Wednesday, April 2, 2008

Kelebihan Hari ‘Asyura

Tidak ada sebarang amalan yang memiliki kelebihan untuk dilakukan pada hari ‘Asyura MELAINKAN PUASA seperti yang thabit di dalam beberapa hadith Nabi saw, antaranya satu hadith dari Abi Qatadah r.a. yang menceritakan seorang lelaki bertanya kepada Nabi saw tentang (kelebihan) puasa ‘Asyura. Nabi saw menjawab:

أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله

Maksudnya: “Aku mengharapkan Allah mengampunkan dosa setahun sebelumnya.” (HR Muslim)

Para ulama umat Islam telah bersepakat menyatakan puasa ‘Asyura ini termasuk di dalam sunah yang thabit dari Nabi saw. Disunatkan bagi setiap muslim melaksanakannya, Ia adalah hari yang kesepuluh Muharram.

Adapun cara mununaikannya, al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyatakan: “Susunan (kelebihan) puasanya ada tiga, yang paling sempurna ialah puasa (dimulakan) sehari sebelumnya dan sehari selepasnya, berikutnya (boleh juga) puasa pada hari kesempilan (Tasu’aa) dan kesepuluh (’Asyura), terdapat banyak hadith dalam perkara ini, berikutnya pula (boleh juga) puasa pada sepuluh Muharram sahaja.” (Zaad al-Ma’ad. 2/76)

Adakah Kelebihan-kelebihan yang lain ?

Tidak ada kelebihan lain pada hari ‘Asyura melainkan puasa sahaja. Jika ada kelebihan-kelebihan lain ia datang dari sumber yang tidak sahih dari Nabi saw. Sebagai contoh satu riwayat yang dikatakan hadith:

من وسع على أهله يوم عاشوراء وسع الله عليه سائر سنته

Maksudnya: “Sesiapa yang meluaskan keluarganya pada hari ‘Asyura, Allah akan meluaskan untuknya sepanjang tahun.”

Hadith ini adalah diriwayatkan dalam beberapa bentuk, namun satupun daripadanya tidak sahih seperti yang telah dijelaskan oleh al-Hafidz Ibn Rajab al-Hanbali di dalam Latoif al-Ma’arif (113).

al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani berkata: “Demikian itulah kesemua jalan-jalan hadith ini, berlegar dengan periwayat-periwayat yang Mungkar dan Majhul, barangkali juga mereka dari kalangan orang-orang yang memusuhi Hussain r.a. yang memalsukan hadith kelebihan memberi makan, memakai celak dan selainnya pada hari ‘Asyura sebagai bertentangan dengan Syi’ah yang menjadikan hari ini hari kesedihan terhadap Hussain r.a. yang telah dibunuh pada hari tersebut.” (Tamam al-Minnah : 411-412)

Perkara yang sama juga terhadap kelebihan menghidupkan malam ‘Asyura atau solat sunat 4 rakaat padanya, ziarah kubur pada hari ‘Asyura dan sebagainya yang bersumberkan hadith tidak sahih. Sebahagian orang ada juga yang mendakwa pada hari ‘Asyura inilah berlakunya taubat Nabi Adam, berlabuhnya perahu Nabi Nuh atas bukit al-Juudi, kembalinya Nabi Yusuf kepada Nabi Yaakub, selamatnya Nabi Ibrahin daripada api dan sebagainya, semua ini diriwayatkan daripada hadith-hadith yang palsu. (Sila lihat al-Fatawa al-Kubra. 2/248-249)-(melalui perantaraan laman islamonline.net)

0 comments: