PERMULAAN KALENDAR ISLAM
Sebelum kedatangan Islam, orang-orang Arab tidak memiliki kalendar yang khusus untuk digunakan bersama. Walaubagaimanapun semua mereka mengira setahun itu dengan 12 bulan. Disamping tidak memiliki kalendar yang khusus, mereka juga menamakan 12 bulan itu dengan nama-nama yang berbeza antara satu kabilah dengan kabilah yang lain.
Selain itu, mereka juga menghitung bulan-bulan dalam setahun berdasarkan peristiwa-peristiwa masyhur yang berlaku di dalam sejarah mereka seperti Tahun Gajah (عام الفيل), Peperangan al-Fijar (وحرب الفجار), tarikh pembinaan semula kaabah dan sebagainya.
Keadaan ini berlaku disebabkan tabiat Arab dahulu yang sentiasa mengembara dan tidak menetap disesuatu tempat, demikian juga disebabkan banyak berlaku peperangan dan perbalahan antara kabilah-kabilah yang berbagai. Disamping mereka tidak pernah berhimpun untuk sesuatu peristiwa yang sama sebagai memulakan satu tarikh yang sama untuk mereka.
Namun begitu kesemua mereka bersepakat memuliakan 4 bulan yang sama dalam setahun. Bulan-bulan tersebut ialah: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Mereka mengharamkan peperang dan pencerobohan dilakukan di dalamnya. Dalam masa yang sama, mereka juga melakukan tipudaya dan muslihat yang dikenali sebagai Nizom al-Nasi’ (نظام النسيء) iaitulah mengawal dan melewatkan bulan-bulan yang haram ini sesuka hati mereka berdasarkan kepentingan masing-masing. Mereka berterusan dalam keadaan sedemikian sehingga datangnya Islam dan mengharamkannya, firman Allah swt:
Mafhumnya: ”Sesungguhnya (al-Nasi’ – النسيء ) mengundur-ngundurkan bulan haram itu adalah menambah kekafiran, disesatkan orang-orang yang kafir dengan mengundur-ngundurkan itu, mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, agar mereka dapat menyesuaikan dengan bilangan yang Allah mengharamkannya maka mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah…” (al-Taubah:37)
Selepas kedatangan Islam, orang-orang Arab dan Umat Islam kekal selama beberapa tempoh dalam keadaan sedemikian (tidak ada kalendar yang khusus). Mereka menetapkan tarikh dengan peristiwa-peristiwa yang penting. Selepas berlakunya peristiwa hijrah al-Rasul saw ke Madinah al-Nabawiah, umat Islam menamakan setiap tahun berdasarkan nama-nama peristiwa penting yang berlaku. Nama tahun-tahun tersebut adalah seperti berikut:
1. Tahun pertama (hijrah) dikenali sebagai al-Izn (الإذن)
2. Tahun kedua (hijrah) dikenali sebagai al-Amr (الأمر)
3. Tahun ketiga dikenali sebagai al-Tamhish (التمحيص)
4. Tahun keempat dikenali sebagai al-Turfiah (الترفئة)
5. Tahun kelima dikenali sebagai al-Zilzal (الزلزال)
6. Tahun keenam dikenali sebagai al-Isti’nas (الاستئناس)
7. Tahun ketujuh sebagai al-Istighlab (الاستغلاب)
8. Tahun kelapan sebagai al-Istiwa’ (الاستواء)
9. Tahun kesembilan sebagai al-Bara-ah (البراءة)
10. Tahun kesepuluh sebagai al-Wada’ (الوداع)
Keadaan ini juga berterusan sehinggalah di zaman pemerintahan ‘Umar Ibn al-Khattab r.a. Ketika itu timbul keperluan bagi sebuah negara Islam yang luas empayarnya untuk memiliki kalendar yang tersendiri. Selepas perbincangan dan musyawarah bersama pembesar-pembesar sahabat, para sahabat Nabi saw bersepakat untuk menjadikan hijrah Nabi saw sebagai permulaan bagi kalendar islam. Ini kerana peristiwa hijrah itu berperanan besar memisahkan antara kebenaran dengan kebatilan, ia juga merupakan permulaan bagi daulah islamiyyah.
Mereka juga bersepakat menjadikan awal muharram tahun hijrahnya Rasulullah saw sebagai permulaan kalendar islam, kerana bulan muharram merupakan bulan yang paling masyhur dalam bulan-bulan yang haram dan dalam bulan itu juga umat Islam selesai daripada menunaikan ibadat haji.
Perlu diberi penekanan bahawa hijrah bukanlah berlaku pada hari pertama dalam bulan muaharram, sebaliknya hijrah bermula di penghujung bulan Safar dan Nabi saw sampai di Madinah pada 12 Rabi’ulawwal. Bulan Muharram adalah waktu bermula keazaman untuk melakukan hijrah, dimana bai’ah (janji taat setia) berlaku di dalam bulan Zulhijjah dan ia dikira sebagai muqaddimah hijrah, dan anak bulan yang berikutnya selepas Zulhijjah ialah anak bulan Muharram dan ketika itulah bermulanya azam untuk melakukan hijrah. Inilah kesesuaian atau kemunasabah menjadikan Muharram itu sebagai titik permulaan hijrah dan pengiraan kalendar Islam oleh para sahabat.
Kalendar hijrah dimulakan pada tahun ke-16 hijrah, dkatakan juga mula digunakan pada tahun 17 hijrah di zaman pemerintahan ‘Umar ibn al-Khattab r.a.
Terdapat beberapa sebab yang mendorong ‘Umar r.a. mewujudkan kalendar umat Islam, antaranya riwayat daripada al-Sya’bi tentang peristiwa Abu Musa menulis surat kepada ‘Umar, setelah beliau menerima beberapa pucuk surat daripada ‘Umar yang tidak mempunyai tarikh. Keadaan itu menyebabkan beliau tidak mengetahui manakah diantara surat-surat itu yang diutus terlebih dahulu dan yang mana pula yang kemudian. Perkara itu diajukan kepada Khalifah ‘Umar RA, Lalu ‘Umar RA menghimpunkan para sahabat Nabi saw untuk membincangan tentang permulaan kalendar Islam. Sebahagian mereka mencadangkan dimulakan pengiraan kalender Islam sempena pengutusan Nabi saw. Sebahagian yang lain mengatakan kita mulakan dengan (tahun) hijrah. Lalu Umar r.a. berkata: “Hijrah itu memisahkan antara kebenaran dengan kebatilan, maka kiralah darinya.” Peristiwa ini berlaku pada tahun ke 17 hijrah. (fath al-Bari, 7/376)
Setelah mereka bersetuju untuk memulakan pengiraan kalender Islam pada tahun hijrah, sebahagian mereka mencadangkan dimulakan pengiraan kalendar dengan bulan Ramadhan, lalu ‘Umar r.a. berkata: “Bahkan mulakan dengan Muharram, kerana ketika itu manusia baru selesai dari menunaikan haji.” lalu mereka semua bersetuju. Di dalam riwayat yang lain menyatakan yang mencadangkan perkara tersebut adalah ‘Ali r.a. lalu dipersetujui oleh ‘Umar RA.
Terdapat juga riwayat daripada daripada Ibn Sirin yang menyebut suatu hari seorang lelaki dari Yaman sampai di Madinah menceritakan dia melihat di Yaman sesuatu yang dinamakan al-Tarikh, mereka menulisnya daripada tahun demikian dan bulan demikian, lalu ‘Umar menghimpunkan manusia untuk membuat perkara yang sama. Kata sebahagian orang, mulakan dengan hari maulid Nabi saw, berkata yang lain: mulakan dengan pengutusan baginda saw, berkata yang lain mulakan daripada hijrah, berkata yang lain lagi mulakan dengan kewafatan baginda saw. Lalu ‘Umar berkata: “Kita mulakan mengira dari keluarnya baginda dari Mekah ke Madinah.” Kemudian dikatakan kepada ‘Umar: “Bulan apa kita hendak mulakan?” Sebahagian orang berpendapat dimulakan dengan bulan Rejab, sebahagian yang lain bulan Ramadhan, lalu Uthman berkata: “Kita mulakan dengan bulan Muharram, kerana ianya bulan haram, ianya juga awal tahun dan pulangnya orang ramai dari menunakan haji.” Kata Ibn Sirin peristiwa itu berlaku pada tahun 17 hijrah – dikatakan juga pada 16 hijrah – dalam bulan Rabiulawwal. (Sila rujuk Fath al-Bari, 7/376-377)
Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun
Berdasarkan sejarah permulaan kalendar Islam, jelas menunjukkan permulaan tahun hijrah bukanlah dimulakan oleh Nabi saw. Sebaliknya ia hasil dari perbincangan para sahabat selepas kewafatan baginda saw di zaman ‘Umar r.a. Ini menunjukkan doa akhir dan awal tahun yang didakwa memiliki kelebihan diampunkan dosa dan syaitan berputus asa dari menggoda orang-orang yang membacanya dan Allah mewakilkan 2 malaikat untuk menjaganya, adalah sesuatu yang tidak ada asalnya sama sekali dari Sunnah Nabi saw.
wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment