Monday, June 9, 2008

Sahihkah Hadith bersanad tentang Nur Muhammad

Atas permintaan Abukajang, aku nukilkan di sini sebuah hadis yang disebut oleh saudara Mohd Zaidi Abdullah, murid Tuan Guru Haji Abdullah Abdur Rahman Lubok Tapah, dalam karangannya berjodol "Pegangan Sejati Ahli Sunnah wal-Jama`ah" mukasurat 116 di mana katanya:-

1. Aku (yakni Mohd Zaidi 'Abdullah) meriwayatkan hadis ini daripada:-
2. Syaikh kami 'Abdullah secara sama`an dan Syaikh kami Muhammad al-Banjari, daripada;
3. Musnid Dunya al-Fadani, (yakni Syaikh Yaasin) daripada;
4. Muhammad 'Ali al-Maaliki, daripada;
5. as-Sayyid Abu Bakar Syatha al-Makki, (yakni Sidi Syatha ad-Dimyathi) daripada;
6. Syaikhul Islam Ahmad Zaini Dahlan, daripada;
7. Utsman bin Hasan ad-Dimyathi, daripada;
8. al-Mujaddid 'Abdullah asy-Syarqawi, daripada;
9. asy-Syam Muhammad al-Hifni, daripada;
10. 'Abdul 'Aziz az-Ziyaadi, daripada;
11. asy-Syam al-Baabili, daripada;
12. an-Najm Muhammad al-Ghoithi, daripada;
13. al-Qadhi Zakaria al-Anshari, daripada;
14. al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalaani, daripada;
15. Abil Faraj 'Abdur Rahman al-Ghazzi, daripada;
16. Abin Nun Yunus bin Ibrahim ad-Dabus, daripada;
17. Abil Hasan 'Ali bin al-Muqir, daripada;
18. Muhammad bin Nashir as-Salaami, daripada;
19. 'Abdul Wahhab bin Muhammad bin Mundah, daripada;
20. Abil Fadhl Muhammad al-Kawkabi, daripada;
21. Abil Qasim ath-Thabarani, daripada;
22. Abi Ya'kub Ishaq bin Ibrahim bin Makhallad bin Ibrahim al-Mirwazi al-Handhzali, daripada;
23. al-Hafiz Abi Bakar 'Abdur Razzaq bin Humam bin Nafi' ash-Shan`aani dengan sanad yang shahih kepada Jabir r.a. berkata:-
Aku bertanya pada Rasulullah tentang perkara yang pertama yang Allah cipta sebelum segala-galanya. Maka Nabi Muhammad menjawab:
Huwa nuru Nabiyyika !!! Ya Jaabir, khalaqahu-Ullahu tsumma khalaqa minhu kulla khairin wa khalaqa ba'dahu kulla syai-in."
"Ia (yakni perkara pertama yang diciptakannya oleh Allah) adalah nur Nabimu, wahai Jabir, Allah menciptakan nur kemudian diciptakan daripada nur itu akan setiap kebaikan dan diciptakan selepas nur itu setiap sesuatu." Abdurrazzaq

Selanjutnya, saudara Zaidi menyambung pada mukasurat 117:-

Antara ulama hadis yang menyokong Nur Muhammad sebagai makhluk pertama yang dijadikan oleh Allah semasa alam arwah ialah Ismail al-'Ajluni dan al-Amir al-Kabir. Muhaddith al-Syam Ismail ibn Muhammad ibn Abdul Hadi (1087/1676 - w. 1662/1749M) telah memaparkan hadis riwayat Abdurrazzaq tersebut dalam kitab 'Iqdul Jawhar ats-Tsamiin. Dalam kitab ini, al-'Ajluni tidak berani langsung memaudhu'kan hadis ini sedangkan beliau seorang tokoh hadis utama di Syam serta mempunyai sanad dalam meriwayat dan menerima sesebuah kitab hadis untuk diterima pakai. al-Imam al-Muhaddith al-Musnid al-Faqih Muhammad bin Muhammad al-Maliki yang terkenal dengan gelaran al-Amir ul-Kabir (1154.1742 - w. 10 Zulqaedah 1232/1817M) telah memaparkan mafhum Nur Muhammad dalam kitab "Saddul Arabi min 'ulumil isnadi wal adabi" yang amat terkenal.

Ikhwah, daripada sanad di atas ternyata bahawa hadis Jabir tersebut shahih dengan rawi-rawi yang terkemuka seperti Amirul Mu'minin fil hadis Ibnu Hajar al-'Asqalaani. Aku bukan muhaddis, belajar hadis pun bukan, so jangan nak berpolemik dengan aku pasal hadis di atas. Kalau mu nak polemik gak, gi jumpa Tok Guru Haji Abdullah Lubok Tapah (hafizahUllah) ke, Syaikh Muhammad Nuruddin al-Banjari (hafizahUllah) ke, Saudara Zaidi ke, dan lain-lain lagi yang alim tetapi kurang dikenali, tidak seperti terkenalnya Bin Baz dan al-Albani, tetapi Bin Baz dan al-Albani memang patut jugak dikenali dunia sebab mendapat tajaan dan promosi yang maha hebat daripada geng-geng anak Pak Wahhab dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya.

Untuk pengetahuan ikhwah, buku saudara Zaidi ini telah diperaku dan diberi kata sambutan oleh Syaikhul Kalantan al-Muhaqqiq al-Ustaz al-Faqih an-Nahwi Tuan Guru Haji 'Abdullah bin Tuan Guru Haji Abdur Rahman, mudir Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas, Kelantan; Tuan guru Haji Hasyim Haji Abu Bakar, Presiden Pusat Pembangunan Pondok, mudir al-Madrasah ad-Diniyyah al-Bakriyyah (Pondok Pasir Tumbuh), Kelantan; dan Dato 'Abdul 'Aziz @ Ambak Ismail, Ahli Jawatankuasa Fatwa Trengganu. Insya-Allah, lain kali kita cakap lagi pasal Nur Muhammad ini, yang percaya padanya pun terkadang tersilap pulak tafsirannya, sebab itu pentingnya berguru agar dapat pemahaman yang betul.

Shallu 'alan Nabiy. Allahumma sholli wa sallim 'alaih.


-----------------------

Jawapan:

Sanad/Isnad penting di zaman pengumpulan hadith-hadith Nabi s.a.w. Kesemua hadith telah siap dibukukan oleh para ulama bersama sanad-sanadnya. Ada yang Lemah, ada pula yang Sahih. Bukan semua hadith yang bersanad itu sahih. Ada SANAD yang LEMAH dan PALSU, ada pula sanad yang SAHIH dan HASAN. Apatah lagi sanad yang berlarutan sampai kepada mana-mana individu hari ini, sama sekali tidak langsung membuktikan apa-apa kekuatan pada ceritanya.

Sama halnya dengan sanad yang disebut oleh saudara Mohd Zaidi Abdullah di atas, kebanyakan nama di dalam sanad tersebut seperti Mohd Zaidi Abdullah sendiri, Tuan Guru Haji Abdullah Abdur Rahman Lubok Tapah dan lain-lain, tidak pernah langsung disebut (bahkan baunya pun tiada) di dalam kitab-kitab rijal hadith. Nama-nama itu tidak pernah langsung melalui kritikan para ulama Hadith hingga boleh dibuktikan hadith yang dibawa oleh mereka itu boleh diterima ataupun tidak.

Syarat sesuatu hadith sahih bukan sekadar dengan ADANYA SANAD. Setiap Sanad perlu melalui kajian dan kritikan, sebelum mengetahui hukumnya samaada sahih ataupun tidak. Sesuatu sanad menjadi sahih apabila ia bersambung dari seorang rawi (periwayat) dengan rawi sebelumnya. Semua rawi itu mestilah Adil dan Dobith dari awal hingga hujung sanadnya, tanpa ada Syaz dan tanpa ada Illah. Semua sanad tidak boleh main borong ikut sedap cakap saja yang ianya sahih. Hadith-hadith yang Lemah, Mungkar dan Palsu juga ada bersamanya sanad, namun ia tidak memenuhi syarat-syarat sanad yang yang sahih. Apabila sesuatu sanad hadith tidak memenuhi syarat sahih, para ulama akan menghukumkannya sebagai samaada sebagai Sanad yang Lemah, atau palsu, atau ulama akan mengatakan pada sanad tersebut ada pembohong dan berbagai-bagai istilah. Yang penting, sanad semata-mata tidak membuktikan langsung kesahihan ceritanya. Apatah lagi sanad yang berlarutan selepas zaman pengumpulan hadith hingga bersambung-sambung ke hari ini. Ia langsung tidak ada nilai, kerana tidak dapat dibuktikan benarkah dakwaan orang terakhir yang membawa sanad itu yang ia mengambil cerita tersebut dari orang sebelumnya, dan orang sebelumnya mengambil dari orang sebelumnya hinggalah ke akhir sanad.

-------------

Hadith Jabir tentang Nur Muhammad itu sebenarnya bertentangan dengan beberapa ayat al-Quran yang menyatakan Nabi s.a.w. adalah seorang manusia yang sama seperti kita semua (diciptakan dari tanah). Cumanya Nabi s.a.w. diberikan wahyu kepada baginda. Antara ayat-ayat tersebut ialah al-Kahfi : 110, al-Anbiya’ : 7,8, al-Furqan : 20

ALLAH swt tidak menyebut adanya makhluk lain yang diciptakan daripada cahaya melainkan Malaikat. Demikian juga Nabi s.a.w. di dalam hadith-hadith yang sahih dari baginda menyebut benda yang sama. Kepercayaan Nabi s.a.w. diciptakan dari Nur, dan menolak penciptaan baginda sama seperti manusia yang lain seolah-olah hendak menyamakan Nabi s.a.w. dengan Malaikat. Ini samalah halnya dengan orang-orang Musyrik yang tidak mempercayai Rasul itu diutuskan dari kalangan manusia yang kewujudannya sama seperti manusia lain. Firman ALLAH swt :
(وما منع الناس أن يؤمنوا إذ جاءهم الهدى إلا أن قالوا: أبعث الله بشراً رسولاً)
Maksudnya : “Dan apakah yang menghalang manusia untuk mereka beriman tatkala datang kepada mereka petunjuk, melainkan mereka berkata : “Apakah ALLAH mengutuskan manusia sebagai seorang Rasul ?” (al-Isra’ : 94)

Dalam surah yang sama ALLAH swt menyuruh Nabi s.a.w. menyatakan yang baginda bukanlah seorang malaikat yang diciptakan daripada cahaya sepertima sangkaan sebahagian orang.
(قل سبحان ربي هل كنت إلا بشراً رسولاً)
Maksudnya : “katakanlah (Muhammad) maha suci tuhan ku, tidakkah aku ini melainkan seorang manusia yang dilantik sebagai Rasul” (al-Isra’ : 93)


Kefahaman yang mempercayai Nabi s.a.w. diciptakan dari Nur / Cahaya, datang dari golongan yang berlebih-lebihan dalam memuliakan Baginda Nabi s.a.w. Tidak ada di dalam al-Quran, demikian juga di dalam hadith-hadith sahih yang membezakan Nabi s.a.w. dari manusia lain yang diciptakan daripada tanah.

-------------

Ramai para ulama yang menolak kepercayaan Nur Muhammad ini, antara mereka :

1- Al-Suyuti mengatakan : Tidak ada bagi (hadith itu) isnad yang boleh disandar kepadanya. (Al-Hawi lil Fatawa)

2- Abdullah bin al-Sodiq al-Ghumari mengatakan Zahir hadith itu adalah Palsu. ملحق قصيدة البردة لعبد الله الغماري

3- Ahmad bin Sodiq al-Ghumari mengatakan hadith ini PALSU, mengandungi lafaz-lafaz yang lemah (untuk disandarkan kepada Nabi s.a.w.) dan makna-makna yang mungkar. المغير على الأحاديث الموضوعة في الجامع الصغير(المقدمة:ص/7)

4- Syeikh Muhammad Ahmad ‘Abdul Qadir al-Syanqiti mengatakan hadith ini PALSU di dalam risalahnya : تنبيه الحذاق على بطلان ما شاع بين الأنام من حديث النور المنسوب لمصنف عبد الرزاق

5- al-Qaradhawi mengatakan perkataan ini TIDAK SOHEH secara riwayat, dan tidak dapat diterima akal

6 - As-Syeikh 'Atiah Saqr (ketua Lujnah Fatwa al-Azhar yang dahulu) pula berkata :

".... Sesungguhnya Ar-Rasul s.a.w. tidak diciptakan daripada Nur, dan Baginda dari zuriat Adam dan Adam (diciptakan) daripada tanah...."

7- As-Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz di dalam Fatwanya pula menyebut :

"Apa yang diperkatakan oleh manusia bahawasanya Rasulullah s.a.w diciptakan daripada Nur, maka semua ini tidak ada asal padanya. Mereka berkata bahawasanya baginda diciptakan daripada Nur atau Nur Baginda itu yang terawal diciptakan. Semua dakwaan ini adalah PALSU TIDAK ADA ASAL BAGINYA. Tidak terdapat juga asas tentangnya dari Nabi s.a.w. Bahkan ianya adalah KEPALSUAN dan PEMBOHONGAN atas ar-Rasul s.a.w.

wallahu a'lam.

2 comments:

Amri Mat Saaid said...

salam

ni jawapan nya

http://www.fawaaid.sg/2010/04/akhirnya-dijumpa-sanad-untuk-hadith-nur.html

dunlie said...

mane ? link da expired. semua pakar hadith menyatakan, ianya palsu.