Wednesday, October 5, 2011

Kongsi Korban Dengan Orang Yang Hendakkan Daging Sahaja

Soalan:


Bolehkah berkongsi melakukan korban dengan orang yang hendakkan daging sahaja?


Jawapan:


Harus berkongsi melakukan korban melalui seekor lembu atau unta dengan mereka yang tidak berberniat korban atau mereka yang hendak menjual daging bahagian mereka. Al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ 8/372 berkata:


يجوز أن يشترك سبعة في بدنة أو بقرة للتضحية , سواء كانوا كلهم أهل بيت واحد أو متفرقين , أو بعضهم يريد اللحم ، فيجزئ عن المتقرب , وسواء أكان أضحية منذورة أم تطوعا , هذا مذهبنا وبه قال أحمد وجماهير العلماء


Maksudnya: Harus berkongsi tujuh bahagian unta atau lembu untuk melakukan korban, sama ada semua mereka yang berkongsi itu dari rumah yang sama atau berbeza, atau sebahagian mereka hanya hendakkan daging, dan bakinya memadai untuk dibuat korban, sama ada korban nazar atau sunat. Inilah mazhab kami dan pandangan Ahmad demikian juga kebanyakan ulama.”


Ibn Qudamah berkata:

وتجزئ البدنة عن سبعة , وكذلك البقرة ، وهذا قول أكثر أهل العلم


Maksudnya: “boleh seekor unta dibahagikan tujuh bahagian, demikian juga lembu, inilah pandangan kebanyakan ulama..”


Setelah menyenaraikan hadis-hadis yang membuktikan kenyataan ini, beliau berkata:


إذا ثبت هذا , فسواء كان المشتركون من أهل بيت , أو لم يكونوا , مفترضين أو متطوعين ، أو كان بعضهم يريد القربة وبعضهم يريد اللحم ; لأن كل إنسان منهم إنما يجزئ عنه نصيبه , فلا تضره نية غيره


Maksudnya: “Jika telah pasti perkara ini, maka sama ada mereka yang berkongsi itu dari penghuni sesuatu rumah, atau penghuni yang berbeza, melakukan korban wajib atau sunat, atau sebahagian mereka hendak melakukan ibadah dan sebahagian yang lain pula hanya memahukan daging (semua ini boleh), ini kerana setiap individu dari mereka akan memperolehi bahagiannya, tidak memudharatkannya niat orang lain.” (al-Mughni: 13/363)

0 comments: