Soalan:
Assalamualaikum, saya ingin bertanya mengenaii zakat.
Bolehkan saya membayar zakat dengan cara mengurangkan hutang daripada orang
miskin yang meminjam daripada saya. Contohnya si A berhutang kepada RM5000.
pada tahun ini saya sepatutnya membayar zakat RM1000. Jadi pada tahun ini saya
telah mengurangkan hutangnya kepada saya kepada RM4000 tanpa mengeluarkan
apa-apa wang. bolehkah cara sedemikian dilakukan
Jawapan:
Tidak boleh sedemikian.
Sebaliknya hendaklah diberikan kepada orang miskin zakat sehingga dia memiliki
makanan untuk dimakan. Adapun hutangnya terhadap saudara, tunggulah sehingga
dia mampu melangsaikannya. Allah SWT berfirman:
وَإِنْ كَانَ ذُو عُسْرَةٍ
فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَنْ تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ
تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “dan jika orang yang
berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga
ia lapang hidupnya dan bahawa jika kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya)
adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang
kamu akan dapati kelak).” (al-Baqarah: 280)
Justeru, tidak boleh bagi seseorang
muslim menjadikan kewajipan zakat untuk memelihara atau jaminan keselamatan
hartanya (jaminan dia mendapat wang hutangnya). Dalam erti kata lain tidak
boleh seseorang itu lari dari menunaikan zakat dengan memotong hutang dari
orang miskin terhadapnya. Inilah pandangan sebahagian ulama terdiri dari mazhab
Hanafi, Maliki dan Hambali dan pandangan yang Asah di sisi ulama Syafie.
Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah dinyatakan:
Maksudnya: “Tidak boleh bagi pemiutang
(orang yang memberi hutang) menggugurkan hutangnya dari penghutang (orang yang
berhutang) miskin yang tidak mampu membayar hutangnya. Lalu pemiutang mengira
(pengguguran hutangnya itu) sebagai zakat hartanya. Jika dia lakukan sedemikian
tidak dikira dari zakat. Inilah pandangan ulama mazhab Hanafi, Hambali dan
Maliki, melainkan Asyhab. Pandangan ini juga yang Asah di sisi ulama mazhab
al-Syafie, juga pandangan Abu ‘Ubaid. Bentuk larangan (melakukan perkara ini)
iaitulah zakat merupakan hak Allah SWT, maka tidak boleh bagi seseorang
memalingkannya bagi mendapat manfaat untuk dirinya sendiri, atau untuk
(jaminan) menghidupkan hartanya dan jaminan memperolehi semula hartanya…”
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment