Tuesday, June 10, 2008

Kenali Perjudian


Semua umat Islam telah bersepakat dengan HARAMnya judi, ia kerana judi merupakan tindakan mengambil harta orag lain dengan cara yang batil. Allah S.W.T. berfirman:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ * إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاء فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللّهِ وَعَنِ الصَّلاَةِ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya khamar, judi, berhala dan bertenun nasib adalah perbuatan keji dari perbuatan syaitan, maka hendaklah kamu semua menjauhinya, mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan. Sesesungguhnya Syaitan itu mahu mewujudkan permusuhan dan kebencian diantara kamu disebabkan khamar dan judi dan menghalangi kamu semua dari mengingati Allah dan solat, maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekarjaan itu).” (al-Maidah: 90-91)

Sebab diturunkan ayat ini seperti yang diriwayatkan oleh al-Tobari (الطبري) di dalam Jami’ al-Bayan (2/369) daripada Ibn ‘Abbas R.A. katanya:

كان الرجل في الجاهلية يخاطر الرجلَ على أهله وماله ، فأيهما قمر صاحبه ذهب بماله وأهله ، فنزلت الآية
Maksudnya: “Orang lelaki semasa jahiliyyah, saling mempertaruhkan keluarga dan harta mereka, sesiapa dikalangan mereka yang menang, dia mengambil harta rakan sepertaruhanya. Maka turunlah ayat tersebut”

Berdasarkan ini, para ulama telah meletakkan kaedah yang masyhur bagi mengenali perjudian, iaitulah:

هُوَ الذِيْ لَا يَخْلُو الدَاخِلُ فِيْهِ مِنْ أنْ يَكُوْنَ غَانِماً إنْ رَبِحَ ، أوْ غَارِماً إن خَسِرَ

Maksudnya: “(judi itu) apabila orang yang terlibat dengannya samaada menjadi orang yang menerima faedah apabila dia menang ataupun menerima kerugian jika dia kalah.”

Maka apabila seseorang mengeluarkan sejumlah wang, tidak kira samaada sedikit mahupun banyak, dimana wang tersebut mengambil tempat barang yang dipertaruhkan, dan orang yang menyertainya samaada menerima keuntungan jika dia menang atau menerima kerugian (hilang wang yang dipertaruhkan samaada banyak mahupun sedikit) jika dia kalah. Maka itulah perjudian. Barangkali ia dinamakan dengan berbagai nama namun hakikatnya ia adalah sama.

Wallahu a’lam.

0 comments: