Wednesday, October 15, 2008

Golongan yang layak menerima zakat


Soalan:

Assalamualaikum ustaz, persoalan saya, seseorang telah memberi zakat kepasa saya dan saya terima zakat tersebut, layakkah saya terima zakat tersebut, jika tidak layak bagaimana caranya.

Jawapan:

Allah SWT telah menjelaskan golongan yang layak menerima zakat seperti firmanNYA di dalam al-Quran, surah al-Taubah ayat 60:

Maksudnya: “Hanyasanya al-Sodaqaat (zakat) ituadalah untuk orang-orang yang fakir, miskin, amil-amil yang menguruskannya, muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan diri, orang-orang yang berhutang, untuk sabilillah, iaitu sebagai satu ketetapan daripada Allah. Dan ingatlah Allah maha mengetahui, lagi maha bijaksana.”

Penjelasan ringkas setiap golongan di atas:

1. Fakir: orang yang tidak ada harta yang cukup untuk memenuhi keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Seperti orang yang memerlukan sepuluh ringgit tetapi dia hanya memiliki 3 ringgit sahaja.

2. Miskin: Orang yang hanya memiliki sesuatu untuk keperluan dirinya akan tetapi ianya tidak mencukupi, seperti seorang yang memerlukan 10 ringgit tetapi dia hanya memiliki 8 ringgit sahaja.

3. Amil-Amil yang menguruskannya: iaitulah pegawai-pegawai yang membantu pemerintah mengutip dan mengagihkan zakat.

4. Muallaf yang dijinakkan hatinya: Mereka orang yang baharu memeluk islam yang dijangka dengan memberikan zakat kepada mereka akan menguatkan lagi islam mereka.

5. Hamba-hamba yang hendak memerdekakan diri: iaitu hamba mukatab (المكاتب) yang telah berakad dengan tuan yang memeliki mereka untuk membayar secara ansuran. Dia menjadi merdeka apabila selesai melangsaikan bayaran tersebut. Maka zakat diberi kepada golongan hamba ini apabila mereka tidak mampu menjelaskan ansuran tersebut.

6. Orang-orang yang berhutang: Akan dijelaskan pada jawapan berikutnya.

7. Orang-orang yang berada pada fisabilillah: Akan dijelaskan pada jawapan berikutnya.

8. Ibnu Sabil: Orang yang terputus bekalan dalam musafir yang diharuskan. Inilah 8 golongan yang berhak menerima zakat. Jika saudara termasuk di dalam salah satu golongan di atas maka saudara layak menerima zakat, jika tidak serahkanlah zakat tersebut kepada golongan yang layak. (Sila rujuk al-Fiqh al-Manhaji. Jld 1, ms 320-322)

Wallahu a’lam.
binsahak

3 comments:

JVB said...

Assalamualaikum.. Ustaz, adakah golongan yang layak menerima zakat orang Islam sahaja? Dari Surah / ayat tersebut tidal menyebut tenting agama Islam sebagai penerima..

Azee said...

1. Fakir: orang yang tidak ada harta yang cukup untuk memenuhi keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Seperti orang yang memerlukan sepuluh ringgit tetapi dia hanya memiliki 3 ringgit sahaja.

2. Miskin: Orang yang hanya memiliki sesuatu untuk keperluan dirinya akan tetapi ianya tidak mencukupi, seperti seorang yang memerlukan 10 ringgit tetapi dia hanya memiliki 8 ringgit sahaja.

Soalan saya kepada yg dua di atas: Jikalau seseorang itu tinggal dlm kediaman orang lain, adakah dia termasuk golongan ini? Walaupun dia tidak cacat atau sakit tetapi duduk tanpa bersumbang apa-apa ke atas tuan rumah?



6. Orang-orang yang berhutang: Akan dijelaskan pada jawapan berikutnya.

Apakah jawapan yg lagi lanjut?

7. Orang-orang yang berada pada fisabilillah: Akan dijelaskan pada jawapan berikutnya.

Siapakah yg berada di fisabilillah?

Syed Mohd Saifullah Wan Ahmad said...

Assalamualaikum... Ustaz, betul ke golongan berbangsa syed tidak boleh menerima wang zakat? saya baru pertama kali mendengar salah seorang ustaz d ipta saya mnyatakan sedemikian.. Sebelum ini saya dah 2 kali memohon bantuan wang zakat dari baitulmal, dan pemohonan tersebut d lulus.. Mohon penjelasan dari ustaz apa sebab golongan syed x layak menerima wang zakat, walaupun seseorg tersebut berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan?