Sunday, July 26, 2009

Gambar Dr Mustafa al-Bugha


Salah satu bukunya yang masyhur di Malaysia ialah buku al-Fiqh al-Manhaji 'ala Mazhab al-Imam al-Syafie. Demikian juga beliau telah menambahkan lagi nilai kitab Matn Abi Syuja' dengan menyertakan dalil-dalil al-Naql terhadap pandangan-pandangan yang ada di dalamnya, beliau menamakan kitab beliau ini dengan al-Tazhib fi Adillah Matn al-Ghayah wa al-Taqrib (التذهيب في أدلة متن الغاية والتقريب), maka sewajarnya bagi setiap orang yang membaca kitab Matn Abi Syuja' untuk memiliki dan membaca kitab beliau ini. Beliau Dr. Mustafa Dib al-Bugha (د. مصطفى ديب البغا) merupakan seorang ulama mazhab al-Syafie semasa.

Sunday, July 12, 2009

Sifat-sifat utama bagi para ulama hadith


1. Menghafal hadith-hadith yang sahih dan yang tidak sahih dan dapat membezakan antara keduanya


2. Mereka dari kalangan ulama dan fuqaha (alim dan faqih) dengan sunan dan athar.


3. Memiliki pengetahuan yang cukup luas terhadap para periwayat athar, mengenali perawi-perawi yang adil dan yang ditajrih.


4. Memiliki ketakwaan, kewarakan, kezuhudan, kesucian akhlak dan jiwa.


5. Mereka dari kalangan yang berani menyatakan kebenaran, mereka tidak takutkan celaan orang yang mencela, samaada di sisi sultan, orang-orang yang menyeleweng dari kalangan ahli bid'ah.


6. Memiliki pemikiran yang benar, dan kebijaksanaan yang baik, dan kepintaran kefahaman.

Thursday, July 2, 2009

Bila Tamatnya Waktu 'Isya?



Para ulama membahagikan waktu solat kepada waktu ikhtiariy (الإختياري) dan waktu al-Idhtiroriy (الإضطراري). Waktu al-Ikhtiyari bagi solat ‘isya ialah sehingga sebahagian malam. Manakala waktu al-Idhtiroriy pula berlanjutan sehingga terbitnya fajar sidik.

Maksud waktu al-Ikhtiariy: ialah waktu yang dibenarkan solat di dalamnya tanpa makruh, samaada di awal waktu ikhtiyari ini atau di akhirnya.

Manakala maksud waktu al-Idhtiroriy: ialah waktu yang tidak boleh dilewatkan solat sehingga masuk waktunya melainkan bagi orang-orang yang berada dalam keuzuran seperti orang gila yang normal setelah berlalunya waktu al-Ikhtiyariy, wanita yang suci daripada haid selepas waktu ikhtiyariy, orang yang tertidur dan terjaga selepas waktu ikhtiyariy, terlupa dan teringat selepas waktu ikhtiyariy, org kafir yang baru memeluk islam atau budak yang baru baligh selepas waktu ikhtiyariy.

Ini menunjukkan tidak boleh melewatkan solat ‘isya sehingga habisnya waktu al-Ikhtiyari melainkan bagi orang-orang yang memiliki keuzuran seperti yang disebut di atas.

Perkara ini berdasarkan hadith Nabi S.A.W.

وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ

Maksudnya: “Dan waktu solat ‘isya ialah sehingga sebahagian malam yang pertengahan.”
Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim menyebut, maksudnya hadith ini ialah: “waktu menunaikannya dlm waktu al-Ikhtiyariy.” (5/111)
Badan Fatwa Arab Saudi di dalam fatwa mereka menyebut:

ووقت العشاء من غيبوبة الشفق الأحمر إلى نصف الليل ، وهذا وقت الاختيار لها ، ووقت الاضطرار من نصف الليل إلى طلوع الفجر

Maksudnya: “Waktu ‘isya itu bermula dari luputnya awan merah (habis waktu maghrib) sehingga pertengahan malam, ini adalah waktu al-Ikhtiyar, manakala waktu al-Idhthiror bermula dari sebahagian malam sehingga terbitnya fajar.” (6/113)
Al-Syeikh Abdul Aziz Abdillah bin Baz menyebut:

فإذا غاب الشفق - وهو : الحمرة في جهة المغرب - انتهى وقت المغرب ، ودخل وقت العشاء إلى نصف الليل ، وما بعد نصف الليل وقت ضرورة لوقت العشاء ، فلا يجوز التأخير لما بعد نصف الليل ولكن ما بين غروب الشفق إلى نصف الليل كله وقت اختياري للعشاء ، فلو صلاها بعد نصف الليل أداها في الوقت ، لكن يأثم ؛ لأنه أخرها إلى وقت الضرورة

Maksudnya: “Apabila telah hilangnya awan merah – iaitu awan merah sebelah barat – tamatlah waktu maghrib dan masuknya waktu ‘isya sehingga pertengahan malam. Dan apa yang selepas pertengahan malam adalah waktu dhorurah (al-Idhthirar) bagi solat ‘isya, tidak boleh melewatkan solat ‘isya sehingga selepas pertengahan malam, antara hilangnya awan merah sehingga pertengahan malam itu adalah waktu al-Ikhtiyariy bagi solat ‘isya, jika seseorang menunaikan solat ‘isya selepas pertengahan malam (selepas tamatnya waktu al-Ikhtiyariy) dia telah menunaikan solat itu di dalam waktunya, akan tetapi dia dikira berdosa, kerana melewatkan solat ‘isya sehingga masuk waktu dharurah.” (Fatwa Bin Baz 10/384)

wallahu a'lam.