Soalan:
Apa hukum sembahyang sunat sebelum musafir?
Jawapan:
Terdapat sebahagian ulama yang berpendapat sunat menunaikan solat sunat sebelum bermusafir. Sebahagian mereka berdalilkan dengan hadith di bawah:
حَدَّثَنَا عِيسَى بْنُ يُونُسَ عَنْ الْأَوْزَاعِيِّ عَنْ الْمُطْعِمِ بْنِ مِقْدَامٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا خَلَفَ عَبْدٌ عَلَى أَهْلِهِ أَفْضَلَ مِنْ رَكْعَتَيْنِ يَرْكَعُهُمَا عِنْدَهُمْ حِينَ يُرِيْدُ سَفَرًا
Maksudnya: "Menceritakan kepada kami 'Isa bin Yunus, daripada al-Auza'ie, daripada al-Mut'im bin Miqdam katanya, telah bersabda Rasulullah S.A.W.: "Tidak ada yang lebih afdhal ditinggalkan oleh seseorang untuk keluarganya berbanding 2 rakaat yang ditunaikannya di sisi mereka ketika dia hendak keluar untuk bermusafir."
Namun hadith ini telah dihukumkan sebagai LEMAH (ضعيف) oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Dhaiefah.
Walaupun begitu, terdapat hadith lain yang secara umum menggalakkannya iaitulah:
إذا دخلت منزلك فصل ركعتين تمنعانك مدخل السوء وإذا خرجت من منزلك فصل ركعتين تمنعانك مخرج السوء
Maksudnya: "Apabila kamu masuk ke dalam rumah-mu, maka tunaikanlah solat 2 rakaat, ianya menghalang kamu dari kemasukan sesuatu keburukan, dan demikian juga jika kamu keluar daripada rumah-mu, solatlah 2 rakaat, ianya menghalang kamu dari kemasukan sesuatu keburukan."
Hadith ini dinilai para perawinya sebagai thiqah di dalam Majma' al-Zawa-id, dan dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami'
wallahu a'lam.
0 comments:
Post a Comment