Sunday, July 31, 2011

Buku Terbaru Bin Sahak: Antara Sunnah dan Bid'ah













Dapatkan buku terbaru dari Bin Sahak bertajuk: Antara Sunnah dan Bid'ah. Terjemahan dari ceramah Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Terbitan Syarikat Jahabersa Sdn. Bhd.

Sinopsis Buku:







Sekalipun al-Sunnah dan al-Bid’ah merupakan dua kalimah yang mula diperkenalkan oleh Nabi s.a.w., namun hingga ke hari ini, masih ada di kalangan umat Islam yang tidak memahami maksud kedua-duanya dengan baik. Kerana itu kita sering mendengar ada yang berkata: “Kalau nak kira bid’ah, tak payahlah naik kereta, naik sahaja unta.” Inilah realiti yang menunjukkan kejahilan teruk sedang menyelubungi masyarakat Melayu Muslim di negara kita.

Di pihak lain, ada pula segelintir umat Islam yang terlalu ghairah membid’ahkan semua perkara, termasuk dalam perkara-perkara adat yang tidak menyalahi agama. Natijahnya seruan kembali kepada Sunnah dan menjauhi bid’ah dilihat buruk dan dijauhi.

Namun alhamdulillah, sekalipun dalam kekalutan cara faham yang beragam ini, Allah s.w.t. telah meanugerahkan para ulama yang senantiasa tampil ke hadapan menjelaskan kebenaran.

Untuk itu usaha menterjemahkan buku al-Sunnah wa al-Bid’ah yang asalnya merupakan ceramah Dr. Yusuf al-Qaradhawi ini dilakukan. Mudah-mudahan ia bermanfaat untuk umat Islam dalam usaha memahami persoalan yang sering menimbulkan kontroversi ini.


Pendahuluan Penterjemah:

"Buku al-Sunnah wa al-Bid’ah, yang saya jadikan tajuk ‘Melayu’nya sebagai Antara Sunnah dan Bid’ah, asalnya adalah ceramah Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Di dalam buku ini, al-Qaradhawi berjaya mempersembahkan pemikiran yang bernas, adil dan sederhana dalam usaha menjelaskan maksud dua kalimah ini yang seringkali menimbulkan kontroversi. Melihat kepada pandangan al-Qaradhawi di dalam buku ini, menggambarkan kesederhanaan pemikiran yang wajar dicontohi, lahir dari seorang faqih yang teliti, seorang pemikir yang berjaya menggabungkan Salafiah dan Tajdid yang hidup bersama dengan zamannya.

Mengketengahkan buku ini kepada masyarakat umum, dirasakan satu keperluan yang mendesak memandangkan masih ramai yang tidak memahami dengan sebenarnya maksud kalimah Sunnah dan Bid’ah. Hasilnya, timbullah berbagai pemikiran yang menambahkan lagi kekalutan.

Kita dapati ada segolongan umat Islam yang terlalu ‘ghairah’ menghukum bid’ah apa sahaja yang tidak dilakukan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam, jesteru menjadikan mereka satu golongan yang amat gopoh mengeluarkan hukum bid’ah. Lebih dari itu mereka mencipta pula ‘manhaj-manhaj rekaan’ sebagai neraca untuk mengenali antara ahli sunnah dan ahli bid’ah. Bagi mereka, akidah yang benar belum dapat menjamin seseorang itu berada di dalam daerah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Lalu jadilah mereka golongan yang terlalu ghairah mencari-cari kesalahan, membid’ah dan menyesatkan orang lain, walaupun kerana berbeza dalam persoalan khilafiah dan bukan prinsip. Pada mereka, setiap orang harus terlebih dahulu lulus saringan manhaj-manhaj rekaan ini sebelum mereka nobatkan sebagai Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.

Sebagai lawan kepada golongan di atas timbul pula golongan yang hingga ke hari ini masih beranggapan seolah-olah bid’ah itu tidak ada, amaran Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam tentang kemerbahayaan bid’ah bagi mereka seperti tiada makna dan tujuannya. Jadilah mereka satu golongan yang bebas mencipta, menambah, menukar dan merubah sebahagian petunjuk Nabi dengan sesuatu yang lebih baik (hasanah) pada anggapan mereka. Akhirnya orang ramai menjadi keliru, antara petunjuk Nabi dan petua tok guru, tidak dapat lagi dibezakan. Natijahnya amalan yang tiada asal dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam dianggap sebagai sunnah dan agama, maka sesiapa yang meninggalkannya bermakna telah meninggalkan sunnah dan agama.

Di sudut yang lain, wujud pula segolongan umat Islam yang beranggapan setiap perlakuan Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah Sunnah belaka, yang dituntut untuk dilakukan. Sesiapa yang tidak melakukannya menjadi tanda kurang pengamalan agama.

Lawan kepada golongan ini, sekelompok umat yang tidak mengendahkan langsung tunjuk-ajar Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam. Bagi mereka petunjuk Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam tidak sesuai lagi di zaman sekarang, wajah agama perlu dilakar semula agar bersesuaian dengan nafsu serakah mereka.

Sudah tentu suasana sebegini amat merbahaya. Maka usaha meluruskan cara faham ini perlu diperbetulkan dan menjadi tanggungjawab bersama.

Di dalam buku al-Sunnah wa al-Bid’ah ini, al-Qaradhawi berjaya menyentuh dengan ringkas keempat-empat golongan yang saya sebutkan di atas. Beliau berjaya mendatangkan kesimpulan yang melapangkan hati, bersandarkan kefahaman yang segar dan murni terhadap nas-nas agama. Maka buku ini menjadi kemestian untuk difahami. Semoga usaha saya menterjemahkan buku ini dapat menyumbang di dalam dakwah menyeru masyarakat kembali kepada Sunnah Nabi yang mulia Sallallahu ‘alaihi wasallam dan dinilai sebagai ibadah oleh Allah Subhanahu wa Taala.

Wassalam.


Mohamad Abdul Kadir bin Sahak
Padang Serai, Kedah
27 September 2010

2 comments:

Carmello said...

assalamualaikum.
Saya baru lepas keguguran(bawah 4 minggu. Setelah membaca penerangan ustaz di sini,maksudnya selepas 15 hari jika masih ada darah,ia dikira istihadah dan wajib mandi wajib. Sepanjang istihadah,boleh kah kita bersama suami? Mgkn dr segi kesihatan kurang baik,tp dari segi Hukum macam mana? Saya teringin sgt utk bersolat trawikh. Adakah saya dibenarkan utk bertrawikh sbb masih ada darah tapi tidak kerap. Kalau solat fardhu,saya diwajibkan ambil wuduk setiap kali solat. Trawikh mungkin saya akan ketinggalan imam jika setiap kali perlu mengambil wuduk. Harap ustaz dapat membantu saya.

bin sahak said...

Tempoh paling lama nifas ialah selama 40 hari... klu slps tu masih keluar darah, yg kluar tu adlh darah istihadah (penyakit). Puan boleh solat dan bersama dgn suami walaupun beristihadhah. Puan blh Solat tarawih tanpa perlu perbaharui wudhu bg setiap 2 rakaat. Puan blh solat tarawih dgn wudhu solat isyak