Monday, August 18, 2008

Solat Bagi Orang Yang Tidak Berwudhu dan Bertayammum Disebabkan Keuzuran


Penulis kitab Zaad al-Mustaqni’ berkata: “Atau ketiadaan air dan tanah, hendaklah dia solat dan tidak perlu mengulangi solat tersebut.”

Syarah dari al-Syeikh Dr. Muhammad Mukhtar al-Syanqiti:
Penterjemah: bin sahak


Sebahagian ulama berkata: (Dalam keadaan di atas) hendaklah dia solat dan mengulangi solatnya, sebahagian yang lain berkata: dia tidak perlu solat dan tidak perlu ulangi solatnya, sebahagian yang lain pula berkata: Dia solat dan tidak perlu ulangi solatnya, sebahagian yang lain berkata: Dia qadhakan solatnya dan tidak perlu solat (ketika itu).


Persoalan ini dinamakan sebagai “Masalah Faqid al-Tohurain مسألة فاقد الطهورين- orang yang kehilangan dua cara bersuci”.


Sebagai contoh: seorang yang dikurung di dalam satu bilik dan kedua-dua tangan dan kakinya diikat, dia tidak mampu untuk berwudhu dan bertayammum. Persoalan ini dinamakan masaalah orang yang hilang dua cara bersuci, samaada secara hakikat seperti seseorang berada ditempat yang tidak ada air dan tanah, contohnya di dalam kapal terbang dan tidak ada di dalamnya apa-apa yang boleh dibuat tayammum iaitu tidak ada sesuatu dari jenis permukaan bumi, sedangkan waktu solat semangkin sempit, dimana jika dia menunggu hingga kapal terbang mendarat, waktu solat akan habis.

Maka pendapat yang pertama: Dia tidak perlu solat, sebaliknya dia perlu menunggu sehingga memperolehi air atau memungkinkan dia menggunakan air dan dia ulangi solat yang tidak dikerjakannya itu. Ini kerana solat mestilah dilakukan dalam keadaan berwudhu atau bertayammum, inilah dalil mereka, mereka berkata: Dia tidak perlu solat, sebaliknya perlu ulangi waktu yang dia tinggalkan itu sahaja. Walaupun keadaan itu berterusan sehingga beberapa hari atau beberapa minggu atau beberapa bulan, kerana Allah mengarahkan solat dalam samaada keadaan berwudhu atau mandi atau bertayammum, sebaliknya dia tidak boleh berwudhu, tidak mandi dan tidak tayammum, maka orang sebegini tidak sah untuk dia solat dan tidak boleh diminta menunaikan solat di dalam waktunya kerana dia (ketika itu) bukan orang yang dituntut (mukallaf) menunaikan solat, lalau dilewatkan hukum (kewajian solat) ke atasnya sehingga dia mampu menggunakan (air atau tayammum) atau sehingga ada (air atau tanah utk bersuci). Inilah pendapat yang pertama, iaitu dia tidak perlu solat dan hanya perlu ulang.

Pendapat yang kedua: Dia hendaklah solat (ketika itu) dan tidak perlu mengulangi solatnya. Ulama yang berpendapat sebegini melihat kepada keumuman syariat dan keringanannya, contohnya firman Allah swt:


(maksudnya): “Maka bertakwalah kepada Allah dengan kadar kemampuan kamu.” (al-Taghabun:16), “Allah tidak membebankan seseorang melainkan sekadar kemampuannya.” (al-Baqarah:286), dan firman Allah: “Allah tidak menghendaki untuk menjadikan ke atas kamu kesusahan.” (al-Maidah:6), para ulama ini berkata: Orang yang tidak boleh berwudhu dan bertayammum, tetapi waktu solat sudah masuk, ini bermakna sasaran suruhan telah diarahkan kepadanya dengan kesepakatan, dia dituntut menunaikan solat, bukan wudhu, mandi dan bukan juga tayammum, sebaliknya kemampuan dia menunaikan solat. Golongan ulama ini membahagi-bahagikan perkara yang disuruh. (Maka orang yang berada dalam permasaalahan di atas) dia tidak mendapati bahan untuk bersuci, akan tetapi dia berkemampuan menunaikan solat, maka kita suruh dia menunaikan solat, kerana dia sebahagian dari perkara yang diarahkan (oleh Allah). Disamping ada kemampuannya menunaikan solat dan gugur daripadanya kewajipan berwudhu, mandi atau tayammum disebabkan tidak mampu berwudhu, mandi atau bertayammum. Ini pendapat yang kedua.

Pendapat yang pertama: orang sebegini tidak perlu solat, dia hanya perlu ulangi solat/qadha, dan pendapat yang kedua sebaliknya, dia solat dan tidak perlu ulangi solat. Pendapat yang ketiga pula: Dia tidak perlu solat dan tidak perlu ulanginya. Ini bermakna solat telah gugur daripadanya. Ini kerana solat berdasarkan dalil-dalil syara’ tidak dibenarkan melainkan dalam keadaan suci, [(al-Hadith): "Allah tidak akan menerima solat seseorang daripada kamu, apabila dia berhadath sehinggalah dia berwudhu.”], orang yang tidak boleh bersuci bukanlah seorang yang berwudhu, tidak juga dihukum berwudhu, maka dia tidak dituntut menunaikan solat, kemudian gugur juga kewajipan mengulangi solat itu, ini kerana ulangi solat, syaratnya dia termasuk mukallaf menunaikan solat (perkara yang asal), apabila datang waktu solat (perkara yang asal) dan ketika itu dia bukan mukallaf menunaikan solat, maka gugur juga kewajipan mengulanginya.

Pendapat yang ketiga: dia tidak perlu solat dan tidak perlu ulanginya.

Pendapat yang keempat: Dia perlu solat dan perlu ulangi solat tersebut. Pendapat ini bertentangan dengan pendapat yang ketiga.

Pendapat yang keempat yang mengatakan wajib solat kerana dia mampu menunaikan solat, hanyasanya gugur darinya bersuci kerana ketidakmampuan melakukannya, tetapi kekal kewajipan menunaikan solat dan dia dituntut melakukannya, dan dia dituntut untuk mengulangi solat itu kerana apabila dia mendapati air maka gugurlah keringanan ke atasnya dan wajib pula dia mengulanginya.

Dan pandangan yang lebih kuat ialah dia perlu solat ketika itu (ketika ketiadaan air dan tanah) dan tidak perlu langinya, berdasarkan hadith yang thabit di dalam al-Bukhari ketikamana Rasulullah saw keluar ke salah satu peperangan yang disertai baginda - dikatakan peperangan itu adalah peperangan al-Maraisi’ (ÇáãÑíÓíÚ) - lalu baginda berhenti di Zaat al-Jaish (Ã?ÇÊ ÇáÌíÔ) - selepas al-Baidha’ yang berada selepas Miqat Dzi al-Hulaifah ( Ã?í ÇáÃ?áíÃ?É ) dari arah Makkah - ‘Aisyah telah kehilangan rantainya, lalu baginda meminta sebahagian sahabat mencarinya, dalam keadaan mereka ketiadaan air.

Peristiwa ini berlaku sebelum disyariatkan tayammum. kemudian masuk waktu solat, lalu mereka solat dalam keadaan begitu. Kemudian mereka mendatangi Nabi saw selepas habis waktu solat tersebut, dan baginda tidak mengarahkan mereka mengulanginya dan baginda membenarkan perbuatan mereka.

Bentuk pendalilan dari hadith ini, mereka tidak boleh berwudhu dan bertayammum - kerana tayammum belum di syariatkan ketika itu - maka pengakuan Nabi saw terhadap solat mereka tanpa bersuci dan baginda tidak mengarahkan mengulanginya selepas keluar waktu, menunjukkan sesiapa yang tidak boleh berwudhu dan tayammum tidak diwajibkan mengulangi solat sebaliknya dia hanya perlu solat pada waktunya.

Berdasarkan ini, kalaulah seseorang diikat atau digari atau tangannya terputus, dia tidak boleh bertayammum dan wudhu, maka dia tidak perlu berwudhu, dia hendaklah solat dalam keadaannya itu, dan dia tidak perlu mengulangi solatnya itu.

wallahu a'lam.

0 comments: