Pendahuluan : Peranan dan Kepentingan Sanad
Al-Isnad atau al-Sanad (Ibn Jama'ah (ابن جماعة) berkata : "al-Muhaddithun menggunakan al-Sanad dan al-Isnad dengan maksud yang satu…" Manzumah al-Sobban, m.s. 64.) adalah keistimewaan umat Nabi saw. Tidak ada di kalangan umat sebelum ini yang memiliki ilmu kajian sanad sepertimana umat Nabi Muhammad saw. Muhammad Bin Hatim al-Muzaffar (محمد بن حاتم بن المظفر) berkata:
إن الله أكرم هذه الأمة وشرفها وفضلها بالإسناد, وليس لأحد من الأمم كلها قديمها وحديثها إسناد, إنما هوا صَحُفٌ في أيديهم, وقد خلطوا بكتبهم أخبارهم, وليس عندهم تمييز بين ما نزل من التوراة والإنجيل و بين ما ألحقوه بكتبهم من الأخبار التي أخذوها عن غير الثقات.
Maksudnya : "Sesungguhnya Allah telah memuliakan umat ini dengan al-Isnad. Dan tidak ada satupun dari kalangan umat-umat kesemuanya, yang baru atau yang lama (yang memiliki kajian) Isnad, sekalipun di tangan mereka adanya suhuf, mereka (umat dahulu) telah mencampur adukkan kitab-kitab mereka dengan cerita-cerita dari mereka sendiri, tidak ada pada mereka (cara) pembeza antara apa yang diturunkan daripada al-Taurah atau al-Injil, antara apa yang dimasukkan ke dalam kitab-kitab mereka dari cerita-cerita yang diambil dari yang tidak thiqaat (الثقات) (Fath al-Mughith Syarh Alfiyyah al-Hadith, al-Imam Syams al-Din Muhammad Bin 'Abd al-Rahman Bin Muhammad al-Sakhawi, jld 3, m.s. 5, cet. Dar al-'Ilmiyyah)." Abu Hatim ar-Razi pula berkata:
لم يكن في أمة من الأمم منذ خلق الله آدم أمة يحفظون آثار الرسول إلا في هذه الأمة
Maksudnya "Tidak terdapat pada satu umat dari umat-umat (terdahulu) semenjak Allah menciptakan Adam, satu umat yang memelihara athar rasul mereka, melainkan umat (Muhammad saw) ini." (Ibid, m.s. 151) al-Suyuthi (السيوطي) di dalam Tadrib al-Rawi (تدريب الراوي) menaqalkan daripada Ibn Hazm (اين حزم) katanya:
نقل الثقة عن الثقة يبلغ به النبي صلى الله عليه وسلم مع الاتصال, خص الله به المسلمين دون سائر الملل, وأما مع سائر الارسال والاعضال, فيوجد في كثير من اليهود, ولكن لا يقربون فيه من موسى قُربَنا من محمد صلى الله عليه وسلم بل يقفون بحيث يكون بينهم و بين موسى أكثر من ثلاثين عصرا, وإنما يبلغون إلى شمعون ونحوه
Maksudnya : "Seorang thiqah (الثقة), menaqalkan dari seorang thiqah, sehingga sampai kepada Nabi saw dalam keadaan bersambung (sanadnya), (suatu) yang telah Allah khususkan kepada kaum muslimin, tidak kepada agama-agama (الملل) lain. Adapun (sanad) dalam keadaan al-Irsal (الارسال) dan al-I'dhol (الاعضال), terdapat banyak di sisi Yahudi, akan tetapi (sanad tersebut) tidak menghampiri kepada Musa sepertimana hampirnya kita dengan Muhammad saw, bahkan (sanad) mereka terhenti diantara mereka dengan Musa hingga mencapai lebih dari tiga puluh zaman, adapun mereka hanya sampai kepada Syam'aun (شمعون) dan seumpamanya (sahaja)." Katanya lagi:
وأما أقوال الصحابة والتابعين, فلا يمكن اليهود أن يبلغوا إلى صاحب نبي أصلا. ولا إلى تابع له , ولا يمكن النصارى أن يصلوا إلى أعلى من شمعون وبولص.
Maksudnya : "Adapun perkataan-perkataan (seumpama) sahabat dan al-Tabi'ien, (di sisi Yahudi dan Nasora) tidak mungkin Yahudi dapat sampaikan walau kepada seorang sahabat Nabi (mereka) secara asal, tidak juga (dapat disampaikan) kepada seorang Tabi' bagi sahabat, (demikian juga) tidak mungkin bagi Nasora untuk mereka sambungkan (sanad mereka) sehingga menjangkaui Syam'aun dan Bolos (بولص).(Tadrib al-Rawi, jld 2, m.s. 159 – 160.)"
Semua ini menunjukkan bahawa sanad merupakan suatu yang dikhususkan oleh Allah swt kepada umat Nabi saw. Kerana itu kebanyakan kitab-kitab Ulum al-Hadith apabila membicarakan tentang sanad 'Ali dan Nazil, kebanyakan ulama yang mengarangnya akan memulakan dengan menerangkan kelebihan, keutamaan dan kemuliaan umat Muslimin dengan sanad yang terpelihara hingga kepada Nabi saw. Ibn al-Solah (ابن الصلاح) (Beliau ialah Taqi al-Din ‘Uthman Bin 'Abd al-Rahman (تقي الدين عثمان بن عبد الرحمن), lebih masyhur dengan Ibn al-Solah) berkata : "Asas al-Isnad adalah suatu keutamaan yang utama dari keutamaan-keutamaan umat ini, dan satu sunnah yang agung (سنة بالغة) dari sunnah-sunnah yang dituntut. (Beliau ialah Taqi al-Din ‘Uthman Bin 'Abd al-Rahman (تقي الدين عثمان بن عبد الرحمن), lebih masyhur dengan Ibn al-Solah) " ‘Abdullah Ibn al-Mubarak (عبد الله بن المبارك) berkata:
الإسناد من الدين لو لا الإسناد لقال من شاء بما شاء
Maksudnya : “Al-Isnad itu adalah daripada agama, kalaulah tanpa al-Isnad, pastilah setiap orang berkata mengikut kehendaknya. (Al-Hafidz Jalal al-Dien ‘Abd al-Rahman al-Suyuthi (الحافظ جلال الدين عبد الرحمن السيوطي), Syarh Manzumah ‘Ilmu al-Athar (شرح منظومة علم الأثر), cet. Dar al-Thaqafah al-Islamiyah, Beirut. m.s. 196.) ”
Sanad menjadi sesuatu yang perlu dan penting kerana melaluinya hadith-hadith Nabi saw terpelihara daripada diubah dan didustakan, ditambah atau dikurang. Ini kerana pada pertengahan kurun kedua, iaitu setelah berlakunya pembunuhan 'Uthman Ibn 'Affan (عثمان ابن عفان) r.a. timbulnya jenayah memalsukan hadith-hadith Nabi saw. Jenayah ini berlaku disebabkan setiap puak berusaha mempertahankan puak mereka. Melihat kepada fenomena ini, para ulama hadith mempraktikkan kajian sanad, Ibn Sirin (ابن سيرين) berkata:
لم يكونوا يسألون عن الإسناد فلما وقعت الفتنة قالوا سموا لنا رجالكم فيُنظَر إلى أهل السنة فيؤخذ حديثهم وينظر إلى أهل البِدَعِ فلا يؤخذ حديثهم
Maksudnya : "Tidaklah mereka (para sahabat) bertanya tentang sanad, apabila berlakunya fitnah, mereka berkata : sebutkan kepada kami rijal kamu, jika dilihat rijalnya daripada ahl al-Sunnah, maka diambil hadith mereka, jika dilihat rijal mereka daripada ahl al-Bid'ah, maka tidak diambil hadith mereka." (Muqaddimah Sahih Muslim)
Inilah titik tolak bermulanya kajian sanad. Setelah berpecahnya umat Islam kepada beberapa golongan seperti Khawarij dan Syi'ah, dan setiap golongan asyik mempertahankan golongannya. Untuk menyempurnakan hasrat mempertahankan golongan masing-masing setiap golongan mereka hadith-hadith Nabi saw secara dusta. Maka bangun para ulama Ahl al-Sunnah, mengkaji setiap hadith yang sampai kepada mereka melalui sanad. Melaluinya, sesuatu hadith diteliti oleh para ulama, melaluinya dapat dikenal pasti sesuatu hadith itu Sahih atau Dhoief, Maudhu’ atau tidak ada asal baginya (لا أصل له). Para ulama yang mendengar hadith akan merujuk kepada sanad hadith tersebut. Lalu mereka meneliti setiap perawinya, hal keadaannya, sifat-sifatnya, akhlaknya, sifat siddiqnya, kekuatan hafalannya dan iltizamnya dengan agama. Demikian juga melalui sanad, para ulama mengkaji hubungan seorang perawi (الراوي) dengan perawi sebelumnya, apakah ada kemungkinan dia meriwayatkan sesuatu dari orang sebelumnya ataupun tidak. Melihat kepada kepentingan sanad, al-Imam al-Syafie r.h berkata:
مثل الذي يطلب الحديث بلا إسناد كمثل حاطب ليل
Maksudnya : "Perumapamaan orang yang menuntut hadith tanpa isnad, seperti Hatib Lail." (Fath al-Mughith, juzu' 3, m.s. 6)
Al-Hakim ketika memperkenalkan Abdullah bin Tohir di dalam tarikhnya dengan sanad yang sampai kepada Ishak Bin Ibrahim al-Hanzoli berkata:
كان عبد الله بن طاهر إذا سألني عن حديث فذكرته بلا إسناد, سألني عن إسناده , ويقول : رواية الحديث بلا إسناد من عمل الزَمنَى, فإن إسناد الحديث كرامة من الله عز وجل لأمة محمد"
Maksudnya: " 'Abdullah bin Tohir bertanya kepadaku tentang satu hadith, lalu aku menyebutkannya tanpa isnad, lalu dia bertanya tentang sanadnya dan berkata : Riwayat hadith tanpa isnad adalah amalan orang-orang yang merana atau menderita sakit yang lama. Sesungguhnya isnad hadith adalah kemuliaan daripada Allah untuk umat Muhammad (saw)." (Ibid.) Sufyan Bin 'Uyainah (سفيان بن عيينة) pula berkata:
حدّث الزهري يوما بحديث, فقلت : هاته بلا إسناد, فقال الزهري : أتَرقَى السَطْحَ بلا سُلّم
Maksudnya : "Suatu hari al-Zuhri menyampaikan hadith, maka aku berkata : Engkau memberikannya (menyampaikannya) tanpa sanad? Jawab Zuhri : Apakah kamu menaiki bumbung tanpa menggunakan tangga.?" (Ibid,)
Seperti yang telah dinyatakan, sanad merupakan suatu yang penting untuk menentukan kesahihan sesuatu hadith atau sebaliknya. Apabila kesahihan sesuatu hadith dapat dikenal pasti dari kajian dan penelitian terhadapnya, maka banyak atau kurangnya perawi yang meriwayatkan sesuatu hadith, sedikit sebanyak memberi kesan kepada kajian terhadap sesuatu sanad hadith. disamping banyak atau kurangnya periwayat dalam sesuatu sanad sedikit sebanyak mempengaruhi kajian terhadap sanad tersebut, maka para ulama salaf berusaha merantau untuk mendapatkan sanad yang ‘Ali, kerana dengan sanad yang ‘Ali mengurangkan kemungkinan berlakunya kecacatan.
Definasi sanad 'Ali dan Nazil
Dari sudut bahasa (اللغة) kalimat al-‘Ali (العالي) adalah Isim Fa’il (اسم فاعل) dari (العُلُوّ) iaitu yang tinggi atau yang naik tinggi. Ia berlawanan dengan kalimat al-Nuzul (النزول). Manakala kalimat al-Nazil (النازل) pula adalah Isim Fa’il dari kalimat al-Nuzul, iaitu yang jatuh atau yang turun.
Dari sudut istilah (الاصطلاح) : al-Isnad al-‘Ali (الإسناد العالي) ialah isnad yang kurang bilangan rijal atau perawinya jika berbanding dengan sanad lain yang terdapat dalam sesuatu hadith dengan jumlah yang lebih banyak (Dr. Mahmud al-Tohhan (الدكتور محمود الطحّان), Taisir Mustolah al-Hadith (تيسير مصطلاح الحديث). Cet. Dar al-Fikr, m.s. 139). Manakala Al-Isnad al-Naazil (الإسناد النازل) pula ialah isnad yang banyak bilangan perawinya jika dibandingkan dengan sanad yang lain yang terdapat dalam sesuatu hadith (yang sama) dengan jumlah yang lebih sedikit. (Ibid)
Al-Ustaz Dr. Syaraf Mahmud al-Qudhah (الأستاذ الدكتور شرف محمود القضاة) berkata : “al-Hadith al-‘Ali ialah hadith yang kurang halqaat (حَلْقاتُ) sanadnya secara nisbah dalam keadaan ianya bersambung. Manakala al-Hadith al-Nazil ialah hadith yang banyak halqaat sanadnya secara nisbah dalam keadaan ianya bersambung. Maka yang dikiaskan adalah bilangan halqaat sanadnya tanpa melihat kepada bilangan perawi dalam setiap halqah (حلقة). Kadang-kadang terdapat hadith yang diriwayatkan dari beberapa orang sahabat dari Nabi saw, maka ini dikira satu halqah dalam keadaan berbilang perawinya. Maka (kita) perlu membezakan antara berbilangnya perawi dengan berbilangnya al-Halqaat (الحَلْقات). Kadang-kadang terjadi juga seorang perawi (الراوي) meriwayatkan (sesuatu hadith) dari seorang yang sama di dalam Tabaqahnya (الطبقة), maka mereka berdua di sini dikira sebagai dua halqah (حلقتان). Maka sepatutnya kita dapat bezakan antara al-Tobaqah (الطبقة) dan al-Halqah (الحلقة).” (Al-Ustaz Dr. Syaraf Mahmud al-Qudhah, Kuliah Syari’ah Uni. Jordan, al-Manhaj al-Hadith fi ‘Ulum al-Hadith, (المنهاج الحديث في علوم الحديث)m.s. 76-77.)
Definasi di atas memberikan pengertian yang jelas kepada kita maksud sanad 'Ali dan Nazil. Beza antara keduanya adalah merujuk kepada bilangan perawi dalam beberapa sanad yang menyampaikan satu hadith yang sama. Sanad yang lebih sedikit jumlah perawinya maka ia dinamakan sebagai sanad 'Ali dan yang sebaliknya dinamakan sebagai sanad Nazil. Ia tidak semata-mata dilihat kepada banyak atau kurangnya perawi di dalam sesuatu sanad. Sebaliknya sanad tersebut dibandingkan dengan sanad lain yang menyebut hadith yang sama. Jika salah satu sanad mengandungi empat orang perawi hingga sampai kepada Nabi saw, sedang sanad yang lain mengandungi lima perawi, maka sanad yang mengandungi empat perawi dikira sebagai lebih ‘Ali (أعلى) daripada yang mengandungi lima perawi.
Al-Syeikh Kamil Muhammad Muhammad 'Uwaidhoh (الشيخ كامل محمد محمد عويضة) yang mentashih dan mensyarahkan kitab Manzumah al-Sobban berkata:
إن الحديث الواحد إذا كان له سندان أحدهما أقل عددا في رجاله من الآخر, يقال للسند الذي هو أقل عددا السند العالي, ويقال للسند الآخر الذي هو أكثر عددا السند النازل
Maksudnya : "Sesungguhnya sesuatu hadith, jika ia memiliki dua sanad (سندان), salah satunya lebih sedikit bilangan perawinya (رجال) berbanding yang satu lagi, maka dikatakan sanad yang lebih sedikit bilangan (perawinya sebagai) al-Sanad al-'Ali (السند العالي), dan dikatakan sanad yang satu lagi, iaitu yang lebih banyak bilangan (perawinya sebagai) al-Sanad al-Nazil (السند النازل)." (Abi al-'Arfan Muhammad Bin 'Ali al-Sobban (أبي العرفان محمد بن علي الصبان), Manzumah al-Sobban fi 'Ilmi Mustalah al-Hadith (منظومة الصبان في العلم مصطلح الحديث), m.s. 159)
Kepentingan Sanad 'Ali Berbanding Sanad Nazil
Terdapat sedikit perbezaan pendapat, manakah yang lebih utama samaada sanad yang 'Ali ataupun sanad yang Nazil. Berkata sebahagian orang Zuhhad (الزهاد), sanad yang 'Ali itu adalah termasuk dalam perhiasan dunia (من زينة الدنيا). Mereka juga berpendapat apabila wajib ke atas ulama hadith bersungguh-sungguh mengkaji setiap sanad dari sudut Jarh (جرح) dan ta'dil (تعديل), maka sanad Nazil yang lebih perawinya lebih banyak kesungguhan dan kajiannya. Maka dari sudut ini, apabila lebih kesungguhan dan kajian, lebihlah pahala dan ganjaran. (Fath al-Mughit, jld 3, m.s. 10)
Namun berdasarkan pengertian sanad 'Ali dan Nazil yang telah dinyatakan di atas, ia menunjukkan bahawa sanad ‘Ali lebih kuat berbanding sanad ‘Nazil. Ini kerana apabila banyaknya perawi di dalam sesuatu jaluran sanad ia memungkinkan berlakunya lebih kesilapan jika dibandingkan dengan jaluran sanad yang lebih kurang bilangan perawinya (sanad 'Ali). Dalam perbincangan sanad 'Ali dan Najil ini, perkara yang diutamakan ialah kesahihan sesuatu hadith, bukan yang lainnya. Ini samalah halnya jika seseorang yang hendak pergi menunaikan solat jamaah di masjid. Apakah patut dia melalui jalan yang jauh kerana mengharapkan pahala banyaknya langkah ke masjid hingga dia tertinggal solat berjamaah yang menjadi tujuan asalnya ? demikian juga pada hadith, tujuan utama ialah untuk sampai kepada kesahihan dan menjauhi apa-apa yang boleh menimbulkan keraguan pada sesuatu hadith. Maka apabila banyaknya perawi di dalam sesuatu sanad, ia memungkinkan banyaknya kesilapan (الخطأ) dan kerosakan (الخلل), sebaliknya apabila kurangnya perawi dalam sesuatu sanad ia lebih mengurangkan kesilapan dan kerosakan. Maka ini menjadikan sanad 'Ali lebih selamat dan utama. (Ibid)
Apabila pada sanad 'Ali lebih terpelihara ketulinannya maka ia adalah lebih utama dari sanad Nazil. Al-Ustaz Dr. Syaraf Mahmud al-Qudhah berkata:
والسند العالي أقوى من السند النازل, والسبب في ذلك أنه كلما زادت عدد المرات التي ينتقل فيها الحديث من حلقة إلى أخرى زاد احتمال الخطاء, وكلما قلت قل احتمال الخطاء.
Maksudnya : “Dan sanad ‘Ali adalah lebih kuat dari sanad yang Nazil. Sebabnya kerana, setiap (hadith) yang bertambah jumlah bilangan perpindahannya (dari seorang perawi kepada perawi yang lain) pada sesuatu hadith, dari setiap halqah kepada halqah yang lain, menyebabkan bertambahnya kemungkinan (احتمال) berlakunya kesilapan. Maka jika kurang perpindahannya, maka kuranglah kemungkinan berlakunya kesilapan.” (Al-Ustaz Dr. Syaraf Mahmud al-Qudhah, Kuliah Syari’ah Uni. Jordan, al-Manhaj al-Hadith fi ‘Ulum al-Hadith, (المنهج الحديث في علوم الحديث), m.s. 77)
Ibn al-Solah (ابن الصلاح) pula berkata:
العلوّ يَبعِد الإسناد من الخلل, لأن كل رجل من رجاله يحتمل أن يقع الخلل من جهته سهوا أو عمدا, ففي قلّتهم قلّة جهات الخلل وفي كثرتهم كثرة جهات الخلل, وهذا جلي واضح
Maksudnya : “al-‘Uluw (sanad yang ‘Ali) menjauhkan sanad dari kerosakan (الخلل). Ini kerana setiap seorang dari perawi-perawinya berkemungkinan melakukan kesilapan samaada terlupa atau sengaja. Maka jika sedikit jumlah mereka (perawi), sedikitlah (kemungkinan) berlaku kerosakan, jika banyak jumlah mereka (perawi), banyaklah (kemungkinan) berlaku kerosakan. Ini adalah suatu yang jelas dan terang ” (Muqaddimah Ibn al-Solah (مقدمة ابن الصلاح), Ma’rifah al-Isnad al-‘Ali wa al-Nazil, Versi internet : http://islamtoday.al-eman.com/islamlib/viewchp.asp?BID=145&CID=33)
Disebabkan keutamaan sanad 'Ali berbanding sanad Nazil ini, al-Imam al-Bukhari di dalam kitab sahihnya tidak meriwayatkan hadith dari Imam Malik melalui al-Imam al-Syafie kerana melaluinya perlu sampai kepada Imam Malik melalui dua perantara (واسطتين). Maka al-Bukhari meriwayatkan dari Malik melalui al-Qa'nabi (القعنبي) dan yang seumpamanya dan beliau tidak mengambil sanad yang Nazil dalam keadaan adanya sanad yang 'Ali. (Fath al-Mughith, m.s. 10.) Demikian juga al-Bukhari I'timad dalam kebanyakan hadith al-Zuhri (الزهري) berbanding Syu'aib (شعيب) dimana sanadnya lebih kurang dari jalan Mu'ammar (معمر). (Ibid)
Kesungguhan Para Ulama Mendapatkan Sanad 'Ali
Melihat kepada kepentingan memiliki sanad 'Ali yang sahih, dimana sanad yang 'Ali mengurangkan kebarangkalian berlakukan kesilapan dan kerosakan, maka kita akan melihat para ulama benar-benar berusaha untuk mendapatkannya. Kesungguhan mereka mendapatkan sanad yang 'Ali berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a., katanya:
"كنا نهينا أن نسأل رسول الله صلى الله عليه وسلم عن شيء, فكان يعجبناأن يأتيه الرجل من أهل البادية, فيسأله ونحن نسمع فأتاه رجل منهم فقال: يا محمد, أتانا رسولك فزعم أنك تزعم أن الله أرسلك. قال: صدق. قال: فمن خلق السماء؟ قال: الله. قال: فمن خلق الأرض؟ قال: الله. قال: فمن نصب هذا الجبال؟ قال: الله. قال: فمن جعل فيها هذه المنافع؟ قال: الله. قال: فبالذي خلق السماء والأرض و نصب الجبال و جعل فيها هذه المنافع, ألله أرسلك؟ قال: نعم. قال: فزعم رسولك أن علينا خمس صلوات في يومنا و ليلتنا. قال: صدق. قال: فبالذي أرسلك, الله أمرك بهذا؟ قال: نعم . قال وزعم رسولك أن علينا صدقة في أموالنا. قال: صدق. قال: فبالذي أرسلك, الله أمرك بهذا؟ قال: نعم. قال: وزعم رسولك أن علينا صوم شهر في سنتنا. قال: صدق. قال: فبالذي أرسلك, الله أمرك بهذا؟ قال: نعم. قال: وزعم رسولك أن عليناحج البيت من استطع إليه سبيلا. قال: صدق. قال: فبالذي أرسلك, الله أمرك بهذا؟ قال: نعم . قال: والذي بعثك بالحق, لا أزيدن عليهن ولا أنقص منهن. فلما مضى قال: لئن صدق ليدخلن الجنة."
Maksudnya : "Adalah kami dilarang daripada (banyak) bertanyakan kepada Rasulullah saw tentang sesuatu, maka kami amat bergembira jika datang kepada Baginda seorang lelaki dari ahli pendalaman (Arab Badwi), lalu dia bertanya Baginda, dan kami semua boleh mendengar. (suatu hari) datang seorang lelaki dari mereka (orang pendalaman) lalu berkata : Wahai Muhammad, telah datang kepada kami utusanmu, lalu dia telah mendakwa bahawa engkau mendakwa, Allah telah mengutuskan engkau. Jawab Baginda : Dia benar. Kata orang itu lagi : Siapakah yang menciptakan langit? Jawab Baginda : Allah. Tanyanya lagi : Siapakah yang telah menciptakan bumi? Jawab Baginda : Allah. Tanyanya lagi :Siapakah yang telah menegakkan bukit ini? Baginda saw menjawab : Allah. Tanya orang itu lagi : Siapakah yang telah menjadikan manfaat-manfaat padanya? Baginda menjawab : Allah. Kata orang itu : Demi zat yang telah menciptakan langit dan bumi, dan yang telah menegakkan bukit ini, dan yang telah menjadikan banyak manafaat padanya, Apakah (benar) Allah yang telah mengutuskan engkau (Muhammad)? Jawab Baginda : Ya. Kata orang itu lagi : Dan utusan engkau mendakwa, bahawa atas kami (perlu melaksanakan) sembahyang lima waktu sehari semalam. Jawab Baginda : Dia benar. Kata orang itu : Demi zat yang telah mengutuskan engkau, Allah yang telah menyuruh engkau dengan perkara ini? Jawab Baginda : Ya. Orang itu berkata lagi : Utusanmu mendakwa bahawa atas kami perlu mengeluarkan sedekah dari harta-harta kami? Baginda menjawab : Dia benar. Kata orang itu : Demi zat yang telah mengutuskan engkau, Benarkah Allah yang telah menyuruh engkau dengan perkara ini? Baginda menjawab : Ya. Kata orang itu lagi : Utusanmu mendakwa bahawa atas kami perlu berpuasa sebulan dalam setahun? Baginda menjawab : Dia benar. Orang itu berkata : Demi zat yang telah mengutuskan engkau, Allah yang menyuruh engkau dengan perkara ini? Baginda menjawab : Ya. Orang itu berkata lagi : Utusanmu mendakwa bahawa atas kami perlu menunaikan haji di al-Bait bagi sesiapa yang mampu melaksanakannya?Baginda menjawab : Dia benar. Kata orang itu : Demi zat yang telah mengutuskan engkau, Allah yang telah menyuruh engkau dengan perkara ini? Jawab Baginda : Ya. Kata orang itu : Demi zat yang telah mengutuskan engkau dengan kebenaran. Aku tidak akan menambahnya dan aku tidak akan mengurangkan daripadanya. Apabila orang itu berlalu pergi, Nabi saw bersabda : Jika dia benar (seperti yang dikatakannya) pasti dia akan masuk ke syurga." (Hadith sahih r iwayat Muslim, bab al-Iman)
Dari hadith ini, para ulama menjadikannya sebagai bukti atas galakan untuk mendapatkan sanad yang 'Ali. Ini kerana orang Badwi tersebut, walaupun utusan Nabi saw telah mengkhabarkan kepadanya tentang Islam, namun dia tetap ingin mendapatkan perkhabaran tersebut dari Nabi saw sendiri. Jika perbuatan Badwi tersebut suatu yang tercela dan tidak baik, pastilah Nabi saw akan menegur dan menasihatinya untuk berpada dengan khabar yang disampaikan oleh utusan baginda saw. Abu Abdillah al-Hakim (أبو عبد الله الحاكم) berkata : "Padanya (hadith di atas) dalil seseorang menuntut sanad yang 'Ali dan tidak hanya berpada dengan sanad yang Nazil, walaupun dia mendengarnya dari (seseorang) yang thiqah. Dimana seorang Badwi (itu), ketika telah datang kepadanya utusan Rasulullah saw, lalu mengkhabarkan kepadanya apa-apa yang telah difardhukan oleh Allah ke atas mereka, (akan tetapi ianya) ia merasakan tidak memadai dengannya, sehinggalah dia berangkat sendiri untuk bertemu Rasulullah saw, dan mendengar daripada baginda apa-apa yang telah disampaikan oleh utusan baginda kepadanya." (Manzumah al-Sobban, m.s. 154.)
Seterusnya al-Syeikh Kamil berkata : "Kalaulah mencari sanad yang 'Ali itu suatu yang tidak digalakkan, pastilah al-Mustafa saw telah mengingkari soalan-soalan Badwi tersebut kepada Baginda tentang perkara yang telah dikhabarkan kepadanya oleh utusan Baginda. Dan pastilah juga Baginda akan menyuruhnya berpada dengan apa yang telah dikhabarkan oleh utusan Baginda kepadanya." (ibid)
Demikian juga hadith yang menceritakan tentang 'Abdullah Bin Zaid yang telah melihat di dalam mimpinya lafaz-lafaz azan dan kaifiyatnya, lalu beliau menceritakan kepada Nabi saw. Lalu Nabi saw bersabda kepadanya:
إنها لرؤيا حق إن شاء الله, فقم مع بلال فألق عليه ما رأيتَ فليؤذن به فإنه أندى صوتا منك
Maksudnya : "Sesungguhnya itu adalah mimpi yang benar insyaallah, bangunlah pergi kepada Bilal, dan ajarkan kepadanya apa yang kamu lihat (di dalam mimpi), supaya Bilal azan dengannya." (Hadith riwayat Abu Daud.)
Nabi saw tidak mengajarkan sendiri lafaz dan kaifiat azan tersebut kepada Bilal, bahkan menyuruh Abdullah bin Zain yang mengajarkannya. Ini menunjukkan sunatnya mendapatkan sanad yang 'Ali.
Yahya Bin Ma'in ketika sakit yang menyebabkan kematiannya, apabila ditanya apakah yang kamu angankan? Jawabnya :
بيت خال و إسناد عالي
Maksudnya : "Rumah yang kosong dan isnad 'Ali" (Ibid, m.s. 153)
Seperti yang telah disebutkan di atas, kajian sanad adalah untuk untuk mengenali yang sahih dari yang sebaliknya. Mengenali kesahihan sesuatu hadith adalah tujuan utama. Suatu yang perlu diberi perhatian bahawa, sanad 'Ali ini juga perlu dilihat kepada kesahihan sanadnya. Jika sesuatu hadith datang dari sanad yang 'Ali, namun sanad tersebut tidak sahih, maka sanad itu tidak menaikkan kedudukan hadith tersebut. Jika terdapat hadith dengan sanad yang nazil lebih sahih daripadanya, maka hadith dengan sanad yang nazil ini lebih kuat dari hadith dengan sanad 'Ali yang tidak sahih. Dr. al-Qudhah berkata :
أما لو كان السند النازل أقوى رواةً فهو أقوى من العالي, فقوة الرواة أهم من العلو وحده, ولكن إن كان الرواة في القوة سواء فالعالي أقوى
Maksudnya : "Adapun jika sanad nazil lebih kuat perawi-perawinya, maka ia (sanad nazil) lebih kuat daripada (sanad) 'Ali. Maka kekuatan periwayat-periwayat lebih utama daripada (sifat sanad) yang 'Uluw (العلوّ) semata-mata. Akan tetapi jika dari segi kekuatan periwayat-periwayat sama, maka yang 'Ali adalah lebih kuat." (Al-Minhaj al-Hadith fi 'Ulum al-Hadith, m.s. 77)
Imam Ahmad bin Hambal berkata:
طلب الإسناد العالي سنة عمن سلف,
Maksudnya: "Menuntut sanad yang 'Ali adalah sunnah daripada salaf (generasi awal umat Islam)." (Mahasin al-Istilah (محاسن الإصطلاح), m.s. 213)
Pembahagian Sanad ‘Ali
Sanad ‘Ali ini terbahagi kepada beberapa bahagian. Sepertimana yang telah dijelaskan oleh para ulama seperti Ibn al-Solah, Abu al-Fadhl Bin Tohir (أبو الفضل بن طاهر) dan selainnya. Pembahagian-pembahagian tersebut ialah :
1- Sanad ‘Ali yang hampir dengan Nabi saw (القُرب من رسول الله) dengan sanad yang sahih, bersih, bebas dari ciri-ciri kelemahan (خال من الضعف). Dan ini merupakan rangkaian sanad ‘Ali yang paling tinggi. Sanad 'Ali ini dinamakan sebagai Sanad 'Ali Mutlaq (علو مطلق). Iaitu sanad yang hampir kepada Nabi saw dari sudut bilangan periwayatnya yang sedikit. Ia dinamakan sebagai sanad 'Ali yang mutlak kerana ia dinisbahkan kepada Nabi saw yang ketinggian Baginda adalah mutlaq..
Seperti yang telah dinyatakan di atas, sanad 'Ali ini juga dilihat samaada ianya sahih ataupun tidak, jika tidak sahih, maka ia tidak memberi apa-apa kelebihan, bahkan jika ada hadith dari sanad nazil yang sahih, maka hadith dari sanad yang nazil ini diambil. Al-Syeikh Kamil Muhammad Muhammad 'Uwaidhoh berkata:
إذا كان مع ضعف فلا التِفات إليه, لا سيما إن كان فيه بعض الكذابين المتأخرين, ممن ادعى سماعا من الصحابة
Maksudnya : "…Jika ia (sanad yang 'Ali) bersama kelemahan, maka tidak diambil perhatian kepadanya (ditinggalkan), terutamanya jika padanya (sanadnya) ada sebahagian pendusta mutaakhir, dari orang yang mendakwa mendengar hadith dari sahabat (secara dusta)." (Manzumah al-Sobban, m.s. 156)
Al-Syakhawi di dalam Fath al-Mughith Syarh al-Fiyyah al-Hadith menyebut (maksudnya) : "Dan bahagian ini lebih utama dari bahagian yang lain. Dan ia lebih tinggi dari semua jenis sanad yang 'Ali (وأعلى من سائر العوالي), jika sanadnya sahih, kerana sanad yang hampir dalam keadaan dhoief disebabkan sebahagian periwayatnya, maka tidak diambil I'tibar dengannya. Dan tidak diambil perhatian terhadapnya…" (Fath al-Mughith Syarh al-Fiyyah al-Hadith (فتح المغيت شرح الفية الحديث), m.s. 12.)
Seterusnya al-Sakhawi menyenaraikan beberapa nama periwayat yang tidak sahih, yang ada di dalam beberapa sanad 'Ali beserta dengan pembohongan mereka, antaranya :
i- Periwayat yang mendakwa secara dusta mendengar dari sahabat Nabi saw. Mereka ialah Abu Hudbah Ibrahim Ibn Hudbah (أبو هدبة إبراهيم ابن هدبة), Khiras Ibn 'Abdillah (خِراش ابن عبدالله), Dinar (دينار), Uthman Bin Khattab al-Maghribi (عثمان بن الخطاب المغربي), Kathir Bin Salim (كثير بن سليم), Musa al-Towil (موسى الطويل), Nafi' Abi Hurmuz (نافع أبي هرمز), Nu'aim bin Salim (نعيم بن سالم), Abi Khalid al-Saqa (أبي خالد السقا), dan lain-lain. Al-Zahabi berkata : "Bila aku melihat seorang muhaddith bergembira dengan sanad 'Ali mereka ini (pemalsu-pemalsu di atas), maka ketahuilah sesungguhnya (muhaddith itu) masih dalam keadaan buta." (Perkataan al-Zahabi tersebut ialah : (متى رأيت المحدث يفرح بعوالي هؤلاء, فاعلم أنه عامي بعد). Mahasin al-Istilah (محاسن الإصطلاح), m.s. 214.)
ii- Periwayat yang mendakwa secara dusta bersahabat dengan Nabi saw. Mereka ialah Jabir bin al-Harith (جبير بن الحارث), al-Rabi' bin Mahmud al-Maridini (الربيع بن محمود المارديني), Rotan (رتن), iaitu Ratan al-Hindi (رتن الهندي), satu gelaran yang diberikan oleh para ulama hadith kepada satu golongan yang mendakwa secara dusta bersahabat dengan Nabi saw bagi tujuan memalsukan riwayat daripada Baginda, antara mereka ialah al-Mu'ammar (المعمر) (Sila lihat Ibn Hajar di dalam al-Isobah fi Tamyiz al-Sohabah ketika menyebut tentang al-Mu'ammar, periwayat hadith al-Musalsal bi al-Musafahah.) iaitu salah seorang periwayat hadith al-Musalsal bi al-Musafahah (المسلسل بالمصافحة) (Al-Musalsal bi al-Musafahah ialah hadith palsu (من صافحني أو صافح من صافحني إلى يوم القيامة دخل الجنة) (maksudnya) "Sesiapa yang bersalam denganku, atau bersalam dengan orang yang bersalam denganku hingga hari kiamat akan masuk syurga."). Al-Imam al-Zahabi di dalam kitabnya Mizan al-I'tidal menerangkan maksud Ratan sebagai:
وما أدراك ما رتن , شيخ دجال بلا ريب ظهر بعد ستمائة فادعى الصحبة
Maksudnya: "Ratan al-Hindi, dan apakah yang kamu tahu tentang Ratan ? (dia ialah) SYEIKH DAJJAL tanpa ragu, zahir selepas enam ratus tahun (selepas kewafatan Nabi saw), lalu mendakwa bersahabat (dengan Nabi saw)" . (Mizan al-I'tidal, juz 2, ms. 450)
Demikian antara nama periwayat hadith yang memalsukan hadith. Jika terdapat di dalam sanad sesuatu hadith walaupun sanad itu 'Ali, ia sama sekali tidak menaikkan darjat hadith tersebut. Namun, jika terdapat satu hadith, salah satunya datang melalui sanad yang 'Ali dan satu lagi dari sanad Nazil dan kedua-dua sanad tersebut adalah sanad yang sahih, maka sanad yang 'Ali itu adalah lebih diutamakan. Ini kerana sanadnya lebih hampir kepada Nabi saw. Para ulama benar-benar memberi sepenuh tumpuan mereka untuk mendapatkan sanad 'Ali yang sahih seumpama ini. Al-Syeikh Ahmad Syakir (الشيخ أحمد شاكر) berkata (maksudnya) : "Para ulama benar-benar mengambil berat dengan sanad 'Ali bahagian ini. Sehinggakan sebahagian mereka berlebih-lebihan terhadapnya." (Ibid)
2- Sanad 'Ali yang hampir kepada para imam hadith seperti al-A'mash (الأعمش), Ibn Juraij (ابن جريج), al-Awza'ie (الأوزاعي), Syu'bah (شعبة), al-Thauriy (الثوري), al-Laith (الليث), Malik (مالك), Ibn 'Uyainah (ابن عيينة) dan lain-lain.
3- Sanad 'Ali Nisbi (علو نسبي). Iaitu sanad 'Ali yang dinisbahkan kepada riwayat dua kitab sahih al-Bukhari dan Muslim, atau salah satu daripada dua kitab sahih ini, atau salah satu daripada kitab-kitab hadith yang dikenali yang menjadi rujukan (من الكتب المعروفة المعتمدة) seperti kitab Sunan Sittah atau kitab-kitab sunan lain yang muktabar. Ia dinamakan sebagai sanad 'Ali nisbi kerana dinisbahkan kepada para imam hadith yang memiliki sifat-sifat yang tinggi seperti Hafidz, Faqih dan Dhobith. Ia terbahagi kepada empat:
i- al-Muwafaqah (الموافقة). Iaitu sanad hadith yang sampai kepada guru (شيخ) salah seorang penulis kitab yang muktabar. Dimana dari jalan lain, periwayatnya lebih sedikit bilangannya dari jalan penulis tersebut. Dinamakan dengan al-Muwafaqah kerana bersamaan dua periwayat ini pada seorang syeikh tertentu. Contohnya hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dari Muhammad bin 'Abd Allah al-Ansoriy (محمد بن عبد الله الأنصاري) daripada Humaid (حُميد) daripada Anas secara marfu':
كتاب الله القصاص
Maksudnya : "(Hukum di dalam) kitab Allah, (wajib) Qisas (walau sebatang gigi)." (Al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim menyebut maksud perkataan Nabi saw : ((كتاب الله القصاص sebagai (حكم كتاب الله وجوب القصاص في السن))
Al-Syeikh Kamil Muhammad Muhammad 'Uwaidhah berkata : "Jika kami riwayatkan hadith ini bermula dari kami hingga sampai kepada al-Bukhari daripada gurunya Muhammad bin 'Abdullah al-Ansoriy hingga ke akhir sanad, dan (jika dibandingkan) kami riwayatkannya pula dengan sanad yang lain, yang tidak melalui al-Bukhari, bahkan melalui kawannya yang bersamanya mengambil hadith tersebut dari Muhammad bin Abdullah al-Ansoriy hingga ke akhir sanad, maka sanad yang kedua itu adalah yang 'Ali dan sanad yang pertama itu Nazil. Maka terjadilah demikian itu dari sudut al-Muwafaqah. (Manzumah al-Sobban, m.s. 157)
ii- Al-Badal (البدل). Iaitu sanad hadith yang sampai kepada guru salah seorang penulis dari jalan (طريق) yang lain dari jalan penulis tersebut. Bahkan dari jalan lain yang lebih kurang bilangan daripada jalannya. Contohnya adalah hadith yang telah disebut di dalam bab al-Muwafaqah. Dimana hadith tersebut diriwayatkan dari jalan yang lain (bermula dari al-Syeikh Kamil), yang tidak melalui Muhammad bin Abdillah al-Ansoriy. Bahkan melalui kawannya yang bersama mengambil hadith itu daripada Humaid. Maka sanad yang kedua itu lebih sedikit perawinya daripada sanad yang pertama'Ali. Ini bermakna sanad yang kedua itu 'Ali dan yang pertama Nazil.
iii- Al-Musawah (المساواة). Iaitu sama bilangan periwayat di dalam sanad dari seorang periwayat kepada seorang yang memiliki sifat yang mulia. Contohnya hadith:
نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن نكاح المتعة
Maksudnya : "Rasulullah saw telah melarang daripada nikah Mut'ah." (Al-Bukhari dan Muslim)
Hadith ini jika dari riwayat al-Nasa-ie, diantaranya dan Nabi saw terdapat sepuluh orang periwayat. (رجال). Jika hadith ini diriwayatkan oleh sebahagian mu'taakkhirin dengan sanad diantaranya hingga Nabi saw ada dua belas periwayat. Maka sanad yang awal (di sisi al-Nasa-ie) itu adalah sanad yang 'Ali dan sanad yang kedua itu adalah yang Nazil. Ia dianggap sebagai sama kerana samanya kepada salah seorang pengarang (kitab hadith yang utama), iaitulah al-Nasa-ie dalam bilangan periwayat hadith yang disebut. (Manzumah al-Sobban, m.s. 158)
iv- Al-Musafahah (المصافحة). Iaitu sama bilangan sanad daripada seorang perawi kepada seorang yang memiliki sifat yang mulia dalam keadaan bilangan sanad dari seorang pelajar seorang pengarang kitab hadith hingga kepada seorang yang memiliki sifat yang mulia. Contohnya hadith dalam bahagian al-Musawah di atas. Seperti yang telah dinyatakan di atas, al-Nasa-ie meriwayatkan hadith tersebut, antaranya dengan Nabi saw sebanyak sepuluh periwayat. Al-'Iraqi telah meriwayatkan hadith ini dengan sanad yang ada padanya sebanyak sebelas perawi. Di sisinya juga ada sanad yang lebih banyak dari sebelas perawi. Maka sanad yang pertama itu adalah 'Ali dan yang kedua adalah Nazil. Dinamakan sebagai sanad 'Ali al-Musafahah kerana al-'Iraqi tidak menyamakan sanadnya dengan sanad al-Nasa-ie dalam bilangan perawi hadith tersebut. Sebaliknya beliau sama dengan anak murid al-Nasa-ie, sehingga seolah-olah beliau menemui al-Nasa-ie, seperti seorang murid bertemu dengan guru hadithnya, bersalaman (مصافحة) dengan guruya dan mengambil hadith darinya. (Manzumah al-Sobban, m.s. 158.)
4- Sanad 'Ali dengan sebab awalnya kematian syeikh yang meriwayatkan hadith kepadanya berbanding syeikh yang lain, walaupun sama bilangan perawi sanad hadith tersebut.
Al-Nawawi berkata di dalam al-Taqrib (التقريب) : "Apa yang kami riwayatkannya dari tiga orang perawi, iaitu al-Baihaqi (البيهقي) daripada al-Hakim adalah lebih tinggi (أعلى) daripada apa yang aku riwayatkan dari tiga orang perawi, iaitu Abu Bakr bin Khalaf daripada al-Hakim, dalam hadith yang sama disebabkan dahulunya kematian al-Baihaqi berbanding Abu Bakr bin Khalaf." (Ibid, m.s. 159)
5- Sanad 'Ali disebabkan lebih dahulu mendengar hadith, ia membawa maksud, rangkaian sanad orang yang lebih dahulu mendengar hadith adalah lebih utama daripada rangkaian sanad orang yang mendengar hadith yang sama selepasnya dengan jumlah perawi yang sama diantara dua perawi tersebut. Contohnya dua orang perawi telah mendengar hadith yang sama daripada seorang guru. Walaupun begitu, masa mendengar diantara dua orang perawi tersebut tidak sama. Salah seorang perawi tersebut telah mendengar hadith lima puluh tahun lepas dari guru yang sama, manakala seorang perawi lagi mendengan hadith yang sama tiga puluh tahun kemudian dari guru yang sama.
Dalam keadaan ini, sanad perawi pertama lebih tinggi berbanding perawi kedua. Ini adalah kerana dibimbangi fikiran gurunya kacau bilau atau terlupa dengan sebab tua.
Pembahagian Sanad Nazil
Dari sudut pengertian, sanad Nazil adalah lawan kepada sanad 'Ali sepertimana yang telah dijelaskan. Oleh itu, pembahagian sanad Nazil adalah lawan kepada pembahagian sanad 'Ali. Ia juga terbahagi kepada dua iaitulah :
1- Sanad Nazil Mutlaq (نزول مطلق), dan
2- Sanad Nazil Nisbi (نزول نسبي)
Semua pembahagian bagi sanad Nazil ini adalah berlawanan dengan pembahagian sanad 'Ali.

0 comments:
Post a Comment