Thursday, August 29, 2013

Tambahan Kalimah “KARIM” Dalam Doa Malam Lailatul Qadar

Soalan:

Dalam bulan Ramadhan yang lalu saya mendengar ramai dari kalangan imam yang menambah kalimah “KARIM” ketika membaca doa:

اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ اْلعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّيْ

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya Dikau adalah Tuhan Yang Maha Pemaaf lagi Maha Mulia, Dikau suka memberi kemaafan, oleh yang demikian maafkanlah daku.”

Soalan saya, apakah tambahan ini dari riwayat hadis yang Sahih? Mohon penjelasan dari Ustaz. Terima kasih

Jawapan:

Terima kasih kembali kepada yang bertanya.

Lafaz “KARIM” di dalam doa yang dimaksudkan dibimbangi termasuk dari lafaz Mudrajah, iaitulah lafaz dari periwayat yang termasuk ke dalam matan hadis sehingga disangka ia lafaz dari Nabi SAW. Tidak dinafikan doa beserta lafaz “Karim” ini banyak disebut oleh sebahagian ulama di dalam kitab-kitab Fikah dan Azkar (zikir-zikir). Ini kerana tambahan ini terdapat di dalam Kitab Sunan al-Tirmizi, dari ‘Aisyah RA yang berkata:

قلت يا رسول الله: أرأيت إن علمت أي ليلة ليلة القدر ما أقول فيها؟ قال: قولي اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عني

Maksudnya: “Daku berkata: “Wahai Rasulullah, sekiranya daku mengetahui sesuatu malam itu adalah malam al-Qadar, apakah yang hendak daku baca?” Sabda baginda: “Bacalah:

اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ اْلعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّيْ

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya Dikau adalah Tuhan Yang Maha Pemaaf lagi Maha Mulia, Dikau Suka memberi kemaafan, oleh yang demikian maafkanlah daku.”

Namun hadis doa ini, selain dari al-Tirmizi, ia juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al-Nasa’ie, Ibn Majah, al-Hakim, Ibn al-Sunniy, al-Baghawi, Abu Ya’la dan al-Baihaqi, kita dapati kesemua para imam hadis ini tidak menyebut pula di dalam teks doa lafaz tambahan ini. Selain itu ramai juga para ulama yang telah menukilkan hadis ini dari al-Tirmizi seperti al-Nawawi, Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, Ibn Hajar dan Ibn Kathir, namun kesemua mereka juga tidak menyebut tambahan ini. kerana itu al-Syeikh al-Albani ada memberi peringatan di dalam al-Silsilah al-Sahihah dengan menyebut:

Maksudnya: “Sebagai suatu peringatan: “Terdapat di dalam Sunan al-Tirmizi selepas (lafaz) “Afuwwun” ada tambahan (lafaz): “Karim” yang tidak berasal dari sumber-sumber yang lalu, tiada juga asalnya dari sumber lain yang menukilkannya. Maka yang zahirnya tambahan itu adalah “Mudrajah” (Lafaz dari periwayat hadis yang termasuk ke dalam matan sehingga disangkakan perkataan Nabi SAW) dari sebahagian naskhah atau cetakan. Tambahan ini juga tidak terdapat di dalam kitab Sunan al-Tirmizi cetakan al-Hindiyyah yang terdapat Syarh Tuhfah al-Ahwazi oleh al-Mubarakfuri 4/264. Tidak terdapat juga pada selainnya. Antara yang menguatkan perkara ini iaitulah al-Nasa’ie dalam sebahagian riwayatnya, beliau telah meriwayatkan hadis ini dari jalan yang sama yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi. Kedua-dua mereka meriwayatkan dari guru mereka (yang sama) iaitulah Qutaibah bin Sa’ied (riwayat dari al-Nasa’ie ini) dengan tanpa ada (lafaz) tambahan. Demikian juga tambahan ini terdapat di dalam risalah saudara kita yang mulia ‘Ali al-Halabiy (berjodol): Muhazzab ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah oleh Ibn al-Sunniy (95/202), namun (sebenarnya) tambahan itu tidak terdapat di sisi Ibn al-Sunniy, kerana beliau meriwayatkannya dari guru beliau al-Nasa’ie seperti yang telah diterangkan sebelum ini dari Qutaibah, kemudian beliau (al-Halabiy) menisbahkannya kepada al-Tirmizi dan selainnya. Dan yang sepatutnya berdasarkan seni ilmu takhrij tambahan seperti ini diletakkan di dalam kurungan “[ ]” seperti yang makruf hari ini, lalu dapat diberi perhatian bahawa lafaz tersebut termasuk dalam Afrad al-Tirmizi (perkara-perkara menyendiri dari al-Tirmizi). Dan adapun dari sudut tahkik, maka sepatutnya tidak perlu disebut secara mutlak, melainkan untuk dijelaskan ianya tiada asal, barulah terlaksananya suatu peringatan.”

Wallahu a’lam. 

2 comments:

Muhammad Nabilfikri said...

MasyaAllah.. moga moga di berkati Allah.. mohon share ye :D

Muhammad Nabilfikri said...
This comment has been removed by the author.