Monday, August 27, 2012

Setiap Hari Kita Pasti Akan Diuji

Karya Asal: al-Syeikh Masyari al-Kharraz
Olahan semula oleh: Bin Sahak

Tuhan kita, Allah SWT pasti akan menguji kesemua hambaNya setiap hari. Di kalangan hamba-hambaNya itu ada yang berjaya, ada pula yang gagal. Allah SWT sedia mengetahui keadaan hambaNya siapa yang akan berjaya dan siapa pula yang akan gagal, maka Dia sentiasa membolak-bolikkan hati mereka berdasarkan kehendakNya, Dialah Tuhan yang Maha Membolak-bolikkan hati hambaNya. Tahukah anda semua bahawa Nabi SAW apabila hendak bersumpah, kadang-kalanya baginda akan bersumpah dengan menyebut: “Demi Tuhan yang membolak-balikkan hati.” Kata para ulama: Hati itu lebih cepat berbolak-balik berbanding air yang mendidih di dalam cerek.”

Oleh yang demikian bagaimana kita berinteraksi dengan Allah, ketikamana Dia menguji kita?

Bukankah kita biasa melihat orang yang hidupnya berada bersama hidayah, dia menunaikan solat dan berpegang dengan agama… tetapi secara tiba-tiba keadaan dia berubah, sehingga dia terjebak melalakukan dosa-dosa besar. Pasti semua kita pernah melihat keadaan sedemikian, atau barangkali kita sendiri melaluinya di dalam sejarah hidup kita. Ketahuilah! Perkara seperti ini bukanlah suatu yang patut dihairankan, ia bukan juga suatu yang pelik dan ganjil. Bahkan keadaan ini adalah suatu yang tabi’e, ia merupakan keadaan kebanyakan insan. Kata al-Hasan al-Basri: “Jangan anda berasa hairan dengan orang-orang yang binasa, bagaimana dia boleh binasa, sebaliknya rasa hairan itu terhadap orang yang berjaya, bagaimana mereka boleh berjaya?” Justeru jika ada seseorang insan yang tetap berada di atas hidayah, menunaikan solat, berbakti kepada kedua orang tunya, menghubungkan Silaturrahim, tidak memakan harta-harta yang haram dan seumpamanya, maka inilah keadaan yang patut dihairankan… sebaliknya jika ada seseorang insan yang menyeleweng dari hidayah, maka keadaan itu adalah biasa. Allah SWT berfirman:  

“Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman sekalipun kamu sangat menginginkannya.” (Yusuf: 103)

Perhatikan… Sekalipun Nabi SAW sangat mengharapkan manusia beriman, tetapi tetap juga ramai di kalangan mereka yang tidak beriman. Oleh yang demikian… pada setiap hari ada sahaja orang-orang yang disesatkan oleh Allah kerana mereka memilih kesesatan dan ada pula orang-orang yang diberi hidayah olehNya kerana mereka memilih hidayah, keadaan ini berterus setiap hari.

Persoalannya… dari golongan manakah kita? Allah SWT berfirman:

“Allah meneguhkan iman orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu (termasuk di dalamnya kalimah Tauhid) dalam kehidupan di dunia dan di akhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.” (Ibrahim: 27)

Sebahagian dari kita ada yang berkata: “Jika demikian persoalan hidayah dan kesesatan, dimana ianya bukan kuasa kita, maka kita serahkan sahaja kepada Allah, seterusnya kita tunggu sahaja apa yang berlaku, kerana ia bukan di bawah kuasa kita”

TIDAK, bukan demikian….

Hal ini kerana Allah SWT tidak pernah sama sekali menyeru manusia kepada kesesatan, kerana sesiapa sahaja yang sentiasa menuju kepadaNya, maka sentiasalah juga Allah SWT akan menuju kepada hamba tersebut, Allah akan terus memberi hidayah dan kurniaan kepadanya, dan Allah sama sekali tidak akan membiarkannya begitu sahaja. Melainkan orang itu sendiri yang meninggalkan ketaatannya kepada Allah SWT. Maka jika seseorang insan meninggalkan ketaatannya kepada Allah, Allah juga akan meninggalkannya sama sepertimana dia meninggalkan Allah. Allah SWT berfirman: “Maka ketikamana mereka berpaling dari (dari ketaatan), Allah memalingkan hati-hati mereka. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.” (al-Saf: 5)

FirmanNya lagi: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum, sehinggalah mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” (al-Ra’d :11)

          Oleh itu, seseorang yang baik akan sentiasa bimbang jika Allah SWT meninggalkannya. Kerana itu di dalam surah Ali Imran ketika menyebut tentang orang-orang yang beriman, Allah SWT berfirman:

“(Mereka berdoa) Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau, kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan Maha Pemberi Kurnia.” (Ali Imran: 8)

Ketikamana Allah SWT melihat para hambaNya bimbang ditinggalkanNya, maka Dia akan menerima dan menetapkan mereka di atas kebenaran sehingga mereka bertemu denganNya dalam keadaan melafazkan kalimah Tauhid:

لَا إِلَهَ إلَّا الله، مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ الله
“Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pula adalah utusan Allah.”

          Persoalan berikutnya… bagaimana kita hendak pastikan kita tetap berada di atas hidayah, bagaimana? Jawapannya:

Jika kita inginkan Allah SWT menetapkan kita berada di atas hidayah, maka kita perlu memastikan, ada satu perkara yang tidak boleh berada di dalam hati kita dan memastikan satu perkara lagi yang perlu berada di dalam hati kita. Tidak banyak hanya dua perkara.

Perkara yang tidak boleh ada di dalam hati kita iaitulah perasaan aman dan tenteram, merasakan dirinya pasti akan sentiasa taat kepada Allah dan sudah tentu tidak akan bermaksiat. Jika demikian yang berada di dalam hati kita, maka ketahuilah, kita berada dalam keadaan bahaya. Ini kerana ketaatan yang mampu kita buat merupakan anugerah dari Allah SWT, kalaulah bukan Allah yang memberi hidayah dan menetapkan kita di atas ketaatan, sudah tentu kita tidak akan mampu memperoleh hidayah dan melakukan ketaatan. Firman Allah SWT: “Jika bukan kerana kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu sekelian, pasti tidak ada seorangpun dari kalangan kamu bersih (dari perbuatan keji dan mungkar) selama-lamanya.” (al-Nur: 21)

Demi Allah, jika Allah SWT membiarkan kita dengan diri kita sendiri, pasti kita akan tersesat, kerana itu termasuk di dalam doa yang dibaca oleh Nabi SAW ialah:

“Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Berdiri Sendiri, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan, perbaikilah semua keadaanku, dan jangan Engkau membiarkan daku kepada diriku sendiri sekalipun sekadar sekelip mata.”

          Manakala perkara yang perlu ada di dalam hati kita pula iaitulah rasa berlidung dan bergantung diri kepada Allah agar Dia terus menetapkan kita di atas hidayah di samping kita terus melakukan ketaatan. Hati kita perlu sentiasa berlindung dan bergantung kepada Allah, menyedari yang Dia sahaja yang mampu memberi kejayaan kepada kita, dalam masa yang sama kita tidak berhenti dari melakukan ketaatan dan beribadah kepadaNya.

          Ketahuilah… berlindung dan bergantung diri kepada selain dari Allah adalah suatu yang sia-sia. Ketika berlaku banjir besar di zaman Nabi Nuh, baginda berkata kepada anaknya: “Wahai anakku, naiklah (kapal) bersama kami dan janganlah kamu berada bersama orang-orang yang kafir.” Anak baginda menjawab “aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku dari air banjir besar.” Nuh berkata: “Tidak ada yang dapat melindungi pada hari ini dari azab Allah selain dari Allah yang Maha Penyayang. Lalu ombak menjadi penghalang diantara mereka berdua, maka jadilah anak itu termasuk orang-orang yang ditenggelamkan” (Hud: 43)

Diceritakan terdapat sebahagian ulama yang pernah bertanya kepada murid mereka: “Apakah yang kamu akan lakukan jika kamu diganggu oleh Syaitan?” Jawab si murid: “Saya akan bermujahadah melawannya.” Kata guru tadi: “Jika Syaitan itu datang lagi?” Jawab anak murid lagi: “Saya akan bermujahadah melawannya lagi.” Kata guru tadi: “Wahai anak, jika demikian kamu akan mengambil banyak masa untuk bermujahadah melawannya. Bagaimana jika kamu sedang membawa sekumpulan kambing, kemudian datang seekor anjing mengganggu pergerakan kambingmu, apa yang kamu lakukan? Jawab murid tadi: “Saya akan menghalau anjing tersebut.” Jawab si guru: “Itu juga akan mengambil banyak masa, kerana barangkali anjing itu akan datang lagi. Sebaliknya memadailah dengan kamu meminta pertolongan dari pemilik anjing itu agar dia mengikat anjingnya, maka kamu akan selamat dari ganguannya. Demikian juga jika kamu diganggu oleh Syaitan maka mintalah perlindungan kepada Allah dan bergantunglah kepadaNya.”

Demikianlah kita… jika syaitan datang mengganggu dan mengajak melakukan kejahatan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Firman Allah SWT:

“Dan jika kamu digoda oleh syaitan, maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-A’raf: 200)

Allah SWT jika memerhatikan kita benar-benar berlindung kepadanya dan benar-benar mahukan hidayah darinya dan benar-benar mahu ditetatpkan di atas hidayah, pasti Dia akan memberi kejayaan kepada kita dan menerima kita agar terus tetap di atas hidayahNya. Adapun orang-orang yang berasa dirinya segala-galanya, dia tidak berlindung kepada Allah, dia tidak akan ditetapkan di atas hidayah. Lihatlah apa yang berlaku kepada Nabi Yusuf, ketikamana isteri pembesar Mesir menggoda baginda, baginda berkata: “Aku berlindung kepada Allah, sesungguhnya Tuhanku telah memperlakukan kepadaku dengan baik. Sesungguhnya DIa tidak akan memberi kejayaan kepada orang-orang yang zalim” (Yusuf: 23)

Oleh yang demikian, ketikamana kita berasa bimbang akan melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan keburukan, maka berlindunglah kepada Allah dan bergantung kepadaNya. Katakana kepadaNya: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya daku tidak akan terlepas dari keburukan ini, melainkan jika Engkau yang melepaskan daku. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku di atas agamaMu.” 

Jangan merasakan diri kita dari kalangan orang-orang yang hampir dengan Allah, lalu menjadikan kita berasa aman dari diuji oleh Allah SWT. Sebaliknya katakanlah: “Tidak ada tuhan yang sebenarnya melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya daku termasuk dari kalangan orang-orang yang zalim.” 

Katakan juga kepada Allah: “Wahai Tuhan, jika Engkau tidak mengampunkan daku dan merahmati daku, sudah pasti daku akan termasuk dari kalangan orang-orang yang rugi.” 
Mudah-mudahan kita termasuk dari kalangan hamba-hamba Allah yang ikhlas kepadaNya.

0 comments: