Friday, August 1, 2008

Kelebihan Bulan Syaban


Bulan Syaban adalah bulan yang dimuliakan di dalam Islam. Nabi SAW telah menunjukkan kepada kita cara-cara yang sewajarnya dilakukan bagi mendekatkan diri kita kepada Allah SWT di dalam bulan Syaban ini. Di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada ‘A-isyah R’Anha katanya:


كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لَا يُفْطِرُ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لَا يَصُومُ فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ


Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami menyangka baginda tidak berbuka, dan baginda berbuka sehingga kami menyangka baginda tidak berpuasa, dan tidaklah aku pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan melainkan dalam bulam Ramadhan, dan tidaklah pernah aku melihat baginda paling banyak berpuasa berbanding bulan Syaban.”

Di dalam riwayat Imam Muslim ada disebut:


كان يصوم شعبان كله ، كان يصوم شعبان إلا قليلا


Maksudnya: “Adalah (Baginda SAW) berpuasa dalam bulan Syaban keseluruhannya, baginda berpuasa dalam bulan Syaban melainkan sedikit sahaja (yang baginda tidak berpuasa).”

Berdasarkan hadith ini dan hadith-hadith yang lain, segolongan ulama seperti Ibn al-Mubarak (ابن المبارك) dan selainnya berpendapat bahawasanya Nabi SAW tidak menyempurnakan puasa sebulan penuh di dalam Syaban, sebaliknya baginda hanya berpuasa kebanyakan hari dalam bulan tersebut. Pendapat Ibn al-Mubarak ini dikuatkan dengan beberapa bukti antaranya:

1. Hadith di dalam Sahih Muslim daripada ‘A-isyah R’anha:


ما علمته صام شهرا كله إلا رمضان


Maksudnya: “Tidak aku ketahui baginda (SAW) pernah berpuasa sebulan sepenuhnya melainkan dalam bulan Ramadhan.”

2. Hadith daripada ‘A-isyah juga katanya:


ما رأيته صام شهرا كاملا منذ قدم المدينة إلا أن يكون رمضان

Maksudnya: “Tidak pernah aku melihat Baginda (SAW) berpuasa sebulan penuh semenjak sampai di Madinah melainkan dalam bulan Ramadhan.”

3. Di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn ‘Abbas katanya:


ما صام رسول الله صلى الله عليه وسلم شهرا كاملا غير رمضان


Maksudnya: “Tidaklah Rasulullah SAW pernah berpuasa sebulan penuh selain Ramadhan.”

Kerana itu Ibn ‘Abbas RA memakruhkan puasa penuh sebulan melainkan Ramadhan. Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata di dalam Fathul Bari:


كان صيامه في شعبان تطوعا أكثر من صيامه فيما سواه وكان يصوم معظم شعبان


Maksudnya: “Adalah puasa sunat baginda (SAW) dalam bulan Syaban lebih banyak berbanding puasa sunat baginda dalam bulan selain Syaban, dan baginda berpuasa dalam kebanyakan hari dalam bulan Syaban.”

Bulan Syaban adalah bulan yang diangkat amalan kepada Allah SWT

Daripada Usamah bin Zaid RA katanya: “Aku bertanya: “Wahai Rasulullah aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam mana-mana bulan seperti engkau berpuasa dalam bulan Syaban.” Jawab Baginda: “Bulan Syaban itu, bulan yang manusia lalai daripadanya, dia diantara bulan Rejab dan Ramadhan, ianya satu bulan yang diangkat di dalamnya amalan-amalan kepada tuhan sekelian alam, dan aku suka amalan aku diangkat dalam keadaan aku berpuasa.” (HR al-Nasaie, lihat Sahih al-Targhib wa al-Tarhib)

Ibn Rajab RH berkata:


صيام شعبان أفضل من صيام الأشهر الحرم ، وأفضل التطوع ما كان قريب من رمضان قبله وبعده ، وتكون منزلته من الصيام بمنزلة السنن الرواتب مع الفرائض قبلها وبعدها وهي تكملة لنقص الفرائض ، وكذلك صيام ما قبل رمضان وبعده ، فكما أن السنن الرواتب أفضل من التطوع المطلق بالصلاة فكذلك يكون صيام ما قبل رمضان وبعده أفضل من صيام ما بَعُد عنه


Maksudnya: “Puasa dalam bulan Syaban, lebih utama daripada puasa dalam buln-bulan haram yang lain, kerana seutama-utama puasa sunat ialah yang hampir dengan Ramadhan, sebelum atau selepas Ramadhan. Jadilah kedudukan puasa itu seperti kedudukan sunat rawatib solat fardhu sebelum dan selepas solat fardhu, ianya menampung apa-apa kekurangan dalam solat fardhu. Demikian juga puasa sebelum dan selepas Ramadhan, sepertimana sunat rawatib lebih utama daripada solat sunat mutlak yang lain, kerana itu jadilah puasa sebelum Ramadhan dan selepasnya lebih utama daripada puasa yang lebih jauh dari Ramadhan.”

Wallahu a’lam

0 comments: