Friday, October 28, 2011

Khitan (12)

i.

1. Khitan

Khitan adalah wajib bagi lelaki[1] dan tidak wajib bagi perempuan.[2]

Waktu Khitan

Para ulama berbeza pandangan tentang waktu dilaksanakan khitan bagi bayi. Jumhur ulama berpandangan tidak ada waktu yang khusus dan tidak wajib juga dilakukan ke atas bayi yang masih kecil.[3]

Kata Imam Ahmad tentang waktu khitan: “Saya belum mendengar tentang waktu khitan sesuatu (sunnah dari Nabi SAW)” Ibn al-Munzir pula berkata: “Tiada bagi waktu khitan itu satu khabar yang boleh dirujuk kepadanya, tiada juga satu sunnah yang boleh diamalkan.”

Cuma sebahagian ulama ada yang berpandangan digalakkan dilakukan ketika budak masih kecil, kerana ia lebih cepat sembuh, dan ketika itu tidak timbul persoalan aurat. Al-Imam al-Nawawi berkata: “Disunatkan kepada bapa untuk menkhitankan anak ketika dia masih kecil…”[4] al-Imam al-Nawawi juga berpendapat seseorang budak wajib dikhitankan apabila dia telah sampai umur baligh. Beliau menyebut:

“Berkata para sahabat kami (ulama dalam mazhab al-Syafie), waktu wajib khitan adalah selepas dia baligh.”[5]

Namun al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah berpandangan waktu wajib adalah sebelum seseorang budak itu baligh, agar ketika baligh seseorang itu telah dikhatankan, dan kewajipan ini ke atas bapa bukan ke atas kanak-kanan, beliau menyebut:

“Di sisiku (pandanganku), bahawa wajib ke atas bapa untuk mengkhatankan anaknya sebelum baligh, agar apabila dia baligh dalam keadaan telah dikhatan. Ini kerana ia termasuk tidak sempurnanya kewajipan (solat dan seumpamanya) melainkan dengannya… dan Nabi SAW telah mengarahkan para bapa menyuruh anak mereka menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun, dan memukul mereka jika meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun, maka bagaimana boleh membiarkan mereka tidak dikhatan sehingga melangkaui umur baligh?”

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Adapun tentang khitan, dikhatankan bila dikehendaki, akan tetapi apabila mereka masuk umur remaja (hampir baligh), maka hendaklah dikhatankan sepertimana yang dilakukan oleh orang Arab, agar mereka tidak sampai umur baligh melainkan mereka telahpun dikhatankan.”[6]



[1] Inilah pandangan al-Imam al-Syafie. Sila lihat Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari. Lihat juga Tuhfah al-Ahwazi Syarh Sunan al-Tirmizi oleh al-Mubarakfuri.

[2] Berdasarkan satu wajah di kalangan ulama mazhab al-Syafie. Lihat nukilan di dalam Tuhfah al-Ahwazi.

[3] Sila lihat Nail al-Awthor oleh al-Syaukani

[4] Al-Majmu’ 1/351

[5] Al-Majmu’ 1/351

[6] Al-Fatawa al-Kubra 1/275

0 comments: