Monday, October 20, 2008

Salah faham terhadap al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz,
Seorang teman blogger memberitahu tdapat ayat2 dlm Al-Quran yg blh diguna utk memudahkan kita melupakan/membenci seseorang (khususnya diapplikasi oleh golongan yg bcerai/bpisah). Benarkah ? Jika ya, apakah ayat tersebut dan bagaimana amalannya?
Jazakallah KK

Jawapan:

Al-Quran adalah kitab hidayah (petunjuk) dan rahmat, menyelesaikan permasaalahan umat, menyeru kepada persaudaraan dan kasih-sayang. Allah SWT berfirman:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah-belah, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (semasa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menyatukan hati-hati kamu, lalu menjadikan kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara.” (ali Imran: 103)

Yang menyeru kepada kebencian, permusuhan dan perbalahan adalah perbuatan Syaitan yang dilaknat. Allah berfirman di dalam al-Quran:

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ

Maksudnya: “Hanyasanya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian diantara kamu lantaran meminum arak dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang, maka berhentilah (kamu semua dari mengerjakannya).” (al-Maidah:91)

Bagaimana kawan saudara tergamak menisbah perkara yang sehodoh itu kepada al-Quran yang merupakan kalam Allah SWT. Ini adalah satu kesalahan yang besar. Wajib ke atas dia bertaubat dari salah fahamnya yang teramat keji dan hina itu.

Dia telah terpedaya dengan tipu daya syaitan. Ini kerana dia jahil dan dia pula tidak mahu berusaha untuk menghilangkan kejahilannya. Nasihatkan kawan saudara supaya dia rajin-rajinkan dirinya menuntut ilmu-ilmu agama yang merupakan kewajipan ke atas dirinya, sehingga dia reti untuk membezakan antara perkara yang benar dan yang batil, Sesungguhnya dia dan kita, semuanya akan ditanya diakhirat kelak,

***Bagi yang mengalami masalah rumah tangga umapamanya, sehingga ke peringkat penceraian. Nabi SAW mengajarkan supaya setiap orang meminta pertunjuk daripada Allah dengan menunaikan solat Istikharah dan membaca doa yang diajarkan oleh Nabi SAW, yang mana di dalam doa tersebut ada permintaan yang maksudnya lebih kurang:

"Ya Allah, sekiranya perkara ini buruk untuk aku, agama ku dan kehidupanku, maka jauhilah ia daripadaku dan jauhkanlah aku darinya..."

Sila rujuk soal-jawab untuk solat istikharah.

wallahu a'lam.
binsahak

0 comments: