Monday, November 9, 2009

Kaedah Istinbath Mazhab al-Syafie Dalam Bab Wudhu 4


1.5 Skop Kajian

Kajian ini memberikan tumpuan khusus kepada kaedah istinbat yang ditempuh di dalam mazhab al-Syafie di dalam bab Wudhu sahaja. Bab wudhu berdasarkan pandangan kebanyakan ulama merupakan satu bab yang termasuk di dalam pembahagian ibadah yang tulen (عبادة محضة), dimana tatacaranya telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. dan Rasul-Nya S.A.W.

Oleh kerana itu, kita akan dapati kebanyakan hukum yang diistinbatkan di dalam permasalahan wudhu ini adalah bersandarkan sama ada ayat al-Quran ataupun hadith-hadith dari Nabi S.A.W. Namun dalam masa yang sama perbezaan pendapat tetap akan berlaku di kalangan ulama terutama dalam usaha mereka memahami, memperincikan tatacara atau mengenalpasti hukum sesuatu perlakuan samaada wajib, sunat dan sebagainya.

Penulisan ini juga hanya akan memfokuskan terhadap perkara-perkara asas wudhu, tanpa membicarakan secara panjang lebar persoalan-persoalan khilaf yang wujud di kalangan ulama mazhab al-Syafie sendiri mahupun dari mazhab yang lainnya. Penulis juga tidak akan melakukan tarjihan dari pandangan yang berbagai, demikian juga tanpa membentangkan tatacara terperinci yang dibahaskan dikalangan para fuqaha. Melainkan dibeberapa tempat penulis menyebutnya secara ringkas.

Ini kerana fokus utama tulisan ini adalah membentangkan kaedah-kaedah istinbat mazhab al-Syafie dalam bab wudhu. Oleh itu perhatian hanya diberi kepada tajuk yang ingin diketengahkan oleh penulis.

Dalam penulisan ini, objek yang dijadikan kajian ialah permasalahan wudhu. Pemilihan ini kerana melihat kepada beberapa factor:

- Kepentingan wudhu yang termasuk di dalam bab Toharah. Ia berperanan menentukan diterima atau tidaknya solat yang dilakukan.

- Perhatian yang diberikan oleh Islam terhadap toharah atau bersuci sehingga di dalam sebuah hadith Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Bersuci itu sebahagian daripada iman.”[1]

- Kedudukan toharah yang diberi perhatian oleh para fuqaha, sehingga semua kitab-kitab fiqh akan memulakan perbincangan mereka dengan bab taharah atau bersuci.

- Wudhu termasuk perkara yang dilazimi oleh umat Islam samaada di kalangan orang kebanyakan mahupun agamawan. Ia membantu dalam memudahkan untuk memahami persoalan yang dibincangkan.

Sebagai permulaan dalam usaha memberi pendedahan kepada umat Islam terhadap kaedah istinbath di dalam mazhab al-Syafi’e. Jadi ia mengambil kira perkara-perkara asas di dalam ibadah yang termasuk di dalamnya bab wudhu.


---------------------------

[1] H.R. Muslim, bil: 223

2 comments:

Kajian Al-Quran said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Unknown said...
This comment has been removed by the author.