Soalan:
Jika
melakukan jimak pada malam hari dan tertidur sehingga siang hari sekitar pukul
8-9pg.Mandi wajib dilakukan selepas bangun tidur.Adakah puasa sah atau batal
pada hari itu?Sekian
Jawapan:
1. Jika sengaja
melewatkan solat Subuh sehingga terkeluar dari waktunya maka perbuatan ini
termasuk dosa besar. Wajib menunaikan solat Subuh tersebut ketika sedar dari
tidur dan bertaubat dari kesalahan tersebut. Jika terlewat kerana tidak
sengaja, Wajib juga tunaikan solat ketika terjaga berdasarkan hadis Nabi SAW:
إذا
نام أحدكم عن صلاة أو نسيها فليصلها إذا ذكرها لا كفارة لها إلا ذلك
Mafhumnya: “Apabila seseorang daripada kamu
tertidur dari menunaikan sesuatu solat atau lupa menunaikannya, maka
hendaklah dia tunaikan apabila mengingatinya, tidak ada kaffarah lain lagi
selain dari yang itu.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
2. Anda boleh
meneruskan puasa dan puasa anda SAH.
Inilah pandangan majoriti fuqaha dari
keempat-empat Mazhab termasuk al-Thauri, al-Auza’ie, al-Laith, Ishak, Abu
‘Ubaidah, dan Ahli Zahir. Di kalangan para sahabat Nabi SAW yang berpandangan
seperti ini ialah ‘Ali bin Abi Tolib, Ibn Mas’ud, Zaid, Abu al-Darda’, Abu Zar,
Ibn ‘Umar, Ibn ‘Abbas, ‘Aisyah dan Ummu Salamah R’anhum ajma’ien. Hal
ini berdasarkan hadis dari ‘Aisyah dan Ummu Salamah RA:
أنَّ النبيَّ صلى الله عليه وسلم
كان يُصبح جُنُبًا من جماعٍ ثم يغتَسِلُ ويصوم
Mafhumnya:
“Bahawa Nabi SAW pernah berada pada waktu Subuh dalam keadaan berjunub
disebabkan jimak, kemudian baginda mandi dan berpuasa.” (HR al-Bukhari dan
Muslim). Hadis riwayat Imam Muslim ada tambahan lafaz: ولا يقضي yang bermaksud: “dan baginda tidak
mengqadhanya.”
Imam
Muslim juga meriwayatkan sebuah hadis dari ‘Aisyah RA yang berkata:
أَنَّ رَجُلًا جَاءَ إِلَى
النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَفْتِيهِ وَهِيَ تَسْمَعُ مِنْ
وَرَاءِ الْبَابِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ تُدْرِكُنِي الصَّلَاةُ وَأَنَا
جُنُبٌ أَفَأَصُومُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
وَأَنَا تُدْرِكُنِي الصَّلَاةُ وَأَنَا جُنُبٌ فَأَصُومُ فَقَالَ لَسْتَ
مِثْلَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ
ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ وَاللَّهِ إِنِّي
لَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَعْلَمَكُمْ بِمَا أَتَّقِي
Mafhumnya: “pernah seorang
lelaki datang dan meminta fatwa dari Nabi SAW, ketika itu ‘Aisyah mendengar
perbualan mereka dari belakang pintu rumah, lelaki itu bertanya: “Wahai
Rasulullah, ketika waktu solat (subuh), saya berada dalam keadaan berjunub, bolehkah
saya berpuasa?” Jawab baginda SAW: “Saya juga pernah berada dalam keadaan
berjunub ketika waktu solat (subuh) tiba, dan saya tetap berpuasa.” Lelaki tadi
berkata: “Anda tidak sama seperti kami wahai Rasulullah, Allah telah
mengampunkan dosa-dosa mu yang dahulu mahupun yang akan datang.” Lalu baginda
berkata: “Demi Allah sesungguhnya daku amat-amat berharap menjadi orang yang
paling takut kepada Allah dan yang
paling tahu apakah cara untuk bertaqwa kepadaNya.”
Kata al-Imam al-Nawawi:
"أَجْمَعَ أَهْلُ هذه الأَمْصَار على صِحَّة صوْم الْجُنُب, سواءٌ كَان من
احتِلام أَو جماعٍ ... وَإِذَا انقطع دم الحائض وَالنُّفَسَاء فِي اللَّيْل ثُمَّ
طَلَعَ الْفَجر قَبْل اغْتِسَالهما صحَّ صَوْمُهمَا, وَوَجَبَ عليهِمَا إتمامُه,
سَوَاء تركت الغُسْل عَمْدًا أَو سَهْوًا بِعُذْرٍ أَمْ بِغَيْرِهِ, كَالْجُنُبِ.
هَذَا مَذهبُنَا وَمَذْهَب الْعُلَمَاء كَافَّة
Maksudnya: “Telah sepakat
para ulama sahnya puasa orang yang berjunub, sama ada disebabkan mimpi atau
jimak, inilah pandangan majoriti Sahabat dan Tabi’ien… dan sekiranya sesuatu
darah haid atau nifas berhenti pada malam hari, apabila terbit fajar orang
tersebut masih belum mandi, Sah puasa orang tersebut, dan dia wajib
menyempurnakan puasa. Hal ini sama ada dia sengaja melewatkan mandi atau
terlupa, sama ada ada keuzuran ataupun tidak. Inilah mazhab kami (al-Syafie)
dan mazhab para ulama kesemuanya.” (Syarah Sahih Muslim)
والله أعلم
1 comments:
alhamdulillah puasa tetap sah
makasih infonya ya
Post a Comment