Sunday, August 17, 2008

Apakah Jin Boleh Merasuki Manusia?


Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 275:


‏الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لاَ يَقُومُونَ إِلاَّ كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ


Maksudnya: “Orang-orang yang memakan harta riba, mereka tidak berdiri (pada hari kiamat) melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuki syaitan kerana gila.”


Para ulama menjadikan ayat ini sebagai dalil bolehnya jin memasuki tubuh manusia dan merasuki mereka, kerana mustahil Allah SWT membuat perumpamaan di dalam firmannya yang mulia dengan suatu perkara yang tidak boleh berlaku. Apabila Allah SWT membuat perumpamaan orang-orang yang memakan riba di dunia akan bangun pada hari kiamat kelak seperti orang yang dirasui syaitan, menunjukkan manusia boleh dirasuki oleh syaitan.


Al-Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas berkata:


لا يقومون من قبورهم يوم القيامة إلا كما يقوم المصروع حال صرعه وتخبط الشيطان له‏

Maksudnya: “Mereka (orang yang memakan riba) tidak bangun dari kubur-kubur mereka pada hari kiamat, melainkan seperti berdirinya orang yang disawan ketika sawannya disebabkan dirasuki syaitan.”

Nabi SAW pula bersabda:

إن الشيطان يجري من ابن آدم مجرى الدم

Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan bergerak di dalam badan anak adam melalui tempat perjalanan darah (urat).”
Al-Asy’ariy di dalam Maqalaat Ahl al-SUnnah wa al-Jamaah berkata: “Sesungguhnya jin memasuki badan orang yang disawan (oleh syaitan).” Dan beliau menjadikan ayat al-Quran di atas sebagai dalilnya.

Anak imam Ahmad bernama Abdullah berkata:


قلت لأبي‏:‏ إن قوماً يزعمون أن الجني لا يدخل في بدن الإنسي فقال‏:‏ يا بني يكذبون هو ذا يتكلم على لسانه‏

Maksudnya: “Aku bertanya kepada bapaku (imam Ahmad): Sesungguhnya segolongan orang beranggapan bahawasanya jin tidak boleh memasuki badan manusia.” Jawab bapaku: “Wahai anakku, mereka itu berdusta, jin boleh berbicara melalui lidah orang yang dirasukinya.”

Imam Ahmad dan al-Baihaqi juga ada meriwayatkan hadith dari Nabi SAW yang baginda didatangkan seorang budak yang dirasuki, lalu Nabi SAW bersabda:


‏اُخْرُجْ عَدُوَّ اللهِ، اُخْرُجْ عَدُوَّ اللهِ‏

Maksudnya: “Keluar wahai musuh Allah, keluar wahai musuh Allah.” Di dalam riwayat yang lain baginda menyebut:


اخرج عدو الله ، أنا رسول الله‏

Maksudnya: “Keluar wahai musuh Allah, aku adalah Rasulullah.” Lalu budah itupun sembuh.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyya RH di dalam Majmu’ al-Fatawa (Jilid 24, m.s. 276-277)berkata: “Kewujudan jin thabit berdasarkan Kitab Allah dan Sunnah Rasul SAW dan berdasarkan kesepakatan generasi salaf dan para imam mereka, demikian juga masuknya jin ke dalam badan manusia thabit dengan kesepakatan para imam Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah…”
Wallahu a’lam.

0 comments: