Thursday, August 5, 2010

Hukum-hakam Puasa: Guna Inhaler

Diterjemah dan diolah oleh: M.A. Kadir Sahak
Sumber: Mufattirat al-Siyam al-Mu’asarah oleh Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil. Pembantu Profesor Fakulti Fiqh Universiti al-Qasim.

-----------------------------

Para ulama semasa berbeza pandangan tentang penggunaan Inhaler bagi orang yang berpuasa.

Pandangan pertama: TIDAK MEMBATALKAN PUASA. Inilah juga pandangan al-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz ‘Abdullah bin Baz r.h., al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin r.h., al-Syeikh ‘Abdullah bin Jibrin r.h., al-Syeikh Dr. al-Siddiq al-Dharir, dan Dr. Muhammad al-Khayyath, demikian juga Jawatankuasa Fatwa Arab Saudi.

Bukti Penghujahan:

1. Unsur yang masuk ke tekak ketika penggunaan inhaler, kemudian terus masuk ke perut terlalu sedikit. Perkara ini tidak membatalkan puasa dengan dikiaskan kepada lebihan atau air yang masih berbaki di dalam mulut kerana berkumur (al-Madhmadhah) dan menyedut air ke hidung (al-Isyintinsyaq) ketika berwudhu.

Penjelasan:

- Satu-satu inhaler mengandungi 10 ml cecair yang mengandungi ubat. Kuantiti sebanyak ini secara asasnya akan mengeluarkan 200 semburan. Ini bermakna setiap semburan akan keluar sebahagian dari 1 ml. Ini menunjukkan setiap semburan terbentuk kurang dari satu titisan. Satu titis ini pula akan terbahagi kepada beberapa bahagian yang kebanyakannya akan masuk ke alat pernafasan tubuh, dan sebahagian kecil yang lain akan tertinggal di dinding tekak mulut, dan yang selebihnya akan turun ke perut. Jumlah yang amat sedikit ini termasuk perkara yang dimaafkan dengan dikiaskan kepada air yang berbaki selepas berkumur dan menyedut air ke hidung ketika berwudhu. Bahkan air yang berbaki dari berkumur dan menghisap air ke hidung ketika berwudhu itu lebih banyak jika dibandingkan dengan air yang berbaki dari semburan inhaler.

2. Masuknya sesuatu ke dalam perut hasil dari penggunaan inhaler bukan sesuatu yang pasti, sebaliknya ia sekadar sangkaan, barangkali ia masuk ke dalam perut dan barangkali juga tidak, kerana kadar cecair yang digunakan terlalu sedikit. Oleh kerana itu puasa orang yang menggunakan inhaler dikira SAH dan TIDAK batal berdasarkan kaedah yang menyebut: “Perkara yang yakin tidak boleh dihilangkan dengan keraguan”

3. Penggunaan inhaler tidak menyamai makan dan minum.

4. Para Doktor mengesahkan bahawa siwak mengandungi 8 jenis bahan kimia yang berperanan membersihkan gigi dan kotoran yang penyebab sakit. Dan unsur kimia ini akan meresap bersama air liur dan akan masuk ke dalam tekak. Sedangkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari menunjukkan Nabi s.a.w. sentiasa bersiwak ketika berpuasa. Daripada ‘Amir bin Rabi’ah berkata: “Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w. bersiwak ketika baginda berpuasa, dalam kekerapan yang tidak boleh dihitung.” (H.R. al-Bukhari secara ta’lik di dalam Bab Siwak)

Oleh itu, unsur kimia yang masuk ke dalam badan ketika bersiwak termasuk perkara yang dimaafkan disebabkan jumlah yang sedikit dan tidak dimaksudkan. Maka penggunaan inhaler juga adalah termasuk dalam perkara yang sama.


Pandangan Kedua: Penggunaan inhaler MEMBATALKAN PUASA, tidak boleh menggunakannya dalam bulan Ramadhan melainkan ketika ada keperluan bagi pesakit dan puasa hari tersebut hendaklah diganti pada bulan lain. Inilah pandangan Dr. Fadhal Hasan ‘Abbas, al-Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Salamiy, Dr. Muhammad al-Alfiy, al-Syeikh Muhammad Taqiyuddin al-‘Uthmaniy dan Dr. Wahbah al-Zuhailiy.

Bukti Penghujahan:

1. Kandungan inhaler atau semburan akan sampai atau masuk ke dalam perut melalui mulut. Maka ia membatalkan puasa.


Namun hujah ini dijawab dengan hujjah pertama dari pandangan pertama. (Sila rujuk di bahagian atas)

Kata Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil: “Aku tidak dapati bagi golongan yang kedua ini bukti yang lain salain dari yang ini.” Seterusnya beliau melakukan tarjih (pemilihan pendapat yang terkuat) dengan berkata:

“Yang jelas, Allah sahaja yang lebih mengetahui, Inhaler TIDAK membatalkan puasa. Ini kerana apa yang dinyatakan (hujah) oleh mereka yang berpendapat TIDAK batal puasa adalah terserlah. Dan kias yang mereka gunakan terhadap berkumur dan bersiwak adalah kias yang benar. Dan Allah sahaja yang lebih mengetahui.”
wallahu a'lam. bs

5 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum,

minta izin utk copy dan siaran

Hanan Ben said...

salam. mintak copy utk tatapan pembaca.

bin sahak said...

Dato' Jeli & nurul hanan... Silakan... tak ada masalah

cups said...

saya nk copy untuk assignment saya.:) terima kasih.:)

Bonde Zaidalifah said...

mohon share di blog..