Sunday, July 31, 2011

Buku Terbaru Bin Sahak: Antara Sunnah dan Bid'ah













Dapatkan buku terbaru dari Bin Sahak bertajuk: Antara Sunnah dan Bid'ah. Terjemahan dari ceramah Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Terbitan Syarikat Jahabersa Sdn. Bhd.

Sinopsis Buku:







Sekalipun al-Sunnah dan al-Bid’ah merupakan dua kalimah yang mula diperkenalkan oleh Nabi s.a.w., namun hingga ke hari ini, masih ada di kalangan umat Islam yang tidak memahami maksud kedua-duanya dengan baik. Kerana itu kita sering mendengar ada yang berkata: “Kalau nak kira bid’ah, tak payahlah naik kereta, naik sahaja unta.” Inilah realiti yang menunjukkan kejahilan teruk sedang menyelubungi masyarakat Melayu Muslim di negara kita.

Di pihak lain, ada pula segelintir umat Islam yang terlalu ghairah membid’ahkan semua perkara, termasuk dalam perkara-perkara adat yang tidak menyalahi agama. Natijahnya seruan kembali kepada Sunnah dan menjauhi bid’ah dilihat buruk dan dijauhi.

Namun alhamdulillah, sekalipun dalam kekalutan cara faham yang beragam ini, Allah s.w.t. telah meanugerahkan para ulama yang senantiasa tampil ke hadapan menjelaskan kebenaran.

Untuk itu usaha menterjemahkan buku al-Sunnah wa al-Bid’ah yang asalnya merupakan ceramah Dr. Yusuf al-Qaradhawi ini dilakukan. Mudah-mudahan ia bermanfaat untuk umat Islam dalam usaha memahami persoalan yang sering menimbulkan kontroversi ini.


Pendahuluan Penterjemah:

"Buku al-Sunnah wa al-Bid’ah, yang saya jadikan tajuk ‘Melayu’nya sebagai Antara Sunnah dan Bid’ah, asalnya adalah ceramah Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Di dalam buku ini, al-Qaradhawi berjaya mempersembahkan pemikiran yang bernas, adil dan sederhana dalam usaha menjelaskan maksud dua kalimah ini yang seringkali menimbulkan kontroversi. Melihat kepada pandangan al-Qaradhawi di dalam buku ini, menggambarkan kesederhanaan pemikiran yang wajar dicontohi, lahir dari seorang faqih yang teliti, seorang pemikir yang berjaya menggabungkan Salafiah dan Tajdid yang hidup bersama dengan zamannya.

Mengketengahkan buku ini kepada masyarakat umum, dirasakan satu keperluan yang mendesak memandangkan masih ramai yang tidak memahami dengan sebenarnya maksud kalimah Sunnah dan Bid’ah. Hasilnya, timbullah berbagai pemikiran yang menambahkan lagi kekalutan.

Kita dapati ada segolongan umat Islam yang terlalu ‘ghairah’ menghukum bid’ah apa sahaja yang tidak dilakukan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam, jesteru menjadikan mereka satu golongan yang amat gopoh mengeluarkan hukum bid’ah. Lebih dari itu mereka mencipta pula ‘manhaj-manhaj rekaan’ sebagai neraca untuk mengenali antara ahli sunnah dan ahli bid’ah. Bagi mereka, akidah yang benar belum dapat menjamin seseorang itu berada di dalam daerah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Lalu jadilah mereka golongan yang terlalu ghairah mencari-cari kesalahan, membid’ah dan menyesatkan orang lain, walaupun kerana berbeza dalam persoalan khilafiah dan bukan prinsip. Pada mereka, setiap orang harus terlebih dahulu lulus saringan manhaj-manhaj rekaan ini sebelum mereka nobatkan sebagai Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.

Sebagai lawan kepada golongan di atas timbul pula golongan yang hingga ke hari ini masih beranggapan seolah-olah bid’ah itu tidak ada, amaran Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam tentang kemerbahayaan bid’ah bagi mereka seperti tiada makna dan tujuannya. Jadilah mereka satu golongan yang bebas mencipta, menambah, menukar dan merubah sebahagian petunjuk Nabi dengan sesuatu yang lebih baik (hasanah) pada anggapan mereka. Akhirnya orang ramai menjadi keliru, antara petunjuk Nabi dan petua tok guru, tidak dapat lagi dibezakan. Natijahnya amalan yang tiada asal dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam dianggap sebagai sunnah dan agama, maka sesiapa yang meninggalkannya bermakna telah meninggalkan sunnah dan agama.

Di sudut yang lain, wujud pula segolongan umat Islam yang beranggapan setiap perlakuan Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah Sunnah belaka, yang dituntut untuk dilakukan. Sesiapa yang tidak melakukannya menjadi tanda kurang pengamalan agama.

Lawan kepada golongan ini, sekelompok umat yang tidak mengendahkan langsung tunjuk-ajar Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam. Bagi mereka petunjuk Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam tidak sesuai lagi di zaman sekarang, wajah agama perlu dilakar semula agar bersesuaian dengan nafsu serakah mereka.

Sudah tentu suasana sebegini amat merbahaya. Maka usaha meluruskan cara faham ini perlu diperbetulkan dan menjadi tanggungjawab bersama.

Di dalam buku al-Sunnah wa al-Bid’ah ini, al-Qaradhawi berjaya menyentuh dengan ringkas keempat-empat golongan yang saya sebutkan di atas. Beliau berjaya mendatangkan kesimpulan yang melapangkan hati, bersandarkan kefahaman yang segar dan murni terhadap nas-nas agama. Maka buku ini menjadi kemestian untuk difahami. Semoga usaha saya menterjemahkan buku ini dapat menyumbang di dalam dakwah menyeru masyarakat kembali kepada Sunnah Nabi yang mulia Sallallahu ‘alaihi wasallam dan dinilai sebagai ibadah oleh Allah Subhanahu wa Taala.

Wassalam.


Mohamad Abdul Kadir bin Sahak
Padang Serai, Kedah
27 September 2010

Perbezaan Yang Membuahkan Perpecahan Bukan Dari Ajaran Islam

Abu al-Muzaffar al-Sam’ani berkata:



فَكُلُّ مَسْأَلَةٍ حَدَثَتْ فِيْ الْإِسْلَامِ، فَخَاضَ فِيْهَا النَّاسُ، فَتَفَرَّقُوْا وَاخْتَلَفُوْا، فَلَمْ يُوْرِثْ ذَلِكَ الْاِخْتِلَافُ بَيْنَهُمْ عَدَاوَةً وَلَا بَغْضًا وَلَا تَفَرُّقًا، وَبَقِيَّةُ بَيْنَهُمْ الْأُلْفَةُ وَالنَّصِيْحَةُ وَالْمَوَدَّةُ وَالرَّحْمَةُ وَالشَّفَقَةُ، عَلِمْنَا أنَّ ذَلِكَ مِنْ مَسَائِلِ الْإِسْلَامِ: يَحِلُّ النَّظَرُ فِيْهَا، وَالْأَخْذُ بِقَوْلٍ مِنْ تِلْكَ الْأَقْوَالِ، لَا يُوْجِبُ تَبْدِيْعًا وَلَا تَكْفِيْرًا، كَمَا ظَهَرَ مْثْلُ هَذَا الْاِخْتِلَافِ بَيْنَ الصَّحَابَةِ وَالتَّابِعِيْنَ مَعَ بَقَاءِ الْأُلْفَةِ وَالْمَوَدَّةِ. وَكُلُّ مَسْأَلَةٍ حَدَثَتْ، فَاخْتَلَفُوْا فِيْهَا، فَأَوْرَثَ الْاِخْتِلَافُهُمْ فِيْ ذَلِكَ التَّوَلِّيْ وَالْإِعْرَاضَ وَالتَّدَابُرَ وَالتَّقَاطُعَ، وَرُبَّمَا ارْتَقَى إِلَى التَّكْفِيْرِ، عَلِمْتَ أنَّ ذَلِكَ لَيْسَ مِنْ أَمْرِ الدِّيْنِ فِيْ شَيْءٍ، بَلْ يَجِبُ عَلَى كَلِّ ذِيْ عَقْلٍ أنْ يَجْتَنِبَهَا، وَيُعْرِضَ عَنْ الْخَوْضِ فِيْهَا، لِأَنَّ اللهَ شَرَطَ فِيْ تَمَسُّكِنَا بِالْإِسْلَامِ أنَّا نُصْبِحُ فِيْ ذَلِكَ إخْوَانًا، فَقَالَ تَعَالَى: وَاذْكُرُواْ نِعْمَتَ اللّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاء فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَاناً


Mafhumnya: “Setiap persoalan yang timbul dalam agama Islam, dan orang ramai berbicara tentangnya, lalu mereka berbeza pandangan, namun ia tidak menyebabkan mereka bermusuh dan berpecah-belah, sebaliknya sesama mereka tetap bersikap lunak, menasihati, berkasih-sayang, rahmat dan berlemah-lembut, kita dapat ketahui bahawa ia dari ajaran agama Islam, boleh memberi perhatian kepadanya, dan boleh mengambil salah satu pandangan dari pandangan-pandangan yang ada, tidak boleh menghukum bid’ah dan kafir, hal ini sepertimana perbezaan yang berlaku dikalangan para sahabat dan tabien, namun sikap lunak dan berkasih-sayang masih tetap terjalin sesama mereka. Manakala setiap persoalan yang timbul dan umat Islam saling berbeza pandangan, dan perbezaan pandangan itu menghasilkan permusuhan, berpaling, bersengketa dan saling memutuskan hubungan sesama mereka, bahkan hingga ke tahap menghukum kafir, anda dapat katahui bahawa ia bukan dari ajaran Islam sama sekali, bahkan bagi orang yang memiliki akal, wajib menjauhinya dan berpaling dari terlibat dari berbicara persoalan tersebut, hal ini kerana Allah telah mensyaratkan untuk kita berpegang teguh dengan Islam, dengan kita menjadi bersaudara, firmanNya: “Dan ingatlah akan nikmat Allah ke atas kamu semua, ketika kamu semua dahulu (semasa Jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hati-hati kamu semua, lalu jadilah kamu semua dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara.” (Ali Imran: 103. Sawn al-Mantiq wa al-Kalam: 169. Lihat juga Mukhtasar al-Sowa'iq al-Mursalah 'ala al-Jahmiyyah wa al-Mu'attilah oleh al-Imam Ibn al-Qayyim)

Saturday, July 30, 2011

Lambaian Ramadan

Kedatangan Ramadan merupakan rahmat daripada Allah SWT yang dikurniakan kepada hamba-hambaNya. Ia merupakan bulan kebaikan, bulan dibanyakkan pahala dan dilipat-gandakan kelebihan berbanding bulan-bulan yang lain. Tujuannya agar sekelian hamba bersegera bergegas merebut dan berusaha mendapatkannya. Nabi SAW bersabda:



إذا دخل رمضان فتحت أبواب الجنة، وغلقت أبواب جهنم، وسلسلت الشياطين


Mafhumnya: “Apabila masuknya Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga, dan ditutup pintu-pintu Neraka, dan dirantainya para Syaitan.” (al-Bukhari dan Muslim) Di dalam hadis yang lain baginda bersabda:


إذا كان أول ليلة من رمضان، صفدت الشياطين ومردة الجن، وغلقت أبواب النيران فلم يفتح منها باب، وينادي منادٍ: يا باغي الخير أقبل، ويا باغي الشر أقصر.. ولله عتقاء من النار وذلك كل ليلة


Mafhumnya: “Apabila malam pertama bulan Ramadan, dirantai para Syaitan dan ketua Jin (Syaitan), ditutup pintu-pintu Neraka, dan tidak dibuka walau satu pintu, diseru pada ketika itu dengan satu seruan: Wahai pencari kebaikan bergembiralah, wahai pencari kejahatan berhentilah, dan bagi Allah ada beberapa orang yang dibebaskan dari Neraka, perkara itu berlaku pada setiap malam (dalam bulan Ramadan).” (Hadis riwayat al-Tirmizi, dinilai Hasan oleh al-Albani)

Oleh yang demikian, apabila tibanya bulan Ramadan Nabi SAW akan memberikan khabar gembira kepada para sahabat baginda dan memberi rangsangan kepada mereka untuk bersungguh-sungguh melakukan amalan soleh. Al-Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA yang berkata: Nabi SAW bersabda:


قد جاءكم شهر رمضان, شهر مبارك, افترض الله عليكم صيامه, يفتح فيه أبواب الجنة, ويغلق فيه أبواب الجحيم, وتغل فيه الشياطين, فيه ليلة خير من ألف شهر, من حُرِمَ خيرها فقد حُرِمْ



Mafhumnya: “Telah datang kepada kamu semua bulan Ramadan, satu bulan yang diberkati, Allah menfardhukan ke atas kamu semua puasa di dalamnya, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka, dirantai para syaitan, di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sesiapa yang dihalang kebaikannya, maka sesungguhnya dia benar-benar dihalang dari kebaikan.” (Hadis Sahih)

Justeru kedatangan Ramadan sepatutnya disambut dengan memperbanyakkan taubat dari kesalahan dan dosa yang dilakukan. Ramadan merupakan bulan untuk memperbanyakkan taubat, jika tidak… bilakah lagi kita akan bertaubat?

Demikian juga bulan Ramadan sepatutnya dipenuhi dengan keazaman untuk meningkatkan kesungguhan beribadah, memperbanyakkan amalan seperti berbuat baik sesama manusia, membanyakkan membaca al-Quran, solat sunat, zikir dan beristighfar kepada Allah SWT. Ramadan juga sepatutnya disambut dengan memperbanyakkan doa kepada Allah supaya ibadah puasa yang dilaksanakan bertepatan seperti yang dikehendaki olehNya.

Bersegeralah kita menyambut Ramadan tahun ini dengan berazam untuk memperolehi kebaikan yang dijanjikan di dalamnya, menyibukkan usaha pada malam dan siang hari untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jauhilah dari tabiat hanya memikirkan untuk mempelbagaikan jenis makanan dan minuman, membuang masa dan mengabaikan solat. Sesungguhnya setiap Ramadan yang datang dan pergi akan meninggalkan dua kumpulan manusia. Pertama yang beruntung kerana merebut kebaikan yang ada di dalamnya dan Kedua yang terus dalam kerugian yang tidak menghiraukan kedatangannya. Supaya kita termasuk di kalangan kumpulan yang memperoleh keuntungan dengan kehadiran Ramadan. Amin.

Friday, July 22, 2011

Doa Masuk Bulan Baru





Di dalam Musnad al-Darimi dan Sunan al-Tirmizi diriwayatkan, Nabi SAW apabila memasuki bulan baharu, termasuk bulan Ramadan, baginda akan membaca:



اللّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيْمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ




Mafhumnya: “Ya Allah terbitkanlah anak bulan yang baharu ini kepada kami dengan disertai keberkatan, tetap di dalam iman, selamat dari semua kemudharatan dan kejahatan dan tetap di dalam Islam, tuhanku dan tuhanmu (anak bulan) adalah Allah.” (Kata al-Tirmizi Hadis ini Hasan Gharib)





Di dalam Musnad al-Darimi diriwayatkan baginda juga membaca:



اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْأَمْنِ وَالْإِيْمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ وَالتَّوْفِيقِ لِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَى رَبُّنَا وَرَبُّكَ اللَّهُ




Mafhumnya: “Ya Allah yang Maha Besar, Ya Allah terbitkanlah anak bulan ini kepada kami dengan disertai keamanan, tetap di dalam iman, selamat dari semua kemudharatan dan kejahatan, tetap di dalam Islam dan mendapat taufiq berdasarkan apa yang Engkau kehendaki dan yang Engkau redhai. Tuhanku dan tuhanmu (anak bulan) adalah Allah.”(Riwayat Ibn Hibban di dalam Sahihnya dan juga dinilai Sahih Lighairih oleh al-Syeikh Syu'aib al-Arna’uth)

Tuesday, July 5, 2011

Hukum Air Liur Basi

Assalamualaikum,

Telah diketahui status air basi adalah najis, jadi soalan saya apakah harus kita setiap kali bangun perlu kita periksa di cermin samada air liur basi ada di sekeliling mulut kita atau tidak kerana kerana khuatir ia akan mencemarkan tempat2 yang lain jika kita tidak segera mencuci nya. Lagi apakah amalan orang tua2 yg menggalakkan minum air masak apabila bangkit sahaja daripada tidur dianggap sebagai menelan najis sekali jika terdapat air liur basi di mulut sebaik sahaja bangkit dari tidur.Terima kasih.

Jawapan:

Air Liur Basi yang keluar ketika seseorang tidur tidak dikira sebagai najis berdasarkan pandangan sebahagian ulama. Hal ini demikian kerana hukum asal bagi sesuatu yang keluar dari anak Adam adalah suci melainkan jika terdapat dalil yang menunjukkan sebaliknya, berdasarkan hadis Nabi SAW:


إن المؤمن لا ينجس

Mafhumnya: “Sesungguhnya seseorang mukmin itu tidak najis.” (Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya).

Oleh yang demikian air liur, peluh, tahi mata, hingus, kahak dan seumpamanya dikira suci, kerana inilah hukum asalnya.

Kerana itu di dalam kitab al-Raudh al-Murbi’ dari mazhab Hambali dinyatakan:

ومني الآدمي طاهر، ورطوبة فرج المرأة كالعرق والمخاط والبلغم -ولو أزرق- وما سال من الفم وقت النوم



Maksudnya: “Dan air mani manusia adalah suci, demikian juga lembapan faraj wanita, sama juga seperti peluh, hingus dan kahak –sekalipun menjadi warna biru – dan apa yang mengalir dari mulut (air liur basi) ketika tidur (semuanya adalah suci).”

al-Imam Abu Ishak Burhan al-Din bin Muhammad bin ‘Abdullah al-Hambali berkata di dalam al-Mubdi’ fi Syarh al-Muqni’:


وما سال من الفم وقت النوم طاهر في ظاهر كلامهم


Maksudnya: “Dan apa yang mengalir dari mulut sewaktu tidur adalah suci berdasarkan zahir perkataan mereka (beberapa ulama mazhab Hambali).”

Namun begitu terdapat beberapa ulama yang berpandangan cecair yang keluar dari perut adalah najis. Oleh yang demikian mereka berpandangan air liur basi yang keluar dari perut dihukumkan sebagai najis. Al-Imam al-Nawawi dari mazhab al-Syafie di dalam kitabnya yang masyhur al-Majmuk menyebut pandangan al-Syeikh Abu Muhammad al-Juwainiy di dalam kitabnya al-Tabsirah fi al-Waswasah menyebut:


ما يسيل من اللهوات فهو طاهر ومنه ما يسيل من المعدة فهو نجس بالاجماع وطريق التمييز منها ان يراعي عادته فان كان يسيل من فمه في أوائل نومه بلل وينقطع حتى إذا طال زمان النوم انقطع ذلك البلل وجفت شفته ونشفت الوسادة فالظاهر انه من الفم لا من المعدة وان طال زمان النوم وأحس مع ذلك بالبلل فالظاهر أنه من المعدة وإذا اشكل فلم يعرفه فالاحتياط غسله هذا كلام الشيخ أبي محمد

Maksudnya: “Apa yang keluar dari (dari mulut manusia) yang terdiri dari perkara-perkara yang keluar tanpa tujuan ia adalah suci, dan apa yang keluar dari perut ia adalah najis dengan ijmak. Jalan membezakannya (sama ada keluar dari mulut atau perut) iaitulah dengan meraikan kebiasaan, sekiranya cecair itu keluar dari mulut pada permulaan tidur kemudian berhenti, sekalipun tidur itu berterusan dalam tempoh yang lama dan cecair itu terhenti, sehingga kering bibir dan bantalnya, maka yang zahir ia menunjukkan air liur basi itu keluar dari mulut bukan dari perut. Sebaliknya jika panjang masa tidur dan disertai dengan rasa basah (air liur basi yang keluar), maka yang zahirnya ia keluar dari perut. Namun sekiranya menimbulkan kesamaran, maka sebagai langkah berhati-hati bolehlah membasuhnya, inilah perkataan al-Syeikh Abu Muhammad.”

Al-Imam al-Nawawi RH selepas menukilkan perkataan al-Syeikh Abu Muhammad ini, beliau menyebut:


وسألت انا عدولا من الاطباء فانكروا كونه من المعدة وانكروا على من أوجب غسله والمختار لا يجب غسله الا إذا عرف انه من المعدة ومتى شك فلا يجب غسله لكن يستحب احتياطا وحيث حكمنا بنجاسته وعمت بلوى انسان به وكثر في حقه فالظاهر أنه يعفى عنه في حقه ويلتحق بدم البراغيث وسلس البول والاستحاضة ونحوها مما عفى عنه للمشقة والله اعلم

Maksudnya: “Saya sendiri telah bertanya dengan beberapa doktor perubatan yang adil, maka mereka menafikan adanya air liur basi keluar dari perut, dan mereka juga menolak sesiapa yang mewajibkan membasuhnya (air liur basi), dan pandangan yang terpilih ialah tidak wajib membasuh air liur basi yang keluar melainkan jika telah dipastikan ia keluar dari perut, apabila ragu, maka tidak wajib membasuhnya, akan tetapi ia hanya sunat sebagai langkah berhati-hati, sekiranya jika kita hukumkan ia sebagai najis, tetapi ia ia termasuk di dalam perkara Umum al-Balwa (yang tersebar, kerap berlaku dan sukar dihindarkan), maka yang zahir ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan sepertimana darah serangga, Salis al-Baul, al-Istihadhah dan seumpamanya yang termasuk dalam perkara yang dimaafkan kerana akan menimbulkan kesukaran. Wallahu a’lam.”

wallahu a'lam.