Tuesday, March 25, 2008

Hukum Memakai Emas Putih Bagi Lelaki


Soalan:

assalamualaikum.. 1) apakah hukum memakai emas putih bagi lelaki?? setahu saya, dr maza kata harus sbb sifat tp ust zaharuddin kata haram sbb kandungan (zat)(kalau tak silap dlm soal jawab majalah i).. bagaiman pandangan ahli paneL??


Jawapan:

Emas yang diharamkan kepada lelaki untuk perhiasan itu ialah emas yang berwarna kuning seperti yang diketahui. Disamping pada asalnya emas tidak ada yang bewarna putih.

Apakah emas putih?

Di dalam laman islam-qa menyatakan emas putih boleh dinamakan kepada beberapa jenis logam:

1. Dimaksudkan kepada logam platinium. Jika emas putih yang dimaksudkan ialah platinum, maka memakainya adalah harus bagi lelaki, kerana tidak ada dalil yang mengharamkannya. Penjenamaannya kepada emas tidak mengharamkannya, kerana ia bukanlah emas pada hakikatnya.
2. Dimaksudkan kepada emas kuning yang dicelup dengan platinum. Maka jenis ini hukumnya haram bagi orang lelaki memakainya.
3. Dimaksudkan kepada emas kuning yang ditempa bersama campuran logam lain seperti platinum atau seumpamanya dalam jumlah yang tertentu bergantung kepada standart yang dikehendaki.

Sebagai contoh untuk menghasilkan emas 21 karat, dicampurkan 875g emas 24 karat dengan 125g perak dan tembaga. Jika diganti perak dan tembaga tersebut kepada platinum dalam berat yang sama 125g, ia akan menghasilkan EMAS PUTIH 21 karat. Jika dicampur dengan platinum sebanyak 250g, ia akan menghasilkan pula emas putih 18 karat.

Kenapa Jawapan Dr. Mohd Asri dan Ustaz Zaharuddin berbeza ?

Jika benar seperti yang didakwa, maka jawapan Dr. Asri itu dimaksudkan kepada logam platinum tanpa campuran emas. Ini kerana saya sendiri pernah mendengar dari beliau dalam salah satu sesi soal-jawab dalam kuliah beliau tentang hukum memakai emas putih, lalu beliau menjawab halal bagi lelaki kerana emas putih itu ialah platinum bukan emas kuning yang diharamkan kepada lelaki.

Manakala tentang jawapan Ustaz Zaharuddin pula, maka sudah tentu emas putih yang dimaksudkan oleh Ustaz Zaharuddin ialah emas kuning yang dicampurkan dengan logam lain sehingga menghasilkan warna putih.

Maka dalam keadaan seperti ini, emas kuning yang dicampur itu tetap tidak terlepas dari hukum haram bagi orang lelaki memakainya. Ini kerana pada hakikatnya emas putih tersebut ialah emask kuning, cumanya ia dicampur dengan logam lain sehingga bertukar warnanya. Jenis inilah yang kebanyakannya dijual dipasaran atas nama emas putih.


wallahu a'lam.

0 comments: