Wednesday, June 4, 2014

Hukum Tawaf Wadaa'

Soalan:

Berkenaan Tawaf Wada’. Adakah ianya wajib dibuat? Saya disuruh beritahu kepada Jemaah, bahawa wajib dibuat bagi orang yang tidak ada keuzuran dan jika tidak buat wajib bayar dam. Saya musykil tentang ni. Boleh ustaz terangkan yang sebenarnya menurut ASWJ?

Jawapan:

Hukum Tawaf Wada’ (طواف الوَداع) adalah WAJIB. Inilah pandangan yang dipilih dan ia bertepatan dengan pandangan Majoriti Ulama. Sekalipun tidak dinafikan wujud perbezaan pandangan di kalangan ulama, maka di bawah ini disertakan huraian secara ringkas:

1)    Jumhur (majority) ulama berpandangan ia wajib, dan tidak gugur kewajipannya melainkan bagi wanita berhaid berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn ‘Abbas RA yang berkata:

أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ

Maksudnya: “Orang ramai diarah menjadikan perkara terakhir mereka (ketika melakukan haji dan umrah) adalah dengan tawaf di Kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita berhaid.”

Di dalam al-Mustadrak pula Ibn ‘Abbas berkata:

كَانَ النَّاسُ يَنْفِرُونَ مِنْ مِنًى إِلَى وُجُوهِهِمْ ، فَأَمَرَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ ، وَرَخَّصَ لِلْحَائِضِ

Maksudnya: “Dahulunya orang ramai bergerak pulang dari Mina ke laluan mereka masing-masing. Lalu Rasulullah SAW mengarah mereka untuk menjadikan perkara terakhir mereka ialah Tawaf di Kaabah dan baginda memberi keringanan kepada wanita berhaid.”

Ibn ‘Abbas RA juga berkata:

كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِي كُلِّ وَجْهٍ ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا يَنْفِرُ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Dahulunya orang ramai bergegas pulang ke laluan masing-masing (dari Mina). Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Jangan seseorang daripada kamu terus bergerak pulang, sehinggalah dia menjadikan perkara terakhir yang dilakukannya ialah Tawaf di Baitullah.” (HR Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Ibn Majah)

Al-Syaukani ketika menerangkan maksud hadis ini berkata:

Maksudnya: “Perkaraan baginda: “Jangan seseorang daripada kamu terus bergerak pulang..” sehingga ke akhirnya. Ia merupakan bukti wajibnya Tawaf al-Wada’. Kata al-Nawawi: Ia adalah pandangan kebanyakan ulama, wajib Dam bagi yang meninggalkannya…” (Nail al-Awtor 5/106)

Justeru berdasarkan pendapat majority ulama ini, maka sesiapa yang meninggalkan tawaf wada’ bukan disebabkan haid, wajib ke atasnya DAM sama seperti orang-orang yang meninggalkan salah satu daripada wajib haji yang lain.

2)    Namun di sisi para ulama mazhab Maliki Tawaf al-Wada’ adalah Sunnah (Sunat). Sesiapa yang meninggalkannya tidak mengapa. Mereka berdalilkan dengan rukhsah (keringan) yang baginda berikan kepada wanita berhaid untuk meninggalkan Tawaf al-Wada’. Mereka berkata: Sekiranya Tawaf Wada’ itu wajib, baginda tidak akan memberi rukhsah kepada wanita berhaid meninggalkannya. Sama sepertimana tiada keringanan atau rukhsah bagi wanita berhaid dan yang lainnya meninggalkan perkara lain terdiri dari wajib-wajib haji. Apa-apa yang ditinggalkan (dari perkara-perkara wajib haji) sekalipun kerana terpaksa hendaklah ditampung dengan Dam.

Jika diperhatikan kepada penghujahan setiap ulama, kesemuanya kuat dari sudut pendalilan. Namun mengambil pandangan majority ulama dalam persoalan seumpama ini adalah lebih AHWATH (langkah berhati-hati).

Al-Syaukani berkata:

وقال مالك وداود وابن المنذر: هو سنة لا شيء في تركه. قال الحافظ: والذي رأيته لابن المنذر في الأوسط أنه واجب للأمر به إلا أنه لا يجب بتركه شيء. انتهى، وقد اجتمع في طواف الوداع أمره صلى الله عليه وسلم به ونهيه عن تركه وفعله الذي هو بيان للمجمل الواجب ولا شك أن ذلك يفيد الوجوب

Maksudnya: “berkata Malik, Abu Daud dan Ibn al-Munzir: “Ia (Tawaf Wada’ itu) adalah Sunnah (sunat), tidak mengapa meninggalkannya.” Berkata al-Hafidz: “dan yang daku lihat bagi Ibn al-Munzir (pandangannya) di dalam al-Awsath adalah wajib disebabkan arahan (baginda SAW), melainkan beliau (Ibn al-Munzir) berpandangan tidak perlu apa-apa (Dam) jika meninggalkannya.” Telah terhimpun perintah baginda SAW untuk melakukan Tawaf al-Wada’ dan larangan meninggalkannya, demikian juga perbuatan baginda yang merupakan penjelas kepada himpunan perkara-perkara yang wajib. Maka tidak ragu lagi bahawa perkara itu menghasilkan hukum wajib…” (Nail al-Awthar 5/106)

Berdasarkan huraian yang diberikan ini, ia menunjukkan persoalan ini termasuk dalam persoalan ijtihad. Maka TIDAK MENGAPA bagi sesiapa yang berbeza dengan pandangan yang dipilih ini.

Wallahu a’lam.

1 comments:

Unknown said...

Apakah larangan semasa tawaf wada