Monday, August 8, 2011

Hukum Menyentuh Orang Bukan Islam

Soalan:

Assalamualaikum.....


Saya ingin bertanya berkaitan hukum. Saya bekerja di klinik pergigian sebagai juruteknologi pergigian, bidang kerja saya ini ialah membuat gigi palsu, repair gigi palsu yang patah dan repair maintanance. kebanyakan pesakit di klinik saya adalah berbangsa cina. Semasa saya sedang membaiki gigi seorang uncle yang patah, saya terpikir bagaimana jika dia ini pemakan daging khinzir??
Untuk pengetahuan tuan, semasa membuat kerja memang saya akan pakai glove,tetapi glove itu tersentuh pada barang yang lain, seperti meja, pensil dan seumpamanya. Persoalannya adalah,.. adakah dikira najis jika saya memegang barang berkenaan tanpa memakai glove???
terima kasih...



Jawapan
:

Memegang barangan yang digunakan ketika merawat pesakit bukan Islam adalah harus dan tidak ada hukum najis padanya. Barangkali keraguan saudari disebabkan persoalan apakah orang bukan Islam itu dikira najis ataupun tidak. Oleh yang demikian kami akan menjelaskan secara ringkas persoalan apakah orang bukan Islam itu najis atau tidak.

Pandangan yang lebih benar dan lebih kuat adalah tubuh badan orang bukan Islam adalah TIDAK NAJIS, termasuk mulut mereka. Inilah pandangan kebanyakan ulama (jumhur Ulama).

Manakala segolongan kecil ulama berpandangan tubuh badan orang kafir adalah najis, inilah pandangan mazhab Zahiri dan salah satu riwayat dari Imam Ahmad. Al-Imam al-Syaukani ada membuat penjelasan dalam persoalan ini di dalam kitab beliau Nail al-Awtar, katanya:

قوله إن المسلم تمسك بمفهومه بعض أهل الظاهر وحكاه في البحر عن الهادي والقاسم والناصر ومالك وقالوا: إن الكافر نجس عين، وقووا ذلك بقوله تعالى: إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ. وأجاب عن ذلك الجمهور بأن المراد منه أن المسلم طاهر الأعضاء لاعتياده مجانبة النجاسة بخلاف المشرك لعدم تحفظه عن النجاسة، وعن الآية بأن المراد أنهم نجس في الاعتقاد والاستقذار، وحجتهم على صحة هذا التأويل أن الله أباح نساء أهل الكتاب، ومعلوم أن عرقهم لا يسلم منه من يضاجعهن، ومع ذلك فلا يجب من غسل الكتابية إلا ما يجب عليه من غسل المسلمة.... ومن أجوبة الجمهور عن الآية ومفهوم حديث الباب بأن ذلك تنفير عن الكفار، وإهانة لهم، وهذا وإن كان مجازاً فقرينته ما ثبت في الصحيحين من أنه صلى الله عليه وسلم توضأ من مزادة مشركة، وربط ثمامة بن أثال وهو مشرك بسارية من سواري المسجد، وأكل من الشاة التي أهدتها له يهودية من خيبر، وأكل من الجبن المجلوب من بلاد النصارى؛ كما أخرجه أحمد وأبو داود من حديث ابن عمر، وأكل من خبز الشعير والإهالة لما دعاه إلى ذلك يهودي...



Mafhumnya: “Hadis baginda yang menyebut: “Sesungguhnya orang muslim itu tidak najis.” Berdasarkan mafhum hadis ini sebahagian Ahli Zahir sepertimana yang dinyatakan di dalam al-Bahr daripada al-Hadi, al-Qasim, al-Nasir dan Malik yang berpendapat: Sesungguhnya orang bukan islam itu adalah najis tubuh badannya.” Mereka mengukuhkan pandangan ini dengan firman Allah SWT (Mafhumnya): “sesungguhnya orang-orang musyrik itu adalah najis.”



Namun kebanyakan ulama memberi jawapan dengan mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan hadis ini bahawa orang muslim itu suci anggotanya disebabkan kebiasaan dia yang menjauhi najis berbeza dengan orang musyrik yang tidak memelihara diri mereka dari najis. Adapun tentang ayat di atas ia membawa maksud orang-orang musyrik itu najis dari sudut keyakinan mereka dan mereka dianggap kotor. Adapun hujjan akan kebenaran kefahaman ini iaitulah Allah SWT telah mengharuskan perkahwinan dengan wanita Ahli Kitab, dan telah sedia dimaklumi bahawa sudah tentu peluh mereka terkena suami mereka yang tidur bersama mereka, dalam keadaan ini tidak diwajibkan membasuh sesuatu yang terkena dari wanita Kitabiah melainkan sama seperti apa yang wajib di basuh jika terkena dari wanita muslim. Jawapan lain dari kebanyakan ulama berkaitan ayat ini dan mafhum hadis di awal tadi bahawa bertujuan menjauhkan orang ramai dari kekufuran dan memperlekehkan kekufuran kepada manusia, perkara ini sekalipun difahami dari sudut majaz namun ia memiliki bukti seperti yang terdapat di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim yang menceritakan Nabi SAW pernah berwudhu dari kantung air seorang musyrik, demikian juga baginda pernah mengikat Thumamah bin ‘Uthal seorang musyrik di salah satu tiang masjid, demikian juga baginda pernah memakan daging kambing yang dihadiahkan kepada baginda oleh seorang wanita Yahudi dari Khaibar, baginda juga pernah memakan keju dari negeri orang Kristian seperti yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud daripada hadis Ibn ‘Umar. Baginda juga pernah memakan roti gandum ketika dijemput oleh seorang Yahudi.”
(Lihat Nail al-Awtar. Kitab al-Toharah, Abwab al-Miyah, Bab Toharah al-Ma’ al-Mutawaddha bih)



Hujjah-hujjah di atas menunjukkan tubuh badan orang bukan Islam adalah tidak najis. Inilah pandangan Jumhur Ulama (kebanyakan ulama) dan inilah pandangan yang lebih kuat berdasarkan sokongan hadis-hadis di atas. Oleh yang demikian sesuatu yang disentuh oleh orang bukan Islam juga dikira tidak najis.

Wallahu a’lam.

1 comments:

anna said...

bagaimana pula sekiranya menyentuh najis dari orang bukan islam? maksud saya, bekerja di sekolah,hospinal dan sebagainya terdedah kpda keadaan di mana kita ditugaskan untuk membersihkan pakaian mahupun badan yang terkena najis.perlukah saya membersihkan pakaian dan badan saya dengan melakukan sama'