cerita tentang
seseorang. Sebaliknya ghibah ialah apabila anda menceritakan keaiban seseorang
di belakangnya, dan perkara itu benar-benar ada pada orang tersebut.
Jika
perkara yang anda ceritakan itu tidak ada pada orang yang menjadi tajuk cerita,
perkara itu dinamakan sebagai Buhtan iaitulah cerita
palsu atau dusta yang lebih dahsyat dan lebih besar dosanya berbandingi Ghibah.
Kita sekarang tidak berbicara tentang Buhtan, sebaliknya bicara kita tentang
Ghibah. Nabi SAW bersabda:
أتدرون
ما الغيبة
Mafhumnya: “Apakah kamu semua
tahu, apu itu Ghibah?” Para Sahabat menjawab: “Allah
dan RasulNya sahaja yang lebih mengetahui!” Baginda menjawab al-Ghibah
adalah:
ذكرك
أخاك بما يكره
Mafhumnya: “Cerita kamu
tentang saudara kamu, apa yang tidak disukainya.” Seorang lelaki
bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana jika apa yang saya katakan itu
sememangnya terdapat pada orang tersebut?” Baginda menjawab:
إن
كان فيه ما تقول، فقد اغتبته، وإن لم يكن فيه ما تقول فقد بهته
Mafhumnya: “Jika pada saudara
kamu itu sememangnya ada seperti apa yang kamu katakan, maka itulah kamu telah
melakukan Ghibah kepadanya, jika perkara itu tidak ada, maka kamu telah
melakukan Buhtan kepadanya.” (HR Muslim)
Sebahagian
daripada kita sanggup menghapiskan masa berjam-jam lamanya melakukan ghibah,
cerita tentang orang itu dan orang ini, cerita tentang selebriti itu dan
selebriti ini, cerita tentang pemimpin itu dan pemimpin ini, sehingga perut dia
kenyang dengan memakan daging orang-orang tersebut... kemudia dia pulang ke
rumah dengan rasa puas dan lega, merasakan dia akan selamat di dalam kubur
kelak!? tidak... tidak... tidak semudah itu.
Baginda Nabi SAW pernah satu ketika
melalui sebuah kubur yang penghuninya sedang di azab oleh Allah SWT, baginda
bersabda:
إن
هذا كان يأكل لحوم الناس
Mafhumnya: “Sesungguhnya
penghuni kubur ini, dahulunya dia sering memakan daging orang ramai.” (HR
al-Tabarani dengan Sanad yang Hasan)
Cuba fikirkan... apa faedah yang anda
perolehi dengan menceritakan tentang orang itu dan orang ini, di belakang
mereka dan di luar pengetahuan mereka? Bagaimana pula jika orang lain
menceritakan tentang anda perkara yang anda tidak suka di belakang anda? Apa
anda rasa? atau apakah anda merasakan anda seorang yang begitu sempurna?
Renungkan hadis ini sebelum anda
berbicara tentang orang lain. Anas berkata, sabda Nabi SAW:
لما عرج بي مررت بقوم لهم
أظفار من نحاس يخمشون وجوههم وصدورهم
Mafhumnya: “Ketikakama saya dimikrajkan, saya telah melalui satu
kaum yang memiliki kuku dari tembaga sedang mencakar muka dan dada mereka, lalu
saya bertanya kepada Jibril: “Siapakah mereka ini wahai Jibril?” Jawab Jibril:
هؤلاء الذين يأكلون لحوم الناس
ويقعون في أعراضهم
Mafhumnya: “Mereka itu adalah orang-orang yang memakan daging
orang lain, mereka (dahulunya) suka duduk dan menjatuhkan maruah orang lain.” (HR Abu Daud)
Justeru, fikirkanlah apakah faedah yang
anda dapat dengan melakukan ghibah?
Tahukah anda, jika
anda melakukan ghibah terhadap seseorang, ini bermakna anda telah memberi orang
itu pahala yang ada pada anda, anda menghadiahkan kepadanya pahala anda
sehingga jadilah anda seorang yang miskin pahala. Jika habis kesemua pahala
anda, orang itu pula akan menghantar dosanya kepada anda. Kerana itu ketika
seorang lelaki mengadu kepada al-Fudhail bin ‘Iyadh, ada orang melakukan ghibah
terhadapnya. Kata al-Fudhail:
قد
جلب لك خيرا جلبا
Maksudnya “Sesungguhnya orang itu telah membawa kepadamu, pahala
yang banyak.” Seolah-olah al-Fudhail
mengucapkan tahniah kepada orang yang dighibah itu. ‘Abdul Rahman al-Mahdi pula
berkata:
لَوْلَا أَنِّي أَكْرَهُ أَنْ يُعْصَى اللهُ
لَتَمَنَّيْتُ أَنْ لَا يَبْقَى فِي هَذَا الْمِصْرِ أَحَدٌ إِلَّا وَقَعَ
وَاغْتَابَنِي، وَأَيُّ شَيْءٍ أَهْنَأُ مِنْ حَسَنَةٍ
يَجِدُهَا الرَّجُلُ فِي صَحِيفَتِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَمْ يَعْمَلْهَا وَلَمْ
يَعْلَمْ بِهَا
Maksudnya: “Kalaulah bukan
kerana aku tidak sukakan berlakunya maksiat, sudah pasti aku akan bercita-cita
tidak ada seorangpun di Bandar ini melainkan dia melakukan Ghibah tentangku,
apakah lagi yang lebih menggembirakan seseorang, jika dia mendapati tercatit pahala
di dalam buku catitan amalannya pada hari kiamat, suatu yang tidak dilakukan
dan diketahuinya?” (Lihat Syu’ab al-Iman, Siyar A’lam
al-Nubalak, dan al-Taubikh wa al-Tanbih)
Aduhhh... alangkah hairan dan pelik,
orang-orang yang sanggup duduk berjam-jam lamanya, sambil mengagih pahala
mereka kepada orang lain. Pahala yang mereka himpun dan perolehinya dengan
susah payah, diberi begitu sahaja kepada orang lain... sejak bermula bicara
ghibahnya, dia agihkan kepada orang itu dan orang ini kesemua pahalanya, pahala
solatnya, puasanya, sedekahnya, zikirnya dan semuanya. Dia amat pemurah
mengagihkan pahalanya kepada orang lain. Al-Hasan al-Basri berkata:
Maksudnya: “Sekiranya aku
melakukan ghibah tentang seseorang, lebih patut aku ghibah tentang bapaku dan
emakku.” Kerana kedua orang tua lebih berhak mendapat pahala
yang telah kita lakukan bukan orang lain.
Demikian itulah Ghibah... berikutnya
apakah pula perkara kedua yang menjadi sebab popular seseorang diazab di dalam
kubur? Ia lebih bahaya dari al-Ghibah.
Perkara kedua itu dinamakan pula
sebagai al-Namimah. Apakah
al-Namimah?
Al-Namimah ialah memindahkan cerita
dari seorang kepada seorang yang lain. Sebagai contoh, anda memberitahu kepada
seseorang: “Orang itu bercerita tentang engkau demikian dan demikian.”
Atau: “Orang itu, mengata tentang engkau, demikian dan demikian.”
Atau kita memberitahu kepada seseorang:“Orang itu tak sukakan engkau.” bertujuan
mewujudkan rasa marah dan permusuhan sesama mereka.
Oleh yang demikian perbezaan antara
al-Ghibah dan al-Namimah ialah al-Ghibah anda menyebut tentang seseorang
sesuatu yang tidak disukainya di belakangnya. Manakala al-Namimah anda
memindahkan percakapan seseorang tentang seseorang lain kepadanya.
Nabi SAW pernah melalui dua buah
kubur, lalu baginda bersabda:
إنهما ليعذبان وما يعذبان في
كبير أما هذا فكان لا يستنزه من البول وأما هذا فكان يمشي بالنميمة
Mafhumnya: “sesungguhnya
kedua-dua mereka benar-benar sedang diazab, tidaklah mereka diazab kerana
perkara besar untuk dilakukan, iaitulah salah seorangnya tidak bersuci dari
buang air kecil dan seorang lagi sering membawa al-Namimah.” (HR
al-Bukhari)
Diringkaskan bicara... sesuatu Ghibah
mahupun Namimah jika melibatkan seseorang, maka ia berlegar diantara tiga watak
di bawah ini:
Sama ada dia merupakan orang yang
melakukan ghibah, atau... mangsa yang kena ghibah, atau... orang yang mendengar
ghibah orang lain.
Mudah-mudahan kita tidak termasuk
golongan yang pertama. Jika kita termasuk dalam golongan kedua yang menjadi
mangsa ghibah, maka ketahuilah kita adalah orang yang paling beruntung, kerana
kita akan memperolehi pahala orang lain tanpa perlu berusah-payah. Manakala jika
kita termasuk golongan ketika, maka ketahuilah di hadapan kita ada tugas besar
yang perlu dilaksanakan. Jika kita berjaya, maka ia merupakan benteng antara
kita dan api neraka di akhirat kelak.
Yang
penting kita semestinya berusaha membela saudara kita dari terkena ghibah. Apa
salahnya jika kita katakan kepada orang yang hendak melakukan ghibah:“Maaf,
orang yang hendak anda bercerita tentangnya itu, tidak ada sekarang, saya tidak
mahu bercerita tentang seseorang yang lain.” alangkah indah...
Nabi SAW bersabda:
مَنْ
رَدَّ عَنْ عِرْضِ أَخِيهِ رَدَّ اللَّهُ عَنْ وَجْهِهِ النَّارَ يَوْمَ
الْقِيَامَةِ
Mafhumnya: “Sesiapa yang
menolak sesuatu yang boleh mencemarkan maruah saudaranya, Allah akan menolak
wajahnya dari neraka pada hari kiamat.” (HR al-Tirmizi dan
katanya: Hasan)
Selain
itu jangan mempercayai Namimah yang sampai kepada anda, ini kerana Namimah
termasuk di dalam dosa besar, pelakunya dikira telah melakukan dosa besar yang
menggugurkan kelayakannya sebagai seorang saksi. Di samping itu peliharalah
juga pendengaran anda. Jangan biarkan namimah itu terus didendangkan kepada
anda, nanti anda juga akan berbicara tentangnya.
Peliharalah
juga lidah anda, jangan anda memindahkan namimah yang anda dengar termasuk
kepada orang yang menjadi mangsa namimah, jauhi anda dari berkata kepada
seseorang:“Orang itu bercerita tentang kamu demikian dan demikian.” Jika
demikian keadaan anda, maka anda salah seorang dari pelaku Namimah.
Seorang
lelaki datang bertemu dengan seorang ulama dan berkata: “Wahai tuan,
orang itu berkata tentang tuan demikian dan demikian.” Jawab ulama
tersebut:“Apakah kamu mahu mewujudkan permusuhan antara saya dan saudara
saya? Demi Allah saya akan menjadikan syaitan marah” lalu ulama itu
berdoa: “Ya Allah ampunilah daku dan saudaraku.”
Yang
penting jangan kita terbabit dalam membawa Namimah. Kerana orang yang membawa
cerita Namimah, hakikatnya dia adalah salah seorang daripada mereka. Jika
sesuatu namimah diibaratkan seperti sebilah anak panah, ketika ia dimulakan,
anak panah itu tidak kena pada sasarannya, kerana mangsa tidak mengetahuinya.
Sebaliknya jika kita menyampaikan namimah tersebut kepada mangsa, maka
seolah-olah kita mengambil anak panah yang tersasar tadi lalu kita tusukkannya
ke dada saudara kita. Kata Yahya bin Abi Kathir:
يفسد
النمام في الساعة، ما لا يفسده الساحر في الشهر
Maksudnya: “Kerosakan yang
dibawah oleh pelaku Namimah dalam masa satu jam, adalah suatu yang tidak dapat
dilakukan oleh seorang ahli sihir dalam masa sebulan.”
Barangkali ada yang berkata:
Bagaimana kalau kami pernah melakukan ghibah dan namimah? Apa yang perlu kami
lakukan? Perlukan kami berjumpa dan memberitahu orang yang kami ghibah atau
namimah itu untuk meminda maaf darinya?
Pandangan yang lebih benar di kalangan
ulama ialah anda tidak perlu melakukan sedemikian. Tidak perlu anda
menceritakannya... ini kerana ghibah dan namimah itu diharamkan bertujuan
mengelak permusuhan di kalangan umat Islam. Maka jangan anda menceritakan
ghibah dan namimah anda kepadanya yang boleh menimbulkan permusuhan itu. Jika
begitu, apa yang perlu kami lakukan,?
Jangan bimbang, jalan keluar dari
kesalahan ini masih ada, disebut oleh para ulama. Iaitulah hendaklah anda
berdoa untuk orang yang pernah menjadi mangsa ghibah dan namimah anda dengan
kadar yang seimbang dengan kadar ghibah dan namimah anda tentangnya. Agar dari
doa anda kepadanya dapat mengimbangi pahala yang diberikan kepadanya di akhirat
kelak. Selain itu, jika anda berdoa untuknya tanpa pengetahuannya, akan ada
malaikat yang akan mengaminkan doa anda tersebut dengan berkata:
آمين،
ولك بمثل
Mafhumnya: “Amin, dan untuk
anda juga seperti permohonan yang anda pinta untuknya.” (HR Muslim)
Selain itu berusahalah juga menyebut
kebaikan orang yang pernah menjadi mangsa ghibah dan namimah kita. Sebutkan
kebaikan sebenar orang tersebut kepada orang-orang yang mendengar ghibah dan
namimah dari anda, agar mereka dapat memperbetulkan buruk sangka mereka kepada
mangsa tersebut.
Kata Qatadah:
ذُكِرَ
لَنَا أَنَّ عَذَابَ الْقَبْرِ ثَلاثَةُ
أَثْلاثٍ : ثُلُثٌ مِنَ الْغِيبَةِ ، وَثُلُثٌ مِنَ الْبَوْلِ ، وَثُلُثٌ مِنَ
النَّمِيمَةِ
Maksudnya: “Dinyatakan kepada
kami bahawa azab kubur itu satu pertiganya dari al-Ghibah, satu pertiga dari
air kencing (yang tidak disucikan) dan satu pertiga lagi dari al-Namimah.” (Lihat Zamm
al-Ghibah wa al-Namimah oleh Ibn Abi al-Dunya)
Ini bermakna, bebas dari Ghibah dan
Namimah bermakna kita telah bebas dari 2/3 sebab seseorang diazab di dalam
kubur. Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dari kesalahan ini.
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment