Tuesday, June 24, 2008

Had Keuntungan dalam perniagaan


Majlis Kesatuan Fiqh Islami pada persidangan ke- 5 di Kuwait dari 1-6 Jumadilawwal 1409 bersamaan 10-15 Disember 1988M.

Setelah meneliti kajian-kajian oleh ahli dan pakar dalam persoalan menetapkan keuntungan perniagaan, dan setelah mendengar perbahasan sekitarnya membuat keputusan seperti berikut:

1. Hukum asal yang diperakui oleh nas-nas dan kaedah-kaedah syara’ memberi kebebasan kepada orang ramai dalam urusan jual beli, menguruskan barang-barang dan harta mereka di bawah peruntukan-peruntukan hukum-hakam syariah dan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan, sebagai mempraktikkan firman Allah S.W.T: (Maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu memakan harta sesama kamu dengan cara yang batil, melainkan kamu mengadakan urusan perniagaan sesama yang saling meredhai.”

2. Tidak ada had keuntungan tertentu yang ditetapkan kepada para peniaga di dalam perniagaan mereka. Bahkan ianya diserahkan kepada mereka berdasarkan situasi-situasa umum perniagaan, situasi peniaga dan barang perniagaan dengan meraikan adab-adab yang dituntut oleh syariah seperti bertimbangrasa, rasa cukup, kemurhan hati dan memberi kemudah.

3. Himpunan nas-nas syara’ menunjukkan wajibnya perniagaan itu bebas daripada anasir-anasir haram seperti penipuan, helah pemalsuan, mengelirukan, memalsukan keuntungan sebenar dan memonopoli barang yang akan memudharatkan individu dan masyarakat.

4. Pemerintah tidak masuk campur untuk menentukan harga barang melainkan jika berlaku ketidakseimbangan yang jelas dipasar dan pada harga-harga barang, ketika itu pemerintah masuk campur dengan cara yang adil yang dapat menghalang dari faktor-faktor dan sebab-sebab ketidakseimbangan, kenaikan harga, penipuan, dan kejahatan.


------------------


قرار رقم : 46 (8/5)
تحديد أرباح التجار

مجمع الفقه الإسلامي المنبثق عن منظمة المؤتمر الإسلامي 16/2/1429
23/02/2008

إن مجلس مجمع الفقه الإسلامي المنعقد في دورة مؤتمرها الخامس بالكويت من 1-6 جمادى الأول1409هـ الموافق10-15 كانون الأول (ديسمبر)1988م،
بعد اطلاعـه على البحوث المقدمة من الأعضاء والخبراء في موضوع تحديد أرباح التجار ، واستماعه للمناقشات التي دارت حوله ،
قرر ما يلي :
أولاً : الأصل الذي تقرره النصوص والقواعد الشرعية ترك الناس أحراراً في بيعهم، وشرائهم، وتصرفهم في ممتلكاتهم وأموالهم، في إطار أحكام الشريعة الإسلامية الغراء وضوابطها ، عملاً بمطلق قول الله تعالى : (يا أيها الذين آمنوا لا تأكلوا أموالكم بينكم بالباطل إلا أن تكون تجارة عن تراض منكم ) .
ثانياً : ليس هناك تحديد لنسبة معينة للربح يتقيد بها التجار في معاملاتهم ، بل ذلك متروك لظروف التجارة عامة، وظروف التاجر والسلع ، مع مراعاة ما تقضي به الآداب الشرعية من الرفق، والقناعة، والسماحة، والتيسير .
ثالثاً : تضافرت نصوص الشريعة الإسلامية على وجوب سلامة التعامل من أسباب الحرام وملابساته كالغش ، والخديعة ، والتدليس ، والاستغفال ، وتزييف حقيقة الربح، والاحتكار الذي يعود بالضرر على العامة والخاصة .
رابعاً : لا يتدخل ولي الأمر بالتسعير إلاّ إن حدث خلل واضح في السوق والأسعار ، ناشئ من عوامل مصطنعة ، فإن لولي الأمر حينئذ التدخل بالوسائل العادلة الممكنة التي تقضي على تلك العوامل وأسباب الخلل والغلاء، والغبن، الفاحش .

والله الموفق

Monday, June 23, 2008

Menghapuskan harta riba dengan memberikannya kepada fakir


Menghapuskan harta riba dengan memberikannya kepada fakir
Oleh: al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Munajjid

Jika seseorang pernah berinteraksi dengan riba, kemudian dia bertaubat dan dia hendak menghapuskan harta ribanya itu, maka harus dia memberikan harta tersebut kepada golongan fakir, demikian juga jika pihak bank memasukkan sejumlah riba ke dalam akaunnya, akan tetapi pemberiannya kepada fakir dengan duit riba ini tidak dikira sebagi sedekah, ini kerana Allah tidak menerima melainkan yang baik sahaja. Adapun berterusan berinteraksi dengan riba adalah satu perbuatan dosa besar. Mengambil harta riba itu seumpama mencabar Allah dan Rasul, sekalipun dia berinteraksi dengan riba kerana hendak memberikannya kepada golongan fakir.

Thursday, June 12, 2008

Akidah Ibn Hajar dan al-Nawawi


Soalan:

Saya mendengar sebahagian penuntut ilmu menyifatkan Ibn Hajar dan al-Nawawi sebagai Asya’irah. Kami mengetahui mereka berdua ada mentakwilkan sebahagian nama-nama dan sifat-sifat Allah. Akan tetapi apakah boleh kita menisbahkan mereka berdua kepada Asya’irah secara mutlak ?

Jawapan:

Oleh: Dr. Abdul ‘Aziz bin Muhammad al-‘Abd al-Latif (Uni. Al-Imam Muhammad bin Sa’ud)

Imam al-Nawawi –R.H- adalah dari kalangan imam-imam yang besar dan dari kalangan ulama rabbaniyyin. Allah telah menentukan bagi penulisan-penulisannya penerimaan (orang ramai) dan tersebar luas. Dan al-Imam al-Nawawi bukanlah seorang As’ari tulen, walaupun beliau sama dengan Asya’irah dalam mentakwilkan sebahagian sifat Allah atau mentafwidhkannya, tetapi kesibukan beliau banyak kepada hadith-hadith Rasulullah S.A.W. yang memelihara beliau dari banyak terjatuh ke dalam ketergelinciran-ketergelinciran Asya’rah.

Demikian juga al-Hafidz Ibn Hajar, sesungguhnya beliau adalah dari kalangan tokoh-tokoh imam (umat Islam), dan dari kalangan cendikiawan para pentahkik, beliau sama dengan Asya’irah dalam sebahagian penakwilan sifat Allah atau mentafwidhnya, akan tetapi beliau juga ada mengkritik Asya’irah dalam sebahagian kepercayaan akidah mereka seperti persoalan iman dan perkara awal yang wajib ke atas mukallaf.

Kami (Dr. Abdul ‘Aziz Muhammad ‘Abdul Latif) menasihati orang yang bertanya dan seluruh umat Islam untuk menyibukkan diri dengan perkara yang bermanfaat dan memberi perhatian terhadap kitab tulisan dua orang imam ini terutamanya kitab Riyadh al-Solihin, al-Azkar, Syarh Sohih Muslim oleh al-Nawawi, Fath al-Bari oleh Ibn Hajar, dan tidak menghukum seseorang melainkan dengan ilmu dan adil, wa billahi al-Taufiq.

------------------

فإن الإمام النووي -رحمه الله- من الأئمة الكبار والعلماء الربانيين ، وقد كتب الله لمؤلفاته القبول والانتشار ، ولم يكن الإمام النووي -رحمه الله- أشعرياً محضاً ، فإنه وإن وافق الأشاعرة في تأويل جملة من صفات الله –تعالى- أو تفويضها ، إلا أن اشتغاله بحديث رسول الله -صلى الله عليه وسلم- حفظه عن الوقوع في كثير من مزالق الأشاعرة .
وكذا الحافظ ابن حجر ، فإنه من الأئمة الأعلام، والجهابذة المحققين ، وقد وافق الأشاعرة في تأويل صفات ٍ لله -تعالى- أو تفويضها ، لكن نقد الأشاعرة في جملة من عقائدهم كمسألة الإيمان وأول واجب على المكلف .
ونوصي السائل وسائر إخواننا بالاشتغال بما ينفع ، والاهتمام بكتب هذين الإمامين لاسيما ( رياض الصالحين) و( الأذكار) و(شرح صحيح مسلم للنووي )، (وفتح الباري) لابن حجر، وأن لا يحكم على الأشخاص إلا بعلم وعدل ، وبالله التوفيق

Wednesday, June 11, 2008

Hukum Kencing Berdiri

TIDAK diharamkan seseorang kencing berdiri, terutamanya apabila adanya keperluan. Namun begitu kencing secara duduk itu adalah sunat kerana itulah kebiasaan yang dilakukan oleh Nabi S.A.W. berdasarkan hadith daripada ‘Aisyah R.A.:
مَنْ حَدّثَكُمْ أنَّ النَّبِيَّ صَلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَبُوْلُ قَائِمًا فَلَا تُصَدِّقُوْهُ ، مَا كَانَ يَبُوْلُ إلَّا قَاعِداً
Maksudnya: “Sesiapa yang menceritakan kepada kamu yang Nabi S.A.W. pernah kencing berdiri, maka janganlah kamu mempercayainya, tidaklah baginda kencing melainkan dengan duduk.” (HR al-Tirmizi, dan beliau berkata: “Hadith ini adalah yang paling sahih di dalam bab ini." Hadith ini juga di sahihkan oleh al-Albani di dalam sahih Sunan al-Tirmizi)

Lajnah Daimah 5/88 (Badan Tetap Fatwa Arab Saudi) apabila ditanya tentang hukum kencing berdiri, mereka menyatakan keharusannya sambil menegaskan sunatnya kencing secara duduk dengan berdalilkan hadith di atas. Seterusnya mereka menyebut:

“Ini disebabkan (kencing secara duduk itu) ianya lebih terlindung dan lebih terpelihara daripada terkena percikan kencingnya. Telah diriwayatkan hadith tentang keringanan kencing secara berdiri dengan syarat selamat daripada terkena percikan kencing pada pakaian dan badan, dan selamat dari terdedah aurat. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Huzaifah R.A. daripada Nabi S.A.W.:
أنَّهُ أَتَى سُبَاطَةَ قَوْمٍ فَبَالَ قَائِماً
Maksudnya: “Adalah baginda (S.A.W.) mendatangi kebun milik satu kaum, lalu baginda kencing secara berdiri.”

Hadith ini dengan ucapan ‘Aisyah di atas tidak saling menafikan antara keduanya, ini kerana dari dua hadith di atas dapat difahami Nabi S.A.W. kencing berdiri disebabkan tenpat tersebut tidak memungkinkan baginda duduk atau boleh juga difahami hadith daripada Huzaifah itu menjelaskan kepada orang ramai yang kencing berdiri itu bukanlah suatu perbuatan yang haram. Di samping itu hadith Huzaifah juga tidak menafikan yang asal hukum kencing adalah seperti yang dinyatakan oleh ‘Aisyah R.’anha yang Nabi S.A.W. kebiasaannya kencing secara duduk, dan kencing secara duduk itu adalah Sunnah Nabi S.A.W. yang bukan wajib yang menjadikan haram jika kita tidak melakukannya.”

Wallahu a’lam.

Sujud Semata-mata Hendak Berdoa


Soalan:

Ada orang apabila mereka hendak berdoa kepada Allah mereka bersujud. Apakah ini termasuk di dalam sunnah Nabi S.A.W.?

Jawapan:

Tidak ada di dalam syariat Islam, cara mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan sujud melainkan sujud di dalam solat atau disebabkan sebab-sebab khusus seperti sujud sahwi, tilawah dan sujud syukur.

Adapun sujud hanya kerana untuk berdoa tidak terdapat petunjuk dari sunnah Nabi S.A.W. Bahkan berdasarkan sunnah berdoa adalah dengan mengangkat kedua belah tangan, sepertimana hadith:

إِنَّ رَبَّكُمْ تَبَارَكَ وَتَعَالَى حَيِيٌّ كَرِيمٌ ، يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إِلَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhan kamu, Tabaraka wa ta’ala, pemalu dan maha mulia, Dia malu dengan hambaNya yang mengangkat kedua tangan (berdoa kepadaNya), dan menjatuhkannya dalam keaadaan tidak memperoleh sesuatupun.” (HR Abu Daud, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Abu Daud)

Oleh itu melakukan sujud semata-mata hendak berdoa adalah suatu perbuatan yang tidak sunnah, kerana Nabi S.A.W. tidak pernah melakukannya. Disamping perbuatan itu juga mengurangi sunnah yang sepatutnya di dalam berdoa iaitulah dengan mengangkat tangan.

Wallahu a’lam.

Tuesday, June 10, 2008

Kenali Perjudian


Semua umat Islam telah bersepakat dengan HARAMnya judi, ia kerana judi merupakan tindakan mengambil harta orag lain dengan cara yang batil. Allah S.W.T. berfirman:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ * إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاء فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللّهِ وَعَنِ الصَّلاَةِ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya khamar, judi, berhala dan bertenun nasib adalah perbuatan keji dari perbuatan syaitan, maka hendaklah kamu semua menjauhinya, mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan. Sesesungguhnya Syaitan itu mahu mewujudkan permusuhan dan kebencian diantara kamu disebabkan khamar dan judi dan menghalangi kamu semua dari mengingati Allah dan solat, maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekarjaan itu).” (al-Maidah: 90-91)

Sebab diturunkan ayat ini seperti yang diriwayatkan oleh al-Tobari (الطبري) di dalam Jami’ al-Bayan (2/369) daripada Ibn ‘Abbas R.A. katanya:

كان الرجل في الجاهلية يخاطر الرجلَ على أهله وماله ، فأيهما قمر صاحبه ذهب بماله وأهله ، فنزلت الآية
Maksudnya: “Orang lelaki semasa jahiliyyah, saling mempertaruhkan keluarga dan harta mereka, sesiapa dikalangan mereka yang menang, dia mengambil harta rakan sepertaruhanya. Maka turunlah ayat tersebut”

Berdasarkan ini, para ulama telah meletakkan kaedah yang masyhur bagi mengenali perjudian, iaitulah:

هُوَ الذِيْ لَا يَخْلُو الدَاخِلُ فِيْهِ مِنْ أنْ يَكُوْنَ غَانِماً إنْ رَبِحَ ، أوْ غَارِماً إن خَسِرَ

Maksudnya: “(judi itu) apabila orang yang terlibat dengannya samaada menjadi orang yang menerima faedah apabila dia menang ataupun menerima kerugian jika dia kalah.”

Maka apabila seseorang mengeluarkan sejumlah wang, tidak kira samaada sedikit mahupun banyak, dimana wang tersebut mengambil tempat barang yang dipertaruhkan, dan orang yang menyertainya samaada menerima keuntungan jika dia menang atau menerima kerugian (hilang wang yang dipertaruhkan samaada banyak mahupun sedikit) jika dia kalah. Maka itulah perjudian. Barangkali ia dinamakan dengan berbagai nama namun hakikatnya ia adalah sama.

Wallahu a’lam.

Monday, June 9, 2008

Persoalan tentang musafir

Soalan: assalamualaikum

1. apakah sempadan yg menentukan seseorg itu jadi musafir? adakah sekadar keluar rumah saja sudah dikira musafir,atau keluar bandar,daerah atau bagaimana?

2. apakah perbezaan antara watan asli dan watan hakiki?

3. adakah boleh dijamakqasarkan solat jika anak pergi ke rumah ayahnya yg tidak tinggal sekali dengannya (sudah bercerai dgn ibu)?


Jawapan: Wa’alaikumussalam warahmatullah

1- Seseorang boleh melakukan solat qasar dan apa-apa sahaja keringanan bagi yang bermusafir apabila dia telah melepasi kawasan kampungnya. (عامر القرية)

2- Watan Asli (الوطن الأصلي) di sisi al-Hanafiah ialah tempat kelahiran insan atau tempat perkahwinannya atau tempat yang dia berazam hendak menetap disitu, dan tidak berpindah dari situ walaupun dia tidak berkahwin disitu. Di sisi al-Syafi’iyyah dan al-Hanabilah al-Watan ialah tempat yang seseorang bermukim disitu, dia tidak berpindah dari situ sama ada ketika musim panas mahupun sejuk, melainkan ketika keperluan sahaja seperti untuk perniagaan atau ziarah. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, jzk: 44, m.s. 57). Watan terbahagi kepada Watan Asli (seperti yang dijelaskan di atas), Watan Iqamah dan Watan Sukna ( سُكْنَى ). Di bahagian lain di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah dinyatakan al-Watan al-Asli ialah tempat yang seseorang menetap di dalamnya dengan isterinya, samaada tempat itu tempat lahirnya ataupun negeri lain. Dia ada rumah disitu, dia duduk bersama isteri dan anaknya, dia tidak berhasrat untuk berhijrah daripadanya, bahkan dia jadikan tempat tinggalnya disitu. Watan asli ini tidak memerlukan niat untuk Iqamah/bermukim. Watan Asli ini boleh jadi satu atau boleh juga lebih (seperti orang yang berpoligami). Apabila dia bermusafir dari satu rumah iaterinya ke rumah isterinya yang lain di negeri lain, maka apabila dia masuk sahaja ke kampung isteri yang berikutnya dia dikira bermukim, tanpa dia perlu bernia bermukim. Watan Asli ini pula boleh berubah dari satu tempat ke tempat yang lain apabila dia berpindah dan menetap disitu bersama isterinya. Dan negeri yang ditinggalkannya (watan asli yang lalu) tidak lagi menjadi watan aslinya. Ini seperti yang berlaku kepada Nabi saw dan para sahabat baginda, dimana watan asli baginda adalah Mekah, kemudian baginda berhijrah ke Madinah, dan Mekah tidak lagi menjadi Watan Asli bagi baginda. Kerana itu apabila baginda solat di Mekah, baginda melakukan solat musafir, apabila baginda mengimami solat di Mekah bersama penduduk Mekah baginda akan qasar solat dan bersabda:

أتِمُّوا يَا أهْلَ مَكَّةَ صَلَاتَكُمْ فَإنا قَوْمٌ سَفَرٌ

Maksudnya: “Sempurnakan solat kamu wahai penduduk mekah, sesungguhnya kami orang yang berada dalam musafir.” (Utk keterangan lanjut tentang persoalan Watan ini bersama khilaf dan syarat-syaratnya sila rujuk al-mausu’ah al-Fiqhiyyah. jld 27. m.s 266)

3- Yer dia boleh menjamakkan solatnya jika ada keperluan dan dia boleh menqasarkan atau jamakqasarkan solatnya jika dia berada dalam keadaan musafir.

wallahu a’lam.

Penyakit yang menghalag perkahwinan

Soalan:
aslmkm wbt

saya menghadapi sejenis penyakit kulit iaitu nama saintifiknya xeroderma iaitu penyakit kulit kering yang extreme. disebabkan penyakit ini saya merasa rendah diri sehingga kadang2 terfikir tdk mahu berkahwin. saya telah berkenalan dgn seorang lelaki yg betul2 ikhlas menyukai saya walaupun saya telah memberitahunya tentang penyakit ini. masalah saya ialah saya tetap merasa rendah diri n tak berminat utk berkahwin buat masa ini. sedangkan umur semakin meningkat.dia sanggup menunggu sehingga saya betul2 bersedia.saya pun tdk tahu bila saya akan bersedia.

bolehkah ustaz tolong merungkaikan masalah ini.terima kasih byk2.

Jawapan:

Kami mendoakan semoga Allah swt segera menyembuhkan anda dari penyakit tersebut.

Kami mencadangkan kepada anda untuk segera mendapatkan ubat bagi masaalah anda tersebut, kerana setiap penyakit sudah tentu ada ubatnya sepertimana sabda Nabi saw daripada Abi Said al-Khudriy r.a. secara marfu’:
إن الله لم ينزل داء أو لم يخلق داء إلا أنزل أو خلق له دواء علمه من علمه وجهله من جهله إلا السام قالوا : يا رسول الله وما السام قال : الموت
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit atau tidak menciptakan penyakit, melainkan Allah telah menurunkan sama atau menciptakan untuknya ubat, mengetahui tentangnya sesiapa yang tahu, dan tidak mengetahui tentangnya siapa yang tidak mengetahui, melainkan al-Saam.” Ditanya kepada baginda: “Wahai Rasulullah, apakah itu al-Saam?” Baginda menjawab: al-Maut (kematian).” (Isnadnya Hasan. Sila lihat Ghayah al-Maram)

Banyakkanlah berdoa kepada Allah swt untuk menyembuhkan penyakit itu, mohom bantuan daripadaNya untuk ditemukan ubat yang sesuai dan bertawakkallah kepadanya. Sesungguhnya kesudahan yang baik bagi orang yang sentiasa bertawakkal kepada Allah swt.

wallahu a’lam.

Sujud Syukur

Soalan:

Assalamualaikum..ust, bagaimanakah cara melaksanakan sujud syukur mengikut sunnah?

Jawapan:

Sujud syukur sama seperti sujud tilawah di luar solat. Sebahagian ulama berpandangan sujud syukur perlu kepada wudhu manakala sebahagian yang lain berpendapat tidak perlu kepada wudhu. al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin memilih pendapat yang mengatakan tidak disyaratkan mesti dalam keadaan berwudhu.

Dilakukan dengan cara bertakbir kemudian turun sujud. Dia boleh membaca di dalam sujudnya mana-mana bacaan sujud biasa seperti:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأعْلى

atau:
ا
للَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ ، وَبِكَ آمَنْتُ ، وَلَكَ أَسْلَمْتُ ، سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ ، وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ ، تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Kemudian jika dia mahu dia boleh berdoa dengan sebarang doa yang bersesuaian dengannya. Setelah itu dia mengangkat kepalanya tanpa perlu takbir dan salam.

Ibn Qudamah di dalam al-Mughni berkata: “Sifat sujud syukur pada perbuatan dan hukum-hakam dan syaratnya sama seperti sujud tilawah.” (2/372). Katanya lagi: “Dan dibaca pada sujud syukur apa yang dibaca dalam sujud ketika solat.” (2/362)

wallahu a’lam.

Adakah Orang Menipu Murtad?

Soalan:

Tak syak lagi orang yang menipu akan mendapat dosa. Perbuatannya sama seperti menolak al-Quran dan hadis yang melarang mencuri. Adakah disebabkan menolak al-Quran dan hadis yang menyatakan tidak boleh mencuri menyebabkannya menjadi murtad?

Jawapan:

Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah tidak mengkafirkan orang yang melakukan dosa besar kerana dosa yang dilakukannya. Kerana bukan semua yang melakukan dosa bertujuan mengingkari al-Quran, barangkali ada orang yang melakukan dosa disebabkan terpaksa atau seumpamanya, dalam keadaan dia mengakui dosa yang dilakukannya itu adalah satu kesalahan dan dosa yang diharamkan oleh Allah. Namun perlakuan dosa itu dilakukan atas beberapa sebab.

Mencuri, berbohong, zina dan seumpamanya, jika dilakukan dengan tujuan mengingkari al-Quran, atau menghalalkan perkara yang telah diharamkan oleh Allah, atau mempermainkan hukum Allah adalah satu perbuatan murtad atau perbuatan yang menyebabkan sipelakunya terkeluar daripada Islam. Na’uzubillahi min zalik.

Umat islam tidak boleh boleh menghukum kafir kepada mana-mana pelaku dosa. Sebaliknya pelaku dosa tersebut perlu dinasihati, dan berusaha membantunya supaya dapat menjauhi perbuatan dosa tersebut

wallahu a’lam.

Tatacara Mandi Wajib

Soalan:

Assalamualaikum, boleh tak terangkan cara-cara mandi wajib secara keseluruhan?. jazakumullahu khaira.

Jawapan:

Mandi Janabah terbahagi kepada dua jenis:

1. Mandi janabah yang memadai (الغسل المجزئ). Yakni seseorang hanya melakukan perkara-perkara wajib mandi sahaja, dengan meninggalkan perkara-perkara yang sunat iaitu dengan dia berniat, kemudian meratakan air ke seluruh badan dengan apa-apa cara samaada menjirus atau terjun ke dalam air. Termasuk juga berkumur-kumur dan menghisap air ke dalam hidung kemudian mengeluarkannya semula. Ini adalah sifat mandi yang memadai atau yang diterima.

2. Mandi Janabah yang sempurna (الغسل الكامل), yakni seseorang mandi seperti mana mandinya Nabi saw. Sifatnya ialah:

i- Memulakan mandian dengan membasuh dua tangan hingga ke pergelangan.
ii- Membasuh kemaluan.
iii- Membaca bismillah (sunat di sisi jumhur ulama dan wajib di sisi al-Hanabilah) Mengambil wudhu sama seperti wudhu untuk solat.
iv- Membasuh kepala dgn air 3 kali.
v- Membasuk keseluruhan badannya.

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum berkumur dan memasukkan air ke hidung. Mazhab al-Hanafiyyah dan al-Hanabilan beranggapan wajib. al-Imam al-Nawawi menyebut:

“Mazhab ulama dalam persoalan madhmadhah (berkumur) dan memasukkan air ke hidung (al-Isytinsyaq) ada 4 pandangan:

1. Kedua-dua itu adalah sunat dalam berwudhu dan mandi (janabah). Inilah mazhab kami (al-Syafie).
2. Kedua-dua itu adalah wajib di dalam wudhu dan mandi (janabah) dan merupakan dua syarat sahnya wudhu dan mandi (janabah). Pendapat ini masyhur di sisi Imam Ahmad.
3. Wajib bagi mandi (janabah) dan tidak wajib bagi wudhu. Ini adalah pendapa Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya.
4. al-Isytinsyaq (memasukkan air ke hidung) itu wajib bagi wudhu dan mandi (janabah), manakala berkumur itu tidak wajib. Pendapat ini merupakan satu riwayat dari Imam Ahmad. (Dinukil daripada al-Majmu’ secara ringkas)

wallahu a’lam.

Sahihkah Hadith bersanad tentang Nur Muhammad

Atas permintaan Abukajang, aku nukilkan di sini sebuah hadis yang disebut oleh saudara Mohd Zaidi Abdullah, murid Tuan Guru Haji Abdullah Abdur Rahman Lubok Tapah, dalam karangannya berjodol "Pegangan Sejati Ahli Sunnah wal-Jama`ah" mukasurat 116 di mana katanya:-

1. Aku (yakni Mohd Zaidi 'Abdullah) meriwayatkan hadis ini daripada:-
2. Syaikh kami 'Abdullah secara sama`an dan Syaikh kami Muhammad al-Banjari, daripada;
3. Musnid Dunya al-Fadani, (yakni Syaikh Yaasin) daripada;
4. Muhammad 'Ali al-Maaliki, daripada;
5. as-Sayyid Abu Bakar Syatha al-Makki, (yakni Sidi Syatha ad-Dimyathi) daripada;
6. Syaikhul Islam Ahmad Zaini Dahlan, daripada;
7. Utsman bin Hasan ad-Dimyathi, daripada;
8. al-Mujaddid 'Abdullah asy-Syarqawi, daripada;
9. asy-Syam Muhammad al-Hifni, daripada;
10. 'Abdul 'Aziz az-Ziyaadi, daripada;
11. asy-Syam al-Baabili, daripada;
12. an-Najm Muhammad al-Ghoithi, daripada;
13. al-Qadhi Zakaria al-Anshari, daripada;
14. al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalaani, daripada;
15. Abil Faraj 'Abdur Rahman al-Ghazzi, daripada;
16. Abin Nun Yunus bin Ibrahim ad-Dabus, daripada;
17. Abil Hasan 'Ali bin al-Muqir, daripada;
18. Muhammad bin Nashir as-Salaami, daripada;
19. 'Abdul Wahhab bin Muhammad bin Mundah, daripada;
20. Abil Fadhl Muhammad al-Kawkabi, daripada;
21. Abil Qasim ath-Thabarani, daripada;
22. Abi Ya'kub Ishaq bin Ibrahim bin Makhallad bin Ibrahim al-Mirwazi al-Handhzali, daripada;
23. al-Hafiz Abi Bakar 'Abdur Razzaq bin Humam bin Nafi' ash-Shan`aani dengan sanad yang shahih kepada Jabir r.a. berkata:-
Aku bertanya pada Rasulullah tentang perkara yang pertama yang Allah cipta sebelum segala-galanya. Maka Nabi Muhammad menjawab:
Huwa nuru Nabiyyika !!! Ya Jaabir, khalaqahu-Ullahu tsumma khalaqa minhu kulla khairin wa khalaqa ba'dahu kulla syai-in."
"Ia (yakni perkara pertama yang diciptakannya oleh Allah) adalah nur Nabimu, wahai Jabir, Allah menciptakan nur kemudian diciptakan daripada nur itu akan setiap kebaikan dan diciptakan selepas nur itu setiap sesuatu." Abdurrazzaq

Selanjutnya, saudara Zaidi menyambung pada mukasurat 117:-

Antara ulama hadis yang menyokong Nur Muhammad sebagai makhluk pertama yang dijadikan oleh Allah semasa alam arwah ialah Ismail al-'Ajluni dan al-Amir al-Kabir. Muhaddith al-Syam Ismail ibn Muhammad ibn Abdul Hadi (1087/1676 - w. 1662/1749M) telah memaparkan hadis riwayat Abdurrazzaq tersebut dalam kitab 'Iqdul Jawhar ats-Tsamiin. Dalam kitab ini, al-'Ajluni tidak berani langsung memaudhu'kan hadis ini sedangkan beliau seorang tokoh hadis utama di Syam serta mempunyai sanad dalam meriwayat dan menerima sesebuah kitab hadis untuk diterima pakai. al-Imam al-Muhaddith al-Musnid al-Faqih Muhammad bin Muhammad al-Maliki yang terkenal dengan gelaran al-Amir ul-Kabir (1154.1742 - w. 10 Zulqaedah 1232/1817M) telah memaparkan mafhum Nur Muhammad dalam kitab "Saddul Arabi min 'ulumil isnadi wal adabi" yang amat terkenal.

Ikhwah, daripada sanad di atas ternyata bahawa hadis Jabir tersebut shahih dengan rawi-rawi yang terkemuka seperti Amirul Mu'minin fil hadis Ibnu Hajar al-'Asqalaani. Aku bukan muhaddis, belajar hadis pun bukan, so jangan nak berpolemik dengan aku pasal hadis di atas. Kalau mu nak polemik gak, gi jumpa Tok Guru Haji Abdullah Lubok Tapah (hafizahUllah) ke, Syaikh Muhammad Nuruddin al-Banjari (hafizahUllah) ke, Saudara Zaidi ke, dan lain-lain lagi yang alim tetapi kurang dikenali, tidak seperti terkenalnya Bin Baz dan al-Albani, tetapi Bin Baz dan al-Albani memang patut jugak dikenali dunia sebab mendapat tajaan dan promosi yang maha hebat daripada geng-geng anak Pak Wahhab dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya.

Untuk pengetahuan ikhwah, buku saudara Zaidi ini telah diperaku dan diberi kata sambutan oleh Syaikhul Kalantan al-Muhaqqiq al-Ustaz al-Faqih an-Nahwi Tuan Guru Haji 'Abdullah bin Tuan Guru Haji Abdur Rahman, mudir Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas, Kelantan; Tuan guru Haji Hasyim Haji Abu Bakar, Presiden Pusat Pembangunan Pondok, mudir al-Madrasah ad-Diniyyah al-Bakriyyah (Pondok Pasir Tumbuh), Kelantan; dan Dato 'Abdul 'Aziz @ Ambak Ismail, Ahli Jawatankuasa Fatwa Trengganu. Insya-Allah, lain kali kita cakap lagi pasal Nur Muhammad ini, yang percaya padanya pun terkadang tersilap pulak tafsirannya, sebab itu pentingnya berguru agar dapat pemahaman yang betul.

Shallu 'alan Nabiy. Allahumma sholli wa sallim 'alaih.


-----------------------

Jawapan:

Sanad/Isnad penting di zaman pengumpulan hadith-hadith Nabi s.a.w. Kesemua hadith telah siap dibukukan oleh para ulama bersama sanad-sanadnya. Ada yang Lemah, ada pula yang Sahih. Bukan semua hadith yang bersanad itu sahih. Ada SANAD yang LEMAH dan PALSU, ada pula sanad yang SAHIH dan HASAN. Apatah lagi sanad yang berlarutan sampai kepada mana-mana individu hari ini, sama sekali tidak langsung membuktikan apa-apa kekuatan pada ceritanya.

Sama halnya dengan sanad yang disebut oleh saudara Mohd Zaidi Abdullah di atas, kebanyakan nama di dalam sanad tersebut seperti Mohd Zaidi Abdullah sendiri, Tuan Guru Haji Abdullah Abdur Rahman Lubok Tapah dan lain-lain, tidak pernah langsung disebut (bahkan baunya pun tiada) di dalam kitab-kitab rijal hadith. Nama-nama itu tidak pernah langsung melalui kritikan para ulama Hadith hingga boleh dibuktikan hadith yang dibawa oleh mereka itu boleh diterima ataupun tidak.

Syarat sesuatu hadith sahih bukan sekadar dengan ADANYA SANAD. Setiap Sanad perlu melalui kajian dan kritikan, sebelum mengetahui hukumnya samaada sahih ataupun tidak. Sesuatu sanad menjadi sahih apabila ia bersambung dari seorang rawi (periwayat) dengan rawi sebelumnya. Semua rawi itu mestilah Adil dan Dobith dari awal hingga hujung sanadnya, tanpa ada Syaz dan tanpa ada Illah. Semua sanad tidak boleh main borong ikut sedap cakap saja yang ianya sahih. Hadith-hadith yang Lemah, Mungkar dan Palsu juga ada bersamanya sanad, namun ia tidak memenuhi syarat-syarat sanad yang yang sahih. Apabila sesuatu sanad hadith tidak memenuhi syarat sahih, para ulama akan menghukumkannya sebagai samaada sebagai Sanad yang Lemah, atau palsu, atau ulama akan mengatakan pada sanad tersebut ada pembohong dan berbagai-bagai istilah. Yang penting, sanad semata-mata tidak membuktikan langsung kesahihan ceritanya. Apatah lagi sanad yang berlarutan selepas zaman pengumpulan hadith hingga bersambung-sambung ke hari ini. Ia langsung tidak ada nilai, kerana tidak dapat dibuktikan benarkah dakwaan orang terakhir yang membawa sanad itu yang ia mengambil cerita tersebut dari orang sebelumnya, dan orang sebelumnya mengambil dari orang sebelumnya hinggalah ke akhir sanad.

-------------

Hadith Jabir tentang Nur Muhammad itu sebenarnya bertentangan dengan beberapa ayat al-Quran yang menyatakan Nabi s.a.w. adalah seorang manusia yang sama seperti kita semua (diciptakan dari tanah). Cumanya Nabi s.a.w. diberikan wahyu kepada baginda. Antara ayat-ayat tersebut ialah al-Kahfi : 110, al-Anbiya’ : 7,8, al-Furqan : 20

ALLAH swt tidak menyebut adanya makhluk lain yang diciptakan daripada cahaya melainkan Malaikat. Demikian juga Nabi s.a.w. di dalam hadith-hadith yang sahih dari baginda menyebut benda yang sama. Kepercayaan Nabi s.a.w. diciptakan dari Nur, dan menolak penciptaan baginda sama seperti manusia yang lain seolah-olah hendak menyamakan Nabi s.a.w. dengan Malaikat. Ini samalah halnya dengan orang-orang Musyrik yang tidak mempercayai Rasul itu diutuskan dari kalangan manusia yang kewujudannya sama seperti manusia lain. Firman ALLAH swt :
(وما منع الناس أن يؤمنوا إذ جاءهم الهدى إلا أن قالوا: أبعث الله بشراً رسولاً)
Maksudnya : “Dan apakah yang menghalang manusia untuk mereka beriman tatkala datang kepada mereka petunjuk, melainkan mereka berkata : “Apakah ALLAH mengutuskan manusia sebagai seorang Rasul ?” (al-Isra’ : 94)

Dalam surah yang sama ALLAH swt menyuruh Nabi s.a.w. menyatakan yang baginda bukanlah seorang malaikat yang diciptakan daripada cahaya sepertima sangkaan sebahagian orang.
(قل سبحان ربي هل كنت إلا بشراً رسولاً)
Maksudnya : “katakanlah (Muhammad) maha suci tuhan ku, tidakkah aku ini melainkan seorang manusia yang dilantik sebagai Rasul” (al-Isra’ : 93)


Kefahaman yang mempercayai Nabi s.a.w. diciptakan dari Nur / Cahaya, datang dari golongan yang berlebih-lebihan dalam memuliakan Baginda Nabi s.a.w. Tidak ada di dalam al-Quran, demikian juga di dalam hadith-hadith sahih yang membezakan Nabi s.a.w. dari manusia lain yang diciptakan daripada tanah.

-------------

Ramai para ulama yang menolak kepercayaan Nur Muhammad ini, antara mereka :

1- Al-Suyuti mengatakan : Tidak ada bagi (hadith itu) isnad yang boleh disandar kepadanya. (Al-Hawi lil Fatawa)

2- Abdullah bin al-Sodiq al-Ghumari mengatakan Zahir hadith itu adalah Palsu. ملحق قصيدة البردة لعبد الله الغماري

3- Ahmad bin Sodiq al-Ghumari mengatakan hadith ini PALSU, mengandungi lafaz-lafaz yang lemah (untuk disandarkan kepada Nabi s.a.w.) dan makna-makna yang mungkar. المغير على الأحاديث الموضوعة في الجامع الصغير(المقدمة:ص/7)

4- Syeikh Muhammad Ahmad ‘Abdul Qadir al-Syanqiti mengatakan hadith ini PALSU di dalam risalahnya : تنبيه الحذاق على بطلان ما شاع بين الأنام من حديث النور المنسوب لمصنف عبد الرزاق

5- al-Qaradhawi mengatakan perkataan ini TIDAK SOHEH secara riwayat, dan tidak dapat diterima akal

6 - As-Syeikh 'Atiah Saqr (ketua Lujnah Fatwa al-Azhar yang dahulu) pula berkata :

".... Sesungguhnya Ar-Rasul s.a.w. tidak diciptakan daripada Nur, dan Baginda dari zuriat Adam dan Adam (diciptakan) daripada tanah...."

7- As-Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz di dalam Fatwanya pula menyebut :

"Apa yang diperkatakan oleh manusia bahawasanya Rasulullah s.a.w diciptakan daripada Nur, maka semua ini tidak ada asal padanya. Mereka berkata bahawasanya baginda diciptakan daripada Nur atau Nur Baginda itu yang terawal diciptakan. Semua dakwaan ini adalah PALSU TIDAK ADA ASAL BAGINYA. Tidak terdapat juga asas tentangnya dari Nabi s.a.w. Bahkan ianya adalah KEPALSUAN dan PEMBOHONGAN atas ar-Rasul s.a.w.

wallahu a'lam.

Isu Jawapan Dr. Mohd Asri Terhadap Periwayatan Hadith Batil Amalan Musafahah Yang Dijaja Oleh Ustaz Nuruddin al-Banjari

Oleh : bin sahak

Alhamdulillah sama-sama kita telah membaca jawapan dari Dr. Mohd Asri Zainul Abdidin tentang hadith Musalsal yang dibawa oleh Ustaz Nuruddin al-Banjari. Berbagai reaksi dilontarkan, terutama dari individu yang pernah belajar dan mengambil ilmu dari Ustaz Nuruddin al-Banjari. Mereka menyatakan rasa tidak puas hati terhadap jawapan Dr. Mohd Asri dan mendakwa beliau telah menfitnah Ustaz Nuruddin al-Banjari.

Saya memasukkan jawapan Dr. Mohd Asri tersebut ke laman web al-Ahkam dengan dua tujuan utama. Pertama, menyampaikan maklumat tersebut kepada orang ramai, supaya mereka tahu bahawasanya hadith musalsal berjabat tangan yang dibawa oleh Ustaz Nuruddin al-Banjari itu adalah bukan hadith yang sahih mahupun hasan. Kedua, membuka isu ini untuk dibincangkan, dan mengharapkan orang-orang yang berbeza mendatangkan keterangan dan bukti ilmiyah atas dakwaan mereka, itupun jika ada yang berbeza. Tambahan pula sebahagian forumer di al-Ahkam adalah terdiri daripada para penuntut agama dari Universiti al-Azhar Mesir, mungkin mereka dapat melakukan rujukan yang lebih dalam isu ini. Ringkasnya kita mahukan komen yang ada nilai ilmu, jauh dari sentimen fanatik kepada mana-mana individu.

Inilah sikap para penuntut ilmu, inilah yang diajarkan kepada kami oleh guru-guru kami. Bagi kita, sentimen fanatic atau ta'asub kepada seseorang ustaz atau tokoh perlu dibuang sejauh mungkin. Sikap mencintai dan mempertahankan al-Quran dan al-Sunnah, memeliharanya dari dari sikap acuh tak acuh sebahagian golongan, lebih besar berbanding sentiment sayang dan ta'asub kepada individu-individu tertentu.

Jawapan Dr. Mohd Asri perlu dinilai sebaik mungkin. Kita perlu melihat dan meletakkan isu yang utama sebagai utama, dan isu yang sampingan sebagai sampingan. Jika sentiment fanatic gagal diatasi, hasilnya adalah seperti apa yang ditunjukkan di dalam forum al-Ahkam. Kebanyakan mereka samaada yang belajar agama secara formal termasuk yang berada di al-Azhar sana, hanya membawakan sanggahan berbentuk sentimen. Nampak seolah-olah mereka mengutamakan sentiment mereka berbanding usaha memelihara, menjunjung dan membela sunnah Nabi saw dari tangan-tangan manusia yang berkepentingan. Kita cadangkan kepada mereka supaya berusaha untuk sekurang-kurangnya memiliki kitab Zafar al-Amani (ظفر الأماني) yang ditahkik oleh Abdul Fattah Abu Ghuddah yang merupakan salah seorang anak murid yang masyhur kepada Syeikh al-'Allamah Muhammad Yasin al-Fadani, iaitu individu yang ustaz Nuruddin al-Banjari mengambil sanad hadith al-Musalsal bi al-Musafahah darinya.

Jawapan Dr. Mohd Asri yang saya masukkan ke al-Ahkam, adalah jawapan beliau kepada darjat atau kedudukan hadith al-Musalsal bi al-Musafahah yang dibawa oleh Ustaz Nuruddin al-Banjari. Inilah isu yang utama, iaitu satu isu besar berkaitan meriwayatkan satu hadith dan menggambarkan seolah-olah Nabi saw melakukannya sedangkan baginda tidak melakukannya. Dalam istilah kita, dinamakan perbuatan ini sebagai 'menjual nama', iaitu menjual nama Nabi saw yang mulia.

Mungkin pembaca yang tidak tinggal di bahagian utara semenanjung, tidak tahu menahu tentang periwayatan hadith tersebut. Periwayatan hadith tersebut hanya popular dilakukan di utara semenanjung terutamanya di Kedah dan Pulau Pinang (tempat Dr. Mohd Asri tinggal dan memberi kuliah). Insyaallah saya akan sebutkan sebahagian cara majlis periwayatan hadith musalsal tersebut di bawah nanti, supaya semua dapat gambaran secara umum.

Mungkin ada yang akan bertanya, bagaimana kita boleh percaya kepada cerita yang disampaikan ? Saya katakan, kisah cara periwayatan ini adalah ma'ruf bagi sesiapa yang mengikuti kelas-kelas ustaz yang mengambil hadith al-Musalsal bi al-Musafah dari Ustaz Nuruddin di Kedah. Semua mereka menceritakan perkara yang hampir sama. Bahkan ada beberapa sahabat yang bersama kita dahulunya adalah pengikut setia dan telah menghimpunkan banyak sanad-sanad hadith-hadith musalsal dari ustaz yang mengambil ijazah tersebut dari Ustaz Nuruddin. Kalau nak, kita boleh scan dan tayangkannya insyaallah.

Isu hadith al-Musalsal bi al-Musafahah yang dibawa oleh Ustaz Nuruddin, beliau telah meriwayatkan hadith tersebut dalam bentuk melakukan atau mencontohkan perbuatan yang kononnya dilakukan oleh Nabi saw kepada orang ramai. Lalu di akhir hadith tersebut ada jaminan syurga bagi orang yang mencontohinya, dengan lagak kononnya seolah-olah semua perbuatan dan perkataan itu dilakukan oleh Nabi saw, tanpa langsung mengambil pusing tentang pengthabitan hadith tersebut samaada ia benar dari Nabi saw atau sebaliknya. Sekali lagi saya nyatakan INILAH ISU YANG UTAMA.

Bentuk Majlis Hadith al-Musalsal bi al-Musafahah

Seorang ustaz di masjid Permatang Janggus Pulau Pinang yang mengambil hadith al-Musalsal bi al-Musafahah dari ustaz Nuruddin al-Banjari di Kedah menyebut hadith Musalsal berjabat tangan ini selepas dari salah satu kuliahnya dan menghulurkan tangan untuk disalam oleh semua jamaah yang mendengar kuliahnya, sambil Imam masjid menghulurkan minyak wangi kepadanya, semua jamaah yang mendengar kuliah datang bersalam seorang demi seorang dengannya. Salah seorang yang menceritakan kisah ini menyebut pada awalnya dia merasakan ragu-ragu untuk melakukannya. Namun setelah memandang semua pergi untuk bersalaman, maka diapun bangun sambil berkata : "Takkan mereka sahaja yang nak masuk syurga, Akupun nak masuk sama."

Di tempat berasingan, juga di Pulau Pinang, seorang ustaz lain meriwayatkan hadith al-Musalsal bi al-Musafahah kepada anak-anak muridnya, kebiasaannya pada hari Ahad selepas kuliah mingguannya. Dia mencetak hadith tersebut dan diedarkan kepada anak-anak muridnya. Setiap mereka akan bersalam dengannya sambil membaca hadith al-Musalsal bi al-Musafahah tersebut. Sesiapa yang bersalam dengannya akan bersalam pula dengan kawan-kawan yang lain sambil menyebutkan nama mereka di dalam sanad hadith tersebut.

Bayangkan, dalam keadaan tangan anak murid bersalaman dengan ustaz tersebut, sambil membaca :

“Sesiapa yang berjabat tangan denganku, atau dengan orang yang berjabat tangan denganku maka dia masuk syurga”.

Sekumpulan murid yang jarang didedahkan dengan ilmu hadith (sehingga sebahagiaannya tak tahu langsung akan kewujudan hadith dhoief dan palsu) tidak pernah juga didedahkan dengan manhaj yag benar dalam mengambil ilmu, demikian juga mereka tidak pernah langsung didengarkan kepada perkataan Imam Malik rh yang mengatakan semua perkataan boleh ditolak dan diambil melainkan perkataan Nabi saw, bersalaman dengan gurunya sedemikian rupa. Apakah yang terbayang di dalam fikiran mereka ?

Kesan Penyebaran Hadith al-Musalsal bi al-Musafahah

Hadith al-Musalsal bi al-Musafahah seperti yang disebut oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin adalah hadith yang batil (باطلة), dusta (كاذبة), tidak ada asal baginya dan tidak pernah wujud. Ini bukanlah hukuman memandai-mandai dari Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Sebaliknya demikianlah hukuman yang diberikan oleh para ulama hadith seperti al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalani, al-Imam al-Suyuti dan lain-lain. Yang lebih menarik lagi hadith ini dipalsukan juga oleh al-Syeikh 'Abd al-Fattah Abu Ghuddah yang bukanlah dari aliran salafi, tetapi beraqidah dengan aqidah Asya'irah, dan seringkali tidak sependapat dengan al-Syeikh Nasiruddin al-Albani. Orang seperti al-Syeikh 'Abd al-Fatah ini sendiri menghukumkan hadith al-Musalsal bi al-Musafahah sebagai batil, dusta, tidak ada asal baginya dan tidak pernah wujud dalam tahkikya bagi kitab Zafar al-Amani (ظفر الأماني). Bahkan beliau menyambung :

“Tiada keberkatan bagi pendustaan dan pembohongan (hadith ini) ke atas Nabi saw tidak dikira ibadat menulis cerita dongeng ini melainkan dengan niat untuk memusnahkannya”. (m.s. 273, cetakan: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah, Damsyik).

Lihat pula perkataan al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalani di dalam al-Isabah ketika mengomentari salah seorang perawi bernama al-Mu'ammar atau al-Ma'mar yang ada di dalam sanad hadith al-Musalsal bi al-Musafahah tersebut :

"al-Mu'ammar adalah peribadi yang direka oleh para pendusta." (jilid 6, m.s. 368, cetakan: Dar al-Jail, Beirut).

Dalam Lisan al-Mizan al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani menyebut :

”Riwayat berjabat tangan Mu`ammar tidak akan diterima oleh orang yang berakal” (jilid 6, m.s. 68, cetakan:Muassasah al-`Ilm li al-Matbu`at, Beirut).

Al-Imam al-Sayuti pula di dalam fatwanya bila ditanya mengenai hadith Mu`ammar, beliau berkata:

“Mu`ammar adalah pendusta lagi dajjal, hadithnya adalah batil, tidak halal meriwayatkannya. Sesiapa yang melakukan demikian (meriwayat hadith palsu tersebut) termasuk dalam sabda Nabi saw: “sesiapa berdusta ke atasku maka siap tempat duduknya dalam neraka”. (lihat: Tahqiq Zafar al-Amani, m.s.275).

Apakah yang hendak dikatakan oleh orang-orang yang masih mengamalkan hadith al-Musalsal bi al-Musafahah ini ? bukankah meriwayatkan hadith yang palsu tanpa menjelaskan kepalsuannya adalah satu kesalahan yang besar ? orang tersebut telah meriwayatkan sesuatu yang kononnya dari Nabi saw sedangkan Baginda tidak menyebut dan melakukannya. Ini bermakna dia telah menjual nama Nabi saw secara dusta.

Al-Imam Ibn al-Salah berkata : “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya”. (Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s.98).

Demikianlah juga yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam muqaddimah syarah sahih Muslim :

"Diharamkan juga meriwayatkan hadith yang palsu bagi sesiapa yang mengetahui kepalsuan hadith tersebut, atau sangkaanya yang banyak mengakui kepalsuan hadith tersebut. Maka sesiapa yang meriwayatkan satu hadith dalam keadaan dia mengetahui atau sangkaan banyakknya mengatakan yang hadith itu palsu, sebaliknya dia tidak menjelaskan kepalsuan hadith tersebut ketika meriwayatkannya, maka orang sebegini termasuk dalam ancaman (pengharam dan neraka) ini. Dia termasuk dalam kumpulan orang yang berbohong atas nama Nabi saw. Ini berdasarkan hadith (yang bermaksud) : "Sesiapa yang menyampaikan satu hadith daripada ku, dalam keadaan dia melihat hadith itu adalah tidak benar, (tapi dia sampaikan juga) maka dia termasuk salah seorang daripada pembohong." (sila lihat muqaddimah syarah sahih muslim)

Perbuatan berbohong atas nama Nabi saw atau meriwayatkan sesuatu yang didustakan atas Baginda memberi kesan yang sangat buruk. Perkataan Nabi saw adalah suatu yang berharga. ALLAH swt memberi jaminan akan harga dan nilainya yang tinggi di dalam firmanNYA :

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى [3] إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى [4]

Maksudnya : "Dan tidaklah (Muhammad) itu memperkatakan menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri"[3] "Sesungguhnya semua yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya."[4] (al-Najm : 3-4)

Ini bermakna perkataan Nabi saw juga adalah wahyu. Perkataan baginda menjadi syari'at apabila diucapkan. Kerana itu para ulama hadith bertungkus lumus menyusun kaedah penapisan hadith-hadith agar dapat dibezakan hadith yang hasan dan sahih dari yang lainnya. Semua ini bertujuan ajaran islam dan amalannya bersih dari perkara-perkara yang tidak pasti. Menisbahkan sesuatu kepada Nabi saw adalah perbuatan menisbahkan perkara tersebut kepada syari'at Islam yang datang dari ALLAH 'azza wa jall. Penisbahan ini mesti dibina di atas jalan wahyu iaitulah samaada dari al-Quran atau al-Sunnah yang sahih dan tidak ada jalan lain lagi.

Bayangkan seseorang yang mengetahui lemahnya atau palsunya sesuatu hadith untuk dinisbahkan dari Nabi saw. Namun dia tetap menyebut dan menyebarkannya kepada masyarakat umum yang diantara mereka adanya golongan yang jahil, golongan fasik, golongan yang suka bermain-main dengan agama dan bermacam-macam golongan lagi. Apatah lagi hadith al-Musalsal bi al-Musafahah yang di akhirnya ada jaminan syurga bagi yang melakukannya. Tidak kah perbuatan ini membuka pintu kerosakan yang besar di kalangan umat Islam yang terdiri dari berbagai goongan itu ? apakah yang dikehendaki oleh orang-orang yang menyebarkan hadith batil al-Musalsal bi al-Musafahah ini ? tidakkah mereka bimbang nanti akan ada di kalangan golongan awam itu meninggalkan amalan soleh yang lain, kerana telah memperolehi jaminan syurga setelah bersalam dengan orang yang pernah bersalam dengan orang yang pernah bersalam dengan Nabi saw. Kita memohon kepada ALLAH swt untuk merezekikan kepada kita mengenali kebenaran itu sebagai kebenaran dan mengenali kebatilan itu sebagai kebatilan.

Apakah pula yang hendak dikatakan oleh golongan yang menyebarkan hadith BATIL al-Musalsal bi al-Musafahah ini terhadap hadith Nabi saw yang diriwayatkan oleh al-imam al-Bukhari dan Imam Muslim dari Mu'az bin Jabal ra dengan katanya :

Maksudnya : "Adalah aku berada di belakang Nabi saw di atas himar. Lalu Nabi bersabda kepada ku. Wahai Muaz, adakah kamu tahu apakah hak ALLAH ke atas hambaNYA ? dan apakah pula hak hamba ke atas ALAH ?Jawab Mu'az : ALLAH dan RasulNYA yang lebih mengtahui. Sabda Nabi saw : "Hak ALLAH ke atas hambaNYA ialah bahawasanya mereka menyembahnya dan mereka tidak mensyirikkanNYA dengan sesuatupun. Manakala hak hamba ke atas ALLAH pula bahawasanya ALLAH tidak mengazabkan sesiapa yang tidak mensyirikanNYA dengan sesuatupun." Muaz berkata : "Wahai Rasulullah, bolehkah aku sampaikan perkara ini kepada manusia lainnya ?" Jawab Nabi saw : "JANGAN KAMU KHABARKAN KEPADA MEREKA, MEREKA AKAN RASA MEMADAI DENGANNYA." Di dalam riwayat yang lain disebut Muaz mengkhabarkan hadith ini ketika hampir matinya, bimbang berdosa menyembunyikan ilmu.

Demikian juga apakah yang hendak dikatakan oleh golongan yang menyebarkan hadith BATIL al-musalsal bi al-Musafahah ini terhadap hadith yang agak panjang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, di bawah kitab al-Imam tentang tindakan 'Omar al-Khattab memukul dada Abu Hurairah yang menyampaikan hadith tentang sesiapa yang menyaksikan bahawasanya tidak ada Ilah melainkan ALLAH dengan yakin di dalam hatinya, maka khabar gembira untuknya dengan syurga. Setelah mereka berdua (Omar dan Abu Hurairah) berjumpa dengan Nabi saw, lalu Abu Hurairah menceritakan apa yang berlaku, Nabi saw bertanya kepada Omar :

Maksudnya : "Wahai Omar ! apa yang membawa engkau sehingga melakukan perkara ini (memukul Abu Hurairah)? Tanya Omar : Apakah engkau mengutuskan Abu Hurairah dengan dua kasut Mu, untuk dia khabarkan kepada orang yang ketemunya, siapa yang bersaksikan bahawasanya tidak ada ilah melainkan ALLAH dengan yakin di dalam hati, berikan khabar gembira pada orang itu dengan syurga ? jawab Nabi saw : Ya ! Kata Omar : "Maka (bagi pendapat Ku) jangan engkau lakukan demikian itu. Sesungguhnya aku bimbang manusia akan berasa memadai dengannya, maka mereka akan meninggalkan dari beramal." Jawab Nabi saw : "Tinggalkan mereka (jangan di khabarkan perkara itu lagi kepada mereka)."

Bayangkan, apalah agaknya tindakan Omar al-Khattab jika dia hidup bersama kita dan melihat ada orang yang menjaja hadith al-Musalsal bi al-Musafahah ini ? hadith ini bukan setakat ada jaminan syurga di akhirnya BAHKAN IA ADALAH SEBUAH HADITH YANG BATIL, DUSTA, TIDAK ADA ASAL BAGINYA DAN PALSU.

Sanad Yang Bersambung

Sebahagian orang berasa hebat dan kagum apabila mendapati ustaz yang menyampaikan hadith al-Musalsal bi al-Musafahah ini mempunyai sanad yang bersambung terus sampai kepada Nabi saw. Mereka seolah-olah terpukau dengan sanad yang berlarutan hingga ke hari ini. Sehingga ada pula yang berkata : "Hampa tidak tahu kah ustaz itu ada sanad yang bersambung sampai kepada Nabi saw? Hampa ada ke sanad yang bersambung seperti dia !!!?

Pertama, yang ingin kita jelaskan kepada orang sebegini bahawasanya peranan sanad telah terhenti setakat para ulama yang menghimpunkan hadith seperti al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, al-Nasa-ie, Abu Daud, Ibn Majah dan seangkatan dengan mereka. Adapun nama-nama selepas daripada mereka, yang berlarutan hingga ke hari ini, tidak ada langsung nilai harganya untuk membuktikan kesahihah sesuatu hadith. Kethiqahan mereka dalam meriwayatkan hadith tidak ada sesiapa dapat buktikan. Nama-nama mereka tidak pernah langsung melalui kritikan para ulama Nuqad al-Hadith sehingga boleh dibuktikan hadith yang dibawa mereka boleh diterima ataupun tidak.

Disamping itu sanad yang bersambung semata-mata tidak dapat membuktikan kesahihan sesuatu hadith tersebut. Sebaliknya sanad tersebut perlu memenuhi syarat yang lain seperti semua rawinya mestilah adil dan dobith, tanpa ada syaz demikian juga illah. Hadith-hadith yang Lemah, Mungkar dan Palsu juga ada bersamanya sanad, namun ia tidak memenuhi syarat-syarat sanad yang sahih. Apabila sesuatu sanad hadith tidak memenuhi syarat sahih, maka para ulama akan menghukumkan sanad tersebut sebagai sanad yang lemah, palsu, padanya ada pembohong dan seumpamanya. Ringkasnya sanad semata-mata tidak dapat membuktikan kesahihan sesuatu hadith, kerana tidak dapat dibuktikan benarkah dakwaan orang terakhir yang membawa sanad itu yang ia mengambil cerita tersebut dari orang sebelumnya, dan orang sebelumnya mengambil dari orang sebelumnya hinggalah ke akhir sanad. Apatah lagi sanad hadith al-Musalsal berjabat tangan ini sudah dinyatakan oleh para ulama hadith sebagai sanad yang batil dan dusta.

Kalau sekadar ingin tunjukkan sanad, Dr. Mohd Asri sendiri memiliki sejumlah sanad sehingga sampai kepada Nabi saw. Alhamdulillah ketika berada di dalam rumah beliau saya sempat mengambil gambar sanad-sanad tersebut. Namun seperti yang saya sebutkan di atas sanad yang berlarutan hingga ke hari ini tidak dapat membuktikan kesahihan hadithnya. Kerana tu Dr. Mohd Asri tidak pernah menjaja sanad yang dimilikinya kepada umum.

Penutup

Sayangnya umat Islam kepada Nabi saw bukan boleh main nak dan tak nak. Semua kita wajib menyayangi Nabi saw lebih daripada orang lain. Antara tanda sayangnya kita kepada Nabi saw adalah dengan kita mengikut sunnahnya, memelihara dari dirosakkan oleh individu-individu yang berkepentingan.

Semua manusia samaada dia seorang yang alim atau jahil tidak sunyi dari ketergelinciran. Kitalah para penuntut ilmu antara yang berperanan mengingatkan mereka. Bukan megamalkan sikap ta'asub menghanggukkan sahaja apa yang mereka lakukan walau sudah jelas kesilapanya.

Wallahu a'lam.

Jama' Solat Bagi orang Haid


Soalan:

Adakah wajib qadha' solat asar dan zuhur bila diketahui haidh kering ketika hampir berakhirnya waktu asar?

Jawapan:

Sesiapa yang menunaikan kedua-duanya sekali, itulah yang lebih berhati-hati. Manakala sesiapa yang hanya menunaikan solat yang dia suci pada waktu itu, mudah-mudah tidak mengapa.

Perbahasan:

Para ulama berbeza pendapat bagi wanita yang suci daripada Haid, jika haidnya suci dalam waktu solat kedua yang boleh dijamakkan, apakah dia wajib menunaikan solat yang dia suci ketika itu sahaja atau dia juga wajib menunaikan solat sebelumnya yang mana kedua-dua waktu itu adalah pasangan dalam solat jama’. Sebagai contoh seorang wanita mendapati dirinya suci daripada haid pada waktu ‘Asar, apakah dia perlu menunaikan solat ‘Asar sahaja atau ‘Asar dan Zohor sekali, demikian juga jika dia suci dalam waktu ‘Isyak, apakah dia perlu tunaikan solat ‘Isyak sahaja atau ‘Isyak bersama dengan Maghrib?

1. Jumhur (جمهور) atau kebanyakan ulama berpendapat seorang wanita yang mendapati dirinya suci daripada haid, dan ketika itu dia berada dalam waktu solat ‘Asar, maka hendaklah dia menunaikan solat Zohor dan ‘Asar, kerana kedua-dua solat ini adalah pasangan dalam solat jama’. Demikian juga, jika dia suci dalam waktu ‘Isyak maka dia hendaklah menunaikan solat Maghrib dan ‘Isyak.

Ibn Qudamah R.H. di dalam al-Mughni (المغني) 1/339, berkata:

َإِذَا طَهُرَتْ الْحَائِضُ , قَبْلَ أَنْ تَغِيبَ الشَّمْسُ , صَلَّت الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ , وإن َطَهُرَتْ قَبْلَ أَنْ يَطْلُعَ الْفَجْرُ , صَلَّت الْمَغْرِبَ وَالعِشَاءَ ؛ لما رَوَى الْأَثْرَمُ , وَابْنُ الْمُنْذِرِ , وَغَيْرُهُمَا , بِإِسْنَادِهِمْ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ , وَعَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ , أَنَّهُمَا قَالَا فِي الْحَائِضِ تَطْهُرُ قَبْلَ طُلُوعِ الْفَجْرِ بِرَكْعَةٍ : تُصَلِّي الْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ , فَإِذَا طَهُرَتْ قَبْلَ أَنْ تَغْرُبَ الشَّمْسُ , صَلَّتْ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا وَلِأَنَّ وَقْتَ الثَّانِيَةِ وَقْتٌ لِلْأُولَى حَالَ الْعُذْرِ , فَإِذَا أَدْرَكَهُ الْمَعْذُورُ لَزِمَهُ فَرْضُهَا , كَمَا يَلْزَمُهُ فَرْضُ الثَّانِيَةِ

Maksudnya: “Jika seorang haid suci sebelum tenggelam matahari (sebelum masuk Maghrib), hendaklah dia solat Zohor dan ‘Asar. Jika dia suci sebelum terbit fajar, maka hendaklah dia menunaikan solat Maghrib dan ‘Isya, berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh al-Athram, Ibn al-Munzir dan selain mereka berdua dengan sanad daripada Abd al-Rahman bin ‘Auf dan Abdullah bin ‘Abbas yang berkata tentang wanita haid yang suci sebelum terbit fajar (sblm masuk waktu subuh), hendaklah dia solat Maghrib dan ‘Isyak, jika suci sebelum tenggelam matahari, hendaklah dia solat Zohor dan ‘Asar, kerana waktu yang kedua (‘Isyak/’Asar) adalah waktu (untuk menunaikan solat) yang pertama (zohor/maghrib) ketika dalam keuzuran, maka apaila orang yang ada keuzuran mendapati waktu pertama, wajib pula ke atasnya kefardhuannya sepertimana wajib ke atasnya kefardhuan waktu kedua.” (tamat nukilan secara ringkas). Inilah juga pandangan Towus, Mujahid, al-Nakha’ie, al-Zuhri, Rabi’ah, Malik, al-Laith, al-Syafie, Ishak dan Abi Thur. Imam Ahmad berkata: “Kebanyakan tabi’ien berpendapat dengan pendapat ini melainkan al-Hasan... inilah juga pandangan al-Thauri dan Ahl al-Ra’yi."

Al-Syeikh Abdul ‘Aziz Abdullah bin Baz berkata: “Apabila wanita yang berhaid, atau nifas suci sebelum tenggelam matahari, wajib ke atasnya solat zohor dan ‘Asar berdasarkan pandangan yang lebih benar, demikian juga jika dia suci sebelum terbit fajar , wajib keatasnya menunaikan solat maghrib dan ‘Isyak. Ini kerana waktu kedua-duanya (solat yang boleh dijamakkan) adalah dikira waktu yang satu bagi orang yang berada dalam keuzuran seperti orang yang sakit dan orang yang bermusafir.” (Majmu’ al-Fatawa 10/217)

2. Mazhab Hanafi berpandangan tidak wajib bagi orang yang haid menunaikan solat melainkan solat yang dia suci ketika itu sahaja. Ini kerana seorang yang berhaid berada dalam waktu solat yang sebelumnya dalam keadaan dia tidak suci, maka tidak perlu dia mengqadhanya. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 13/73). Ini juga pandangan al-Hasan dan al-Thauri.

Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin di dalam al-Syarh al-Mumti’ (2/133)berkata: “Tidak diwajibkan ke atas wanita itu melainkan waktu solat yang dia perolehi ketika dia suci, adapun waktu solat yang sebelumnya tidak diwajibkan kepadanya (utk qadha), kerana Nabi S.A.W. bersabda:


من أدرك ركعةً من الصَّلاة فقد أدرك الصَّلاة


Maksudnya: “Siapa yang dapat satu rakaat dari sesuatu solat, maka sesungguhnya dia telah mendapat solat tersebut.”

Huruf ‘alim’ dan ‘lam’ pada kalimat al-Solah (الصلاة) menunjukkan kepada waktu, iaitu waktu solat yang diperolehi satu rakaat di dalam waktunya. Adapun solat sebelumnya, tidak didapati satu rakaatpun dari waktunya, waktunya telah berlalu keseluruhannya sedangkan dia bukanlah seorang yang diwajibkan menunaikannya, maka bagaimana kita hendak mewajibkannya qadha waktu tersebut?”

wallahu a'lam.

Saturday, June 7, 2008

Puasa-puasa sunat

Soalan :

Bolehkah disenaraikan puasa yang boleh dilakukan sepanjang tahun yang disunnahkan? Contohnya, seperti puasa pertengahan bulan dan Isnin & Khamis dengan mengikut nas yang sahih.

Sekian. Wassalam.


Jawapan:

Puasa sunat itu terbahagi kepada dua :

1- Puasa Sunat Mutlak iaitu yang tidak terikat pada hari-hari tertentu. Seseorang muslim boleh melakukan puasa sunat pada mana-mana hari yang dia kehendaki dalam setahun, melainkan pada hari-hari yang diharamkan puasa, seperti dua hari raya, hari tasyrik (tiga hari selepas aidil adha). Demikian juga terdapat larangan mengkhususkan puasa pada hari jumaat.

Cara yang terbaik melakukan puasa sunat mutlak ini adalah dengan kita berpuasa sehari dan berbuka sehari seperti hadith:


أَحَبُّ الصَّلاةِ إِلَى اللَّهِ صَلاةُ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلام وَأَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ صِيَامُ دَاوُدَ وَكَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ وَيَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا


Maksudnya : "Solat yang paling disukai oleh Allah ialah solat Daud as, dan puasa yang paling disukai Allah adalah puasa Daud as. Adalah baginda tidur sebahagian malam dan baginda bangun pada 1/3 malam, dan tidur pada 1/6 malam. dan baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari." (al-Bukhari dan Muslim)

2- puasa sunat muqayyad, iaitu puasa yang dilakukan pada hari-hari tertentu. Ia lebih utama dari puasa sunat mutlak di atas dari sudut keumumannya. Ia terbahagi kepada dua.

* Bergantug pada diri seseorang. Seperti seorang pemuda yang yang tidak ada kemampuan untuk berkahwin, maka dia digalakkan berpuasa yang berperanan sebagai pendindingnya dari nafsu sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim di dalam bab ini.

* Bergantung pada waktu-waktu tertentu. Puasa jenis ini terbahagi kepada puasa sunat mingguan, bulanan dan tahunan.

* Puasa Mingguan iaitulah puasa pada hari Isnin dan Khamis seperti hadith yang diriwayatkan oleh al-Nasa-ie dan disahihkan oleh al-Albani.

* Puasa Bulanan iaitu puasa tiga hari di pertengahan setiap bulan (dinamakan sebagai Ayyam al-Baidh) 13, 14 dan 15 hb hijrah seperti hadith yang diriwayatkan oleh al-Nasa-ie, Ibn Majah dan Ahmad, disahihkan oleh al-Albani.

Puasa Tahunan iaitu :

* Puasa 'Asyura : Hari ke 10 dalam bulan Muharram (al-Bukhari dan Muslim). Disunatkan juga puasa bersamanya 9 atau 11 muharram untuk berbeza dengan orang-orang Yahudi yang berpuasa pada 10 muharram sahaja.

* Puasa hari 'Arafah : Hari kesempilan dalam bulan zul hijjah. Disunatkan bagi sesiapa yang tidak berada di 'Arafah. (Muslim)

* Puasa 6 hari dalam bulan Syawal. (Muslim)

* Perbanyakkan puasa dalam bulan Muharram

* Perbanyakkan puasa dalam bulan Sya'ban. (al-Bukhari dan Muslim)

wallahu a'lam.

Seputar Persoalan Jampi

Soalan:

alam, adakah dalil untuk perkara berikut:

1: air yg dibaca ayat al-Quran, kemudian di jirus keliling rumah untuk perlindungan?

2: air yg dibaca ayat al-Quran untuk penerang hati

3: ayat pelindungi diri dgn membaca 2 ayat terakhir surah at-taubah (sesudah dibaca dihembus disekeliling rumah untk perlindungan)

4: adakah ayat didalam al-Quran yg specific utk diamalkan utk menghindari dari penyakit angin ahmar?

Jawapan:

1- Thabit di dalam hadith-hadith yang sahih Nabi saw menjampi ahli keluarga baginda. Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim :


كان إذا مرض أحد من أهل بيته، نفث عليه بالمعوذات

Maksudnya : "Adalah (Nabi saw) apabila seseorang ahli keluarga baginda sakit, baginda hembuskan padanya dengan ayat-ayat pelindung."

Di dalam sahih Muslim juga, daripada 'Auf bin Malik al-Asyja'i (عوف بن مالك الأشجعي) katanya:


كنا نرقي في الجاهلية، فقلنا: يا رسول الله، كيف ترى في ذلك؟ فقال: "اعرضوا عليّ رقاكم، لا بأس بالرقى ما لم يكن فيه شرك

Maksudnya : "Kami dahulu berjampi ketika Jahiliyah, maka kami bertanya : Wahai Rasulullah, bagaimana engkau lihat perkara itu ? Sabda Baginda : Tunjukkan kepadaku jampi kamu semua, tidak mengapa dengan jampi yang tidak ada padanya unsur syirik."

Dari Abi Sa'id bahawasanya Jibril pernah datang kepada Nabi saw lalu berkata : "Wahai Muhammad, kamu berasa sakit ?, jawab baginda : Ya. lalu Jibril membaca:


بسم الله أرقيك، من كل شيء يؤذيك من شر كل نفس أو عين حاسدٍ الله يشفيك، بسم الله أرقيك


(Bismillaahi arqiik, min kulli syai-in yu'ziik, min syarri kulli nafsin aw 'ainin haasid, Allaahu yasyfiik, bismillaahi arqiik) Maksudnya : "Dengan nama Allah aku menjampiMu, dari setiap sesuatu yang menyakitkan Mu, dari setiap jiwa atau ain (pendangan) dengki, Allah, dialah yang menyembuhkan Mu, dengan nama Allah aku menjampi Mu."

Ini adalah sebahagian daripada dalil-dalil harusnya berjampi dengan cara menghembus, menyentuh atau sesuatu yang dapat menyampaikan kesan perjampian kepada orang yang dijampi atau tempat yang dijampi dalam apa-apa cara yang sesuai. Maka membaca beberapa ayat al-Quran pada air kemudian merenjiskannya ke sekeliling rumah adalah sebahagian usaha untuk menyampaikan kesan perjampian ditempat yang ada gangguan. Ia dibenarkan di dalam agama.

Berkata Ibn Muflih, telah berkata Sooleh anak Imam Ahmad : "Aku telah menderita sakit, lalu bapaku (imam Ahmad) mengambil satu mangkuk air, lalu dia bacakan (jampi) padanya. lalu dia berkata kepada ku : Minumlah sebahagiannya dan basuh muka dan dua tangan kamu (dari sebahagian lagi)."

Demikian juga dinukilkan dari Abdillah (anak imam Ahmad juga) bahawasanya dia telah melihat bapanya (Imam Ahmad bin Hambal) membaca ayat berlindung dengan Allah kepada air, dia membaca padanya dan meminumnya, dan dia jiruskan pada dirinya sendiri. (sila lihat al-Adab al-Syar'ieyyah)

Keharusan berjampi dengan ayat al-Quran dan hadith-hadith nabi telah difatwakan oleh ramai para ulama termasuk yang kemudian seperti, al-Syeikh Muhammad bin Ibrahim Aali Syeikh, al-Syeikh abdul Aziz bin Baz, al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, al-Syeikh Soleh al-Fauzan dan al-Syeikh Abdul Aziz Aali Syeikh. al-Syeikh Ibn Jibrin berkata : "Thabit dari al-Salaf membaca pada air dan seumpamanya, kemudian meminumnya atau mendi dengannya..... kerana kalam Allah ta'ala adalah syifa', sepertimana firman Allah:


قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا هُدىً وَشِفَاءٌ وَالَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ فِي آذَانِهِمْ وَقْرٌ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمىً أُولَئِكَ يُنَادَوْنَ مِنْ مَكَانٍ بَعِيدٍ [فصلت:44


Maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad) al-Quran itu bagi orang-orang yang beriman adalah petunjuk dan syifa' (penyembuh), dan bagi orang-orang yang tidak beriman di telinga mereka ada penyumbat, dan satu kegelapan ke atas mereka, mereka itu adalah (seperti) orang-orang yang dipanggil dari tempat yang jauh." (Fussilat : 44)

2- Tidak ada jampi penerang hati. Jampi hanya kepada penyakit zahir atau ganguan jin dan syaitan. Yang dibenarkan untuk penerang hati adalah dnegan berdoa untuk diberikan hidayah.

3- Ayat pelindung diajarkan oleh Nabi saw antaranya ayat al-Kursi, surah al-Falaq, al-Naas, al-Baqarah. Nabi saw bersabda:


لا تجعلوا بيوتكم مقابر ، فإن الشيطان يفر من البيت الذي يقرأ فيه سورة البقرة

Maksudnya : "Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu seperti kubur, kerana sesungguhnya Syaitan lari bertempiaran dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah." (Muslim dan al-Tirmizi)

4- wallahu a'lam.
http://www.islamweb.net/ver2/Fatwa/ShowFatwa.php?lang=A&Option=FatwaId

Thursday, June 5, 2008

Hukum Lelaki Pakai Gelang Untuk Perubatan


Soalan:


Benarkan Islam melarang berubat dengan memakai gelang? Ada sebahagian orang yang mendakwa Nabi saw melarang berubat dengan memamai gelang berdasarkan hadith riwayat Ahmad bahawa Rasulullah s.a.w. telah melihat di pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang diperbuat daripada tembaga, maka baginda bertanya kepada lelaki berkenaan, Apakah bendanya ini?” Lelaki itu berkata: “Ia adalah gelang perubatan, buangkan benda itu dari diri anda, jika sekiranya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya selama-lamanya.” (Hadith Sohih yang ke-19,885 riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya)

Jawapan:

Oleh: Bin Sahak

Hadith yang saudara maksudkan diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya demikian juga Ibn Majah di dalam Sunannya. Hadith ini diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husain, Lafaznya ialah:



أن النبي -صلى الله عليه وسلم- رأى رجلا في يده حلقة من صفر فقال: ما هذه? قال: من الواهنة، قال: انزعها فإنها لا تزيدك إلا وهنًا، فإنك لو مت وهي عليك ما أفلحت أبدًا


Maksudnya lebih kurang: “Bahawasanya Nabi saw telah melihat seorang lelaki di tangannya ada gelang daripada tembaga, Nabi saw bertanya: “Apakah ini?” Orang itu menjawab: “ianya daripada al-Wahinah.” Sabda Nabi saw: “Tanggalkannya segera, sesungguhnya dia tidak menambahkan kepadamu melainkan kelemahan, sesungguhnya jika kamu mati dan gelang itu ada padamu, kamu tidak akan berjaya selama-lamanya.”

Dalam hadith ini tidak disebut siapakah lelaki yang memakai gelang tersebut, namun di dalam al-Mustadrak al-Hakim dinyatakan lelaki tersebut ialah ‘Imran bin Husain sendiri.

Tentang hadith ini para ulama berbeza pendapat akan kesahihannya. Hadith ini diriwayatkan daripada al-Hasan daripada ‘Imran bin Husain. Para ulama berbeza pendapat apakah al-Hasan (الحسن) benar-benar mendengar daripada ‘Imran bin Husain (عمران بن حسين) ataupun tidak. Demikian juga di dalam hadith ini ada periwayat yang bernama Mubarak bin Fadhalah (مبارك بن فضالة), ia juga diperselisihkan di kalangan ulama hadith. Kesimpulannya para ulama tidak sepakat dalam mensahih dan mendhoiefkan hadith ini.

Jika kita mengambil pendapat ulama hadith yang mensahihkan hadith tersebut, tinggal kepada kita untuk benar-benar memahami maksudnya sehingga kita boleh berhukum dengannya dengan cara yang betul. Perkara ini perlu supaya kita tidak keras mengharam sesuatu yang sebenarnya tidak haram seperti yang kita sangka.

Al-Syeikh Soleh bin Fauzan bin Abdullah al-Fauzan menyebut, pertanyaan Nabi saw: “Apakah bendanya ini.” Yang zahir, pertanyaan ini adalah pertanyaan yang menunjukkan pengingkaran, namun dikatakan juga pertanyaan Nabi saw itu adalah untuk mengetahui tujuannya memakai gelang tersebut.

Manakala jawapan lelaki tersebut: “ianya daripada al-Wahinah.” Membawa maksud, aku memakainya untuk mengelakkan al-Wahinah, untuk dia melindungi aku daripadanya (yakni melindungi daripada al-Wahinah). Al-Wahinah adalah penyakit yang kena pada tangan, dinamakan di kalangan orang Arab dengan al-Wahinah, termasuk di dalam kebiasaan mereka memakai gelang untuk berlindung daripada kesakitannya dan mereka percaya gelang tersebut akan melindungi dari penyakit tersebut.

(Sila lihat di sini: http://www.alfawzan.ws/AlFawzan/Libr…32§ionid=2)

Al-Syeikh ‘Abdul Hakim (Kuliah al-Syariah Uni. Al-Imam Muhammad bin Saud) di dalam laman islamtoday berkata: Para ulama berbeza pendapat tentang maksud al-Wahinah, namun mereka bersepakat akan illah (sebab) larangan tersebut… Ulama telah bersepakat bahawa illah (sebab) larangan tersebut ialah kerana orang menjadikannya (al-Wahinah) seperti tangkal, yang terdapat larangan menggantungnya.

(Sila lihat: http://www.islamtoday.net/questions/…t.cfm?id=43737)

Berdasarkan fatwa ini, ia menunjukkan larangan memakai al-Wahinah yang ada di dalam hadith tersebut bukanlah semata-mata kerana ianya gelang, dan bukan juga larangan dari berubat dengan gelang. Sebaliknya larangan tersebut disebabkan ia dipakai dan dianggap seperti tangkal bertujuan memelihara diri dari penyakit. Tangkal yang dianggap boleh berubat ini, yang dinamakan sebagai al-Wahinah oleh orang Arab tidak ada sebarang bukti menunjukkan ia boleh menghalang dari penyakit samaada bukti dari Nas Syara’ (al-Quran atau al-Hadith) mahupun penemuan sebab-sebab dia boleh bertindak sebagai ubatan. Kerana itu ia dilarang oleh Nabi saw. Ringkasnya larangan itu adalah disebabkan tangkal yang tidak ada bukti berperanan sebagai pengubat melainkan khayalan dan khurafat semata.

Maka apabila terdapat nas Syara’ atau penemuan saintifik yang dapat membuktikan sesuatu bahan seperti logam atau seumapamanya yang jika dipakai dibadan dapat melancarkan perjalanan darah atau seumpamanya, sudah tentu bahan tersebut boleh digunakan insyaallah. Ini termasuk cara perubatan yang ditemui, hasil dari kajian melalui sebab musababnya. Ini kerana perubatan yang dibenarkan itu terdiri daripada:

1. Perubatan dengan ayat-ayat al-Quran dan al-Hadith.
2. Perubatan dengan bahan-bahan yang disebut di dalam al-Quran dan al-Hadith seperti Madu, Habbah al-Sauda dan seumpamanya.
3. Perubatan berdasarkan kajian saintifik terhadap sebab-sebabnya, atau berdasarkan pengalaman mengunakannya.

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum orang lelaki memakai gelang, sebahagian mengatakan harus dan sebahagian yang lain mengatakan haram. Namun para ulama yang mengharamkan pemakaian gelang bagi lelaki, setakat penelitian saya tidak ada yang menjadikan hadith di atas sebagai dalil dalam pengharam tersebut. Sebaliknya hadith tersebut banyak digunakan ketika berbicara tentang tangkal dan azimat yang dianggap dapat melindungi dan mengubati tanpa sebarang bukti dari nas syara’ mahupun kajian saintifik. Al-Sindiy ketika mensyarahkan hadith di atas di dalam Sunan Ibn Majah menyatakan larangan tersebut kerana ianya sama dengan al-Tama-im atau tangkal yang dilarang penggunaannya. Kadangkala tangkal itu digantung bersama dengan manik, yang dinamakan Manik al-Wahinah (خرز الواهنة)

Penggunaan sesuatu tangkal (terdiri dari potongan besi, tembaga, simpulan benang dan lain-lain) untuk berubat dan memelihara diri, ada perbezaan yang cukup besar dengan cara perubatan dengan sesuatu bahan hasil dari penemuan saintifik. Kepercayaan kepada tangkal yang dapat berubat adalah suatu khayalan yang tidak diterima di dalam syara’, dan ianya tidak ada kaitan langsung dengan unsur-unsur perubatan. Berbeza dengan penggunaan sesuatu bahan hasil dari kajian saintifik dan terbukti memberi manfaat kepada manusia.

Kerana itu, al-Syeikh ‘Abdul Halim di dalam fatwa yang sama (yang saya sebutkan sumbernya di atas) membenarkan penggunaan potongan besi (yang digunakan dalam perubatan moden) yang ditanam pada beberapa gigi, atau di tempat-tempat tertentu di tubuh badan yang berperanan menyerap aliran elektrik yang boleh menjadi sebab seseorang hilang ingatannya (pengsan). Beliau menyambung jika seseorang pesakit mendapat manfaat dengan cara sebegini dengan pengakuan individu berkeahlian yang dipercayai, maka ianya tidak mengapa insyaallah. Cuma beliau di dalam fatwanya mencadangkan lebih baik jika bahan seperti potongan besi itu digunakan ditempat yang tersembunyi sebagai mengelak dari buruk sangka orang ramai.

Demikian juga di dalam laman islam-online, al-Ustaz Muhammad Sa’di (Penyelidik laman islam-online) ketika ditanya tentang hukum memakai gelang dari tembaga yang diperbuat bagi tujuan perubatan apakah dibenarkan atau ia termasuk di dalam Syirik yang kecil, beliau menjawab: “Jika terbukti kemanfaatan gelang tersebut sebagai perubatan, maka perbuatan itu tidak mengapa, adapun jika tidak ada padanya sebarang manfaat, maka jangan dipakaikan kerana ketika itu ia termasuk dalam kumpulan memakai tangkal dan azimat.”

(Sila lihat soalan ke 11: http://www.islamonline.net/livefatwa…GuestID=n4MV6S)

Seperti yang saya sebutkan di atas, para ulama berbeza pendapat tentang hukum pemakaian gelang bagi lelaki. Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut di sisi mazhab al-Syafieyyah terdapat dua wajah tentang hukum perhiasan lelaki selain cincin perak seperti gelang tangan dilengan (الدملج) dan gelang (السوار) dan kalung (الطوق) dan mahkota (التاج). Pertama mengatakan haram dan kedua mengatakan harus selama mana tidak menyerupai wanita, kerana tidak thabit dalam (pengharaman) perak melainkan pengharaman untuk bekas-bekas (seperti pinggan, mangkuk dll), dan perhiasan dalam bentuk menyerupai wanita. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 18/110 bawah bab al-Huliy)

Darul Ifta’al-Misriyyah pula di dalam laman webnya menyebut perkataan al-Rafi’e (ulama mazhab al-Syafie) di dalam Syarh al-Wajiz yang mengatakan harus bagi lelaki memaki cincin perak berdasarkan riwayat cincin Nabi saw daripada perak dan harus juga memakai selain cincin dari perhiasan perak seperti gelang dan gelang lengan dan kalung. Demikian juga perkataan Abu Said al-Mutawali yang mengatakan apabila harus memakai cincin perak, maka tidak ada beza antara jari-jari dengan anggota lainnya, sama seperti perhiasan emas yang dihalalkan untuk wanita, maka diharuskan untuk orang lelaki memakai gelang di lengan, kalung di tengkuk dan gelang di tangan dan selainnya kerana tidak thabit pengharaman perak melainkan pengharaman kepada bekas-bekas dan pengharaman menyerupai wanita.

(Sila lihat laman rasmi Dar al-Ifta’ al-Misriyyah: http://www.dar-alifta.com/)


Kesimpulan dari jawapan di atas ialah:

TIDAK HARAM berubat dengan gelang yang terbukti melalui kajian saintifik atau pengakuan individu yang berkelayakan dan boleh dipercayai agamanya.
Larangan memakai gelang yang dinamakan al-Wahinah di dalam hadith bukan merujuk kepada gelang semata-mata dan bukan juga merujuk kepada larangan berubat dengan gelang, sebaliknya ia merujuk kepada merubat dengan tangkal atau gelang yang hanya semata-mata tangkal.
Orang-orang yang menggunakan gelang atas sebab-sebab yang dibenarkan hendaklah memerhatikan yang mereka tidak sampai ke tahap yang dilarang seperti pembaziran dan menyerupai wanita dalam penggunaannya.
TIDAK HARAM berubat dengan gelang yang terbukti melalui kajian saintifik atau pengakuan individu yang berkelayakan dan boleh dipercayai agamanya.

Larangan memakai gelang yang dinamakan al-Wahinah di dalam hadith bukan merujuk kepada gelang semata-mata dan bukan juga merujuk kepada larangan berubat dengan gelang, sebaliknya ia merujuk kepada merubat dengan tangkal atau gelang yang hanya semata-mata tangkal.

Orang-orang yang menggunakan gelang atas sebab-sebab yang dibenarkan hendaklah memerhatikan yang mereka tidak sampai ke tahap yang dilarang seperti pembaziran dan menyerupai wanita dalam penggunaannya.

Hukum Diam Ketika Mendengar Bacaan al-Quran


Soalan:

Apakah hukum berdiam diri ketika mendengar bacaan al-Quran?

Jawapan:

Para ulama berbeza pendapat dalam hukum berdiam diri/senyap ketika mendengar bacaan al-quran di luar solat kepada dua pandangan:

1. Wajib berdiam diri/senyap: Ini adalah mazhab Hanafi, sebahagian mereka mengatakan kewajipan ini adalah kewajipan ‘aini dan sebahagian lagi mengatakan wajib kifayah. Mereka berdalilkan degan firman Allah:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُواْ لَهُ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila dibacakan al-Quran, maka hendaklah kamu semua mendengarnya dan diam, mudah-mudahan kamu semua beroleh rahmat.” (al-A’raf:204)

2. Sunat atau digalakkan: Ini adalah pandangan kebanyakan ulama, mereka memahami ayat dari surah al-A’raf di atas adalah arahan di dalam solat sahaja, adapun di luar solat hukumnya menjadi sunat.

Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin pernah ditanya:

“Sekumpulan orang yang berada di dalam kereta yang sedang bergerak, dimana salah seorangnya memasang kaset al-Quran, apakah wajib ke atas semua mendengarnya dan apakah berdosa sesiapa yang berkata-kata ketika waktu itu?

Beliau menjawab:

Imam Ahmad berkata tentang ayat surah al-A’raf (di atas): “Ianya untuk solat.” Dia berkata juga: “Para ulama telah sepakat yang ianya adalah arahan ketika solat.”

Saya (al-‘Uthaimin) menasihati orang yang memasang kaset al-Quran supaya jangan memasangnya ketika manusia sibuk dengan perkara lain. Maka jika kamu melihat kawan-kawan kamu tidak bersedia untuk mendengar dan mereka sedang sibuk berbual sesama mereka, maka jangan kamu memasang al-Quran.” (Secara ringkas dari Liqa-aat al-Bab al-Maftuh, bil. Liqa: 197)

Wednesday, June 4, 2008

Bacaan tasyahhud bukan dailog Nabi dengan Allah pada malam mi'raj


Soalan:

Benarkan lafaz bacaan tasyahhud adalah dailog Nabi S.A.W. ketika Mi’raj, ketikamana baginda sampai di Sidratul Muntaha dan baginda mengucapkan al-Tahiyyatu lillah wassolawatuwattayyibaat, lalu Allah menjawab: “Assalamu’alaika iyyuhannabiyyu warahmatullaahi wabarakatuh.” Lalu para malaikat menajawab: “Assalamu’alaina wa’ala ibadillaahis solihin.” ?

Jawapan:

Tidak diketahui asal usul kisah ini, tidak diketahui juga sanadnya. Tidak terdapat kisah ini satu atharpun di dalam kitab-kitab hadith yang sahih.

Kisah mi’raj, thabit secara terperinci di dalam sahih al-Bukhari, muslim dan selainnya. Akan tetapi tidak ada satupun hadith yang menceritakan kisah di atas, demikian juga tidak terdapat satu hadithpun ketika Nabi mengajar sahabat bacaan tasyuhhud yang menceritakan kisah ini.

Ulama dari Lujnah Daimah telah ditanya dengan soalan seumpama ini dan mereka menjawab: “… adapun Nabi sujud di Sidratul muntaha sambil mengucapkan tasyahhud ini pada malam ma’raj, tidak kami ketahui ada asal-usulnya.”

Wallahu a’lam.

Monday, June 2, 2008

Daerah Kemaafan di Dalam Islam


إنَّ اللهَ تَعَالى فَرَضَ فَرَائِضَ فَلَا تُضَيِّعُوْهَا ، وَحَدَّ حُدُوْدًا فَلَا تَعْتَدُوْهَا ، وَحَرَّمَ أشْيَاءَ فَلَا تَنْتَهِكُوْهَا ، وَسَكَتَ عَنْ أشْيَاء - رَحْمَةً لَكُمْ غَيْرَ نِسْيَان – فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا


Maksudnya: “Sesunggunya Allah S.W.T. telah menfardhukan beberapa kefardhuan, maka janganlah kamu semua menguranginya, Allah juga telah menetapkan beberapa ketetapan, maka janganlah melampauinya, Dia juga telah mengharamkan beberapa perkara, maka jangan kamu mencerobohinya, dan Allah membiarkan beberapa perkara sebagai rahmat untuk kamu semua, bukan disebabkan terlupa, maka jangan kamu mengkaji (untuk mengharam atau mewajibkan) nya.” (HR al-Daraqutni dan dihasankan oleh al-Nawawi di dalam al-Arba’ien al-Nawawiah)

Pengajaran Hadith

Hadith di atas menggambarkan tabiat agama Islam. Ia merangkumi 4 perkara:

Kefardhuan-kefardhuan. Hadith di atas memberi petunjuk kepada setiap muslim supaya tidak meringan-ringankan dalam melaksanakan setiap kefardhuan. Yang dinamakan kefardhuan itu ialah perkara-perkara kewajipan yang diwajibkan oleh Allah ke atas hamba-hambaNya. Ia merangkumi kewajipan setiap individu (Fardhu ‘Ain) dan kewajipan berkumpulan (Fardhu Kifayah). Maka apabila Allah dan Rasul mewajibkan sesuatu perkara, maka tidak ada ruang untuk mana-mana muslim membantahkan atau tidak mahu melaksanakannya. Ini kerana melaksanakan kewajipan Allah dan Rasul itu adalah buah daripada beriman kepada keduanya. Sepertimana firman Allah di dalam surah al-Anfal ayat 1: (Maksudnya) “Taatlah kamu semua kepada Allah dan RasulNya, jika kamu semua orang-orang yang beriman.”

Pengharaman-pengharaman. Hadith memberi petunjuk untuk meninggalkan semua maksiat keseluruhannya.

Ketetapan-ketetapan. Apabila ruang taklif itu merangkumi melaksanakan arahan/suruhan, meninggalkan larangan, berpegang dengan syariat dan beriltizam dengannya dan berada di atas ketetapan syariat tanpa melampauinya Nabi S.A.W. menegaskan lagi dengan menyatakan “Allah juga telah menetapkan beberapa ketetapan, maka janganlah melampauinya”. Hudud atau ketetapan-ketetapan merangkumi arahan-arahan Allah, tidak boleh keluar daripada perkara yang diizinkan. Ia juga merangkumi perkara-perkara yang terlarang dengan tidak mendekatinya juga. Ini kerana Allah S.W.T. apabila mengharamkan sesuatu, diharamkan juga perkara yang boleh membawa kepadanya.

Perkara-perkara yang dibiarkan untuk kita. Disamping itu ada pula perkara yang dibiarkan oleh Allah taala untuk kita. Biarnya Allah taala dalam beberapa perkara itu bukanlah disebabkan Allah terlupakannya, namun ia berupa rahmat untuk kita semua. Nabi bersabada: “Jangan kamu semua mencari-cari (untuk mengharam atau mewajibkan)nya.” sehingga disebabkan sikap mencari-cari itu mengetatkan agama dengan pertambahan bebanan dalam perkara yang diwajibkan atau perkara yang diharamkan. Inilah ruang kemaafan yang dibiarkan oleh syara’ untuk umat Islam bersesuaian dengan zaman, keadaan dan keperluan mereka.