Thursday, July 26, 2012

Hukum Membatalkan Puasa Sunat

Soalan:

assalammualaikum.. saya ingin bertanya ..
Jika seseorang itu membatalkan puasa "sunat", adakah dia wajib mengantikannya?? walaupun secara sengaja.... inginkan kepastian. Terima kasih

Jawapan:

Seseorang yang melakukan puasa sunat memiliki pilihan sama ada hendak menyempurnakan puasanya atau membatalkannya. Ini kerana menyempurnakan puasa sunat bukan suatu yang wajib. Cuma jika disempurnakan puasa sunat itu ia adalah suatu yang Afdhal (Lebih utama). Inilah pandangan yang lebih kuat dan menjadi pilihan kami. Perkara ini disokong dengan beberapa hadis, antaranya:

Hadis riwayat Muslim (1154) daripada ‘Aisyah RA yang berkata:

 دَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَقَالَ هَلْ عِنْدَكُمْ شَيْءٌ فَقُلْنَا لا قَالَ فَإِنِّي إِذَنْ صَائِمٌ ثُمَّ أَتَانَا يَوْمًا آخَرَ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أُهْدِيَ لَنَا حَيْسٌ فَقَالَ أَرِينِيهِ فَلَقَدْ أَصْبَحْتُ صَائِمًا فَأَكَلَ

Mafhumnya: “Satu hari Nabi SAW pernah masuk menemui daku dan berkata: “Apakah ada sesuatu di rumah (untuk dimakan).” Kami menjawab: “Tiada.” Jawab baginda: “Jika begitu saya berpuasa.” Di hari lain, baginda datang menemuiku di rumah, lalu kami katakan kepada baginda: “Wahai Rasulullah, ada seseorang menghadiahkan kita Hais (Tamar bercampur keju dan lain-lain)”. Lalu baginda bersabda: “Tunjukkan kepadaku, pagi tadi aku berpuasa.” Setelah itu baginda menjamahnya.”

Kata al-Imam al-Nawawi:

فِيه التَّصْرِيحُ بِالدَّلالَةِ لِمَذْهَبِ الشَّافِعِيّ وَمُوَافِقِيهِ فِي أَنَّ صَوْم النَّافِلَة يَجُوز قَطْعُهُ , وَالأَكْل فِي أَثْنَاء النَّهَار, وَيَبْطُلُ الصَّوْمُ , لأَنَّهُ نَفْلٌ , فَهُوَ إِلَى خِيَرَة الإِنْسَان فِي الابْتِدَاء , وَكَذَا فِي الدَّوَام , وَمِمَّنْ قَالَ بِهَذَا جَمَاعَة مِنْ الصَّحَابَة وَأَحْمَد وَإِسْحَاق وَآخَرُونَ , وَلَكِنَّهُمْ كُلّهمْ وَالشَّافِعِيّ مَعَهُمْ مُتَّفِقُونَ عَلَى اِسْتِحْبَاب إِتْمَامه , وَقَالَ أَبُو حَنِيفَة وَمَالِك : لا يَجُوزُ قَطْعُهُ وَيَأْثَم بِذَلِكَ , وَبِهِ قَالَ الْحَسَن الْبَصْرِيّ وَمَكْحُول وَالنَّخَعِيّ , وَأَوْجَبُوا قَضَاءَهُ عَلَى مَنْ أَفْطَرَ بِلا عُذْرٍ , قَالَ اِبْن عَبْد الْبَرّ : وَأَجْمَعُوا عَلَى أَلا قَضَاءَ عَلَى مَنْ أَفْطَرَهُ بِعُذْرٍ . وَاَللَّهُ أَعْلَمُ

Mafhumnya: “Petunjuk hadis ini dengan jelas (menyokong) mazhab al-Syafie dan yang sependapat dengannya dimana puasa sunat itu boleh dibatalkan dan makan pada pertengahan hari, dan puasa itu menjadi terbatal, kerana ia suatu yang sunat, ia dilakukan oleh seseorang atas pilihannya sendiri, maka atas pilihan orang tersebut jika hendak meneruskannya. Antara yang mengatakan pandangan ini adalah sekumpulam Sahabat Nabi SAW, Ahmad, Ishak dan lainnya. Kesemua mereka juga termasuk al-Syafie bersepakat sunat menyempurnakan puasa sunat tersebut. Manakala Abu Hanifah dan Malik berpandangan: Tidak boleh membatalkan puasa sunat, dikira berdosa jika membatalkannya. Inilah juga pandangan al-Hasan al-Basri, Makhul dan al-Nakhaie, mereka juga mewajibkan qadha puasa sunat tersebut bagi siapa yang membatalkannya tanpa sebarang keuzuran. Berkata Ibn ‘Abd al-Bar: (Namun) kesemua ulama sepakat tidak perlu qadha puasa sunat bagi sesiapa yang membatalkannya disebabkan ada keuzuran.”  (Syarah Sahih Muslim)

Demikian juga tidak wajib menggantikan puasa sunat yang dibatalkan berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi daripada Abu Sa’id al-Khudriy RA yang berkata:

صَنَعْت لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا فَلَمَّا وُضِعَ قَالَ رَجُلٌ أَنَا صَائِمٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : (دَعَاك أَخُوك وَتَكَلَّفَ لَك , أَفْطِرْ فَصُمْ مَكَانَهُ إِنْ شِئْت) 

Mafhumnya: “Daku pernah menyediakan makanan untuk Nabi SAW, apabila makanan itu dihidangkan salah seorang lelaki berkata: “Saya berpuasa.” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Saudara kamu memanggil kamu dan dia telah bersusah-payah untuk kamu, berbukalah dan gantikan puasa itu pada hari lain jika kamu mahu.” Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini di dalam kitabnya Fath al-Bari berkata: “Isnad hadis ini Hasan, diriwayatkan oleh al-Baihaqi, dan hadis ini membuktikan tidak wajib (qadha puasa sunat).” (lihat Fath al-Bari)

والله أعلم

0 comments: