1. Bersungguh-sungguh bertaubat kepada Allah swt.
Taubat adalah wajib pada setiap waktu dari sebarang kesalahan yang telah
dilakukan. Namun sempena dengan kehadiran bulan Ramadhan yang mulia ia
lebih-lebih dituntut. Allah swt berfirman:
وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعاً أَيُّهَا
الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Mafhumnya: “Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah
wahai orang-orang yang beriman, mudah-mudahan kamu semua berjaya.” (al-Nur:
31)
Daripada al-Agharra bin Yasar ra, Nabi saw bersabda:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللَّهِ
فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ
Mafhumnya: “Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu
semua kepada Allah, sesungguhnya daku akan bertaubat kepada Allah dalam sehari
sebanyak 100 kali.” (HR Muslim)
2. Berdoa
Terbukti dari sebahagian generasi awal umat
Islam, dimana mereka akan berdoa kepada Allah swt bermula enam bulan sebelum
datangnya Ramadhan agar sempat bertemu dengan Ramadhan. Seterusnya mereka akan
berdoa dalam lima bulan selepas Ramadhan agar amalan salih yang mereka lakukan di dalam bulan Ramadhan
diterima oleh Allah swt.
Oleh yang demikian kita digalakkan berdoa
agar disihatkan tubuh-badan, diberi kekuatan dan dibantu agar dapat beramal di
dalam bulan Ramadhan yang bakal menjelma.
3. Bergembira Dengan Kedatangan Bulan Ramadhan
Sesungguhnya bulan Ramadhan merupakan
anugerah yang besar dari Allah swt ke atas umat Islam, hal ini demikian kerana
Ramadhan merupakan musim kebaikan dan bulan al-Quran. Dibuka pintu Syurga,
ditutup pula pintu Neraka dan dibelenggu para Syaitan yang jahat. Allah swt
berfirman:
قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ
فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ
Mafhumnya: “Katakanlah:
dengan kurnia Allah dan dengan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka
bergembira. Kurnia Allah dan rahmatNya itu adalah lebih baik dari apa yang
mereka kumpulkan.” (Yunus: 58)
4. Menyelesaikan Qadha Puasa Yang Lalu
Daripada Abu Salamah katanya: Daku pernah mendengar
‘Aisyah ra berkata:
كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ
فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَهُ إِلا فِي شَعْبَانَ
Mafhumnya: “Dahulunya pernah daku memiliki qadha
Ramadhan, daku tidak mampu menunaikannya melainkan dalam bulan Syaaban.” (HR
al-Bukhari dan Muslim)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadis
ini di dalam kitabnya Fath al-Bari berkata:
ويؤخذ من حرصها على ذلك في شعبان أنه لا يجوز
تأخير القضاء حتى يدخل رمضان آخر
Maksudnya: “Dan diambil pengajaran dari kesungguhan
beliau (‘Aisyah) menunaikan qadha Ramadhan dalam bulan Syaaban, akan tidak
boleh melewatkan qadha Ramadhan sehingga masuk Ramadhan yang lain.” (Fath al-Bari 4/191)
5. Mengulangkaji Hukum-Hakam Puasa Dan Kelebihannya Ramadhan
6. Bersegera Menyelesaikan Urusan-Urusan Lain Yang Dirasakan
Boleh Menganggu Tumpuan Ibadah Di Dalam Bulan Ramadhan.
7. Memberi Masa Yang Secukupnya Bersama Dengan Keluarga
Untuk Memperingatkan Mereka Hukum-Hakam Puasa Dan Memberi Rangsangan Berpuasa
Kepada Ahli Keluarga Yang Masih Kecil.
8. Memperbanyakkan Puasa Sunat Dalam Bulan Syaaban, Bagi
Mempersiapkan Diri Bertemu Dengan Ramadhan.
Daripada ‘Aisyah ra yang berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لا يُفْطِرُ وَيُفْطِرُ حَتَّى
نَقُولَ لا يَصُومُ، فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلا رَمَضَانَ ، وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ
صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ
Mafhumnya: “Dahulunya
Rasulullah saw berpuasa (sunat) sehingga kami berkata baginda tidak lagi
berbuka. Baginda juga tidak berpuasa sehingga kami mengatakan baginda tidak
akan berpuasa. Dan tidaklah pernah daku melihat Rasulullah saw menyempurnakan
puasa sebulan penuh melainkan Ramadhan, dan tidak pernah juga daku melihat
baginda paling banyak berpuasa (sunat) melainkan Syaaban.” (al-Bukhari dan
Muslim)
Daripada Usamah bin Zaid,
daku pernah bertanya:
يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ
أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنْ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ ، قَالَ : (
ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ ، وَهُوَ
شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ
يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
Mafhumnya: “Wahai
Rasulullah saya belum pernah melihat tuan berpuasa satu bulan dari bulan-bulan
yang ada sepertimana tuan berpuasa dalam bulan Syaaban. Baginda menjawab: Bulan
Syaaban tersebut merupakan satu bulan yang orang ramai lalai darinya, ia
diantara Rejab dan Ramadhan. Ia juga merupakan satu bulan yang diangkat di
dalamnya amal perbuatan kepada Allah Tuhan Sekelian Alam, maka daku suka amalan
daku diangkat kepada Allah ketika daku dalam keadaan berpuasa.” (HR
al-Nasaie. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Nasaie)
Hadis ini menunjukkan hikmah
baginda saw memperbanyakkan puasa dalam bulan Syaaban, iaitulah waktu amalan
diangkat kepada Allah swt. Selain itu sebahagian ulama juga ada menyebut
hikmahnya yang lain iaitulah kedudukan puasa sunat dalam bulan Syaaban itu
berada pada kedudukan solat sunat Qabliah bagi solat Fardhu, dimana ia
berperanan mempersiapkan diri agar lebih bersedia dan cergas untuk menunaikan
solat Fardhu. Maka demikianlah kedudukan puasa sunat dalam bulan Syaaban agar
lebih bersedia dan cerdas untuk menghadapi Ramadhan.
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment