Friday, October 28, 2011

Menamakan Anak (11)

1. Menamakan Anak

1. Waktu Menamakan Anak

Harus menamakan anak pada bila-bila hari yang dirasakan sesuai, kerana perkara ini diberi keluasan di dalam syarak. Terutamanya pada hari pertama[1] dan ketujuh[2].

Adab Memberi Nama Kepada Anak

Dituntut untuk memberikan nama kepada bayi dengan nama-nama yang baik lafaz dan maknanya. Nabi sallallah ‘alaih wa sallam bersabda:

إنكم تدعون يوم القيامة بأسمائكم وأسماء آبائكم، فأحسنوا أسماءكم

Mafhumnya: “Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, oleh kerana itu perelokkanlah nama-nama kamu semua.” (HR Abu Daud, al-Darimi, Ibn Hibban dan Ahmad. Sanad hadith ini dinilai baik oleh al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’, demikian juga al-Sakhawi di dalam al-Maqasid al-Hasanah)

Hadith ini menunjukkan setiap manusia akan dipanggil dengan nama mereka dan di‘bin’kan dengan nama bapa mereka, bukan di‘bin’kan dengan nama ibu seperti yang difahami oleh kebanyakan orang. Perkara ini dikuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya dan beliau menjadikan babnya sebagai Bab Apa Yang Manusia Dipanggil Dengan Nama Bapa-bapa Mereka (باب ما يُدعى الناس بآبائهم), daripada Ibn ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, daripada Nabi sallallah ‘alaih wa sallam yang bersabda:

إنَّ الْغَادِرَ يُرْفَعُ لَهُ لِوَاءٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، يُقَالُ: هَذِهِ غَدْرَةُ فَلَانِ بْنِ فُلَانٍ

Mafhumnya: “Sesungguhnya orang yang mengkhianati janji, akan diangkat untuknya penanda pada hari kiamat, dinyatakan: ini adalah khianat fulan bin fulan.” (HR al-Bukhari)

Anggapan yang mengatakan manusia di‘bin’kan dengan ibu mereka pada hari kiamat, disebut oleh beberapa ulama seperti al-Imam al-Nawawi rahimahullah di dalam kitabnya Raudhah al-Tolibin demikian juga ulama yang lain. Angapan ini bersandarkan kepada hadith antaranya diriwayatkan oleh al-Tobrani di dalam Mu’jamnya, dan Ibn ‘Adiy di dalam al-Kamil dengan lafaz-lafaz yang berbeza, salah satunya:

إنَّ النَّاسَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يُدْعَوْنَ بِأُمَّهَاتِهِمْ لَا بِآبَائِهِمْ

Mafhumnya: “Sesungguhnya manusia pada hari kiamat akan dipanggil dengan (dinasabkan) kepada ibu-ibu mereka bukan dengan bapa-bapa mereka.”

Hadith ini dinilai oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah sebagai Batil di dalam kitabnya al-Manar al-Munif, hadith yang seumpama dengannya dinilai oleh al-Hafidz Ibn Hajar sebagai Terlalu Lemah (ضعيف جدا) di dalam Fath al-Bari, dan Ibn ‘Adiy sendiri ketika memperkenalkan salah seorang periwayat hadith yang bernama Ishak bin Ibrahim al-Tabari, ia berkata sebagai Mungkar.

2. Nama-nama yang Sunat.

- Menamakan bayi dengan ‘Abdullah dan ‘Abdul Rahman. Nabi sallallah ‘alaih wa sallam bersabda:

إن أحب أسمائكم إلى الله عز وجل عبد الله وعبد الرحمن

Mafhumnya: “Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah Azza wajalla ialah ‘Abdullah dan ‘Abd al-Rahman.” (HR Muslim)

- Menamakan bayi dengan nama-nama para Nabi seperti Ibrahim dan seumpamanya. Nabi sallallah ‘alaih wa sallam bersabda:

وُلِد لي الليلة غلام فسميته باسم أبي إبراهيم

Mafhumnya: “Pada malam tadi saya dikurniakan seorang anak, maka saya menamakannya dengan nama bapa saya (Nabi) Ibrahim (AS).” (HR Muslim)

Demikian juga sunat memberikan nama kepada bayi dengan nama para sahabat dan orang-orang saleh. Daripada al-Mughirah bin Syu’bah radhiyallahu ‘anhu, Nabi sallallah ‘alaih wa sallam pernah ditanya tentang Maryam binti ‘Imran, apakah dia saudara perempuan kepada Nabi Harun dan Musa? Baginda menjawab:

لا ولكنهم كانوا يسمون بأسماء أنبيائهم وصالحيهم

Mafhumnya: “Tidak, akan tetapi mereka diberikan nama dengan nama-nama para nabi dan orang-orang soleh di kalangan mereka.” (HR Muslim)

Nama-nama yang dilarang

i. Tidak boleh menamakan anak dengan nama-nama Allah. Seperti memberi nama kepada anak dengan nama Allah, al-Rahman, al-Rahim dan seumpamanya tanpa di sandarkan kepada perkataan ‘Abdul seperti ‘Abdullah, ‘Abdul Rahman, ‘Abd al-Rahim atau seumpamanya.

ii. Tidak boleh menamakan anak sebagai hamba kepada berhala atau sembahan selain daripada Allah, seperti ‘Abd al-‘Uzza (hamba ‘Uzza), ‘Abd al-Ka’bah (Hamba Kaabah), ‘Abd al-Rasul (Hamba Rasul), ‘Abd al-Husien (Hamba Husien), ‘Abd al-Syams (hamba Matahari) dan seumpamanya. Nabi sallallah ‘alaih wa sallam pernah bertanya kepada seorang lelaki: “Apa namamu”? Lelaki itu menjawab: “’Abd al-Hajr (Hamba Batu)” Rasulullah SAW menjawab: “(Sebaliknya) Engkau sebenarnya adalah hamba Allah.”[3] Begitu juga tidak boleh memberikan nama anak dengan nama dewa, dewi atau apa-apa sembahan orang kafir dari pelbagai agama dan bangsa.

iii. Tidak boleh juga menamakan anak dengan nama seperti Malik al-Muluk (Raja segala raja), Sultan al-Salatin (Sultan segala sultan). Nabi SAW bersabda:

إن أخنع اسم عند الله رجل تسمي ملك الأملاك

Mafhumnya: “Sesungguhnya nama yang paling buruk di sisi Allah, seorang lelaki yang diberi nama raja segala raja.” (al-Bukhari dan Muslim)

iv. Dilarang juga menamakan anak dengan nama-nama yang memberi maksud buruk. Demikian juga dengan nama penjahat dan orang-orang yang dimurkai Allah seperti Firaun, Qarun, Haman dan seumpamanya yang menderhakai Allah dan Rasul.



[1] Berdasarkan hadith riwayat Muslim bermaksud: “Pada malam tadi saya dikurniakan seorang anak, maka saya menamakannya dengan nama bapa saya (Nabi) Ibrahim (‘alaih al-Salam).”

[2] Berdasarkan hadith riwayat al-Nasa-ie bermaksud: “Setiap bayi itu tergadai dengan ‘Akikahnya, disembelih ‘akikah itu untuknya pada hari ke-tujuh, dan diberikan nama pada hari itu dan dicukur kepalanya.” (Dinilai Sahih oleh al-Albani)

[3] Ibn Abi Syaibah di dalam al-Musannaf, Kitab al-Adab, fi Taghyir al-Asma’

0 comments: