MAKNA AL-SUNNAH DARI SUDUT BAHASA DAN ISTILAH
Al-Sunnah dari sudut bahasa bermaksud: Jalan (cara) yang ditempuh, samada cara itu terpuji atau tercela. (Dari sudut penggunaan bahasa ini) menunjukkan adanya al-Sunnah al-Hasanah (Sunnah yang terpuji) dan al-Sunnah al-Sayyi-ah (Sunnah yang tercela). Maksud dari sudut bahasa ini bertepatan dengan maksud sunnah di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dan selainnya:
مَنْ سَنَّ فِيْ الإسْلامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعُدَهُ، مِنْ غَيْرِ أنْ يَنْقُصَ مِنْ أجُوْرِهِمْ شَيْءٌ، وَمَنْ سَنَّ فِيْ الإسْلامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ، مِنْ غَيْرِ أنْ يَنْقُصَ مِنْ أوْزَارِهِمْ شَيْءٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang memulakan satu jalan yang baik di dalam Islam, maka baginya pahala perlakuannya dan pahala sesiapa yang mencontohinya selepas itu, tanpa dikurangi pahala orang yang mencontohinya itu sedikitpun. Dan sesiapa yang memulakan satu jalan yang buruk di dalam Islam, untuk dia dosa perlakuannya dan dosa sesiapa yang mencontohinya selepas itu, tanpa dikurangi dosa orang yang mencontohinya itu sedikitpun.”[1]
Maka al-Sunnah di dalam hadith ini digunakan berdasarkan konteks bahasa, iaitulah sesiapa yang menempuh sesuatu jalan yang tertentu, samaada terpuji atau tercela. Maka sesiapa yang membuat contoh yang baik, dia akan mendapat pahala perbuatannya dan pahala orang lain yang mencontohinya. Sesiapa yang membuat contoh yang buruk, dia akan mendapat dosa perbuatannya dan dosa orang lain yang mencontohinya sehinggalah ke hari kiamat.
Akan tetapi, dari konteks penggunaan Syarak, perkataan al-Sunnah boleh memiliki sesuatu makna atau lebih dari satu makna.
Kebanyakan perkataan (dalam bahasa Arab) memiliki makna dari sudut bahasa, disamping ia juga memiliki makna-makna tertentu yang telah ditetapkan dari konteks penggunaan Syarak. Seperti kita katakan: al-Toharah dari sudut bahasa membawa maksud “kebersihan”. Manakala dari sudut Syarak pula ia bermaksud mengangkat hadath atau menghilangkan najis atau seumpamanya. Contoh lain perkataan al-Solah dari sudut bahasa bermaksud Doa’. Manakala dari sudut Syarak pula bermaksud beberapa perkataan dan perbuatan yang tertentu, yang dimulakan dengan takbir dan diakhiri dengan memberi salam.
Demikianlah dengan kalimah al-Sunnah, ia memiliki makna dari sudut bahasa dan makna dari sudut istilah syarak.
Dari sudut syarak terdapat beberapa makna kepada kalimah al-Sunnah:
1. Di sisi Fuqaha’ (Ulama Fekah): Ia dimaksudkan kepada salah satu hukum-hakam Syarak. Iaitu ia bertentangan dengan Fardhu dan Wajib. Maka kalimah al-Sunnah di sisi Fuqaha bermaksud Sunat atau Digalakkan, iaitulah apa-apa yang dituntut oleh Syarak melakukannya tanpa kemestian, dimana akan diberi pahala sesiapa yang melakukannya dan tidak berdosa sesiapa yang meninggalkannya. Melainkan bagi yang meninggalkannya dalam bentuk menentang dan seumpamanya. Sebagai contoh, solat dua rakaat sebelum Subuh itu adalah Sunnah, dan solat Subuh itu pula adalah Fardhu.
2. Di sisi Usuliyyin (Ulama Usul): al-Sunnah ialah apa yang datang dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam terdiri dari perkataan, perbuatan atau persetujuan. Dan ia dikira salah satu sumber dari sumber-sumber agama. Ia bersebelahan dengan al-Quran. Contoh penggunaan dengan maksud ini ada pada ungkapan: “Perkara ini thabit dari al-Quran dan al-Sunnah.”
3. Selain dari dua maksud di atas, terdapat maksud lain untuk kalimah al-Sunnah yang diberi perhatian oleh ulama. Iaitulah kalimah al-Sunnah yang maksudnya bertentangan dengan al-Bid’ah. Ia bermaksud apa-apa yang dicontoh dan disyariatkan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam kepada umat baginda, berlawanan dengan apa-apa yang direka oleh pereka-pereka selepas baginda (Bid’ah). Inilah yang dimaksudkan oleh hadith dari al-‘Irbadh bin Sariah (العرباض بن سارية), yang merupakan salah satu dari hadith-hadith empat puluh yang masyhur, disusun oleh al-Nawawi:
وَإنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلافًا كَثِيْرًا، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ، عَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُوْرِ، فَإنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya sesiapa yang hidup (selepas dariku), dia akan melihat perselisihan yang banyak, maka untuk dia ada sunnahku dan sunnah para khulafa yang mendapat petunjuk, gigitlah ia dengan geraham, dan berhati-hatilah kamu dari perkara-perkara rekaan, kerana setiap yang bid’ah itu adalah sesat.”[2]
Oleh itu, masyhur di kalangan Sahabat Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam membezakan antara al-Sunah dan al-Bid’ah. Mereka akan berkata:
مَا أحْدَثَ قَوْمٌ بِدْعَةً إلا أضَاعُوْا مِثْلَهَا مِنْ السُّنَّةِ
Maksudnya: “Tidak ada satu kaum yang mengadakan satu bid’ah melainkan mereka akan menghilangkan sunnah yang seumpama dengannya.”
Ibn Mas’ud berkata:
الاقْتِصَادُ فِيْ السُنَّةِ خَيْرٌ مِنْ الاجْتِهَادِ فِيْ الْبِدْعَةِ
Maksudnya: “Bersederhana dengan al-Sunnah lebih baik dari bersungguh-sungguh di dalam al-Bid’ah”[3]
Maksud al-Sunnah yang inilah yang akan menjadi tajuk bicara kita pada malam ini. Adapun maksud-maksud yang lain bukanlah tajuk bicara kita. Kita telah nyatakan tentang maksud-maksud yang lain itu samada maksud al-Sunnah sebagai salah satu sumber agama atau maksud al-Sunnah sebagai apa-apa yang berupa perkataan, perbuatan, persetujuan, ciri-ciri dan sirah Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam. Sebaliknya yang hendak kita bicarakan dalam majlis ini ialah tentang al-Sunnah dalam erti berlawanan dengan al-Bid’ah. Iaitulah apa-apa yang disunnahkan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam kepada umat baginda… yang berupa petunjuk baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam, iaitulah sebaik-baik petunjuk, seperti perkataan ‘Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anh:
إنَّمَا هُمَا الكَلامُ وَالْهَدْيُ، وَخَيْرُ الْكَلامِ كَلامُ الله، وَخَيْرُ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Hanya sesungguhnya kedua itu adalah perkataan dan petunjuk, dan sebaik-baik perkataan adalah perkataan Allah, dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam.”
‘Umar mengambil ungkapan ini dari khutbah Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam:
أمَّا بَعْدُ، فَإنَّ خَيْرَ الْحَدِيْثِ كِتَابُ اللهِ، وَخَيْرَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَشَرَّ الأمُوْرِ مُحْدَثَاتُهَا، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ
Maksudnya: “Amma ba’d: Sesungguhnya sebaik-baik perkataan itu adalah Kitab Allah, dan sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Muhamad Sallallahu ‘alaihi wasallam, manakala seburuk-buruk perkara itu adalah yang diada-adakan, dan setiap bid’ah itu adalah sesat.”[4]
Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam telah memberi amaran dari membuat bid’ah, dan mengarahkan umat Islam supaya mengikut sunnah baginda, dan bersungguh-sungguh berpegang dengannya. Baginda bersabda:
لَقَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلى مِثْلِ الْبَيْضَاء، لُيْلُهَا كَنَهَارِهَا، لا يَزِيْغُ عَنْهَا إلا هَالِكٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah tinggalkan kamu semua sesuatu yang jelas, malam bagaikan siang, tidak ada yang terpesong darinya melainkan orang yang binasa.”[5]
[1] Potongan dari hadith riwayat Muslim, al-Nasa-ie, Ibn Majah dan al-Tirmizi secara ringkas. Sila lihat al-Muntaqa min Kitab al-Targhib wa al-Tarhib oleh al-Qaradhawi: 1/115 hadith: 41.
[2] Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban di dalam Sahihnya dan Ahmad. Al-Tirmizi berkata: Hadith ini Hasan Sahih. (al-Muntaqa min Kitab al-Targhib wa al-Tarhib: 1/110, hadith 24)
[3] [Tambahan dari penterjemah] Riwayat al-Darimi dengan lafaz:
القصد في السنة خير من الاجتهاد في البدعة
Al-Sayyid Abu ‘Asim Nabil bin Hashim menyebut: القصد في السنة membawa maksud “Memadai dengan sunnah samada kecil atau sedikit, adalah lebih utama berbanding memperbanyakkan selain darinya sekalipun kelihatan baik pada zahirnya.” Athar ini diriwayatkan juga oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak 1/103 dan berkata: “Hadith ini Musnad Sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim, akan tetapi mereka tidak memuatkannya di dalam kitab Sahih mereka berdua.” Perkataan al-Hakim ini dipersetujui oleh al-Zahabi. Sila lihat Fath al-Mannan oleh al-Sayyid Abu ‘Asim Nabil bin Hashim al-Ghamari syarah kepada kitab al-Musnad al-Jami’ oleh al-Darimi. Jilid 2, Bahagian nota kaki. hal: 288-289.
[4] Riwayat Muslim daripada Jabir bin ‘Abdillah
[5] Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, Ibn Abi ‘Asim dengan Sanad yang Hasan. Sila lihat al-Multaqa min Kitab al-Targhib wa al-Tarhib: 1/114, hadith 39
0 comments:
Post a Comment