SOALAN:
Adakah sembahyang jenazah perlu di dalam keadaan berwuduk? ada pendapat yang mengatakan tidak perlu kerana takrif sebenar sembahyang adalah perlu kepada rukuk dan sujud; sedangkan semgahyang jenazah sekadar berdiri dan berdoa.
Adakah saya harus mengulangi semula wuduk yang belum sempurna dipertengahan disebabkan saya terkentut dan sebagainya.
JAWAPAN:
Pertama:
Solat Jenazah Perlu kepada Wudhu, inilah pandangan yang lebih benar dan inilah juga pandangan Jumhur Ulama (majoriti).
Tidak dinafikan sememangnya terdapat pandangan ulama yang mengatakan boleh menunaikan solat jenazah tanpa wudhu. Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim mendakwa pandangan ini adalah pandangan al-Sya’bi dan Muhammad bin Jarir al-Tobari.
Namun pandangan ini tertolak. Al-Imam al-Nawawi berkata di dalam Syarh Sahih Muslim: “Mazhab ini adalah salah, dan ijmak ulama berbeza dengan pandangan ini.”
Al-Imam al-Bukhari pula menjadikan salah satu bab di dalam kitab Sahihnya sebagai: Bab Sunat Solat ke atas Jenazah. Setelah itu beliau berkata: Nabi SAW bersabda: من صلى على الجنازة mafhumnya: “Sesiapa yang menunaikan solat ke atas jenazah.” Baginda juga bersabda: صلوا على صاحبكم mafhumnya: “Tunaikanlah solat jenazah ke atas sahabat kamu (yang meninggal ini).” Baginda juga bersabda: صلوا على النجاشي mafhumnya: “Tunaikanlah solat jenazah untuk Najasyi.” Setelah itu al-Imam al-Bukhari berkata: “Baginda menamakan solat jenazah sebagai solat, sekalipun di dalamnya tidak ada rukuk, sujud, tidak boleh bercakap, di dalamnya ada takbir dan salam. Ibn ‘Umar dahulunya tidak akan menunaikan solat (jenazah) melainkan dalam keadaan bersuci…”
Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata di dalam Fath al-Bari: “Perkataan beliau (al-Imam al-Bukhari): Baginda menamakan solat jenazah sebagai solat, iaitulah disyaratkan untuk solat jenazah itu apa-apa yang disyaratkan di dalam solat (lainnya) sekalipun di dalam solat jenazah itu tidak ada rukuk dan sujud, tidak boleh berkata-kata di dalamnya, ada takbir dan salam di dalamnya dengan persetujuan ulama, sekalipun mereka berbeza tentang bilangan takbir dan salam.”
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata di dalam kitab Majmu’nya:
قال ابن بطال: عرض البخاري للرد على الشعبي فإنه أجاز الصلاة على الجنازة بغير طهارة قال : لأنها دعاء ليس فيها ركوع ولا سجود والفقهاء مجمعون من السلف والخلف على خلاف قوله فلا يلتفت إلى شذوذه وأجمعوا أنها لا تصلى إلا إلى القبلة ولو كانت دعاء كما زعم الشعبيلجازت إلى غير القبلة . قال : واحتجاج البخاري في هذا الباب حسن .
Maksudnya: “Ibn Battal berkata: al-Bukhari menyenaraikan (hadis-hadis di atas di dalam kitab Sahihnya) sebagai membantah al-Sya’bi yang mengharuskan solat jenazah tanpa bersuci (wudhu), kerana beranggapan solat jenazah itu hanya berupa doa yang tidak memiliki rukuk dan sujud. Sedangkan para fuqaha salaf dan khalaf telah bersepakat berbeza dengan pandangan al-Sya’bi ini. Oleh yang demikian jangan dipedulikan kepada pandangan (al-Sya’bi) yang ganjil ini, para ulama juga telah bersepakat bahawa solat jenazah tidak boleh ditunaikan melainkan mesti menghadap kiblat. Jika sekiranya solat jenazah itu bukan solat dan semata-mata doa seperti yang disangka oleh al-Sya’bi, sudah tentu ia juga boleh dilakukan tanpa menghadap kiblat. Ibn Battal juga berkata: Penghujahan (al-Imam) al-Bukhari dalam bab ini suatu yang baik.”
Kedua:
YA! wajib mengulangi solat yang terbatal dipertengahannya disebabkan terkentut atau seumpamanya.
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment