Monday, December 21, 2009

Risalah Bulan Muharram



Oleh: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak
kadiry2k@gmail.com

Risalah Bulan Muharram

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Nabi saw bersabda, mMaksudnya: "Seutama-utama puasa selepas Ramadhan adalah puasa dalam bulan Allah al-Muharram, dan seutama-utama solat selepas solat yang wajib ialah solat malam."
Di dalam hadith di atas, Nabi saw menyebut bulan Muharram sebagai bulan Allah bagi menandakan kemuliaan dan kelebihannya. Ini kerana Allah dan Rasul tidak menyandarkan sesuatu kepada Allah melainkan sebagai tanda kelebihan dan kemuliannya berbanding yang lain sebagaimana dinamakan Baitullah yang merujuk kepada Kaabah.

Hadith ini secara jelas menunjukkan kelebihan bulan Muharam termasuk kelebihan puasa di dalamnya menduduki tempat yang kedua selepas kelebihan puasa dalam bulan Ramadhan. Kelebihan ini difahami dari sudut kelebihan bulan Muharram untuk dilakukan puasa sunat di dalamnya berbanding bulan-bulan yang lain selepas Ramadhan. Adapun kelebihan berpuasa dari sudut hari-hari tertentu, terdapat beberapa hari yang lebih utama berpuasa di dalamnya berbanding hari-hari dalam bulan Muharram, iaitulah seperti puasa pada hari 'Arafah dan puasa enam hari dalam bulan Syawal. Kedua-dua hari ini lebih utama berpuasa berbanding hari-hari dalam bulan Muharram.

Bulan Muharram juga merupakan salah satu bulan yang dimuliakan (haram) di dalam Islam. Perkara ini seperti yang disebut oleh Allah swt di dalam ayatNya:
Maksudnya: "Sesungunya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram, iaitulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu…" (al-Taubah: 36)

Sebuah hadith yang diriwayatkan aripada Abi Bakrah, Nabi saw bersabda: Maksudnya: "Satu tahun itu ada dua belas bulan, antaranya empat bulan haram, tiga (dari yang empat itu) berturut-turutan, Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab Mudhar antara Jamadil akhir dan Sya'ban." (H.R. al-Bukhari dan Muslim)
Mudhar adalah nama satu kabilah Arab, disandarkan bulan Rejab kepadanya untuk menghilangkan kesamaran. Ini kerana ada perbezaan antara Bani Mudhar dan Bani Rabi'ah dalam menuntukan kedudukan bulan Rejab. Bani Mudhar meletakkan bulan Rejab antara Jamadil Akhir dan Sya'ban, manakala Bani Rabi'ah menjadikan kedudukan itu untuk bulan Ramadhan.

Oleh kerana itu, Nabi saw menyandarkan bulan Rejab kepada Mudhar, sebagai isyarat kedudukan Rejab yang diletakkan oleh Bani Mudhar itulah yang sebenarnya. Dikatakan juga sebab disandarkan Rejab kepada Bani Mudhar kerana mereka membesarkan bulan Rajab ini lebih dari bulan-bulan yang lain. Ini berbeza jika dibandingkan dengan kabilah-kabilah yang lain. Selain itu dikatakan juga disebabkan orang-orang Arab menamakan Rejab dan Sya'ban sebagai dua bulan Rejab ( الرجبين). Ada juga pendapat yang mengatakan Nabi saw menyandarkan Rejab kepada Mudhar disebabkan Jamadilakhir dan Rejab dinamakan sebagai dua bulan Jamadain dan dinamakan Sya'ban sebagai Rejab. (Sila lihat Syarh Sahih Muslim oleh al-Nawawi)

Firman Allah swt yang bermaksud: "Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu " (al-Taubah: 36)

Ayat ini menunjukkan perbuatan menganiayai diri (melakukan dosa) yang dilakukan di dalam empat bulan yang dimuliakan ini lebih berat dan lebih besar dosanya berbanding bulan-bulan yang lain.

Qatadah (قتادة) berkata: "Sesungguhnya penganiayaan diri di dalam bulan-bulan haram lebih besar kesalahannya dan dosanya berbanding bulan-bulan yang lain, dalam keadaan penganiayaan diri (melakukan dosa) itu dalam semua keadaan adalah satu kesalahan yang besar, akan tetapi Allah membesarkan sesuatu dari urusannya apa yang dikehendakinya." (Tafisr Ibn Kathir)

Apakah Disunnahkan Puasa Muharram Keseluruhannya?

Dari sudut zahir hadith, seolah-olah menunjukkan kelebihan puasa Muharram adalah puasa pada keseluruhannya atau puasa sebulan penuh. Namun sebahagian ulama memahami hadith-hadith tentang kelebihan keseluruhan bulan Muharram ini sebagai galakan memperbanyakkan puasa dalam di dalamnya, dan bukan bermaksud berpuasa penuh di dalam bulan Muharram. Kefahaman ini berdasarkan kepada perkataan 'Aisyah r'anha:
Maksudnya: "Tidak pernah aku melihat Rasulullah saw menyempurnakan puasa sebulan (penuh) sama-sekali melainkan dalam bulan Ramadhan, dan tidak pernah aku melihat baginda lebih banyak berpuasa dalam satu bulan berbanding Sya'ban." (HR Muslim)

Sejarah Puasa 'Asyura

'Aisyah r.'anha berkata, Maksudnya: "Ketika Jahiliyyah, orang-orang Quraisy berpuasa pada hari 'Asyura, demikian juga Rasulullah saw berpuasa pada hari tersebut, apabila baginda berhijrah ke Madinah baginda berpuasa pada hari 'Asyura dan baginda menyuruh (orang ramai) berpuasa pada hari 'Asyura. Apabila difardhukan Ramadhan, baginda meninggalkan (kewajipan) puasa 'Asyura, siapa yang hendak berpuasa dia berpuasa dan siapa yang tidak mahu dia tidak perlu berpuasa pada hari ‘Asyura." (HR al-Bukhari dan Muslim)

Hadith ini menunjukkan orang-orang Jahiliyyah dari dahulu membesar dan memuliakan hari 'Asyura dengan mereka melaksanakan puasa pada hari tersebut. Demikian juga Nabi saw berpuasa pada hari tersebut dan baginda berterusan berpuasa sehinggalah berlakunya hijrah. Selepas berlakunya hijrah baginda saw ke Madinah, di peringkat awalnya baginda telah mewajibkan puasa pada hari 'Asyura. Inilah pendapat yang sahih dari dua pendapat ulama berdasarkan arahan Nabi. (Sila lihat Risalah fi Ahadith Syahr Allah al-Muharram, oleh al-Syeikh Abdullah bin Soleh al-Fauzan)

'Aisyah r.'anha berkata lagi, maksudnya: "Adalah umat Islam dahulunya berpuasa 'Asyura sebelum difardhukan Ramadhan, hari tersebut adalah hari orang-orang Jahiliyyah menyelimuti Ka'bah (dengan kain selimut), apabila Allah menfardhukan Ramadhan, Rasulullah saw bersabda: "Siapa yang hendak berpuasa 'Asyura, maka berpuasalah, siapa yang tidak hendak, tinggalkanlah." (HR al-Bukhari dan Muslim)
Salamah bin al-Aqwa' (سلمة بن الأكوع) r.a. pula meriwayatkan, maksudnya: "Bahawasanya Nabi saw telah mengutus seorang lelaki, untuk menyeru manusia pada hari 'Asyura, sesiapa yang telah makan pada hari tersebut hendaklah dia berpuasa dan siapa yang belum makan pada hari tersebut maka janganlah dia makan (teruskan berpuasa)." (HR al-Bukhari)

Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada pertengahan tahun kedua hijrah, maka dimansukhkan hukum wajib puasa pada hari 'Asyura dan kekal hukumnya sebagai sunat. Puasa 'Asyura ini tidak diwajibkan melainkan pada peringkat awal hijrah iaitulah pada tahun pertama sehingga pertengahan pertama tahun kedua hijrah. Setelah daripada itu, pada tahun kesepuluh hijrah Nabi saw berazam untuk berpuasa 'Asyura beserta dengan hari sebelumnya iaitu hari kesembilan Muharram yang disebut sebagai al-Tasu’a (التاسوعاء) agar berbeza dengan Ahl al-Kitab yang juga berpuasa pada hari 'Asyura sahaja.

Kata Ibn 'Abbas r.a., maksudnya: "Ketika Nabi s.a.w. sampai ke madinah, baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura. Lalu Baginda bersabda: "Hari apakah ini (di sisi kamu)?" Orang-orang Yahudi menjawab : "Hari ini adalah hari yang baik. ALLAH telah memenangkan Musa dan Bani Israil pada hari ini daripada musuh mereka (Fir'aun dan kaumnya). Lalu Musa berpuasa pada hari ini ('Asyura)." Sabda Nabi s.a.w : "Aku lebih berhak terhadap Musa berbanding kamu semua (orang-orang Yahudi)." Lalu baginda berpuasa pada hari tersebut ('Asyura) dan mengarahkan (para Sahabat) berpuasa padanya." (Hadith riwayat al- al-Bukhari dan Muslim)
Ibn 'Abbas r.a. pula berkata, maksudnya: “Ketika Nabi s.a.w. berpuasa pada hari 'Asyura, dan baginda menyuruh para sahabat berpuasa padanya."Para Sahabat berkata : "Wahai Rasulullah, sesungguhnya hari itu hari yang dibesarkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasara." Lalu Nabi s.a.w. bersabda: "Maka pada tahun hadapan insyaALLAH kita akan berpuasa (bermula) pada hari kesembilan." Seterusnya Ibn 'Abbas bercerita: "Tidak sempat datang tahun hadapan, Nabi s.a.w. diwafatkan (oleh ALLAH s.w.t .)." (Hadith riwayat Muslim dan Abu Daud)

Galakan Berpuasa Pada Hari 'Asyura

Abu Qatadah berkata, Nabi saw telah ditanya tentang puasa pada hari 'Asyura, baginda bersabda, yang bermaksud: "Ia (puasa 'Asyura) menghapuskan dosa setahun yang lalu." Dalam riwayat yang lain bermaksud: "Dan puasa hari 'Asyura, aku mengharapkan agar Allah menghapuskan dosa setahun sebelumnya." (HR Muslim)

Hadith ini menunjukkan kelebihan puasa pada hari 'Asyura, iaitulah hari yang kesepuluh dalam bulan al-Muharram. Kelebihannya ialah dihapuskan dosa setahun yang lalu. Jabir bin Samurah r.a. berkata, maksudnya: "Rasulullah saw mengarahkan puasa hari 'Asyura dan memberi galakan puasa pada hari tersebut dan baginda memberi perhatian dalam melakukannya." (HR Muslim)

Puasa adalah seutama-utama amalan di sisi Allah. Puasa sunat sama seperti amalan-amalan sunat lain yang berperanan menampung kebarangkalian adanya kekurangan ketika melakukan perkara-perkara yang fardhu. Di dalam sebuah hadith Qudsi, Nabi saw bersabda tentang permasaalahan solat, maksudnya: "Firman Allah tabaraka wa ta'ala: "Lihatlah, apakah bagi hambaku itu ada (pahala) dari amalan sunat? maka sempurnakanlah dengannya apa yang berkurangan dari amalan fardhunya, kemudian lakukan seperti itu terhadap semua amalannya." (HR Tirmizi dari Abu Hurairah secara Marfu', katanya Hadith Hasan)

Maksud Amalan Menghapuskan Dosa

Para ulama berbeza pendapat tentang maksud kelebihan sesuatu amalan soleh yang dapat menghapuskan dosa. Al-Syeikh Abdullah bin Soleh al-Fauzan berkata: "Ketahuilah bahawasanya setiap nas yang menunjukkan sebahagian amalan soleh dapat menghapuskan dosa seperti wudhu, puasa Ramadhan, puasa hari 'Arafah, puasa 'Asyura dan selainnya, yang dimaksudkan adalah dosa-dosa kecil. Ini kerana ibadat yang besar seperti solat lima waktu, solat Jumaat dan puasa Ramadhan tidak dapat menghapuskan dosa-dosa besar – sepertimana yang thabith di dalam sunnah - maka bagaimana yang lebih kecil daripada itu ? kerana itu jumhur ulama (kebanyakan) berpendapat dosa-dosa besar sepeti riba, zina, sihir dan selainnya tidak dapat dihapuskan dosanya dengan amalan-amalan soleh, sebaliknya tidak boleh tidak mesti dengan taubat atau melaksanakan hudud bagi yang berkaitan dengan hukum hudud." Maka dengan sebab itu, kita amat digalakkan memperbanyakkan taubat pada hari-hari yang memiliki kelebihannya seperti hari 'Asyura. Ini kerana taubat pada hari-hari yang ada kelebihan memiliki kedudukan yang besar. Disamping itu taubah juga merupakan perkara yang wajib ke atas setiap dosa dan melewat-lewatkannya adalah satu kesalahan dan dosa pula.”

Wallahu a'lam.


Tuesday, December 8, 2009

Pembahagian Tauhid Sebelum Ibn Taimiyyah



oleh: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Panel Penyelidik Institut al-Qayyim.


Tulisan ini merupakan jawapan kepada artikel yang disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 29/11/09 oleh Panel Penyelidik Yayasan Sofa, Negeri Sembilan bertajuk: Tauhid tiga serangkai disyariatkan di dalam Islam?. Setelah membaca dan memahami artikel tersebut, disimpulkan ia berlegar kepada satu persoalan utama iaitulah dakwaan kononnya pembahagian tauhid kepada tiga bahagian: Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. dan pembahagian ini tidak dikenali di zaman awal Islam. Benarkan dakwaan ini?

Bagi sesiapa yang mempelajari akidah yang bersumberkan al-Quran, al-Sunnah dan pemahaman generasi al-Salaf al-Soleh, pasti akan memperakui sesungguhnya dakwaan ini amat jauh untuk dinilai sebagai suatu hasil penyelidikan ilmiah. Sebaliknya ia lebih kepada bukti kedangkalan dan kecetekan ilmu yang berpunca dari amalan taklid membuta tuli. Lebih malang kedangkalan ini disertai keegoan yang parah sehingga berani mencabar sesiapa yang dapat membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada sebelum kurun ke tujuh hijrah lagi.

Alangkah baik jika sebelum mencabar sesiapa, Panel Penyelidik Yayasan Sofa bertindak rajin sedikit, dengan membelek kitab-kitab tafsir yang mu’tabar di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang ditulis sebelum kelahiran Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Cukup sekadar dengan Tafsir al-Imam al-Tobari (meninggal 310H). Pasti dengan merujuk kepada kitab tafsir ini sahaja akan terjawab segala kekaburan dan tidak tahu. Tetapi sayang Panel Penyelidik Yayasan Sofa tidak melakukan perkara ini melainkan bertaklid kepada beberapa penulis sahaja. Untuk itu tulisan ini ditulis, supaya ia dapat mengambil tempat seperti seorang yang celik membimbing seorang buta menyeberangi jalan, agar selamat sampai ke seberang sana.

Maka tulisan ini memberi tumpuan dalam membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada di zaman awal umat Islam sebelum Ibn Taimiyyah R.H. Bahkan telah dinukilkan di dalam kitab-kitab tafsir beberapa riwayat daripada para sahabat Nabi S.A.W., para Tabi’ien dan para Atba’ al-Tabi’ien umat Islam.

Tujuan Pembahagian Ilmu Islam

Pembahagian mana-mana bidang ilmu Islam adalah suatu yang diterima di sisi para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, bahkan diterima oleh orang-orang yang berakal sejak zaman berzaman. Ia bertujuan memudahkan proses pembelajaran dan kefahaman terhadap nas-nas (teks) syarak, demikian juga agar gambaran umum terhasil sebelum sesuatu bidang dipelajari. Contoh mudah dalam hal ini, al-Imam al-Syafie telah menyusun ilmu Usul di dalam ilmu Fiqh Islami. Hasilnya pembahagian ini diterima oleh para ulama selepas beliau.

Kaedah pembelajaran yang tersusun dengan pembahagiannya tidak pernah terdapat di zaman Nabi S.A.W., bahkan pembahagian ilmu kepada ilmu aqidah, fiqh dan akhlak juga tidak terdapat di zaman Nabi S.A.W., sama halnya dengan penyusunan ilmu Mustalah al-Hadith, Ulum al-Tafsir, Usul al-Fiqh dan semua bidang ilmu syariah tidak pernah disusun, dibahagi dan diasingkan mengikut pembahagian-pembahagian seperti yang ada pada hari ini. Tidak pula bermakna ilmu-ilmu ini merupakan rekaan, bid’ah dan tokok-tambah dalam agama. Sebaliknya ia hanyalah kaedah untuk memudahkan proses pembelajaran dan pemahaman. Lalu tidak berlebihan jika dikatakan teramat jahil orang yang mendakwa pembahagian-pembahagian ilmu ini sebagai bid’ah. Kerana itu masyhur satu kaedah di sisi ulama usul yang disebut sebagai la masyahah fi al-Istilah yang bermaksud tiada pertikaian terhadap pengistilahan jika kandungan atau maksudnya benar.

Pembahagian tauhid di kalangan generasi awal umat islam

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. bukanlah individu pertama yang bertanggungjawab mereka-reka pembahagian tauhid kepada tiga bahagian. Sebaliknya pembahagian ini telah wujud lebih awal lagi. Perkara ini dapat ditelaah dari kitab-kitab karangan ulama yang awal. Ibn Taimiyyah yang hidup pada kurun ke tujuh hanya berperanan menghidupkan semula penekanan kepada tiga usur penting di dalam tauhid. Di bawah ini disenaraikan beberapa bukti yang menunjukkan pembahagian tauhid telah ada sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah R.H. lagi:

Pertama: Al-Imam Abu Abdillah, Ubaidullah ibn Muhammad ibn Battah al-‘Ukbariy (meninggal tahun 387H) berkata: “…dan demikian itu, bahawa asas keimanan kepada Allah yang wajib ke atas makhluk beriktikad dengannya dalam menetapkan keimanan terhadapNya adalah tiga perkara (bahagian). Pertama: Keyakinan seorang hamba terhadap rabbaniyyah (Rububiyyah) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan al-Ta’til yang tidak menetapkan adanya (tuhan) yang maha pencipta. Kedua: keyakinan seorang hamba terhadap wahdaniyyah (keesaan) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan musyrik, yang mengakui adanya pencipta (Allah), tetapi mereka mensyirikanNya dengan yang lain di dalam ibadah. Ketiga: Keyakinan seorang hamba terhadap Allah yang bersifat dengan sifat-sifat yang layak bagiNya seperti al-‘Ilmu (maha mengetahui), al-Qudrah (Maha berkuasa), al-Hikmah (maha bijaksana) dan semua sifat yang Dia (Allah) telah sifatkan diriNya di dalam kitabNya … (oleh itu) kita akan dapati Allah ta’ala telah mengarahkan hamba-hambanya dengan menyeru mereka untuk beri’tiqad kepada setiap dari tiga pembahagian ini dan beriman dengannya.” (al-Ibanah ‘an Syariah al-Firqah al-Najiah wa Mujabanah al-Firaq al-Mazmumah, Oleh Ibn Battah, hal. 693-694).

Perkataan Ibn Battah ini amat jelas menunjukkan pembahagian tauhid kepada tiga telah wujud dan diketahui oleh para ulama yang hidup sekitar dua ratus tahun sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah. Bahkan perkara yang lebih penting untuk diberi tumpuan di sini bahawa perbezaan di antara tauhid rububiyyah dan uluhiyyah telah disebut juga oleh para sahabat Nabi S.A.W. antara mereka:

Kedua: Firman Allah yang bermaksud: “Dan kebanyakan mereka tidaklah beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mensyirikkanNya.” (Yusuf: 106). Kata ‘Ikrimah R.A. (sahabat Nabi S.A.W.): “Kamu bertanya kepada mereka (orang-orang musyrik): Siapa yang menciptakan mereka? siapa yang mendiptakan langit dan bumi? Pasti mereka akan menjawab: Allah. Demikian itulah iman mereka kepada Allah (iman kepada rububiyyah Allah), sedangkan mereka menyembah selain daripada Allah (syirik dalam uluhiyyah Allah).”

Ketiga: Ibn ‘Abbas R.A. berkata: “diantara keimanan mereka (orang-orang musyrik), apabila ditanya kepada mereka: siapa yang menciptakan langit, bumi dan gunung-ganang? Mereka akan menjawab: Allah. Sedangkan mereka mensyirikkan Allah (dalam uluhiyyahNya).”

Keempat: Qatadah R.H. berkata: “Iman mereka ini, sesungguhnya kamu tidak berjumpa dengan salah seorang daripada mereka, melainkan dia memberitahu kepada kamu bahawa Allah adalah tuhannya (rabb), Dialah yang mencipta dan memberi rezeki kepadanya (rububiyyah), sedangkan dia melakukan syirik di dalam ibadah (uluhiyyah).”

Kelima: Mujahid R.H. (meninggal tahun 103 H) seorang Tabi’ie yang masyhur berkata: “Keimanan mereka dengan perkataan mereka: “Allah yang menciptakan kami, memberi rezeki dan mematikan kami.” Ini adalah keimanan (rububiyyah) mereka yang beserta kesyirikan di dalam ibadah (uluhiyyah) kepada selain Allah.” (Lihat tafsir al-Imam Ibn Jarir al-Tobari (meninggal 310H), surah Yusuf ayat 106)

Dirasakan bukti-bukti ini sahaja sudah cukup menunjukkan pembahagian tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah dan asma’ wa sifat bukan dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. Sebaliknya ia telah diketahui di kalangan umat Islam yang awal bahkan di sisi para sahabat Nabi S.A.W.. Sebagai tambahan di bawah ini disebut beberapa rujukan lain dari para ulama secara ringkas:

1. Kitab al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mandah yang meninggal pada tahun 395 Hijrah. (Jilid 1: halaman 61-116, jilid 2: halaman 14-208, jilid 3: halaman 7 hingga penghujung kitab )

2. Lihat juga perkataan al-Imam al-Qadhi Abi Yusuf Ya’qub ibn Ibrahim ibn Habib al-Kufi, murid dan sahabat kepada al-Imam Abu Hanifah (pemuka Mazhab Hanafi). Beliau meninggal pada tahun 182 Hijrah. Perkataannya telah dinukilkan oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mandah (meninggal tahun 395H) di dalam kitabnya al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud, jilid 3: halaman 304-306.

3. Kitab al-Fiqh al-Absat, oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Nu’man ibn Thabith yang meninggal pada tahun 150 Hijrah, halaman 51. Ketika beliau menyebut: “Dan Allah itu diseru dari atas bukan dari bawah (isyarat kepada tauhid al-Asma’ wa al-Sifat), kerana bawah bukan daripada al-Rububiyyah dan al-Uluhiyyah sesuatupun.”

Agama melarang taklid buta

Al-Quran dan al-Sunnah melarang kita tertaklid membuta tuli kepada sesiapapun melainkan kepada Nabi S.A.W., samada Ibn Taimiyyah atau sesiapa sahaja, pandangan mereka perlu dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah, diambil apa yang bertepatan dengan dua rujukan ini dan ditinggalkan yang lainnya. Untuk mengenal pasti pendapat yang lebih bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah, pemahaman para sahabat dan para ulama generasi awal islam perlu dirujuk. Maka individu-individu yang memakai gelaran agama seperti ustaz, panel penyelidik dan seumpamanya perlulah merajinkan diri mengkaji dan memahami setiap persoalan yang hendak dibicarakan, sebelum berani membuat sesuatu kesimpulan. Sikap malas dan ‘taklid buta’ perlu dijauhi, jika tidak, ada baiknya kita mendiamkan diri sahaja, agar kebodohan dan malas diri sendiri tidak diketahui ramai dan menyusahkan orang lain.

Wassalam.

Monday, December 7, 2009

Terlupa baca sami'allahu liman hamidah



Soalan

Ingin saya bertanyakan soalan2 ini...

1)jika seorang imam itu melafazkan 'allahhuakbar' selepas rukuk,sah atau tidak shalat para jemaah?jika tidak sah,
sila huraikan,dan jika sah,apa yang harus ma'mum menjawab?

2)perlukah imam mengulangi bacaan fatihah-nye jika beliau bersin atau batuk sebelum selesai fatihah-nye?

3)adakah wajib bagi seorang imam menuggu ma'mum menyelasaikan bacaan surah al-Fatihah sebelum
meneruskan rukun2 salat yang lain...

terima kasih..

Jawapan:

1. Para ulama berbeza pandangan tentang hukum التسميع iaitu sami'allahu liman hamidah. Ringkasannya spt di bawah:

- Jumhur, iaitu al-Malikiyyah, al-Syafi'iyyah dan al-Ahnaf: SUNAT.
- al-Hanabilah; WAJIB.

Di sisi mazhab al-Syafie, bacaan sami'allahu liman hamidah (tasmi') temasuk di dalam al-Intiqalaat yang dikira sebagai sunah hai-aat yang tidak perlu diganti dgn sujud al-sahwi.

Di sisi mazhab hambali pula sesiapa yang merubah kedudukan tasmi' kepada takbir ketika bangun daripada ruku' hendaklah dia melakukan sujud sahwi.

*** Tidak boleh sengaja mengubah bacaan tasmi' kpd takbir, kerana Nabi S.A.W. bersabda (mafhumnya): "Solatlah kamu semua sepertimana kamu melihat aku menunaikan solat."

2. Perlu diulang ayat yang terputus kerana bersin. Tidak perlu mengulangi surah dari awal.

3. Tidak wajib imam menunggu habis makmumnya membaca al-fatihah.

wallahu a'lam.

Friday, December 4, 2009

Keperluan Memperkasakan Usaha Tajdid



Pengertian al-Tajdid

Kalimah Tajdid dari asal bahasa Arab diambil dari ungkapan: جدّد الشيءَ bermaksud: Membaharukan sesuatu, demikian juga تجدّد الشيءُ bermaksud: Sesuatu yang menjadi baharu, ia ditujukan kepada sesuatu apabila ia menjadi/dianggap baharu, sedang hakikatnya ia adalah suatu yang telah ada sebelumnya.

Kalimah tajdid juga berlawanan dengan kalimah al-Baliy (البلي), al-Khaliq (الخلق) dan al-Qadim (القديم) iaitu, lusuh dan lama, samaada dari sudut lama zamannya atau lama kewujudannya. Di dalam bahasa Arab disebut: بلي بيت فلان ثمّ أجَدَّ بيتاً مِنْ شَعْر... bermaksud: “Rumah orang itu telah menjadi lusuh, kemudian dia memperbaharui rumahnya dari bulu… (sekian-sekian)”. Selain itu di dalam bahasa Arab, dinisbahkan untuk malam dan siang itu sebagai dua perkara yang baharu (الجديدان), bukan kerana keduanya suatu yang baharu ada, akan tetapi disebabkan keduanya tidak akan lusuh dan tidak akan menjadi lama, disebabkan setiap hari silih bergantian.

Pengertian dari sudut bahasa ini dapat dibuat kesimpulan bahawa maksud al-Tajdid memiliki tiga elemen penting:

1. Sesuatu yang dibaharukan adalah sesuatu yang telah wujud dahulunya.
2. Sesuatu yang dibaharukan itu, pada waktu dibaharukan, ia adalah suatu yang telah dianggap lama dan lusuh.
3. Sesuatu yang dibaharukan itu, adalah mengembalikannya kepada keadaan atau rupa awalnya sebelum menjadi lama dan lusuh.

Oleh itu, kalimah al-Tajdid (التجديد) bukanlah bermaksud mewujudkan sesuatu yang baharu dan meruntuhkan yang lama. Dr. Yusuf al-Qaradhawi memberikan takrifan kepada tajdid sebagai:


التجديد لشيء ما بأنه هو محاولة العودة به إلى ما كان عليه يوم نشأ وظهر بحيث يبدو مع قدمه كأنه جديد…وترميم ما بلى، ورتق ما انفتق، حتى يعود أقرب ما يكون إلى صورته الأولى

Maksudnya: “Mentajdidkan sesuatu adalah percubaan mengembalikannya sama seperti ketika ia muncul dan zahir, dimana lamanya ia (ditinggalkan), kelihatan seolah-olah ia menjadi sesuatu yang(dianggap) baharu… dan memulihkan apa yang telah lusuh dan menampal (memperbaiki) sesuatu yang telah koyak, hingga dia kembali menjadi lebih hampir kepada gambaran asalnya.”

Keperluan Tajdid

Sepanjang sejarah perkembangan Fiqh Islam. Kita akan dapat melihat bagaimana pada fasa-fasa yang awal berlakunya perkembangan terhadap fiqh Islam dalam keaadaan yang amat memberansangkan. Para pengkaji Islam berbeza-beza dalam membahagikan perkembangan syariat Islam disepanjang sejarah. Namun kesemua mereka bersepakat dan memcatatkan telah berlakunya pembinaan dan perkembangan yang memberangsangkan pada fasa-fasa yang awal.

Berdasarkan pandangan kebanyakan para pengkaji Islam, mereka telah membahagikan perkembangan ini kepada enam bahagian, dan perkembangan yang amat memberansangkan itu berlaku pada fasa keempat (bermula awal kurun kedua berlarutan sehingga pertengahan kurun keempat), setelah berlalunya tiga fasa sebelumnya yang berperanan sebagai fasa al-Ta’sis atau fasa pembinaan dan pengukuhan.

Melihat kepada perkembangan yang amat memberansangkan, yang berlaku pada fasa keempat, kesemua para penulis Islam menisbahkan fasa ini kepada ‘Fasa Keemasan Bagi Fiqh’ (الدور الذهبي للفقه). Namun keadaan yang berbeza berlaku selepas tamatnya tempoh fasa keempat. Bermula fasa kelima (bermula pada akhir fasa keempat hingga kejatuhan Baghdad), perkembangan syariat Islam berdepan dengan fasa kemunduran, kelesuan dan kejatuhan, terutamanya pada fasa keenam sehinggalah ke hari ini.
Supaya kita dapat melihat gambaran umum apa yang saya nyatakan di sini, ada baiknya saya menukilkan tulisan al-Syeikh Dr. Abdul Karim Zaidan di buku beliau al-Madkhal li Dirasah al-Syariah al-Islamiah ketika beliau berbicara tentang keadaan fasa kemunduran dan kelesuan ini, beliau menyebut:

Maksudnya: “Kita telah ketahui, fiqh beransur-ansur berkembang dan meningkat sehingga ke mercu ketinggian pada peringkat keempat di dalam fasa-fasanya, kemudian ia menurun dan terus berhenti (perkembangannya) pada fasa kelima, dimana meluasnya taklid dikalangan fuqaha dan berkurangan cita-cita untuk mencontohi manhaj-manhaj fuqaha di fasa perkembangan fiqh. Sungguhpun demikian para fuqaha pada fasa yang kelima telah memberi sumbangan yang besar dimana mereka telah mengeluarkan hukum-hakam berdasarkan usul-usul dan kaedah-kaedah para imam mazhab dan mentarjih diantara riwayat-riwayat yang dinukilkan dari para imam masing-masing, seperti yang telah kami jelaskan pada bab yang lalu.

(Namun) Pada fasa keenam ini, bermula dengan kejatuhan Baghdad pada kurun ketujuh hijrah dan berterusan hingga sekarang, fiqh (islami) masih belum bangun dari ketergelinciran dan manhaj para fuqaha masih belum berubah. Taklid masih tersebar dan meluas di kalangan mereka (fuqaha), sehingga perkara ini menjadi terbiasa dan tidak diingkari. Sungguhpun demikian ada juga beberapa individu yang tidak merestui taklid (yang meluas ini), dan mereka menyeru kepada (disemarakkan) ijtihad yang mutlak dan mengambil hukum-hakam daripada al-Kitab dan al-Sunnah tanpa bergantung kepada sesuatu mazhab tertentu. Mereka antaranya ialah Ibn Taimiyyah dan anak muridnya Ibn al-Qayyim, (demikian juga) al-Syaukani penulis kitab Nail al-Awthor dan selain mereka. Cuma individu seumpama mereka amat sedikit dan mereka tidak selamat dari kritikan dan dibantah oleh majoriti ulama yang bertaklid. Oleh itu, gambaran umum bagi fiqh dan fuqaha pada fasa ini adalah bertaklid, setiap golongan fuqaha berpegang teguh dengan satu-satu mazhab dan berpada dengan persoalan-persoalan, hukum-hakam dan usul-usul yang telah ada di dalam mazhab. Maka syariah (pada fasa ini) dikenali berdasarkan satu-satu mazhab tertentu. Sedangkan syariah – seperti yang kami (Dr. Abdul Karim Zaidan) nyatakan dan kami ingin tekankan sekali lagi – (syariah) tidak mungkin dihimpunkan di dalam satu mazhab tertentu, bahkan syariah adalah lebih luas dari itu, dan ia (syariah) merupakan hujjah ke atas setiap mazhab, bukan mana-mana mazhab menjadi hujjah ke atas syariah, tidak ada sesuatu mazhab melainkan ia hanya merupakan satu bentuk penafsiran terhadap nas-nas syariah, kefahaman kepada hukum-hakamnya dan cara istinbath hukum-hakam dari sumber-sumber syariah itu sendiri.” (al-Madkhal li Dirasah al-Syariah al-Islamiah, hal. 126)

Inilah gambaran umum penyebaran fiqh Islam pada fasa ini. Ia lebih kepada berpada dengan apa yang telah disumbangkan oleh para ulama terdahulu. Terdapat beberapa faktor yang membawa kepada fenomena ini, termasuklah faktor kemunduran empayar Islam, dan beberapa faktor yang lain lagi. Cuma dikesempatan ini saya ingin mengketengahkan salah satu faktor lain yang disebut juga oleh Dr. Abd al-Karim Zaidan di dalam bukunya, dan saya lihat faktor ini ada kaitan yang kuat dengan keadaan umat Islam hari ini. Faktor tersebut ialah apabila timbulnya rasa kagum yang teramat sangat terhadap generasi yang awal. Rasa kagum terhadap ulama yang awal tidak salah, namun jangan sampai rasa kagum dan hormat itu sehingga membawa kepada rasa lemah pada diri sendiri dan rasa serba kekurangan. Perkara ini disebut oleh Dr. Abd al-Karim Zaidan ketika beliau mengulas suasana pada fasa kelima dimana telah ada tradisi taklid di kalangan sebahagian ulama. Beliau menyebut beberapa sebab yang membawa kepada suasana taklid ini, antaranya:

“lemahnya kepercayaan kepada diri sendiri dan takut untuk berijtihad. Para fuqaha telah mentohmah diri mereka sendiri (kononnya) lemah, dan serba kekurangan, dan menyangka mereka tidak mampu untuk menyelami hukum-hakam dari sumber-sumbernya yang asal. Mereka merasakan yang terbaik dan yang layak bagi mereka ialah terikat dengan satu mazhab yang diketahui, mempelajari dan mendalami usul-usul mazhab tersebut dan tidak perlu keluar darinya. Lalu mereka menyangka zaman berijtihad mutlak telah berlalu. Demikianlah mereka telah menghalang diri mereka sendiri terhadap sesuatu yang Allah telah luaskan untuk mereka, dalam keadaan mereka memiliki kemampuan untuk berijtihad sendiri, bahkan sebahagian mereka itu hampir sama atau menyamai para ulama mujtahidin yang awal. Akan tetapi lemahnya kepercayaan terhadap diri sendiri dan rasa takut untuk menyalahi apa yang telah terbiasa di kalangan orang ramai. Semua ini menjadikan para fuqaha rasa selesa, mengutamakan untuk beristirehat dan bertaklid. Tidak diragukan lagi, jalan mereka ini menyalahi apa yang ditempoh oleh generasi salaf (yang awal)…” (al-Madkhal li Dirasah al-Syariah al-Islamiah, Hal. 123)

Seperti yang saya sebut sebelum ini, fasa kelesuan dan kemunduran ini lebih parah apabila masuknya fasa keenam. Dimana tumpuan para fuqaha lebih kepada menyimpulkan pandangan-pandangan generasi terdahulu dalam bentuk yang ringkas yang dinamakan sebagai kitab-kitab Matan. Mereka menggunakan bahasa-bahasa yang sukar dan ibarat-ibarat yang meletihkan untuk difahami. Hasilnya tumpuan para fuqaha di fasa ini disibukkan untuk menulis syarah kepada kitab-kitab matan. Hakikatnya syarah-syarah ini lebih ditumpukan untuk merungkaikan kekaburan terhadap lafaz-lafaz dan ibarat-ibarat yang digunakan di dalam kitab-kitab matan. Dr. Abd al-Karim Zaidan menulis tentang kitab-kitab Matn, Syarah dan Hasyiah:

“Para fuqaha pada fasa ini memberi tumpuan kepada penulisan, dan kebiasaan mereka melakukan ringkasan sehingga sampai ke tahap merosakkan makna dan menyembunyikan maksud, maka jadilah ibarahnya menyamai suatu teka-teki. Ringkasan-ringkasan ini yang dinamakan sebagai al-Mutun (kitab-kitab matan), memerlukan kepada syarah untuk menerangkan makna-maknanya dan menghilangkan kesamaran-kesamaran dari ibarat-ibaratnya. Lalu para penulis matn tersebut atau selainnya melakukan kerja mensyarahnya, maka timbullah syarah-syarah bersebelahan dengan matan-matan. Kemudian timbul pula disamping syarah-syarah terhadap matan itu al-Hawasyi yang berupa komentar-komentar (تعليقات) dan penilaian-penilaian (ملاحظات) terhadap syarah-syarah tersebut. Sedang realitinya syarah-syarah dan hawasyi-hawasyi itu lebih menumpukan perbincangan-perbincangan terhadap maksud-maksud perkataan, ayat-ayat dan susunannya yang kelihatan saling bertentangan, sehingga menjadikan orang yang membaca tenggelam/tersesat dalam perbincangan-perbincangan, ibarat-ibarah yang kabur dan perbezaan-perbezaan pandangan ketika menerangkan maksud lafaz dan ibarat. Semaraknya tradisi ini, menjadikan para penuntut ilmu fiqh dan para fuqaha berada dalam keadaan tersebut dan mengenepikan kitab-kitab terdahulu yang memiliki ibarat-ibarat yang lebih mudah dan jelas yang ditulis pada fasa keempat dan awal fasa kelima perkembangan fiqh Islam. Sungguhpun begitu, kita akan dapati pada fasa ini (fasa keenam, terdapat juga) beberapa penulisan yang menggunakan manhaj khusus, berbeza dengan apa yang ditempuh oleh kebanyakan fuqaha pada fasa keenam ini, dan manhaj penulisan mereka sama seperti fuqaha pada fasa kelima, antaranya seperti yang ditulisan oleh al-Syatibi, Ibn al-Qayyim dan selain mereka berdua.” (al-Madkhal li Dirasah al-Syariah al-Islamiah, hal. 126-127)

Keperluan Tajdid di Malaysia

Di Negara kita tidak keterlaluan jika dikatakan, hingga ke hari ini, hanya sebahagian sahaja yang menerima jika dikatakan pintu ijtihad masih terbuka dan ia tidak pernah tertutup. Dalam belasan tahun yang lalu, ketika saya masih ‘duduk bersila’ menadah kitab di pondok, saya berkeyakinan pintu ijtihad telah tertutup, dan jika ada yang mengeluarkan pendapat berbeza dengan apa yang diamalkan oleh orang ramai bermakna dia cuba berijtihad sendiri dan mahu menunjuk pandai. Orang sebegini sudah tentu terpengaruh dengan pemikiran Wahabi yang biadab atau kurang ajar. Itu dahulu… ketika saya tidak tahu bahawa pintu ijtihad tidak pernah tertutup, sejak pengutusan baginda rasulullah S.A.W. hinggalah selama-lamanya. Bahkan Nabi S.A.W. ketika wahyu masih diturunkan telah membenarkan para sahabat berijtihad. Terdapat banyak bukti dalam perkara ini. Antaranya:

1. Nabi S.A.W. membenarkan Muaz bin Jabal untuk berijtihad ketika mengutus beliau ke Yaman.

2. Kisah dua orang sahabat yang sedang dalam permusafiran. Dimana mereka tidak mendapati air untuk berwudhu, apabila masuknya waktu solat. Kemudian mereka berdua bertayammum dan menunaikan solat. Ketika mereka masih berada di dalam waktu solat, mereka menjumpai air, lalu salah seorang daripada mereka berwudhu dan mengulangi solatnya tadi dan salah seorang lagi tidak mengulanginya. Perbezaan tindak-tanduk kedua-dua sahabat ini hasil dari berbeza keputusan ijtihad mereka. Apabila kedua-dua mereka kembali dan bertemu dengan Nabi S.A.W., mereka menceritakan apa yang berlaku kepada baginda S.A.W. Lalu baginda memberi komentar kepada sahabat yang tidak mengulangi solatnya dengan berkata:

أصبت السنة وأجزأتك صلاتك

Maksudnya: “Anda telah menepati sunnah, dan telah memadai solat anda itu.”
Kepada sahabat seorang lagi yang mengulangi solatnya, baginda berkata:

لك الأجر مرتين

Maksudnya: “Untuk anda dua pahala.”

3. Peristiwa sekumpulan sahabat yang diutus oleh Nabi S.A.W. untuk memerangi Yahudi Bani Quraizhah. Dimana baginda telah mengeluarkan arahan agar mereka jangan menunaikan solat Asar melainkan di perkambungan Yahudi Bani Quraizhah. Apabila masuk waktu Asar, kumpulan sahabat ini masih juga belum sampai di perkampungan yang dimaksudkan. Lalu sebahagian daripada mereka terus menunaikan solat, kerana memahami arahan Nabi S.A.W. itu adalah agar mereka bersegera, bukan arahan melewatkan solat sehingga terkeluar dari waktunya. Namun sebahagian lagi tidak menunaikan solat hinggalah mereka sampai di perkampungan Bani Quraizhah. Apabila perkara itu disampaikan kepada Nabi S.A.W., baginda diam dan tidak membantah, yang menunjukkan keizinan daripada baginda.

Tiga peristiwa ini sudah cukup untuk menunjukkan kepada umat Islam keharusan berijtihad untuk memperolehi hukum-hakam syariat. Dan tidak pernah pula Nabi S.A.W. mensyaratkan kepada para sahabat yang ingin berijtihad untuk terlebih dahulu menghafal ratusan ribu hadith daripada baginda, seperti yang didakwa oleh sebahagian penulis di tempat kita.

Kenyataan ini tidaklah bermakna kita membenarkan sesiapa sahaja berijtihad sewenang-wenangnya, sebaliknya ijtihad perlu diserahkan kepada mereka yang berkeahlian tanpa perlu disekat dalam apa jua bentuk. Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani berkata:

“Ijtihad adalah mengerahkan keupayaan dengan bersungguh-sungguh untuk mengetahui sesuatu hukum yang bersumber dari al-Kitab dan Sunnah Rasulullah. Tidak diragukan lagi bahawa hukum ijtihad adalah fardhu kifayah atau tidak wajib bagi setiap muslim, bahkan tidak ada yang mampu melakukan hal itu kecuali segelintir sahaja. Terlebih lagi orang-orang yang memiliki keupayaan berijtihad di zaman ini sudah semangkin berkurangan, kerana kuatnya pengaruh taklid terhadap ulama serta syarat-syarat yang sangat ketat yang mesti dipenuhi oleh seseorang mujtahid. Namun yang sangat menghairankan bahawa, orang-orang yang menetapkan syarat-syarat ijtihad yang sangat ketat itu adalah para ahli taklid yang tidak mengamalkan ajaran agama melainkan apa yang dikatakan oleh imam mereka…”

Beliau selanjutnya menyambung: “Menurut saya ijtihad bukanlah perkara sulit seperti yang disangka oleh sebahagian orang. Bahkan ia cukup mudah bagi mereka yang memiliki kelayakan untuk memahami perbicaraan dan dalil-dalil yang ia perlukan, samaada yang bersumberkan al-Quran mahupun sunnah. Atau dengan kata lain, setiap orang yang mampu memahami kitab-kitab mazhab serta ungkapan-ungkapan yang ada, terutama kitab-kitab yang ditulis oleh ulama generasi belakangan yang terkadang lebih menyerupai teka-teki, akan mampu pula untuk memahami kandungan al-Kitab dan sunnah rasulNya, kerana tidak diragukan lagi kedua kitab ini jauh lebih jelas dan mudah difahami daripada perkataan-perkataan yang lain. Terutama jika dalam memahaminya ia menggunakan kitab-kitab para ahli ilmu yang terdiri dari kitab-kitab tafsir , syarah hadith ataupun kitab-kitab fiqh yang membahas dalil-dalil lawan mazhabnya seperti kitab al-Majmu’ oleh al-Imam al-Nawawi, Fathul Qadir oleh Ibn al-Hammam, Nailul Awthar oleh al-Syaukani dan kitab-kitab seumpamanya. Yang paling bermanfaat antaranya adalah kitab Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid karangan Ibn Rushd, kerana penulis kitab ini sengaja menulis kitabnya untuk membimbing para penuntut ilmu agar dapat mencapai tingkat ijtihad seperti yang beliau jelaskan dalam kitab tersebut.” (Maqalaat al-Albani, edisi terjemahan Indonesia, hal. 46-47)

Penutup

Sesiapa jua tidak akan mampu menolak, hakikat pengamalan agama kita hari ini lebih kepada bersifat taasub kepada sesuatu pandangan yang telah terbiasa, tanpa mahu melihat kekuatan pendapat tersebut pada ukuran al-Quran dan al-Sunnah. Lantaran itu sesuatu permasalahan tidak dapat ditangani dengan baik. Lebih malang lagi, apabila sebahagian kita suka melontar tohmahan dan tuduhan kepada golongan yang ingin membawa perubahan. Apatah lagi ditambah dengan masuknya pemikiran-pemikiran sesat kebelakangan ini seperti pengikut-pengikut al-Ahbash yang sanggup mencium tanah kubur tok guru mereka.

Oleh yang demikian, usaha mempekasakan tajdid dalam ertikata mengembalikan umat Islam kepada pemahaman Islam yang sebenarnya bertepatan dengan cara faham Nabi S.A.W. dan para sahabat baginda R.A. perlu digembelingkan bersama para pecinta sunnah Nabi S.A.W., agar ia terus semarak dan sampai ke semua peringkat. wassalam.