Wednesday, April 2, 2008

Takhrij Hadith Membaca al-Quran di Perkuburan (1)

Hadith Pertama:

روى عبد الرحمن بن العلاء بن اللَّجْلاَجِ ، عن أبيه قال : قال لي أبي – اللَّجْلاَجُ أبو خالد – : يا بُنَيَّ ! إذا أنا متُّ فأَلْحِدْني ، فإذا وضَعْتَني في لحدي فقل : بسم الله ، وعلى ملة رسول الله ، ثم سُنَّ عليَّ التراب سنًّا – أي ضَعْه وضعًا سهلاً – ، ثم اقرأ عند رأسي بفاتحة البقرة وخاتمتها ؛ فإني سَمِعْتُ رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم يقولُ ذلك

Maksudnya: "Abd Rahman bin al-A’la bin al-Lajlaj meriwayatkan daripada bapanya, katanya : berkata bapaku – al-Lajlaj Abu Khalid : “Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia kebumikanlah aku. Apabila kamu meletakkan jasadku di liang lahad, bacalah : “Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW, Kemudian curahkanlah tanah dengan cermat ke atasku. Kemudian bacalah disisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda sedemikian.”

Hadith dengan lafaz ini diriwayatkan secara marfu’ dan diriwayatkan juga (dgn lafaz lain) secara mauquf pada Ibn ‘Umar, dimana di bahagian akhirnya ada lafaz:

فاني رأيت ابن عمر يستحب ذلك

Maksudnya: “Sesungguhnya aku melihat Ibn ‘Umar menggalakkan perkara tersebut.”

Bagi riwayat yang mauquf ini ada tiga jalan/sanad. Al-Syeikh Abdul Rahman Muhammad Dimasyqiyyah di dalam kitabnya “Ahadith Yahtajju biha al-Syi’ah” berkata:

“(Sanad) ini mauquf, ia diriwayatkan oleh Yahya bin Ma’in di dalam tarikhnya (2/345 dan 379), al-Lalaka-ie (6/1227), al-Baihaqi (4/56), Ibn ‘Asyakir (47/230), al-Mizzi di dalam Tahzib al-Kamal (22/538) daripada: Mubassyir bin Ismail, daripada ‘Abdul Rahman bin al-‘Ala bin al-Lajlaj daripada bapanya daripada Ibn ‘Umar, mauquf kepadanya.

Diriwayatkan juga oleh al-Tabrani (9/220) dari beberapa jalan daripada Mubassyir daripada Abdul Rahman bin al-‘Ala, daripada bapanya daripada datuknya al-Lajlaj secara marfu’.

Diriwayatkan juga oleh Ibn ‘Asyakir (50/297) daripada satu jalan Abi Hammam daripada Mubassyir daripada Abdul rahman bin al-’Ala daripada bapanya, daripada datuknya daripada Ibn ‘Umar, mauquf kepadanya.

Mubassyir (مبشر بن إسماعيل) adalah seorang yang thiqah
. Adapun Abdul Rahman adalah seorang yang majhul, tidak meriwayatkan daripadanya melainkan Mubassyir (Mizan al-I’tidal: 2/579). Abu Zur’ah dan al-Tirmizi mengisyaratkan yang Abdul Rahman itu seorang yang tidak dikenali (Jami’ al-Tirmizi: 979, Syama-il al-Muhammadiyyah: 389).

Adapun tentang bapanya (al-‘Ala), tidak didapati yang meriwayatkan daripadanya melainkan dua orang: Satunya anaknya sendiri – iaitu seorang yang majhul (Abdul Rahman) – dan seorang lagi Hafs bin ‘Umar bin Thabit (حفص بن عمر ثابت), dia adalah seorang Mungkar al-Hadith (منكر الحديث) (Sila lihat al-Jarh wa al-Ta’dil 3/180 dan Lisan al-Mizan), maka tidak ada yang thabit kepada al-‘Ala satu riwayatpun. Kerana itu al-Zahabi tidak mengambil penthiqahan oleh al-‘Ajluni, dan Ibn Hibban menyenaraikannya di dalam al-Thiqaat – kedua-dua mereka ini, (al-‘Ajluni dan Ibn Hibban) adalah mutasahil – dan al-Zahabi berkata di dalam al-Kasyif (الكاشف): (al-‘Ala) telah dithiqahkan, akan tetapi al-‘Ala adalah seorang yang majhul al-‘Ain (مجهول العين) berdasarkan pendapat yang lebih benar." Berdasarkan ini maka hadith tersebut adalah hadith yang Sangat Lemah di sebabkan banyaknya ‘Illah (masaalah/penyakit) padanya.

Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di dalam Ahkam al-Jana-iz berkata tentang Abdul Rahman bin al-‘Ala ini:

“Abdul Rahman bin al-‘Ala bin al-Lajlaj termasuk di kalangan periwayat yang Majhul (tidak dikenali), sepertimana yang dapat diketahui daripada perkataan al-Zahabi ketika memperkenalkannya (Abdul Rahman) di dlm al-Mizan dengan katanya: “Tidak diriwayatkan daripadanya melainkan Mubassyir.” Dan daripada jalannya diriwayatkan juga oleh Ibn ‘Asakir. Adapun hukuman thiqah oleh Ibn Hibban terhadapnya (Abdul Rahman), termasuk dalam hukuman yang tidak dipegang/diambil kerana telah masyhur Ibn Hibban seorang Mutasahil di dalam menghukum thiqah. Kerana ini al-Hafidz tidak menaikkan kedudukannya (Abdul Rahman) ketika memperkenalkannya di dalam al-Taqrib (dengan menyebut): "Maqbul", yakni maqbul jika bersama dengan mutaba’ah (sokongan), jika tidak, maka ia adalah Layyin al-Hadith (لين الحديث) seperti yang dinyatakannya di dalam al-Muqaddimah. Termasuk perkara yang dapat menguatkan pendapat kami ini, bahawa al-Tirmizi dalam keadaan ia termasuk mutasahil dalam menghasankan hadith, ketika mengeluarkan satu hadith yang lain (dari Abdul rahman), dan tidak ada bagi al-Tirmizi daripada Abdul Rahman melainkan satu itu sahaja (2/128), (dimana al-Tirmizi) senyap terhadapnya (tanpa sebarang komen) dan beliau tidak juga menghasankannya.” (Ahkam al-Jana-iz: 244)

Wallahu a’lam.
(Multaqa ahl al-Hadith & Ahkam al-Jana-iz al-Albani)

0 comments: