Wednesday, June 22, 2011

Bernazar Tidak Mahu Melakukan Dosa

Assalamua’laikum Ustaz, saya ingin bertanya.




Bagaimana kedudukan nazar saya yang seperti ini. Ketika saya masih remaja,saya pernah bernazar (dengan berlafaz) yang seperti ini:





1) “sekiranya aku menonton video lucah lagi, aku bernazar untuk berpuasa ke atas diriku 5 hari bagi setiap kali menonton video lucah itu”.



2) “sekiranya aku melakukan onani lagi, aku bernazar untuk berpuasa 2 hari bagi setiap onani yang aku lakukan itu”.



Setelah tahun demi tahun berlalu, setelah dihitung-hitung ,saya tetap tidak dapat meninggalkan tabiat keji itu dan jumlah bilangan hari puasa yang wajib saya tunaikan telah berganda-ganda menjadi ratusan hari mungkin hampir 1000 hari. Saya fikir bilangan hari puasa yang saya nazarkan terlalu banyak untuk saya tunaikan. Bolehkan saya menggantikannya dengan membayar denda/kifarat walaupun saya mampu berpuasa ?



Adakah cara lain untuk saya tebus nazar itu selain dari berpuasa ?



Adakah nazar itu sah dan wajib keatas diri saya untuk berpuasa ?



*sangat mengharapkan jawapan dari ustaz





Jawapan:



Pertama:



Yang wajib ke atas anda ialah bertaubat dari dosa yang dilakukan, ulangi taubat anda sekalipun anda mengulangi melakukan dosa yang sama. Jangan sekali-kali anda berputus asa dari rahmat dan keampunan Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT mengetahui kesungguhan hambanya untuk kembali kepadaNya. Sesungguhnya Dia maha penerima taubat hambanya yang mengakui kesalahan diri dan bersedia memohon keampunan daripadaNya.



Kedua:



Nazar yang anda lakukan disebut oleh para ulama sebagai Nazar al-Lajaj (نَذْرُ اللَّجَاج) iaitulah nazar yang dilakukan dalam bentuk meletakkan syarat bertujuan menghalang dari melakukan perkara tersebut. Seperti seorang yang berkata: “Jika aku melakukan perkara itu, maka aku bernazar untuk berpuasa sebulan.” Nazar yang seumpama ini membawa maksud: Dia menghalang dirinya dari melakukan sesuatu perkara, dalam ertikata, apabila dia teringat terpaksa berpuasa selama sebulan, dia mengharapkan dia tidak melakukan perkara tersebut.



Nazar yang seperti ini, anda diberi pilihan samada hendak menunaikan nazar tersebut atau membayar kaffarah sumpah seperti yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 89:



Mafhumnya: Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, Maka kaffarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi Makan sepuluh orang miskin, Yaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, Maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).





Huraian Tentang Nazar al-Lajaj (نذر اللجاج)



Di dalam kitab al-Mubdi’ fi Syarh al-Muqni’ dinyatakan:



وهو ما يقصد به المنع من شيء أو الحمل عليه ، كقوله : إن كلمتك فلله علي الحج ، أو صوم سنة ، أو عتق عبدي ، أو الصدقة بمالي ، فهذا يمين يتخير بين فعله والتكفير



Mafhumnya: “Ia dimaksudkan menghalang dari sesuatu atau berazam melakukan sesuatu. Seperti seseorang yang berkata: Sekiranya aku berbicara dengan engkau, demi Allah aku perlu menunaikan haji atau berpuasa selama setahun, atau memerdekakan hamba, atau mensedekahkan hartaku. Lafaz sumpah (nazar) seumpama ini boleh dipilih samada hendak melaksanakannya atau menunaikan kafarah (sumpah).”



Ibn Hajar al-Haitami pula di dalam Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj menyebut tentang Nazar al-Lajaj iaitulah:



وهو أن يمنع نفسه أو غيرها من شيء أو يحث عليه أو يحقق خبرا غضبا بالتزام قربة



Mafhumnya: “Seseorang menghalang dirinya atau selainnya dari sesuatu atau (bertujuan) memberi galakkan melakukan sesuatu atau bertujuan mentahkikkan sesuatu perkhabaran secara marah dengan berjanji untuk melakukan sesuatu amalan mendekatkan diri kepada Allah.”



Contohnya seseorang yang berkata:



“Sekiranya saya berbicara dengan orang itu, atau sekiranya saya tidak berbicara dengan orang itu, atau sekiranya perkara tersebut tidak berlaku seperti yang saya nyatakan, maka ke atas saya mesti memerdekakan hamba atau berpuasa atau menunaikan haji.”



Al-Syeikh Musa bin Ahmad bin Musa al-Hijawi berkata:



نَذْرُ اللّجَاجِ وَالْغَضَبِ ، وَهو تَعْلِيقُ نَذرِهِ بِشَرْطٍ يَقْصِدُ الْمَنْعَ مِنْهُ ، أَوِ الْحَمْلَ عَلَيْهِ ، أَوِ التَّصْدِيقَ أَوِ التَّكْذِيبَ ، فَيُخَيَّرُ بَيْنَ فِعْلِهِ ، وكَفَّارَةِ يَمِينٍ



Mafhumnya: “Nazar al-Lajaj dan al-Ghadhab ialah Nazar bergantung dengan syarat, bertujuan menghalang sesuatu berlaku, atau menggalakkannya atau al-Tasdiq atau al-Takzib, maka boleh dipilih antara menunaikan nazar tersebut atau menunaikan kaffarah sumpah.”



Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata:



Perkataan penulis kitab: Nazar al-Lajaj atau Nazar al-Ghadhab iaitulah Nazar yang termasuk di dalam bab menyandarkan sesuatu kepada sebabnya. Iaitulah Nazar yang disebabkan adanya pertengkaran atau rasa marah atau yang seumpama dengannya. Disebabkan perkara-perkara ini seseorang itu bernazar. Apakah yang dimaksudkan dengan Nazar ini?



Ia bermaksud: Meletakkan syarat kepada nazarnya, bertujuan tidak melakukan sesuatu perkara tersebut. Seperti seseorang mengatakan: Jika saya melakukan perkara tersebut, maka ke atas saya ada nazar untuk berpuasa selama setahun. Tujuannya ialah menghalang dirinya dari melakukan perkara tersebut, kerana jika ia teringat ia perlu berpuasa selama setahun (berperanan) menghalang dia melakukan perkara tersebut.



Ungkapan: أو الحمل عليه iaitulah membawa dirnya melakukan perkara tersebut. Seperti contoh seseorang berkata: Jika aku tidak melakukan perkara tersebut, maka hamba yang ada pada ku akan dibebaskan, atau harta yang ada padaku akan diwakafkan, atau wang ku akan dihibahkan. Maksudnya iaitulah mendorong dirinya melakukan sesuatu perkara. Nazar seumpama ini dinamakan oleh para ulama sebagai Nazar al-Lajaj dan Nazar al-Ghadhab, sekalipun tiada padanya unsur pertengkaran dan kemarahan.



Nazar yang dimaksudkan dengan al-Tasdik, iaitlah seperti seseorang yang menceritakan sesuatu kepada kita, kemudian kita katakan kepadanya: “Perkara ini (yang anda katakan itu) tidak benar”. Lalu dia berkata: “Demi Allah, atas aku nazar, sekiranya apa yang aku katakan ini palsu, aku akan berpuasa selama setahun.” Persoalannya: mengapa orang ini bernazar? Iaitulah untuk membenarkan ceritanya.



Nazar yang dimaksudkan dengan al-Takzib pula ialah berlawanan dari al-Tasdik. Seperti seseorang menceritakan sesuatu kepada kawannya. Kemudian kawannya berkata: “Kamu berbohong, jika apa yang kamu katakan ini adalah benar, maka hambaku menjadi bebas (merdeka).” Iaitulah kawannya menegaskan yang dia tidak mempercayai cerita tersebut.



Sesiapa yang melakukan Nazar ini diberi pilihan samada hendak menunaikan nazarnya ataupun membayar kaffarah sumpah. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:



لا نذر في غضب ، وكفارته كفارة يمين



Mafhumnya: “Tidak dikira Nazar ketika marah, dan kaffarahnya adalah kaffarah sumpah.” (Hadis riwayat al-Nasa’ie. Dinilai Lemah oleh al-Albani)



Dari sudut sebab para ulama menyatakan sesungguhnya Nazar seumpama ini membawa maksud sumpah, kerana orang yang melakukannya bukan bermaksudkan hendak melakukan Nazar tersebut, sebaliknya ia bertujuan menghalang dari melakukan sesuatu atau sebab-sebab lain seperti yang dijelaskan di atas.



Oleh kerana itu, Nazar seumpama ini dikira sebagai hukum sumpah. Jika ditanya manakah lebih utama untuk dilakukan samada menunaikan Nazarnya atau melaksanakan kaffarah sumpah?



Kami (Ibn al-‘Uthaimin RH) menyatakan: “Telah dijelaskan tentang persoalan ini, ia berdasarkan apa yang dijanjikan untuk dilakukan, sekiranya seseorang itu berjanji melakukan perkara yang baik di dalam nazarnya, maka lebih utama untuk dia menunaikan nazarnya itu, akan tetapi kita tidak mahu menjadikan dia rasa mesti melakukannya, maka kita jawab kepadanya: anda diberi pilihan dalam nazar seumpama ini, antara menunaikan nazar atau melaksanakan kaffarah sumpah. – nukilan dan sedikit ubai suai dari al-Syarh al-Mumti’ ‘Ala Zad al-Mustaqni’. Jilid 15, hal: 211-213)



Wallahu a’lam.

7 comments:

tt said...

adakah puasa 3 hari perlu berturut-turut?

bin sahak said...

Sunat dilakukan secara berturutan

zamrie87 said...

Mcm mne niat puasa 3 hari itu ustaz?

Unknown said...

Assalamualaikum ustaz. Saya ada bernazar apabila banjir berhenti dan cepat surut saya akan berhenti lihat video lucah dan onani. Tetapi sy tidak dapat berhenti. Macam mana dengan nazar sy itu ustaz??? adakah perlu diganti dengan a) Beri makan makanan yang biasa dimakan kepada 10 orang miskin.

b) Beri pakaian.

c) Memerdekakan seorang hamba.

d) Sekiranya tidak mampu menjalankan ketiga-tiga perkara yang disebutkan di atas, hendaklah berpuasa selama tiga hari.

Unknown said...

Apakah kafaratnya dibayar sekali saja atau sebanyak jumlah yang dilanggar (seperti 1000 kali yang ditanyakan)?

Unknown said...

Ya

Cikme said...

Assalamualaikum..kalau saya bernazar macam ni..contoh aku bernazar untuk tidak self-harm sekiranya aq memperoleh 'sesuatu' itu..and sesuatu tu saya dpt tpi saya xingt apa(rasanya kejayaan dlm pelajaran tpi yg pasti bkn perkara yg mungkar)..tpi nowadays perasaan tu datang balik..adakah berdosa sekiranya saya melanggar nazar tu dan adakah saya perlu membayar kafarat?..kalau perlu apa kafaratnya?