KETIADAAN
REZEKI ITU ADALAH SATU REZEKI
Karya Asal: al-Syeikh Masyari al-Kharraz
Terjemahan dan sedikit olahan semula: binsahak
Bagaimana
anda berinteraksi dengan Allah… ketikamana rezeki anda tertangguh?
Barangkali terlintas
difikiran anda, hari ini saya akan berbicara tentang beberapa perkara yang
boleh menambahkan rezeki seperti memperbanyakkan istighfar, meninggalkan dosa
dan seumpamanya.. tidak.. tidak.. tidak... saya tidak akan berbicara tentang
itu, anda semua telah mengetahuinya.
Sebaliknya
hari ini, saya ingin mengubah kefahaman biasa anda tentang rezeki, kepada
kefahaman lain yang baharu. Jika anda membaca posting ini sehingga ke akhirnya,
insyaAllah ia akan mengubah kefahaman anda tentang rezeki, saya tidak
berlebih-lebihan dalam perkari ini, insyaAllah.
Cuma di awal ini anda perlu
ketahui bahawa ketiadaan rezeki itu adalah satu rezeki... bagaimana?
Ketikamana
anda tidak dikurniakan rezeki berbentuk makanan, minuman, pekerjaan dan
perniagaan, akan datang pula rezeki lain iaitulah rezeki balasan baik dan
pahala dari Allah swt. Bukankah kita semua akan diberi pahala apabila bersabar
dengan setiap musibah yang menimpa??? Oleh yang demikian, apabila ada rezeki di
dunia yang kita tidak memperolehinya, ia akan membuka pintu rezeki yang lain
iaitulah rezeki akhirat yang sudah tentu, ianya lebih utama. Allah Taala
berfirman:
وللآخرة
خير لك من الأولى
"Dan sesungguhnya akhirat
itu adalah lebih baik untukmu berbanding dunia”
(al-Dhuha:4)
MAKA JADILAH KETIADAAN
REZEKI ITU ADALAH REZEKI.
Seseorang
yang bijak, adalah orang yang tahu membezakan apakah rezeki yang biasa dan apa
pula rezeki yang hakiki. Ramai di kalangan kita, jika ditanya apakah rezeki
yang telah Allah kurniakan kepadanya. Kebiasaannya jawapan pertama yang
terlintas di fikiran mereka ialah rezeki makan, minum, anak-pinak, kerjaya,
barangkali juga rumah atau seumpamanya.... Tidak.... rezeki bukan terhenti
sekadar yang itu sahaja. Bahkan terdapat rezeki yang lebih afdhal, iaitulah
rezeki yang kekal, kerana rezeki yang kekal lebih utama dari rezeki yang tidak
kekal. Sesungguhnya rezeki berbentuk balasan baik dan pahala itu adalah rezeki
yang kekal. Adapun rezeki harta benda adalah rezeki yang sementara. Oleh itu
solat yang kita tunaikan dikira sebagai rezeki, zikir-zikir yang kita baca pada
pagi dan petang, selepas solat fardhu... semuanya adalah rezeki.
Ketikamana
anda sedang tidur, kemudian anda bangun pada 1/3 akhir malam, anda
bersendirian, tidak diperhatikan sesiapa, anda bangun, anda tunaikan solat dua
rakaat.... Perkara itu adalah rezeki. Sehinggakan ketikamana anda bangun awal
pagi untuk menunaikan solat subuh, anda tidak mengabaikannya, ia juga adalah
rezeki, kerana berapa ramai orang yang langsung tidak bangun pagi untuk
menunaikan solat subuh. Demikian juga ketika anda berhadapan dengan ujian, lalu
Allah kurniakan kekuatan bersabar menghadapinya, sehinggalah ujian itu selesai.
Itu juga adalah satu rezeki. Sama halnya, ketikamana anda berada di rumah
bersama orang tua anda, lalu bapa anda meminta dibawakan secawan air kepadanya,
maka ia juga merupakan rezeki. Ini kerana, jika anda tiada di rumah ketika itu,
sudah tentu perkara itu akan dilakukan oleh adik-beradik anda yang lain. Maka...
ketikamana anda berpeluang berbuat baik kepada orang tua, ia adalah rezeki.
Bukankah
juga, kadang-kala ketika menunaikan solat, anda merasakan fikiran anda
melayang-layang... tiba-tiba anda tersedar, lalu bersegera memberikan tumpuan
kepada solat. Rasa tersedar ini adalah daripada Allah dan ia merupakan satu
rezeki.
Inilah
dia rezeki hakiki, iaitulah rezeki yang kekal sehingga hari kiamat, yang akan
tercatit di dalam buku catitan amalan anda di akhirat kelak, kita semua
berharap agar buku catitan itu akan diserahkan kepada tangan kanan kita. Inilah
rezeki hakiki, ia bukanlah sebuah kereta, bukan juga sebuah rumah, bukan juga
sejumlah bayaran gaji yang lumayan.
INI KERANA REZEKI BERBENTUK
HARTA, AKAN DIKURNIAKAN KEPADA SEMUA MAKHLUK ALLAH SAMADA DIA SEORANG YANG
SALIH MAHUPUN SEORANG YANG JAHAT. ADAPUN REZEKI BERBENTUK BALASAN KEBAIKAN DAN
PAHALA, IA TIDAK AKAN DIKURNIAKAN OLEH ALLAH MELAINKAN UNTUK ORANG-ORANG YANG
DIKASIHINYA SAHAJA. Oleh itu sebelum kita bersedih dilewatkan
kurniaan rezeki, kita wajib terlebih dahulu mengetahui, apakah rezeki yang
wajar ditangisi kelewatannya, dan apakah pula rezeki yang kelewatannya itu
dikira sebagai suatu rezeki yang lain pula.
wallahu a'lam.
2 comments:
Alhamdulillah... Nasihat dan panduan yg amat bermanfaat bgmana mempositifkan diri ketika 'ketiadaan rezeki'.
Alhamdulillah....
Post a Comment