Tuesday, September 8, 2009

BOLEH berwudhu dengan air laut



Soalan:


salam ustaz. mohon ustaz berikan panduan solat ketika berada di lautan @ di atas bot. sah kah mengambil wuduk menggunakan air laut? perlukah di usahakan utk mengadap kiblat @ perlu mengadap kiblat ketika mengangkat takbir? shukran ustaz.

Jawapan:


YA sah mengambil wudhu menggunakan air laut. Pernah satu ketika soalan ini ditanya kepada Nabi S.A.W:


إنا نركب البحر ، ونحمل معنا القليل من الماء ، فإن توضأنا به عطشنا ، أفنتوضأ من ماء البحر


Maksudnya: "Kadang-kala kami berlayar di lautan, ketika itu kami membawa sedikit sahaja air (air tawar), jika kami berwudhu dengan air yang kami bawa sudah tentu kami akan kehausan, apakah boleh kami berwudhu dengan air laut."

Oleh kerana itu para ulama memasukkan air laut ke dalam kumpulan air mutlak yang boleh digunakan untuk bersuci termasuk berwudhu.

Keharusan Solat Sunat di atas Kenderaan Ketika Bermusafir Samaada Jauh Atau Dekat


Dibolehkan solat sunat di dalam kenderaan samaada kereta, kapal laut atau kapal terbang yang sedang bergerak atau kenderaan lainnya tanpa ada perbezaan pendapat di kalangan para fuqaha. Al-Imam al-Nawawi berkata:

Maksudnya: “Menunaikan solat sunat di atas tunggangan (kenderaan) ketika bermusafir yang boleh diqasarkan solat adalah harus dengan kesepakatan (ulama) umat Islam…”

Para ulama berbeza pendapat akan keharusan solat sunat di atas kenderaan bagi jarak perjalanan yang tidak boleh diqasarkan solat. Pandangan yang lebih tepat ialah yang menharuskannya, dan inilah pandangan jumhur (kebanyakan) ulama, berdasarkan firman Allah S.W.T.:


وَلله الـْمَشْرِقُ وَالـْمَغْرِبُ فَأَيْنَمَا تُوَلُّواْ فَثَمَّ وَجْهُ الله إِنَّ الله وَاسِعٌ عَلِيمٌ


Maksudnya: “Dan kepunyaan Allah timur dan barat, maka kemana sahaja kamu menghadap, di situlah wajah Allah, sesungguhnya Allah maha luas rahmatNya lagi maha mengetahui.”

Cara menunaikan solat sunat di atas kenderaan ini ialah dengan melakukan isyarat dan menjadikan sujud lebih rendah daripada rukuk. Abdullah bin Umar R.A. berkata:


كَانَ النَّبِيُّ  يُصَلِّيْ فِيْ السَّفَرِ عَلى رَاحِلَتِهِ حَيْثُ تَوَجَّهَتْ بِهِ، يُوْمِئُ إيْمَاءً صَلَاةَ الْلَيْلِ إلَّا الفَرَائِضَ، وَيُوْتِرُ عَلى رَاحِلَتِهِ


Maksudnya: “Adalah Nabi S.A.W. menunaikan solat (sunat) malam ketika bermusafir di atas tunggangan baginda, kemana sahaja tunggangannya menghadap, baginda melakukan isyarat (dengan kepala baginda), melainkan solat fardhu , baginda juga menunaikan solat witr di atas tunggangan baginda.”


‏أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏كَانَ ‏ ‏يُصَلِّي ‏ ‏سُبْحَتَهُ ‏ ‏حَيْثُمَا تَوَجَّهَتْ بِهِ نَاقَتُهُ


Maksudnya: “Adalah Rasulullah S.A.W. menunaikan solat sunat baginda (di atas tunggangan baginda) kemana sahaja tunggangan baginda menghadap.”

Solat sunat di atas kenderaan ini tidak diwajibkan untuk menghadap kiblat seperti petunjuk yang terkandung di dalam dua hadith di atas, demikian juga Abdullah bin ‘Umar R.A. ketika menafsirkan ayat al-Quran:


فَأَيْنَمَا تُوَلُّوْا فَثَمَّ وَجْهُ اللهِ


Maksudnya: “…maka kemana sahaja kamu menghadap, di situlah wajah Allah.”

Kata Abdullah bin ‘Umar:


إنَّهَا نُزِلَتْ فِيْ صَلَاةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيْ سَفَرِهِ عَلى الرَّاحِلَةِ


Maksudnya: “Sesungguhnya ayat ini diturunkan berkenaan sembahyang Nabi SAW dalam perjalanan baginda di atas tunggangan (kenderaan).”

Disunatkan (bukan wajib) menghadap ke arah kiblat ketika takbiratul ihram, inilah pandangan kebanyakan ulama termasuk Abu Hanifah, Malik dan al-Syafie. Manakala pandangan yang lebih benar di kalangan ulama mazhab al-Syafie ialah seperti yang dinyatakan oleh al-Nawawi di dalam al-Majmu’ iaitulah wajib menghadap kiblat pada takbiratul ihram jika mudah untuk melakukannya dan tidak wajib jika ada kesukaran.




0 comments: