Pendahuluan
Mati adalah satu perkara yang diyakini oleh semua orang samada yang muslim ataupun yang bukan muslim. Namun mati juga merupakan satu perkara yang hampir dilupai oleh semua orang termasuk yang muslim dan yang bukan muslim. Lupanya umat Islam kepada kematian menjadi sebab utama kepada kelemahan mereka. Nabi SAW bersabda:
يُوْشِكُ الْأُمَمُ أنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ، كَمَا تَدَاعَى الأَكَلَةُ إلى قَصْعَتِهَا، فَقَالَ قَائِلٌ: وَ مِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: بَلْ أنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيْرٍ، وَ لَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَ لَيَنْزَعَنَّ اللهُ مِنْ صُدُوْرِ عَدُوِّكُمْ المَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَ ليَقْذِفَنَّ اللهُ فِيْ قُلُوْبِكُمْ الوَهْنُ، فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُوْلَ اللهِ وَ مَا اْلوَهْن؟ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَ كَرَاهِيَةُ الْمَوْت
Maksudnya : "Akan berlaku kaum kafir mengerumuni (ambil tindakan kepada) kamu semua, sepertimana orang mengerumuni bekas-bekas makan mereka. Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah karena kami sedikit pada hari itu?" Nabi s.a.w. menjawab: "Bahkan kamu pada hari itu banyak, tetapi kamu umpama sampah di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gentar terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'al-Wahn’" Seorang sahabat bertanya, "Apakah al-Wahn itu wahai Rasulullah?" Nabi s.a.w. menjawab, "Cinta pada dunia dan benci pada mati".[1]
Nabi SAW bersabda lagi di dalam hadith yang lain:
كُنْ فِيْ الدُّنْيَا كَأنَّكَ غَرِيْبًا أوْ عَابِرَ السَّبِيْل
Maksudnya : “Hiduplah di dunia, seolah-olah kamu seorang yang asing atau seorang yang melalui perjalanan.”[2]
Besarlah harapan penulis, agar buku ini sekurang-kurangnya dapat menyegarkan semula ingatan umat Islam kepada kematian. Dalam masa yang sama mereka dapat mempelajari dan memahami selok-belok pengurusan jenazah bersesuaian dengan sunnah Nabi s.a.w. seperti yang dihuraikan oleh para ulama umat Islam.
Di dalam buki ini, penulis berusaha memasukkan aspek-aspek yang dirasakan penting yang berkaitan dengan pengurusan jenazah. Penulis juga berusaha untuk menyertakan bukti dari al-Quran dan al-Sunnah dalam setiap aspek yang dinyatakan. Tujuannya agar keterikatan umat Islam terhadap dua sumber agung ini sentiasa segar.
Demikian juga penulis berusaha memuatkan juga perkataan para sahabat r.a. dan para ulama yang berperanan sebagai pembimbing umat ke arah al-Quran dan al-Sunnah berdasarkan pemahaman yang benar. Kerana siapalah kita untuk dibandingkan dengan generasi awal yang dijamin oleh Nabi s.a.w. akan kebaikan mereka. Baginda bersabda:
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ
Maksudnya: “sebaik-baik manusia adalah mereka yang berada pada kurunku, seterusnya kurun yang berikutnya dan seterusnya kurun yang berikutnya.”
Al-Imam al-Bukhari menjadikan satu bab di dalam kitab sahihnya sebagai La Ya’ti Zamanun Illa walazi Ba’dahu Syarrun minhu bermaksud Tidak datang satu zaman melainkan zaman yang berikutnya adalah lebih buruk dari sebelumnya. Di bawah bab ini beliau menyenaraikan salah satu athar daripada Anas bin Maik RA, kata al-Imam al-Bukhari:
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ يُوسُفَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ عَنْ الزُّبَيْرِ بْنِ عَدِيٍّ قَالَ أَتَيْنَا أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ: فَشَكَوْنَا إِلَيْهِ مَا نَلْقَى مِنْ الْحَجَّاجِ فَقَالَ اصْبِرُوا فَإِنَّهُ لَا يَأْتِي عَلَيْكُمْ زَمَانٌ إِلَّا الَّذِي بَعْدَهُ شَرٌّ مِنْهُ حَتَّى تَلْقَوْا رَبَّكُمْ سَمِعْتُهُ مِنْ نَبِيِّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Muhammad bin Yusuf menceritakan kepada kami, Sufiyan[3] menceritakan kepada kami daripada Zubair bin ‘Adiy, katanya: Kami pergi kepada Anas bin Malik, lalu kami mengadu kepadanya apa yang kami terima dari al-Hajjaj[4], kata Anas bin Malik: Bersabarlah, kerana sesungguhnya tidak datang kepada kamu semua satu zaman, melainkan zaman selepasnya adalah lebih buruk dari sebelumnya sehinggalah kamu semua bertemu dengan Tuhan kamu, aku mendengar perkara ini dari Nabi kamu s.a.w.”[5]
Al-Hafidz Ibn Hajar ketika mensyarahkan athar ini di dalam kitabnya Fath al-Bari menyebut riwayat daripada Zaid bin Wahab yang berkata:
سمعت عبد الله بن مسعود يقول : لا يأتي عليكم يوم إلا وهو شر من اليوم الذي كان قبله حتى تقوم الساعة , لست أعني رخاء من العيش يصيبه ولا مالا يفيده ولكن لا يأتي عليكم يوم وإلا وهو أقل علما من اليوم الذي مضى قبله , فإذا ذهب العلماء استوى الناس فلا يأمرون بالمعروف ولا ينهون عن المنكر فعند ذلك يهلكون
Maksudnya: “Aku mendengar ‘Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: Tidak datang kepada kamu semua satu hari melainkan, ia lebih buruk dari hari yang sebelumnya, sehinggalah berlakunya kiamat, bukanlah aku memaksudkan dari sudut kesenangan hidup yang dialaminya, bukan juga dari sudut harta yang digunakannya, akan tetapi (yang aku maksudkan ialah) tidak akan datang kepada kamu semua satu hari, melainkan hari itu lebih sedikit ilmu berbanding hari sebelumnya. Maka apabila perginya (meninggalnya) para ulama, manusia berada dalam keadaan tidak melakukan Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar, maka ketika itu mereka akan binasa.”
Kesemua ini memberi petunjuk kepada kita betapa perlunya umat Islam merujuk persoalan agama mereka kepada generasi awal yang terdiri dari kalangan sahabat Nabi s.a.w. Maka menjadi suatu kewajipan ke atas individu agama untuk memastikan setiap persoalan agama dirujuk terlebih dahulu kepada al-Quran dan al-Sunnah berdasarkan pemahaman generasi al-Salaf al-Soleh.
Oleh itu, dalam menulis buku ini, penulis banyak mengambil manfaat daripada kitab Ahkam al-Janaiz yang ditulis oleh al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h., demikian juga kitab Ahkam al-Janaiz fi Dau’ al-Kitab wa al-Sunnah yang ditulis oleh al-Syeikh Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani h.z. Kedua-dua tokoh ini amat tidak asing lagi di sisi para penuntut ilmu Islam. Disamping nama mereka berdua juga telah berjaya mengambil tempat dalam perbualan dan perbahasan ilmiah, mereka juga banyak menghasilkan bahan-bahan ilmu yang mudah didapati dan dapat dimanfaatkan oleh umat Islam hari ini. dan yang lebih penting mereka memikul amanah ilmu dengan manhaj yang benar, membimbing umat ke arah pemahaman yang sejahtera. Sama seperti yang ditempuh oleh para Imam Umat Islam yang awal seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam al-Sayfie, al-Imam Ahmad dan selainnya.
Akhir kata, semoga buka ini dapat memberi sumbangan kepda umat Islam dan ia dinilai sebagai ibadah oleh Allah s.w.t.
Mohamad Abdul Kadir bin Sahak
Kangar, Perlis
[1] H.R. Abu Daud, hadith no: 4295. DiSahihkan oleh al-Albani di dalam al-Misykah, hadith no: 5369
[2] H.R. al-Bukhari, hadith no: 6416
[3] Beiau ialah Sufyan al-Thauriy
[4] Iaitulah kezaliman yang mereka terima daripada al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafiy. Seorang gabenor yang zalim
[5] Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab al-Fitan
0 comments:
Post a Comment