Friday, October 28, 2011

Azan Di Telinga Bayi (5)

1. Azan pada telinga kanan bayi sebaik sahaja dilahirkan.

- Daripada Abi Rafi’ katanya:

رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم أذن في أذن الحسن بن علي حين ولدته فاطمة

Mafhumnya: “Saya telah melihat Rasulullah SAW mengazankan di telinga al-Hasan bin ‘Ali setelah ia dilahirkan oleh ibunya Fatimah.” (HR Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Hakim. Dihukum sahih oleh al-Tirmizi dan al-Hakim. Namun hadith ini dihukum lemah oleh ulama hadith yang lain seperti al-Albani)

Persoalan azan di telinga kanan bayi, demikian juga iqamah di telinga kiri bayi merupakan persoalan yang menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama. Sebahagian berpendapat ianya sunat, seperti beberapa ulama di dalam mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Al-Imam al-Nawawi (dari Mazhab al-Syafie) berkata:

“Berdasarkan sunnah, diazankan di telinga bayi ketika ia dilahirkan samada lelaki mahupun perempuan sepertimana lafaz azan solat, berdasarkan hadith Abu Rafi’ yang disebut oleh penulis. Sekumpulan sahabat kami berkata: Disunatkan azan di telinga kanan bayi dan diiqamahkan di telinga kirinya.”[1]

Namun amalan ini dianggap makruh oleh Imam Malik bin Anas. Di dalam kitab Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil oleh al-Hathab al-Maliki dinyatakan:

“(Imam) Malik menganggap makruh diazankan di telinga bayi yang baru dilahirkan…”[2]

al-Syeikh Salman bin Nasir al-‘Ulwan berkata: “Hadith yang ada tentang azan di telinga bayi yang baru lahir tidak thabit…, dan tidak ada yang sahih dalam perkara ini sesuatu hadithpun. Oleh itu azan di telinga bayi yang baru lahir tidak disunatkan. Ini kerana hukum-hakam syarak yang terdiri dari perkara-perkara wajib, sunat, haram dan makruh tidak boleh ada melainkan dengan dalil-dalil yang sahih dan khabar-khabar yang thabit.” (Nukilan dari Laman al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Munajjid http://islam-qa.com/ar/)

al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz Abdullah bin Baz menyebut: “Perkara ini (azan di telinga bayi yang baru lahir) disyariat di sisi sekumpulan ulama. Terdapat beberapa hadith dalam perkara ini akan tetapi sanadnya bermasalah, jika seseorang melakukannya ia perkara yang baik, kerana ia termasuk dari kebiasaan yang dilakukan dan sukarela. Di dalam sanad hadith tersebut ada ‘Asim bin ‘Ubaidillah bin ‘Asim bin ‘Umar bin al-Khattab, padanya ada kelemahan, dan baginya pula ada syawahid (sokongan). Sesungguhnya Nabi sallallah ‘alaih wa sallam telah menamakan anaknya Ibrahim, tetapi tidak ada bukti baginda azan ketika dilahirkan Ibrahim (anak baginda), tidak ada juga bukti baginda azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri Ibrahim. Demikian juga dengan anak-anak golongan Ansar yang di bawa kepada baginda untuk baginda tahnik dan memberikannya nama, tidak saya dapati baginda melaungkan azan dan iqamat di telingan mereka. Akan tetapi jika seseorang mukmin melakukannya berdasarkan hadith yang saya nyatakan tadi, ia tidak mengapa, kerana ia saling kuat menguatkan. Dan urusan dalam perkara ini ada keluasan, jika seseorang melakukannya ia suatu yang baik, kerana hadithnya saling kuat menguatkan, dan jika ditinggalkan (azan) ia juga tidak mengapa.” (Nukilan dari lamanweb rasmi al-Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz: http://www.binbaz.org.sa/)

Ketika ditanya kepada al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin rahimahullah tentang persoalan ini beliau menjawab:

أما حديث الإقامة في اليسرى فإنه ضعيف وأما حديث الأذان في أذنه اليمنى فلا بأس به على أن فيه مقالا أيضا ولكن هذا يكون حين الولادة مباشرة قال العلماء والحكمة في ذلك أن يكون أول ما يسمعه الأذان الذي هو النداء إلى الصلاة والفلاح وفيه تعظيم الله وتوحيده والشهادة لنبيه صلى الله عليه وسلم بالرسالة

Mafhumnya: “Adapun hadith tentang iqamat di telinga kiri (bayi), sesungguhnya ia adalah hadith yang lemah, adapun hadith azan di telinga kanan, tidak mengapa dengannya, dalam keadaan hadith itu juga bermasalah, akan tetapi perkara ini (azan di telinga bayi) dilakukan sebaik sahaja ia dilahirkan. Para ulama berkata: hikmah perbuatan ini adalah untuk menjadikan perkara pertama yang bayi itu dengar ialah azan yang merupakan seruan kepada solat dan kejayaan, di dalamnya juga terdapat ungkapan mengagungkan Allah, mentauhidkanNya dan penyaksian kepada kerasulan Nabi sallallah ‘alaih wa sallam.” (Fatawa Nur ‘ala al-Darb. Nukilan dari lamanweb rasmi al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin: http://www.ibnothaimeen.com/)



[1] Sila lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab oleh al-Imam al-Nawawi pada Bab al-‘Aqiqah

[2] Sila lihat Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil, pada Kitab al-Solah, Fasl al-Azan wa al-Iqamah oleh Muhammad bin Muhammad bin ‘Abd al-Rahman (al-Hathab).

0 comments: